Khamis, 12 September 2024

KESESATAN AJARAN MILLAH IBRAHIM @ ABRAHAM

 

Hidup beragama adalah antara bukti yang jelas menunjukan bahawa fitrah manusia itu suka bergantung kepada sebuah entiti yang dibina diatas kepercayaan yang tersendiri. Hal ini telah memperlihatkan kepada kita kemunculan pelbagai siri kepercayaan yang dibina dengan keyakinan lalu menterjemahkannya ke dalam bentuk ritual yang pelbagai. Apabila zaman telah berkembang dari zaman primitif berubah ke zaman yang dinamik, terkedepan dan pesat. Namun begitu, kepesatan dunia yang membangun telah melahirkan pelbagai lagi sisi kepercayaan manusia berorientasikan nilai keagamaan. Dalam agama Islam, pada teras agama yang luhur ini, kadang kala tercetus golongan pelampau dalam beragama sehingga tertubuhnya kumpulan dengan kepercayaan yang berbeza dari intipati ajaran asal agama.

Millah Ibrahim @ Abraham mulai dikenali di Malaysia seawal tahun 2013. Millah Ibrahim @ Abraham atau dikenali dengan nama al-Qiyadah al-Islamiyah merupakan suatu ideologi atau ajaran yang menyimpang dan tersesat jauh dari landasan Islam sebenar. Dalam rekod yang ditemukan, ajaran ini dikaitkan dengan rangkaian Gerakan Pemuda Kahfi yang berpusat di Bogor, Indonesia. Gerakan tersebut telah diterajui oleh Ahmad Musodiq. Ajaran Millah Ibrahim @ Abraham pada asasnya suatu ajaran yang sinkretis atau yang melihat kepada persamaan doktrin agama Islam, Kristian dan Yahudi. Pada mereka, ketiga-tiga agama utama ini menyeru kepada suatu persamaan dengan menafsirkan semula al-Quran dengan penafsiran baharu.




Pengasas kepada ajaran ini ialah Ahmad Musodiq. Beliau dilahirkan pada 21 April 1944. Seorang warga asal Indonesia yang sangat aktif mendalami ilmu agama semenjak berbai'ah menjadi anggota kepada Negara Islam Indonesia (NII) pada tahun 1987. Gerakan NII adalah sebuah gerakan yang kontroversi di Indonesia. Gerakan ini dikenali sebagai pusat pengajian al-Quran terutamanya dalam bidang tafsir al-Quran. NII melalui kelas pengajiannya telah membawa suatu kaedah penafsiran al-Quran yang tersendiri yang tidak mengikuti displin penafsiran para ulama muktabar. Disebabkan itu, pada tahun 2000, Ahmad Musodiq telah mengambil keputusan untuk keluar dari NII lalu beliau menubuhkan gerakan sendiri yang dikenali dengan nama al-Qiyadah. Sejak pada itu, beliau telah aktif menyebarkan fahamannya.

Kekarutan Ahmad Musodiq bermula pada episod penyembunyian beliau selama 40 hari diatas sebuah gunung yang dikenali sebagai Gunung Bunder yang terletak di Bogor, Jawa Barat. Pada tarikh 23 Julai 2007, satu sidang media telah dibuat dan beliau telah mendakwa dirinya dibimbing oleh Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad bertujuan untuk dirinya membawa ajaran Islam yang sebenar. Atas dakwaan karut tersebut, beliau telah menyebarkan ajarannya dengan menggunakan kitab Bible dan al-Quran terjemahan Indonesia serta digabungkan dengan penafsiran yang dibuat sendiri olehnya. Selain itu, beliau juga turut mendakwa dirinya sebagai Rasul utusan Allah. Kerana ramai yang mempercayainya, dianggarkan kira-kira pertambahan sebanyak seribu orang setiap bulan yang mengikuti ajarannya. Pertambahan pengikut yang ramai menjadikan ajarannya berkembang luas di Indonesia antaranya di Sumatera Barat, Jawa Timur, Yogyakarta, Riau dan Sulawesi.

Antara dakwaan aneh lagi yang dibuat ialah beliau mendakwa dirinya mendapat wahyu untuk membawa kaedah penafsiran yang sebenar dan dengan pemahaman yang tepat. Pun begitu, kaedah penafsiran yang dibawa olehnya adalah mirip dengan apa yang pernah dibawa oleh gerakan NII. Selain itu, pengikut ajaran Millah Ibrahim @ Abraham ini juga percaya bahawa agama Islam yang dianuti sekarang ini telah jauh menyimpang dan terpesong. Bagi mereka, ajaran Islam sebenar berada pada pembawakan penafsiran oleh Ahmad Musodiq. Pengikur ajaran ini sangat memuliakan Ahmad Musodiq dengan mendakwa pengasas ajaran ini, Ahmad Musodiq adalah seorang Rasul akhir zaman dan al-Masih. Dalam kerangka keyakinan mereka, agama Islam yang dibawa oleh baginda Nabi Muhammad SAW telah diselewengkan sejak peristiwa kejatuhan kerajaan Bani Abbasiah kesan dari serangan puak Monggol keatas kota Baghdad.




Dalam catatan sejarah Islam, peristiwa yang menyaksikan serangan yang dilakukan oleh puak Monggol telah menyebabkan banyak kemusnahan kitab-kitab khazanah Islam. Melalui peristiwa benar ini, mereka membuat dakwaan palsu dengan beranggapan kesan dari kemusnahan tersebut, maka berlakulah penyelewengan agama sehinggalah Islam yang dianuti oleh majoriti penduduk dunia hari ini ialah ajaran Islam yang palsu lagi tidak benar. Oleh kerana itu, pada kepercayaan mereka, Ahmad Musodiq sebagai Rasul yang baharu akan membawa ajaran Islam sebenar. Selain itu, sepertimana gerakan Islam yang lain, mereka yang menjadi ahli kepada ajaran ini diwajibkan berbai'ah dengan cara bersumpah dihadapan pemimpin mereka. Kesesatan ajaran ini bukan sahaja bersendikan kepada kaedah baharu penafsiran al-Quran malah beberapa pensyariatan Islam dihapuskan. Misalnya, ajaran ini telah menghapuskan kewajiban berpuasa di bulan Ramadan dan menolak atau menafikan kefardhuan solat lima waktu.

Namun begitu, kewajiban beramal pada pegangan mereka ialah ibadah qiamullail (solat malam), solat ketika waktu terbit dan solat ketika terbenamnya matahari. Dalam pada itu, terdapat satu ritual yang dinamakan sebagai cara menebus dosa. Dalam ritual tersebut, para pengikut boleh menghapuskan dosa dengan cara membayar sejumlah wang tunai berdasarkan jumlah peratusan tertentu, dibayar kepada Ahmad Musodiq yang dianggap sebagai Rasul. Terdapat banyak lagi kefahaman mereka yang bercanggah dengan ajaran Islam antara lain ialah mereka menolak hadith Nabi, mereka tidak memakan daging sembelihan orang Islam, membuat tuduhan jahat terhadap para ulama muktabar dengan menghukum sesat, mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak berpegang kepada ajaran tersebut selain mereka menggabungkan kitab-kitab suci tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Demikian beberapa sisi gelap kesesatan yang nyata lagi terang mengenai gerakan Millah Ibrahim @ Abraham ini.

Ajaran ini telah difatwakan sesat lagi menyesatkan oleh Majlis Ulama Indonesia pada tahun 2007. Di peringkat Malaysia, Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-109 yang telah bersidang pada 15 Februari 2017 telah memutuskan bahawa ajaran Millah Ibrahim @ Abraham ini sesat dan terpesong jauh. Selain itu, beberapa negeri juga seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Kelantan dan Sabah turut mengambil tindakan yang sama dengan memfatwakan ajaran tersebut sebagai sesat dan haram untuk disebarkan. Oleh itu, adalah sangat penting dan mustahak bagi kita semua sebagai muslim yang sejati, berwaspada selalu dan sentiasalah merujuk kepada pihak berautoriti agama seperti Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Mufti Negeri. Pemeliharaan akidah adalah tanggungjawab bersama. Untuk itu, kita perlu menjadi warga yang berilmu dengan mencari sumber yang sahih agar tidak mudah terpedaya dari mereka yang sesat lagi menyesatkan. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan