Sesuatu yang berbentuk keganasan itu seringkali dikaitkan dengan
pelbagai aliran atau kumpulan diatas nama agama, perkauman dan bangsa. Keadaan
ini boleh berlaku apabila kewujudan sifat rasis yang mulai menapak di dalam
diri manusia. Perasaan terlalu bagus, paling baik, paling bagus dan tersangat
dalam semua hal akan menjerat diri sendiri dan akhirnya akan melondehkan
kelemahan yang ada padanya. Sepertimana dalam catatan sejarah dunia, Barat yang
kononnya mereka mendakwa bahawa mereka lah yang lebih bertamadun, bertoleransi
dan terpaling meraikan hak kebebasan, hakikatnya sejarah lampau telah
membuktikan kesyaitanan mereka yang bergerak diatas sentimen agama dan bangsa,
membunuh sana sini dengan tanpa rasa bersalah, juga bertindak dengan melakukan
pelbagai kekejaman kepada aesiapa yang enggan untuk mengikuti arahan mereka.
Dunia Barat kini tampil dengan mendakwa seolah-olah agama Islam
adalah agama peperangan, suka bergaduh dan bermusuhan. Sesungguhnya sehingga
kini pihak Barat terutamanya yang sangat memusuhi Islam telah gagal untuk
membuktikan apa yang dimaksudkan sebagai agama peperangan. Pada sudut kefahaman
mereka, Islam agama yang suka memaksa orang lain untuk mengikutinya, Islam
agama yang suka menggunakan kekerasan dan menolak perdamaian. Dakwaan tidak
berasas ini ibarat umpama mereka bercakap dengan cermin. Ini kerana, mereka
bukan sahaja gagal atau tidak dapat membuktikan dengan jelas bahkan dakwaan
tersebut seolah-olah seperti menjilat semula air liur yang telah mereka
ludahkan kepada imej Islam. Ini kerana dalam lembaran catatan sejarah, ramai
orang yang terdahulu telah menjadi saksi akan kekejaman mereka yang dibuat
diatas nama agama Kristian dan Yahudi walhal agama tidak mengajar seperti itu.
Dalam agama Islam, diperintahkan untuk berperang adalah dengan
tujuan bagi mempertahankan diri, maruah dan harta benda. Oleh yang demikian,
Islam bukanlah agama yang mencetuskan permusuhan melainkan setelah diserang
oleh musuh, maka diperintahkan untuk umat Islam berperang bagi tujuan
pertahanan. Syariat berjihad pula diturunkan kepada Nabi SAW setelah baginda
berada di Madinah, kira-kira 13 tahun selepas baginda berdakwah di Makkah tanpa
sebarang peperangan walau diugut, diancam bunuh dan sebagainya. Jika benar
andaian yang mengatakan bahawa Islam agama yang suka berperang, tentu sekali
tidak perlu menunggu sehingga 13 tahun untuk diizinkan berperang berjihad di
jalan Allah. Semua siri peperangan yang berlaku dalam sejarah Islam, tidaklah
bersifat menakluk atau menjajah. Melainkan tujuan berperang adalah untuk
mempertahankan hak diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan, di dalam perang,
Allah SWT melalui kekasih Nya, Nabi Muhammad telah memberikan panduan etika
berperang. Antara lainnya, Islam melarang tenteranya membunuh kanak-kanak,
wanita dan orang tua.
Selain itu, antara bukti yang menyaksikan Islam agama yang bertoleransi,
sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab al-Da'wah Ila al-Islam,
dinyatakan bahawa di Mesir, harta-harta milik gereja tidak pernah diganggu oleh
Amru bin al-Asr, Gabenor Islam. Beliau tidak pernah melakukan sebarang aktiviti
songlap dan rampasan. Selain itu, Abu al-Muzaffar Muhammad bin Sim dalam kitab Fath
al-Sind, beliau telah menyebutkan bahawa orang Islam melepaskan sebahagian
tawanan dan mahkamah diwujudkan untuk membela mangsa kezaliman. Orang-orang
awam yang cedera disebabkan peperangan pun dipanggil, begitu juga para penempa,
peniaga, buruh kecil yang hartanya dirampas ketika perang turut dipanggil.
Ketetapan dibuat bahawa setiap seorang dikalangan mereka diberikan 12 Dirham.
Seorang ahli Geologi, Jean Jacques Dozy, menyebutkan bahawa sikap toleransi
bangsa Arab (Islam) di Sepanyol telah membuktikan sikap kasih sayang
tenteranya. Mereka mengurangkan kadar cukai yang sebelum itu dibayar oleh
penduduk pada kadar yang sangat tinggi.
Berbanding dengan mereka yang selalu mendakwa tersangat bertamadun,
sejarah membuktikan betapa kejamnya mereka ini yang menunggang diatas nama
agama Kristian dan Yahudi, membantai sesiapa sahaja yang tidak mhu mengikuti
ajaran mereka. Ini sebagaimana yang tercatat dalam kitab al-Da'wah Ila
al-Islam, Maharaja Knut yang berkuasa di Denmark, telah menyebarkan ajaran
Kristian dengan menawan seluruh umat dan dipaksa tunduk dengan undang-undang
Kristian setelah berlaku peperangan sengit dengan raja-raja empayar lain. Di
Norway, Maharaja Olaf Tryggvason telah menghukum bunuh keatas mereka yang
enggan memeluk agama Kristian. Selain itu, beliau juga memotong tangan dan kaki
mereka yang enggan tersebut dan mengusir mereka keluar dari negeri. Dengan cara
begini, agama Kristian tersebar di Viken dan seluruh selatan Norway. Di Sepanyol,
pihak Pope telah mencabuli Granada yang dikusai oleh umat Islam dengan
mengkhianati perjanjian di antara Raja orang Islam terakhir di Granada, Abu
Abdullah al-Saghir dan Raja Ferdinand.
Dalam perjanjian tersebut, Raja orang Islam menuntut agar umat Islam
diberikan kebebasan untuk beragama Islam dengan melaksanakan ibadah dan syiar
agama selain menuntut kebebasan bekerja dan hidup tanpa sebarang ancaman dan
gangguan keselamatan. Pun begitu, setelah penyerahan Granada ke tangan Raja
Ferdinand dan Ratu Isabella, berlakulah pengkhianatan dengan melanggar
syarat-syarat perjanjian yang dimeterai bersama. Pengkhianatan ini telah
mendapat ulasan oleh Ahli Sejarah Barat, William H. Prescott dengan menyebut
perbuatan pengkhianatan tersebut adalah pengkhianatan tertinggi di sepanjang
zaman. Apabila pengkhianatan dibuat, semua orang Islam dipaksa memasuki agama
Kristian, jika enggan berbuat demikian, maka pelbagai bentuk penyeksaan yang
dibuat dengan penuh sadis dan kejam. Penjajah Sepanyol mulai menghalang orang Islam
bertutur dengan bahasa Arab. Mereka menghalau orang Islam dan membakar
hidup-hidup mereka yang berbaki. Selain mereka juga turut mengumpulkan seluruh
buku-buku berbahasa Arab yang mengandungi ilmu-ilmu yang sangat bernilai, lalu
mereka membakar semuanya. Begitulah kejam dan kerasnya mereka yang mendakwa
tersangat bertamadun dan bertoleransi.
Melalui beberapa episod sejarah lampau ini, tidak sedikit sekali
para sarjana yang sangat mengagumi dan memuji agama Islam setelah melihat dan
merasai layanan orang Islam terhadap bangsa dan keturunan mereka. Antaranya
Vincent Monsieur, seorang Pensyarah di Universiti Paris, beliau juga merupakan
pengarang kitab Keganasan Zionis, Islam di Afrika yang Hitam dan Kunci-Kunci
Pemikiran Arab. Beliau menyebutkan bahawa dirinya memilih Islam kerana ia
agama fitrah. Antara sebab aku memeluk Islam ialah kerana toleransi Islam
terhadap penganut agama lain dan perkara ini berlawanan sama sekali dengan
pegangan agama lain. Selain itu, seorang Orientalis Jerman, Ulrich Herman,
ketika beliau mempelajari era zaman pertengahan, beliau sangaf kagum dengan
tahap toleransi yang dimiliki oleh orang Islam yang beliau khususkan kepada
Salahuddin al-Ayubi. Dalam kitab Hadiru al-Alam, dinukilkan ungkapan
oleh Robertson yang menyatakan bahawa pengikut Muhammad SAW adalah satu-satunya
umat yang menghimpunkan antara semangat keagamaan dan bertoleransi padanya.
Demikianlah apa yang telah tercatat sebagai sejarah yang menjadi saksi akan
toleransinya Islam bukan sekadar slogan di mulut. Ternyata segala dakwaan cetek
yang dicanangkan kepadadunia hanyalah sebuah imaginasi yang sia-sia. Islam
tidaklah seperti apa yang mereka bawakan sebagai naratif jahat. Bahkan hakikatnya,
segala dakwaan tempang tersebut adalah cerminan untuk diri mereka yang dahulu
penuh kekerasan dan kekejaman menakluki umat manusia. Semoga Allah merahmati
kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan