Bagi manusia yang berfikiran waras, tiada sesiapa pun yang mahu
merosakan tubuh badannya termasuk akal fikiran dengan mengambil makanan atau
minuman dari sumber yang tidak bagus. Ini juga termasuk dalam soal menggunakan
barangan atau perkhidmatan yang boleh memberikan kecelakaan dan kemudaratan
pada diri sendiri. Kesedaran umat manusia dalam hak kepenggunaan secara tidak
langsung akan mendidik minda dan jiwa kita untuk lebih cerewet atau dengan
maksud lain menjadi lebih teliti dalam soal memilih yang baik dan menolak yang
buruk. Lebih-lebih lagi dalam memilih pemakanan yang sihat, keutamaan bagi kita
memilih yang halal pada sudut syariat dan yang baik untuk kesihatan. Oleh
kerana itu, Islam datang untuk menjaga kepentingan diri manusia melalui
pensyariatan memilih yang halal lagi baik.
Ungkapan "Halalan Toyyiban" adalah
kombinasi dua perkataan yang berbeza iaitu halal dan toyyiban. Gabungan
perkataan tersebut membawa maksud sesuatu yang halal dan bersifat baik.
Perkataan Halalan Toyyiban ini merupakan seruan dan perintah Allah kepada para
manusia dalam memenuhi keperluan kehidupan. Perkataan "Halal"
ialah berasal dari satu kata nama dalam bahasa Arab. Dalam kamus al-Mu'jam
al-Wasith, halal membawa maksud dibenarkan. Dari sudut istilah syarak pula,
halal adalah suatu kebenaran oleh syariat Islam. Dalam pada itu, al-Jurjani
dalam kitab al-Ta'rifat, menyatakan bahawa pengertian halal bermaksud
keharusan menggunakan benda-benda atau apa-apa yang diperlukan untuk memenuhi
keperluan jasmani seperti makanan, minuman dan ubat-ubatan. Manakala ungkapan "Toyyiban"
berasal dari bahasa Arab yang padanya membawa makna kebaikan, bagus dan elok.
Islam sememangnya mengajar umatnya untuk memilih yang halal dan
baik. Seruan mencari yang halal lagi baik ini dirakamkan oleh Allah SWT di
dalam al-Quran dengan pelbagai keadaan ayat. Dalam sebahagian keadaan, Allah
SWT menyebutkan istilah halal pada sudut kewangan, ada keadaan lain pula Allah
SWT menyebutnya dalam keadaan hal kekeluargaan juga sebahagian keadaan Allah
menekankan soal halal dalam memilih makanan, rezeki dan selainnya. Walau pun
begitu, penggunaan istilah halal lagi baik dalam soal mencari makanan, minuman
dan mencari rezeki lebih meluas dan banyak digunakan. Oleh itu, Islam
sememangnya mementingkan perkara yang halal lagi baik dalam semua sudut dan
sisi kehidupan. Sebagai contoh, Allah SWT menekankan para hamba Nya untuk
memperolehi kewangan dari sumber yang halal dengan melakukan aktiviti yang
dibenarkan oleh syariat.
Ini dapat dilihat menerusi surah al-Baqarah ayat 278 - 279, firman
Allah SWT yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan
tinggalkanlah saki baki riba itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan, (perintah mengenai larangan riba
itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya,
(akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu
ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian), kamu tidak berlaku zalim
kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”
Ayat ini menjelaskan kepada kita mengenai ketegasan Allah SWT
dengan memerintahkan para hamba Nya meninggalkan segala aktiviti yang haram
seperti riba. Kerana riba itu haram, namun Allah telah menghalalkan jual beli
yang padanya tjdak ada riba. Selain itu, Allah SWT juga menekankan soal halal
hubungan suami isteri dalam institusi kekeluargaan. Hubungan cinta yang
melibatkan dua jiwa akan menjadi halal diatas akad pernikahan. Ini sebagaimana
firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 12 yang bermaksud :
"Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu)
dengan cara yang baik."
Melalui kefahaman ayat ini, kehendak dan dorongan oleh nafsu para
manusia untuk memenuhi keperluan fitrah seksualnya telah dihalalkan oleh Allah
SWT bagi mereka yang telah berkahwin. Namun begitu, adalah haram pula bagi
mereka yang berhubungan tanpa diikat dengan sebarang akad pernikahan yang sah
disisi syarak. Selain itu, seruan perintah Allah untuk mencari yang halalan
toyyiban ini pula lebih meluas dalam soal memilih makanan dan minuman serta
mencari rezeki. Dalam banyak keadaan dengan kepelbagaian ayat, Allah SWT sangat
menitikberatkan para hamba Nya untuk memakan dari sumber yang halal dan
bersifat baik. Hal ini bertepatan dengan firman Nya di dalam al-Quran, menerusi
surah al-Baqarah ayat 168, Allah Azza Aa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi
yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana
sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".
Melalui firman Nya ini, jelas menunjukkan bagaimana Islam melalui
syariat Allah, memerintahkan umat manusia untuk mencari rezeki, makan dan minum
dengan berasaskan kepada konsep Halalan Toyyiban. Konsep Halalan Toyyiban ini
merujuk kepada maksud yang halal lagi bersih, suci dan diyakini. Ini bermakna,
memilih sesuatu makanan dan minuman itu bukan sahaja perlu melihat kepada
kebersihan yang bersifat luaran seperti gerai yang bersih, namun perlu juga
menilai dan melihat kebersihan dari sudut kandungan, bahan termasuklah
melibatkan proses penghasilan dan keselamatan penggunaannya. Syariat mencari
yang halal lagi baik ini juga secara tidak langsung memenuhi tuntutan kehendak
dan tujuan syariat (maqasid syariah) iaitu dibawah kategori menjaga akal dan
nyawa.
Berlandaskan kepada tujuan tersebut juga, baginda Nabi SAW turut
memberikan penegsan terhadap hal ini. Ketegasan Nabi SAW dalam perkara ini
dapat dilihat berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud :
“Sesungguhnya yang halal itu telah jelas dan yang haram pun telah
jelas pula. Sedangkan di antaranya ada perkara syubhat (samar-samar) yang
kebanyakan manusia tidak mengetahui (hukum)-Nya. Barangsiapa yang menghindari
perkara syubhat (samar-samar), maka ia telah membersihkan agama dan
kehormatannya. Barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara yang samar-samar, maka
ia telah jatuh ke dalam perkara yang haram. Seperti penggembala yang berada di
dekat pagar larangan (milik orang) dan dikhawatirkan ia akan masuk ke dalamnya.
Ketahuilah, bahwa setiap raja memiliki larangan (undang-undang). Ingatlah
bahwa larangan Allah adalah apa yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, bahwa di dalam
jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baik pula seluruh
jasadnya ; dan jika ia rosak, maka rusak pula seluruh jasadnya. Ketahuilah,
bahwa segumpal daging itu adalah hati".
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa sesuatu yang halal
dan haram itu sudah diberikan panduan oleh Islam. Dan antara kedua-duanya itu
disebutkan sebagai "Syubhah" atau samar-samar. Meninggalkan
perkara yang samar-samar itu lebih baik dan elok berbanding daripada melakukannya.
Demikianlah ketegasan Allah dan Rasul Nya yang sangat menitikberatkan soal
pemilihan makanan dan minuman serta memperolehi rezeki daripada sumber yang
halal lagi bersifat baik, bersih dan elok. Dengan kata lain, Islam sangat
melarang umatnya daripada memakan harta dengan cara yang batil, Islam juga
turut menegah umatnya dari memakan makanan dari sumber yang tidak halal, tidak
bersih, jijik lagi kotor pula serta Islam menegah umatnya memperolehi sumber
kewangan melakukan aktiviti perniagaan dengan cara yang haram seperti riba.
Inilah Islam yang sentiasa menekankan konsep kehidupan yang sejahtera dengan
memilih yang halal pada setiap urusan kehidupan. Semoga Allah mengampuni kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan