Jumaat, 6 September 2024

PERNIAGAAN PADA ASAS NERACA ISLAM

 

Salah satu kekuatan yang perlu dikuasai oleh umat manusia ialah kestabilan ekonomi. Ekonomi merupakan antara salah satu cabang ilmu sains sosial yang membicarakan soal pembahagian sumber yang terhad untuk memenuhi kehendak manusia. Selain itu, perbahasan mengenainya juga tidak terlepas dari membicarakan soal "demand and supply" atau permintaan dan pengeluaran. Pada banyak sudut pemerhatian melalui teori dan kajian, dunia Barat yang mahu dilihat sebagai pelopor dunia, telah diperkenalkan oleh Adam Smith, suatu konsep yang disebut sebagai ekonomi kapitalis menerusi bukunya yang terkenal, The Wealth of Nations. Melalui idealisme kapitalis ini, tidak lebih sekadar memenuhi poket pengusaha dan menzalimi para buruh dibawah sana. Berbeza dengan Islam yang melihat perniagaan itu suatu ibadah kepada Allah.

Perniagaan adalah instrumen kepada gerak daya sesebuah perekonomian. Ini bermakna, pertumbuhan ekonomi yang mampan secara tidak langsung didorong oleh pemain-pemain industri perniagaan. Perniagaan yang sihat antara paksi yang menentukan kestabilan sesebuah perekonomian. Dalam wacana Islam, berniaga adalah salah satu sunnah baginda Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Matlamat utama perniagaan sebagaimana ibadah yang lain ialah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Oleh itu, prinsip utama perniagaan yang dilakukan haruslah berdiri diatas paksi ketaqwaan dan keimanan. Bukannya mengikut hawa nafsu ketamakan. Maka dengan tujuan tersebut, Islam telah memberikan garis panduan yang jelas mengenai etika perniagaan pada neraca yang diredhai Allah. Dalam asas perniagaan, Allah telah menegaskan di dalam al-Quran mengenai halal dan haram dalam jual beli. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud :

“Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barangsiapa mendapat peringatan dari Tuhannya (mengenai pengharaman riba), lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barangsiapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”




Berdasarkan kefahaman ayat tersebut, jelas bahawa Allah SWT dengan segala sifat kesempurnaan Nya telah menghalalkan jual beli dan pada masa yang sama Allah jua telah mengharamkan perbutan riba. Riba dalam perniagaan adalah sesuatu yang bersifat menindas, menzalimi dan memakan harta secara batil (jahat). Ini ditentang keras oleh Islam. Maka perniagaan yang dilakukan sebagai ibadah juga untuk meraih keredhaan Tuhan, tentunya tidak boleh mengambil lebih dari hak yang dibenarkan. Ini bermaksud apabila Allah SWT telah menghalalkan jual beli, maka lakukanlah pada kadar yang diredhai Allah dan bukannya mengikut kehendak nafsu semata-mata sehingga sanggup menindas dan menzalimi pihak pengguna. Adalah menjadi prinsip dalam perniagaan selain untuk meraih redha Tuhan, kita ditegah dan dilarang untuk memakan harta orang lain secara batil seperti riba dalam perniagaan. Juga Islam menuntut kita agar melakukan perniagaan berdasarkan nilai redha-meredhai antara dua pihak iaitu peniaga dan pengguna.

Ini dapat kita lihat penegasan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, melalui surah an-Nisa' ayat 29, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar redha meredhai di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu. Sesungguhnya, Allah Maha Penyayang kepadamu.”

Selain nilai ketaqwaan yang menjadi asas kepada sesebuah perniagaan, Islam sebagai suatu agama yang bersifat kasih sayang juga turut menekankan prinsip kejujuran dan amanah dalam perniagaan. Sikap jujur dan amanah dalam berniaga akan mencerminkan nilai ketaqwaannya kepada Allah. Penegasan Islam dalam menekankan nilai jujur dan amanah ini dapat kita lihat bagaimana reaksi baginda Nabi SAW ketika berhadapan dengan situasi peniaga yang tidak jujur. Hal ini sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan yang bermaksud :

"Rasulullah SAW pernah berjalan melalui selonggok barang makanan, lalu baginda Nabi memasukkan tangannya ke dalam makanan itu sehingga jari-jemarinya terkena yang basah. Lalu baginda bertanya: "Apa ini, wahai pemilik makanan?" Penjual itu menjawab : "Ia terkena air hujan, wahai Rasulullah." Baginda pun bersabda : "Mengapa tidak engkau letakkannya di atas barang makanan ini sehingga orang dapat melihatnya? Barangsiapa yang menipu kami maka dia bukanlah daripada kalangan kami (kaum Muslimin)."

Melalui pemahaman hadith tersebut, jelas ketegasan baginda Rasulullah SAW agar tidak ada unsur penipuan dan kecurangan dalam melakukan sebarang aktiviti perniagaan. Apabila kita menyebut perkataan perniagaan, maka ianya terangkum dalam maksud semua jenis perniagaan yang melibatkan semua bentuk industri. Sikap jujur dan amanah dalam berniaga ini merupakan teras yang mendasari ketaqwaan seseorang muslim. Oleh yang demikian, kejujuran dan amanah sangat penting bagi mencerminkan nilai taqwa kepada Allah SWT. Sekiranya berlaku kecurangan atau ketidakjujuran dalam perniagaan, maka ketahuiah ancaman dari Allah SWT. Dalam hal ini, baginda Nabi SAW memberi amaran serta menyatakan ancaman bagi mereka yang tidak jujur dalam berniaga. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, dinilai hasan sahih, Rifa'ah RA menceritakan bahawa dia pernah keluar bersama Rasulullah SAW menuju ke tempat solat, lalu baginda melihat orang sedang melakukan jual beli, lantas baginda pun bersabda :

"Wahai peniaga sekalian." Maka mereka pun menyambut seruan Rasulullah SAW seraya mengalihkan leher dan pandangan mereka ke arah baginda. Lalu baginda bersabda: "Sesungguhnya peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak sebagai orang yang fasik kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat baik serta bersifat jujur."




Demikian ancaman keras oleh Islam bagi mereka yang melakukan kecurangan atau tidak jujur dalam perniagaan. Perbuatan tidak jujur ini bukan sahaja dilihat sebagai suatu yang tidak bermaruah bahkan telah melakukan dosa besar serta diancam hebat oleh Allah SWT. Namun begitu, sebaliknya bagi para peniaga yang jujur dan amanah, balasan nikmat serta ganjaran hebat yang dijanjikan oleh Allah SWT. Hal ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Seorang peniaga yang bersifat benar, jujur lagi dipercayai akan bersama sekalian nabi, siddiqin dan syuhada (pada hari kiamat kelak)."

Demikian bagaimana ganjaran hebat buat para peniaga yang jujur dan amanah. Bersikap jujur dan amanah dalam perniagaan sama sekali tidak akan merugikan kita. Malah, dengan bersikap sedemikian, akan mendapat keberkatan dalam kehidupan. Itulah sebaik-baik nikmat yang di idamkan. Oleh yang demikian, dapat kita simpulkan bahawa Islam sememangnya menggalakan umatnya untuk melakukan aktiviti perniagaan. Berdasarkan apa yang telah disebutkan tadi, jelas kepada kita bahawa teras dan prinsip utama perniagaan pada neraca Islam ialah nilai ketaqwaan mengharapkan redha Tuhan. Apabila nilai ketaqwaan ditegakkan, maka prinsip lain seperti tidak menzalimi pengguna, tidak melakukan perniagaan berunsurkan riba, jujur dan amanah, akan dapat dipatuhi dengan penuh keimanan. Jelas bahawa Islam tidak mendorong umatnya untuk tamak dalam berniaga tetapi berpada dengan hak yang dibenarkan oleh syarak. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan