Sifat berkasih sayang antara elemen terpenting dalam sesebuah
kehidupan. Dunia ini tidak akan ada makna keamanan dan kesejahteraan andai
tidak ada perasaan kasih yang wujud. Tanpa kita sedari, berkasih sayang
sebenarnya mampu mengubah daripada hitam menjadi putih, daripada gelap bertukar
cerah dan daripada sendu menjadi padu. Sikap berkasih sayang ini bukanlah
sahaja semata-mata dengan penzahiran perbuatan tetapi dapat memenuhi keperluan
kebatinan insani. Betapa ramai insan yang kurang bernasib baik di luar sana
yang hanya memiliki kekayaan harta-benda namun amat miskin dengan kasih sayang
sehingga diri menjadi kejam dan zalim.
Antara intipati utama ajaran Islam ialah bersifat kasih sayang pada
semua makhluk. Tuntutan berkasih sayang ini tidak sahaja disuruh sesama manusia
bahkan merentasi makhluk ciptaan Allah yang lain seperti haiwan,
tumbuh-tumbuhan dan alam semulajadi. Kasih sayang kepada seluruh alam juga
menjadi tujuan diutuskan baginda Nabi SAW ke dunia ini. Ini sebagaimana firman
Allah SWT dalam al-Quran melalui surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud :
"Tidaklah Kami mengutuskan kamu Wahai Muhammad melainkan
sebagai rahmat kepada sekalian alam".
Membela atau memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, burung
dan sebagainya adalah salah satu contoh manifestasi kasih sayang merentasi
makhluk. Hukum memelihara dan membela sebarang haiwan peliharaan asalnya adalah
harus. Keharusan ini berdasarkan beberapa dalil atau hujah berdasarkan hadith
baginda Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Anas bin Malik
RA, katanya yang bermaksud :
“Sesungguhnya Nabi SAW beramah mesra dengan kami sehinggakan
Baginda pernah berkata (dalam bentuk gurauan) kepada saudaraku yang masih
kecil: ‘Wahai Abu ‘Umair, apakah yang burung pipit kamu lakukan itu?’.”
Dalam kitab Fath al-Bari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani
menyatakan bahawa hadith ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung
burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi SAW tidak mengingkari
perbuatan Abu Umair. Demikian dalil atau hujah yang menunjukkan keharusan
membela dan memelihara haiwan peliharaan. Walau pun hadith ini memperjelaskan
mengenai burung yang dikurung dalam sangkar, namun hadith ini menjadi dalil
bersifat umum dan terpakai kepada semua jenis haiwan peliharaan dan tidak terhad
kepada jenis burung sahaja. Oleh itu, hukum memelihara haiwan peliharaan adalah
harus dan perkara ini sekaligus mendidik umat manusia untuk berkasih sayang
sesama makhluk dengan menunaikan hak haiwan tersebut seperti makan dan minum
serta penjagaan yang bagus.
Perbuatan membela dan memelihara haiwan peliharaan bukanlah suatu
yang baharu. Di zaman baginda Nabi, terdapat seorang sahabat yang digelar
sebagai Abu Hurairah yang bermaksud bapa kucing. Gelaran ini diberikan sendiri
oleh baginda Nabi kerana baginda melihat beliau gemar membela dan bermain
dengan anak kucing. Dalam sebuah kitab karangan Imam Ibn Hajar al-Asqalani yang
bertajuk al-Isabah Fi Tamyiz al-Sahabah, beliau menjelaskan terdapat
satu riwayat oleh Ubaidillah bin Abi Rafi', di mana beliau berkata yang
bermaksud :
"Aku bertanya kepada Abi Hurairah, mengapakah engkau digelar
Abu Hurairah (bapa kucing). Lalu beliau menjawab: aku dahulu ketika mengembala
kambing milik keluargaku aku memiliki seekor anak kucing, pada waktu malam aku
letakkan dia pada sepohon pokok, apabila tiba waktu siang, aku bawa ia
bersamaku, aku bermain dengannya, maka kemudian aku digelar bapa kucing. "
Demikian bagaimana Islam tidak melarang umatnya daripada membela
dan memelihara haiwan peliharaan seperti kucing, burung dan sebagainya. Dalam
pada itu, Syeikh Bin Baz, Mantan Mufti Arab Saudi pernah ditanya berkenaan
hukum menghimpunkan burung-burung di dalam sangkar dengan tujuan menggembirakan
anak-anaknya, maka beliau menjelaskan bahawa tidak mengapa perbuatan tersebut
selagimana disediakan kepada burung-burung tersebut keperluannya seperti
makanan dan minuman. Hal ini tercatat dalam kitab Fatawa Ulama' al-Bilad
al-Haram. Berdasarkan pemahaman fatwa tersebut, jelas keharusan membela dan
memelihara haiwan peliharaan terikat selagimana tuan empunya haiwan tersebut
memenuhi keperluan seperti makan dan minum. Sebaliknya, jika kita yang membela
haiwan tersebut tetapi tidak memberinya keperluan asas hidup, hukum boleh
berubah menjadi haram kerana tindakan menzalimi haiwan peliharaan tersebut.
Akibat kecuaian dan keculasan kita dalam memelihara dan membela
haiwan tersebut dengan baik, maka hukumnya haram dan berdosa besar. Perbuatan
tidak memberikan makan dan minum atau tidak memenuhi keperluan asas kepada
haiwan yang dipelihara tersebut adalah jelas suatu kezaliman dan jauh dari
sifat kasih sayang. Bahkan, tindakan mengurung haiwan dan tidak memberikan
makan telah dikecam hebat oleh baginda Nabi SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith
Nabi riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Seorang wanita diazab kerana seekor kucing yang dikurungnya
sehingga mati. Maka dia masuk neraka disebabkannya. Dia tidak memberinya makan
dan tidak pula memberinya minum ketika dia mengurungnya, dan dia tidak pula
membiarkannya memakan haiwan-haiwan kecil yang berada di tanah.”
Demikian bagaimana lisan baginda Nabi SAW telah memperkatakan
sesuatu yang sebenarnya tidak remeh dan tidak boleh dipandang enteng oleh
sesiapa pun. Tidaklah baginda akan mengungkapkannya andai hal seperti itu
dianggap remeh oleh Islam. Sebaliknya, penegasan oleh Allah SWT melalui lisan
utusan Nya, Rasulullah SAW mengecam dan memberi peringatan penting terutamanya
kepada mereka yang suka membela dan memelihara haiwan. Berdasarkan hadith ini
juga, Syeikh Abdullah bin Abd al-Rahman al-Bassam menjelaskan dalam kitabnya, Taudhih
al-Ahkam min Bulugh al-Maram, bahawa dalil tersebut menunjukkan kewajiban
menunaikan keperluan binatang peliharaan kerana sebab wanita di dalam hadith
itu dimasukkan ke dalam neraka kerana dia meninggalkan kucingnya tanpa
menunaikan keperluannya, dan menahannya dari mencari makanan sendiri. Maka,
jika menunaikan keperluan ini dituntut pada kucing yang bukan peliharaannya,
maka terlebih utama jika kucing tersebut merupakan peliharaannya. Inilah
pandangan yang dipilih oleh majoriti fuqaha’.
Tuntasnya, kita perlu fahami bahawa berdasarkan apa yang telah
dinyatakan ini, berbuat baik dengan haiwan peliharaan dalam erti kata berkasih
sayang dengan menunaikan hak mereka adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh
Islam. Keharusan membela haiwan peliharaan seperti kucing dan burung boleh
berubah menjadi haram sekiranya kita tidak menunaikan tanggungjawab terhadap
haiwan yang dipelihara. Tentunya hal ini mengingatkan kepada kita akan
kebertanggungjawaban terhadap setiap tindakan yang kita lakukan. Oleh itu perlu
ditekankan bahawa sesuatu hobi yang mulia seperti membela haiwan akan menjadi
ladang dan kebun berpahala bagi mereka yang benar-benar bertanggungjawab
terhadap haiwan peliharaannya. Sebaliknya, mereka yang culas dan cuai dalam
tindakan tersebut pasti mendapat seburuk-buruk balasan kerana perbuatan
zalimnya itu. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan