Ahad, 25 Ogos 2024

JIN MEMASUKI TUBUH MANUSIA : BOLEH ATAU TIDAK ?

 

Persoalan kehidupan ini tidak sekadar apa yang zahir dan nyata dihadapan kita. Setiap inci alam yang begitu luas ini padanya terdapat sekurang-kurangnya dua bentuk alam yang disebutkan sebagai alam zahir yang nyata dan alam batin yang tersembunyi daripada manusia. Alam yang begitu kompleks ini bukan sahaja dihuni oleh kita yang zahir ini bahkan disana ada alam kehidupan lain yang tidak tersingkap oleh pandangan manusia yang didiami oleh bangsa jin dan syaitan. Sememangnya kewujudan dua alam ini antara manusia dan jin merupakan antara bukti kehebatan Allah SWT yang Maha Pencipta akan segala sesuatu baik dari sebesar-besar hal hinggalah kepada sekecil-kecilnya. Tujuan kedua-duanya iaitu jin dan manusia sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah di dalam al-Quran adalah bertujuan untuk beribadah kepada Nya.

Kerana kewujudan dua alam yang sangat istimewa ini, antara kelebihan yang Allah SWT anugerahkan kepada bangsa jin adalah boleh melihat manusia namun sebaliknya manusia tidak dapat melihat mereka. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT melalui firman Nya dalam surah al-A'raf ayat 27 yang bermaksud :

"Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman".




Demikanlah secara asasnya, golongan jin, syaitan dan iblis diberikan kelebihan oleh Allah SWT untuk melihat umat manusia sedangkan umat manusia tidak dapat melihat mereka tanpa izin Allah. Oleh kerana yang demikian, umat manusia sentiasa akan terdedah kepada sebarang bentuk gangguan golongan ini termasuklah dirasuki atau mengalami histeria. Menjadi persoalan, apakah boleh makhluk seperti jin, syaitan dan iblis ini memasuki tubuh badan manusia ? Isu ini sekurang-kurangnya telah mewujudkan dua kelompok. Pertama, kelompok mereka yang sangat melampaui batas dalam mempercayai akan gangguan makhluk halus ini sehingga percaya semua perkara disebabkan gangguan tersebut. Kelompok kedua, ialah mereka yang langsung tidak mempercayai akan gangguan ini dan menafikan kemampuan makhluk halus untuk merasuki tubuh manusia.

Menurut pandangan Ahlus Sunnah wal Jamaah, sepertimana yang dinukilkan oleh al-Asy'ari dalam kitabnya, Maqalat Ahlus Sunnah wal Jamaah, mereka yakni dikalangan para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah berpendapat bahawa jin dan syaitan boleh memasuki atau merasuki tubuh badan manusia. Pendapat ini juga berteraskan firman Allah SWT di dalam al-Quran, melalui surah al-Baqarah ayat 275 yang bermaksud :

“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat bediri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila”

Menurut Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, al-Jami' Li Ahkam al-Quran, beliau menyatakan bahawa ayat ini merupakan dalil atas pengingkaran bagi orang-orang yang mengingkari akan adanya kerasukan yang disebabkan oleh jin dan menganggap bahwa hal itu hanyalah sesuatu yang alami dan menganggap bahawa syaitan tidak mampu berjalan didalam tubuh manusia sehingga tidak ada kerasukan seperti orang gila disebabkan oleh jin. Begitu juga sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ibn Kathir di dalam kitab tafsirnya, beliau menghuraikan maksud ayat tersebut dengan menyatakan bahawa mereka iaitu golongan yang mengambil riba tidak akan bangkit dari kubur mereka pada hari kiamat kecuali mereka bangkit dalam keadaan seperti orang yang kerasukan syaitan.




Selain itu, terdapat sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Shafiyah binti Huyai, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :

”Sesungguhnya syaitan mengalir didalam tubuh manusia seperti aliran darah.”

Berdasarkan hujah dan bukti yang disebutkan di dalam al-Quran dan al-hadith, jelas kepada kita bahawa golongan jin dan syaitan yang telah Allah tegaskan mereka ini merupakan musuh yang nyata bagi manusia, dapat memasuki atau merasuki tubuh manusia. Dalam kebanyakkan hadith lain, terdapat beberapa hadith yang menunjukkan bahawa baginda Nabi SAW berhadapan dengan mereka yang dirasuki jin dan syaitan. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Atha' bin Abi Rabah berkata Ibn Abbas RA telah berkata kepadaku yang bermaksud :

“Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab : “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata : “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi SAW bersabda : Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata : Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi : Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah. Maka Nabi berdoa untuknya”.

Demikian sebahagian dalil, bukti dan hujah yang menegaskan bahawa golongan jin dan syaitan boleh memasuki atau merasuki tubuh badan manusia. Namun begitu, terdapat sebahagian pandangan oleh Muktazilah seperti al-Jubai, Abu Bakr al-Razi yang dinukilkan dalam kitab Ahkam al-Marjan Fi Ahkam al-Jan, mereka menolak akan pandangan tersebut dengan mendakwa bahawa tidak logik atau mustahil satu jasad boleh berada di dalamnya dua roh atau dua entiti. Walau bagaimana pun, pandangan seperti ini nyata sekadar dakwaan yang dangkal memandangkan terdapat banyak dalil, hujah dan bukti dari al-Quran dan al-Sunnah yang memperlihatkan bahwa jin dan syaitan boleh memasuki tubuh badan manusia.




Selain itu, turut diperbincangkan oleh para ulama mengenai sebab atau punca jin dan syaitan memasuki tubuh badan manusia. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Daqaiq at-Tafsir, beliau menyatakan bahwa terdapat 3 sebab jin dan syaitan memasuki tubuh badan manusia. Antaranya yang pertama, disebabkan oleh jin dan syaitan menyukai atau mencintai orang tersebut. Maka dengan itu, jin dan syaitan memasuki tubuh manusia tersebut dengan tujuan untuk merasai kebersamaan bersamanya. Sebab kedua, ialah kerana manusia itu sendiri telah melakukan perbuatan yang mengganggu kehidupan jin dan syaitan. Misalnya seperti menjirus air panas ke lubang dimana tempat tersebut merupakan rumah kediaman jin dan syaitan. Akhir sekali, sebab yang ketiga adalah kerana untuk mempermainkan manusia.

Demikianlah sebahagian perbincangan yang menunjukkan betapa sebenarnya jin dan syaitan mampu atau boleh memasuki tubuh badan manusia. Berdasarkan hujah dari al-Quran dan al-Sunnah, cukup jelas membuktikan hal tersebut boleh berlaku. Bahkan terdapat banyak hadith Nabi yang menunjukkan bahawa Nabi merawat dan mengubati mereka yang dirasuki jin dan syaitan. Oleh itu, tidak hairanlah kita bagaimana Islam melalui lisan dan perbuatan baginda Nabi SAW mengajar kita beberapa bacaan zikir untuk memohon perlindungan Allah dari diganggu oleh makhluk terkutuk dan terlaknat ini. Zikir sebagaimana yang diajarkan oleh baginda Rasul merupakan amalan terpenting untuk dicontohi dan diikuti oleh umatnya. Semoga kita semua diampuni oleh Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan