Jumaat, 9 Ogos 2024

JESUS PADA KEFAHAMAN ISLAM DAN KRISTIAN

 

Pernahkah kita sedar bahawa bermula sejak beberapa tahun yang lalu, setiap kali memasuki hujung tahun, kita sering mendengar dan melihat suatu kempen yang disebut sebagai "Muslim Love Jesus" yang bertujuan untuk berdakwah dan mempromosikan Islam kepada orang bukan Islam. Kempen ini telah mula digerakkan oleh sebuah NGO dakwah terkenal iaitu Multiracial Reverted Muslims yang diketuai oleh seorang pendakwah aktif yang bernama Firdaus Wong. Sebahagian masyarakat yang mungkin kurang mendapat pendedahan berkaitan dakwah kepada bukan Islam barangkali beranggapan kempen ini seperti mahu menyamakan agama Islam dan Kristian. Malah mungkin tanpa pemakluman yang betul, usaha ini akan dilihat seperti mahu menghina dan memperendahkan Islam. Tetapi tahukah kita bahawa Jesus juga merupakan susuk tubuh yang disebut oleh Allah di dalam al-Quran.

Perkataan "Jesus" menurut mereka yang menganuti agama Kristian beranggapan Jesus merupakan Tuhan yang telah bertindak menyelamatkan umat Nabi Adam daripada menanggung dosa warisan. Menurut catatan oleh Ahmad Syalabi dalam kitabnya, Muqarah al-Adyan : Al-Masihiyyah, menyatakan bahawa agama Kristian memanggil baginda dengan panggilan Jesus Christ atau Son of God/God the Son, iaitu salah satu Tuhan dalam kepercayaan akidah trinity mereka. Dalam konsep akidah triniti, mereka percaya bahawa Tuhan satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Ertinya bagi mereka Tuhan Yang Satu itu ada tiga oknum atau tiga personality ; iaitu pertama, Tuhan Bapa/God of Father/Allah, kedua, Tuhan Anak/Son of God/God the Son, iaitu Jesus Christ, dan ketiganya Tuhan Ruh al-Quds atau The Holy Ghost, iaitu Malaikat Jibril. Namun begitu, penafsiran kepada semua ini berbalik kepada mazbah atau aliran perdana yang wujud dalam agama Kristian.




Ungkapan Jesus jika dilihat pada sudut bahasa sememangnya dirujuk kepada kepercayaan orang yang beragama Kristian. Namun begitu, terdapat beberapa kajian yang dibuat menunjukkan bahawa bukan semua penganut agama Kristian menyebutnya dengan sebutan Jesus. Misalnya, populasi Madagascar mengenali Jesus dengan menyebut Jesosy. Sebahagian etnik Slavik yang kebanyakkannya menetap di negara Rusia dan Ukraine, mereka menyebutnya dengan istilah Isus. Dalam beberapa kitab rujukan agama Kristian, telah dicatatkan bukti akan Jesus merupakan Tuhan. Ini sepertimana yang terdapat dalam bab “Aku akan menjadi Tuhannya” (Wahyu 21:7), “Aku memang Guru dan Tuhan” (Yohanes 13:13), “Akulah Tuhan yang pertama dan yang akhir”, dan "Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan” (Wahyu 21:6).

Hakikatnya, ungkapan Jesus telah disebutkan di dalam al-Quran dengan menamakannya sebagai Nabi Isa AS. Istilah Jesus ini telah datang kemudian setelah berlaku penyelewengan terhadap ajaran yang dibawa oleh baginda Nabi Isa AS. Selain itu, jika kita lihat terjemahan ayat al-Quran ke dalam bahasa Inggeris, seperti yang diterjemahkan oleh Abdullah Yusuf Ali, A.J. Arberry dan Marmaduke Pickthall, kesemua mereka ini menterjemahkan perkataan Nabi Isa sebagai Jesus di dalam bahasa Inggeris. Secara tidak langsung, ini bermaksud Jesus dan Nabi Isa itu adalah individu yang sama namun pemahaman yang berbeza menurut ajaran agama masing-masing. Allah menyebutkan di dalam al-Quran bahawa Nabi Isa AS merupakan hamba Allah dan bukannya anak Tuhan. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT di dalam Maryam ayat 88-93 yang bermaksud :

“Dan mereka berkata : “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.” Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar. Hampir-hampir langit pecah kerana ucapan itu, dan bumi belah, dan gunung-gunung runtuh, karena mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak. Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba”




Oleh itu, ungkapan Jesus bagi umat Islam membawa maksud Nabi Isa AS yang merupakan salah seorang Rasul yang bertanggungjawab berdakwah membawa kebenaran dan melawan kebatilan. Jesus yang juga merujuk kepada makna Nabi Isa AS bukanlah Tuhan atau anak Tuhan. Sebaliknya sebagai utusan Allah yang membawa risalah tauhid kepada Allah. Dalam ayat yang lain, Allah SWT telah menghukum mereka yang mengatakan Nabi Isa itu anak Tuhan sebagai kafir. Ini sepertimana firman Nya di dalam surah al-Maidah ayat 72-73 yang bermaksud :

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: “Sesungguhnya Allah ialah al-Masih putra Maryam”, padahal al-Masih (sendiri) berkata: “Hai Bani Isra’il, sembahlah Allah Tuhanku dan Tuhanmu.” Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya Syurga, dan tempatnya ialah Neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun. Sesungguhnya kafirlah orang-orang yang mengatakan: “Bahwasanya Allah salah seorang dari yang tiga”, padahal sekali-kali tidak ada Tuhan selain dari Tuhan Yang Esa. Jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, pasti orang-orang yang kafir di antara mereka akan ditimpa seksaan yang pedih”

Ungkapan Jesus dan Nabi Isa jika dilihat dari sudut linguistik, seolah-olah menunjukkan dua entiti ini adalah dua personaliti yang berbeza. Ini kerana perkataan Jesus berasal dari bahasa 'Ibrani atau Hebrew iaitu Yeshua. Perkataan Yeshua tersebut jika diterjemahkan ke dalam bahasa Arab ianya membawa maksud Yashua dan bukannya Nabi Isa. Namun dalam al-Quran tidak pula di dapati nama Yashua. Berdasarkan logiknya, tentu kita akan katakan Jesus yang berasal dari ungkapan Yeshua bukanlah Nabi Isa. Namun begitu, para sarjana Islam menolak akan logik tersebut yang seolah-olah mahu menafikan bahawa Jesus adalah Nabi Isa utusan Allah. Antara yang membidas akan hal ini ialah al-Azhari dalam kitabnya, Tahzib al-Lughah. Beliau menyatakan bahawa nama Nabi Isa adalah nama bukan Arab (a'jam) yang tidak mempunyai tasrif (morfologi) kerana ketiadaan ma’rifah dan bercampur antara nama ‘ajam dan adanya ma’rifah padanya. Nama Nabi ‘Isa adalah dialihbahasa daripada Aisu’ sebagaimana pandangan pakar bahasa Suryani (Syriac).




Melihat kepada penjelasan ini, maka jelas lagi bersuluh untuk kita katakan Jesus dan Nabi Isa merupakan satu entiti yang sama. Ini bermaksud Jesus yang dipercayai oleh agama Kristian adalah Nabi Isa AS. Dirinya bukan Tuhan ataupun anak Tuhan seperti yang telah didakwa oleh ajaran agama Kristian. Oleh sebab itu, tidak ada salahnya jika ungkapan "Muslim Love Jesus" diangkat sebagai tema berdakwah khususnya kepada mereka yang beragama Kristian. Ini kerana kedua-dua ajaran agama ini, sama ada Islam mahupun Kristian mengkagumi satu susuk tubuh yang sama walau berbeza pada cara fahamnya. Begitu juga jika kita ditanya adakah orang Islam menjadi pengikut Jesus ? Tentu jawabnya ya. Ini kerana sememangya orang Islam mempercayai bahawa akidah yang dibawa bermula daripada Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad, semuanya akidah yang sama. Kesemua para Rasul termasuk Nabi Isa yang disebut sebagai Jesus telah membawa ajaran tauhid yang sama iaitu mengEsakan Allah SWT. Bahkan tidak dianggap beriman sekiranya ada orang Islam yang tidak beriman kepada Nabi Isa kerana baginda juga antara para Rasul utusan Allah.

Demikianlah ungkapan Jesus yang difahami oleh agama Kristian dan Islam. Meskipun individu yang disebut sebagai Jesus itu merupakan Nabi Isa AS, ini tidak bermakna orang Islam boleh mengamalkan kepercayaan agama Kristian. Ini kerana kefahaman pada satu individu sama adalah berbeza jalannya. Islam tidak mengiktiraf Jesus sebagai Tuhan atau anak Tuhan. Tetapi Islam mengiktiraf Jesus sebagai Rasul utusan Allah yang membawa dakwah tauhid yang benar sebelum diselewengkan oleh Bani Israel. Oleh itu, sebagai orang Islam, kita juga wajib beriman kepada Nabi Isa yang juga merupakan antara rukun keimanan kita kepada Allah SWT. Dalam kerangka dakwah dan ilmiah, adalah sangat wajar jika istilah Jesus ini diangkat dalam wacana diskusi yang sihat untuk menjelaskan lagi kefahaman dan keyakinan orang Islam terhadap perkataan Jesus. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan