Tanpa perlu berkata apa-apa, hidup ini dengan sesungguhnya adalah
untuk dinikmati dan dihayati oleh mereka yang mahu menghargainya. Setiap detik
dan ketikanya hayat ini dinikmati, akan tercatat padanya memori indah dan
gundah. Terakam baginya kenangan suka dan duka. Kadang kita tersenyum sampai ke
telinga, adakalanya ketawa hingga berdekah-dekah bunyinya, dan ada pula waktu
dan masanya kita menangis hingga menjadi dukalara. Begitulah kehidupan ini yang
dipenuhi warna-warni coraknya. Walau apa pun warna dan coraknya yang telah dan
akan kita lakarkan, umat manusia sejak dahulu lagi telah mencari dan menerokai
makna sebenar tujuan hidup yang sedang dinikmati ini.
Anugerah akal yang menjadi antara keunikan yang ada pada diri
manusia telah mendorong umat manusia untuk berfikir dan mencari jawapan tentang
soal tujuan kehidupan. Persoalan tentang tujuan hidup ini telah lama dibahaskan
dan diperkatakan oleh ramai para pengkaji termasuk mereka yang bergelar ahli
falsafah dan ahli agama sejak zaman Socrates lagi. Umumnya, kesemua mereka ini
telah mengemukakan jawapan yang hampir sama. Apa yang boleh disimpulkan,
dikalangan mereka semua berpendapat bahawa tujuan atau matlamat hidup ini
adalah untuk mencapai eudaimonia atau disebut sebagai kebahagiaan. Namun
begitu, sungguh pun dikalangan mereka bersepakat akan tujuan hidup tersebut,
namun bagi mencapai tujuan kebahagiaan itu, mereka berbeza tentang kaedah atau
metodologinya.
Ini sebagaimana pada sudut ahli falsafah, mereka berpandangan
bahawa kehidupan yang baik yang boleh mencapai kebahagiaan adalah dengan
melalui pemeriksaan yang teliti pada setiap idea dan tindakan yang dilakukan
oleh manusia. Ringkasnya, bagi mereka, good life is an examined life, iaitu
kehidupan yang bagus adalah berdasarkan penelitian pada sesuatu tindakan dan
idea tersebut. Ini bermaksud sekiranya idea dan tindakan tersebut diteliti dan
dilihat mampu mencapai bahagia, maka idea dan tindakan itu dianggap sebagai
kaedah yang tepat. Bagi golongan ahli agama pula, mereka berpandangan bahwa
kebahagiaan hidup adalah kehidupan yang boleh mendatangkan rasa bahagia pada
kehidupan rohani. Berdasarkan lontaran pandangan ini, maka boleh kita katakan
bahwa persoalan mengenai tujuan hidup dapat juga dikaitkan dengan persoalan
mengapa kita berada di dalam jasad ini. Ini kerana kedua-dua persoalan ini
menuntut kepada respon dan jawapan yang sama.
Dalam kerangka persoalan yang lebih luas, seorang ahli falsafah
terkemuka, Abraham H. Maslow dalam penulisannya yang bertajuk Motivation And
Personality, beliau telah mengemukakan sebuah teori yang dikenali sebagai Teori
Maslow. Dalam teori tersebut, beliau menjelaskan bahawa bagi mencari
jawapan kepada tujuan hidup ini, manusia memerlukan kepada lima keperluan asas
dalam hierarki (susunan) yang mempengaruhi tingkah laku seseorang manusia. Lima
asas hierarki tersebut bermula dengan keperluan fisiologi yang merangkumi
makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal. Keperluan kedua, disebut sebagai
keperluan keselamatan yang melibatkan soal kesihatan dan pekerjaan. Ketiga
adalah keperluan kasih sayang dan kepunyaan, seterusnya keperluan nilai dan
harga diri dan yang terakhir keperluan pencapaian diri. Bagi Abraham,
kelima-lima keperluan tersebut akan mempengaruhi tingkah laku manusia. Apabila
kesemua keperluan asas ini dipenuhi, biasanya manusia akan mulai memikirkan
akan tujuan hidupnya.
Selain itu, wacana mengenai persoalan tujuan kehidupan ini juga
dapat dilihat melalui kerangka idea dan pemikiran oleh Martin Heidegger yang
menjelaskan mengenai keberadaan dan kesedaran manusia berdasarkan paradigma
falsafah fenomenologi. Pada beliau, kedua-dua terma iaitu keberadaan dan
kesedaran ini saling bertaut rapat dengan beberapa konsep seperti dasein-selv
dan existense-essence. Konsep fenomenologi adalah merupakan satu pendekatan
yang mampu diambil untuk memahami sesuatu realiti sosial yang sudah pasti
menjadi asas kepada pengalaman manusia. Dalam metodologi ini, ianya mendesak
kita untuk meninjau semula pengalaman secara individu bagi mencari maksud
tujuan sesebuah kehidupan. Melalui tinjauan pengalaman hidup orang perseorangan
atau disebut sebagai individual, maka disana mungkin boleh dicapai makna dan
tujuan kehidupan ini. Ini sekaligus menjelaskan kepada kita bahwa jawapan
kepada tujuan hidup tersebut adalah terbina diatas pengalaman yang dilalui.
Maka lain individu, lain pula lah jawapannya dalam memaknai tujuan kehidupan
tersebut.
Sementara itu, anak murid kepada Plato, iaitu Aristotle pula ketika
berbicara soal apakah tujuan atau matlamat sesebuah kehidupan, beliau melalui
karyanya, Nicomachean Ethics, menjelaskan bahawa manusia perlulah
terlebih dahulu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan pengetahuan atau ilmu
yang ada di alam ini. Pada pemahaman dan penelitian beliau, ilmu terbahagi
kepada dua jenis. Pertama, ilmu intelektual yang boleh diakses atau diperolehi
melalui pembelajaran di dalam kelas. Jenis kedua, ilmu akhlak atau disebut
sebagai pembinaan watak. Ilmu jenis kedua ini tidak dapat diakses dan
diperolehi melainkan melalui amalan harian yang berterusan. Bagi beliau lagi,
matlamat hidup ini ialah untuk mendapatkan seberapa banyak ilmu bagi membina
watak yang terpuji. Ini kerana keperluan membina watak terpuji bersesuaian
dengan kejadian fitrah manusia yang tidak sama dengan makhluk lain yang tidak
diberi tanggungjawab untuk membinanya kecuali umat manusia. Ini bermakna,
tujuan hidup boleh dicapai maknanya melalui keberhasilan kita dalam menjadi
manusia yang terpuji.
Pada pandangan lain, seperti yang telah diperkatakan oleh seorang
tokoh falsafah barat terkenal, Immanuel Kant, beliau menjelaskan dalam bukunya
yang bertajuk Groundwork The Metaphysics of Morals, bahawa matlamat
hidup manusia diatas muka bumi ini adalah untuk memikirkan apakah nilai-nilai
yang terpuji yang boleh diterima oleh manusia seluruh dunia supaya ianya dapat
menjadi amalan manusia secara keseluruhan tanpa mengira tempat, masa, identiti
bangsa dan gender. Pandangan ini terbina oleh Kant berdasarkan kepada
pemahamannya yang berpegang kepada sintesis paradigma falsafah rasionalisme.
Corak fikir sebegini juga turut didukung oleh beberapa tokoh falsafah hebat
yang lain seperti Descartes, Locke dan Hume. Melalui gagasan falsafah ini, Kant
percaya bahwa adanya peraturan alami yang semesta tentang nilai baik dan buruk
sesuatu perbuatan. Sebagai contoh, perbuatan mencuri dan membunuh adalah nilai
keji yang mempunyai ciri-ciri kesejagatan yang diterima oleh semua masyarakat
sebagai sesuatu tindakan yang dilarang dan ditegah. Maka padanya, tujuan hidup
adalah untuk manusia memikirkan nilai antara baik dan terpuji merentasi segala
rencam perbezaan.
Demikianlah beberapa paradigma yang digagaskan oleh manusia yang
menggunakan akal fikirannya bagi mencari dan memaknai tujuan serta matlamat
kepada sesebuah kehidupan. Kepelbagaian paradigma pemikiran manusia ini
membuktikan bahawa betapa terbatasnya akal manusia untuk menerokai makna kepada
sebuah tujuan kehidupan. Perbahasan mengenai hal ini tentunya tiada noktahnya
selagi masih ada manusia yang mahu memikirkannya. Dalam ajaran Islam, matlamat
utama dalam kehidupan ini ialah untuk mencari keredhaan Allah melalui cara
melaksanakan segala titah suruhan Nya dan meninggalkan serta menjauhi segala
titah larangan Nya. Ini kerana bagi kepercayaan dan keyakinan orang Islam,
kehidupan di dunia ini bukanlah bersifat mutlak. Oleh itu, dunia merupakan
pentas untuk umat manusia berpenat lelah dalam melakukan kebaikan demi
menggapai keredhaan Nya untuk sebagai jaminan juga keselamatan hidup di negeri
akhirat. Bagi tujuan melakukan kebaikan tersebut, maka Allah telah mengutuskan
kekasih Nya, Muhammad SAW sebagai utusan membawa umat ke jalan yang diredhai
Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan