Dunia yang dihidangkan kepada kita ini merupakan suatu persinggahan
sebelum kita berangkat menuju ke alam dunia yang kekal abadi selamanya. Segala
amal buat kita baik berbentuk kebaikan mahupun berupa kejahatan, kesemuanya
pasti akan dihitung oleh Allah. Meski amal buat tersebut sebesar-besarnya
ataupun sekecil-kecilnya, semua itu pasti tidak akan terlepas dari
kebertanggungjawaban kita kelak di hadapan Allah. Oleh kerana itu, segala
kenikmatan dan kelazatan di dunia berupa pangkat, kedudukan, rupa paras,
keturunan dan selainnya adalah berupa pinjaman Allah yang tidak kekal bersama.
Sekalipun mungkin kita telah merasai kemuncak nikmat kelazatan hidup di dunia
ini, tidak dapat sesekali menandingi kemuncak nikmat di syurga, tempat
sebaik-baik ganjaran.
Semua nikmat kelazatan yang dirasai di dunia ini diberikan dan
dikurniakan oleh Allah, Tuhan yang telah menguasai segala sesuatu di langit
mahupun di bumi. Tiada kuasa lain yang dapat memberikan kebaikan atau keburukan
melainkan dengan keizinan dari Nya. Persoalan yang timbul, apakah kita sebagai
makhluk Nya yang berupa manusia boleh melihat Allah, Tuhan yang kita agungkan
dan sucikan daripada sebarang penyembahan melainkan hanya pada Nya ini ? Bagi
menjawab persoalan ini, kita perlulah melihat dalam kerangka sudut wahyu Nya
iaitulah al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana, melihat Allah termasuklah dalam
perkara-perkara sam'iyyat yakni perkara ghaib yang tidak dapat dicapai oleh
akal dan pancaindera.
Sesungguhnya di akhirat kelak, kemuncak kepada segala nikmat yang
terbesar ialah nikmat dapat melihat wajah Allah SWT di dalam syurga. Hal ini
sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim,
daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Ketahuilah, bahawa tiada seorang pun dari kalian yang akan melihat
Tuhannya sehinggalah setelah dia meninggal dunia.”
Berdasarkan hadith ini, Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dalam
kitabnya, Ihya' Ulumuddin, telah menjelaskan bahawa nikmat yang terbesar
melihat Allah merupakan sebesar-besar kelazatan yang akan menyebabkan sekalian
ahli syurga melupai nikmat-nikmat yang lainnya. Demikian apa yang telah
disebutkan. Ini juga secara tidak langsung menunjukkan kepada kita bahawa
sesungguhnya para hamba Nya dikalangan umat manusia boleh melihat wajah Allah
ketika di alam akhirat. Sama sekali tidak akan dapat melihat Nya di alam dunia
yang akan hancur lebur ini. Maka secara ringkas, ketika berada di dunia, tiada
sesiapa pun yang dapat melihat wajah Allah. Pun begitu, di dalam al-Quran,
Allah SWT merakamkan kisah Nabi Musa AS yang telah pengsan sebelum melihat
wajah Allah di Gunung Sinai.
Peristiwa tersebut dirakamkan oleh Allah di dalam al-Quran menerusi
surah al-'Araf ayat 143. Firman Allah SWT yang bermaksud :
"...Maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata : "Wahai
Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat
melihatMu". Allah berfirman : "Engkau tidak sekali-kali akan sanggup
melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di
tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu", Setelah Tuhannya
"Tajalla" (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka)
"TajalliNya" menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun
jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia : "Maha Suci Engkau
(wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman
(pada zamanku)"
Selain itu, adapun kisah yang menyebutkan bahawa baginda Nabi
Muhammad SAW melihat Allah ketika peristiwa Israk dan Mikraj, para ulama
berbeza pandangan mengenainya dan tiada kepastian. Walau apapun kisahnya,
berdasarkan apa yang dinukilkan ini, jelas kepada kita bahawa tiada sesiapa pun
yang mampu melihat wajah Allah melainkan janji Allah ketika di alam akhirat
yakni di syurga kelak. Selain itu, dalam persoalan melihat Allah di akhirat
kelak, timbul polimik dikalangan umat Islam yang muncul dengan kelompok
tertentu, dengan menyatakan bantahan dan penolakkan terhadap kemampuan seorang
manusia melihat Allah di syurga kelak. Polimik isu ini memperlihatkan kepada
kita sekurang-kurangnya dua pendirian yang berbeza melibatkan dua kumpulan
terbesar dalam perbahasan akidah dan pemikiran umat Islam.
Kumpulan pertama, merupakan golongan Muktazilah, Khawarij,
Jahmiyyah dan Murji'ah. Bagi golongan ini, mereka menafikan akan kemampuan para
hamba Allah untuk melihat Nya pada hari akhirat kelak. Penafian dan penolakkan
mereka ini berpandukan firman Allah SWT. Antara lainnya di dalam surah al-An'am
ayat 103. Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata,
sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata), dan
Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan), lagi
Maha Mendalam pengetahuanNya".
Berdasarkan ayat tersebut, tokoh terkemuka kumpulan Muktazilah,
Qadhi Abdul Jabbar menyebutkan di dalam kitabnya, Syarah Usul al-Khamsah,
menjelaskan bahawa Allah menafikan al-idrak (pencapaian) dengan
penglihatan mata, ini menunjukkan bahawa Allah tidak boleh dilihat oleh
pandangan mata bila-bila masa pun dan di mana jua pun juga. Tambahan lagi,
menurut kumpulan Mu’tazillah, ayat tersebut juga digunakan dalam konteks al-madh
(pujian) kepada Allah, bahawa Allah tidak boleh dilihat dengan mata. Sekiranya
dikatakan bahawa Allah boleh dilihat, maka akan berlawanan dengan konteks ayat
itu sehingga tidak ada makna dari pujian itu. Selain itu, turut menjadi hujah
oleh kumpulan Muktazilah juga sabit dari peristiwa Nabi Musa AS pengsan sebelum
melihat Allah. Bagi mereka, setelah Nabi Musa sedar dari pengsan dan bertasbih
kepada Allah, membuktikan bahawa sifat kekurangan manusia di dunia lagi, tidak
mampu melihat Allah.
Dalam pada itu, kumpulan kedua ialah golongan Ahlussunnah wal
Jamaah yang telah bersepakat menyatakan bahawa melihat Allah SWT di syurga
adalah sesuatu yang tidak mustahil dari sudut akal dan wajib pula memahaminya
melalui dalil atau pembuktian bersifat sam'iy. Sebagaimana yang dinukilkan oleh
Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah dalam kitabnya, Majmu' al-Fatawa,
beliau menjelaskan bahawa para ulama Ahlussunnah wal Jamaah juga bersepakat
dengan berpandangan bahawa orang-orang beriman akan dapat melihat Allah di
akhirat kelak. Adapun pandangan sebahagian golongan Muktazilah, Khawarij,
Jahmiyyah dan Murji'ah yang mengatakan bahwa Allah SWT tidak boleh dilihat di
syurga, dakwaan tersebut adalah batil, bercanggah dengan dalil al-Quran dan
al-Sunnah serta ijmak (kesepakatan) para sahabat RA dan para salafussoleh.
Dalam hal ini, terdapat banyak dalil atau bukti dari al-Quran dan
al-Sunnah yang menunjukkan bahawa di syurga kelak, manusia boleh melihat Allah.
Antara lainnya sepertimana firman Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Qiyamah
22-23 yang bermaksud :
"Wajah-wajah (orang-orang beriman) pada hari itu berseri-seri.
Kepada Rabb-nya mereka melihat.. "
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, ayat ini mejelaskan
maksudnya iaitu mereka melihat Allah dengan mata kepala mereka sendiri,
Demikian yang dinyatakan tersebut. Selain itu dalam ayat lain. Allah SWT berfirman
dalam surah Yunus ayat 26 yang bermaksud :
"Bagi orang-orang yang berbuat baik, ada pahala yang terbaik
(surga) dan tambahannya".
Dalam memahami ayat ini, Syaikh Shalih Al Fauzan menyebut dalam
kitabnya, Syarh Al Aqidah Al Wasithiyah, beliau menjelaskan maksud
ziyadah (tambahan dari pahala yang terbaik) dalam ayat di atas ialah melihat
wajah Allah, sebagaimana tafsir yang dikemukakan oleh Rasulullah SAW tentangnya
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda baginda Nabi SAW yang
bermaksud :
"Sesungguhnya kalian akan melihat Rabb kalian sebagaimana
kalian melihat bulan ini (dalam permulaan hadith, diceritakan ; waktu itu Nabi
SAW sedang melihat bulan yang tengah purnama). Kalian kalian tidak akan ditimpa
kesulitan dalam melihatNya. Oleh kerana itu, jika kalian mampu, untuk tidak
mengabaikan solat sebelum terbit matahari (Subuh) dan solat sebelum terbenam
matahari (Asar), maka kerjakanlah".
Demikianlah pemahaman yang lurus menurut Ahlussunah wal Jamaah
berkaitan kemampuan manusia melihat Allah. Secara rumusannya, dapat kita fahami
bahawa perbuatan melihat Allah adalah termasuk dalam perkara ghaib yang tidak
dapat dicapai oleh akal serta tidak dapat disentuh dan dirasai oleh
pancaindera. Oleh itu, perkara ini perlulah merujuk kepada sumber autentik,
wahyu Allah, al-Quran dan al-Sunnah. Selain itu, jelas sudah bagi kita bahawa
ketika di dunia, tiada sesiapa pun yang dapat melihat wajah Allah. Namun
begitu, berdasarkan wahyu Allah dan pemahaman yang dipegang oleh para
Ahlussunnah wal Jamaah, manusia akan dapat melihat wajah Allah di syurga kelak
dan itulah sebesar-besar nikmat. Adapun pandangan lain yang dibahas oleh
golongan Muktazilah dan selainnya, tidak lebih dari sekadar dakwaan batil lagi
bercanggah dengan wahyu Allah. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan