Perkahwinan atau pernikahan boleh dianggap sebagai suatu ikat janji
bersifat kontrak antara dua pihak yang saling berkasih sayang antara satu sama
lain. Kerana itu, di dalam Islam, dua pihak yang saling mencintai ini disatukan
dalam majlis akad nikah yang padanya terkandung lafaz ijab dan qabul. Perkataan
akad itu sendiri membawa makna ikatan. Oleh itu, sesebuah perkahwinan yang
dibina tentunya membawa kepada tujuan untuk menjaga dan memelihara keturunan
daripada melakukan perkara yang ditegah oleh agama. Melalui perkahwinan yang
sah, bermakna suami dan isteri telah memeterai perjanjian dan memberikan komitmen
jitu untuk membina kehidupan yang bahagia, tenang dan saling berkasih-sayang.
Dalam pada berusaha mahu mendirikan perkahwinan, terdapat peraturan
yang wajib dipatuhi sebelum berkahwin yang dinamakan sebagai rukun nikah. Rukun
nikah merujuk kepada maksud perkara yang wajib ada semasa berkahwin. Ini
termasuklah antaranya pengantin lelaki (suami), pengantin perempuan (isteri),
wali, dua orang saksi dan lafaz ijab qabul. Dalam hal ini, Islam sangat
mementingkan kewalian bagi pihak perempuan sebagai menandakan restu dan
redhanya sebagai penjaga kepada perempuan yang akan dikahwinkan. Perkataan "Wali"
itu sendiri berasal dari bahasa Arab yang membawa maksud penguasa, pemimpin,
penyayang dan menolong. Ini bermakna ungkapan wali dalam perkahwinan boleh
difahami sebagai orang yang mengurus, memelihara atau bertanggungjawab dalam
sesebuah perkahwinan.
Pada sudut istilah pula, terdapat beberapa definisi yang diutarakan
oleh para sarjana Islam. Antaranya ialah Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam
kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, beliau menyatakan bahawa wali
bermaksud kuasa yang membolehkan seseorang untuk melakukan akad atau
membelanjakan harta tanpa keizinan orang lain. Menurut Sayyid Sabiq pula dalam
kitabnya, Fiqh al-Sunnah, beliau menjelaskan bahawa perwalian bermaksud
suatu hak menurut syarak yang berkuasa melaksanakan perintah atas orang lain
dengan paksa. Berdasarkan kepada beberapa definisi tersebut, dapat simpulkan
bahwa wali dalam perkahwinan ialah merujuk kepada seseorang yang memiliki kuasa
menurut syarak dan bertanggungjawab dalam menjaga dan memelihara hartanya iaitu
anak perempuannya. Maka bagi tiap-tiap orang perempuan itu pastinya memiliki
wali. Berbanding dengan lelaki, padanya tidak memerlukan wali untuk berkahwin.
Selain itu, berhubung dengan hukum keperluan wali dalam
perkahwinan, para sarjana Islam telah berbeza pandangan mengenainya. Menurut
Mazhab Hanafi seperti yang dinukilkan oleh Imam Abi Bakr as-Sarkhasi dalam
kitabnya, al-Mabsut, wali adalah wajib bagi perkahwinan kanak-kanak dan
orang gila sama ada lelaki atau perempuan meskipun mereka ini sudah dewasa.
Bagi perempuan yang sudah baligh dan berakal, sama ada dirinya berstatus anak
dara atau janda, maka tiada sesiapa pun yang berhak mewalikannya. Ini
berdasarkan hujah mereka di dalam surah al-Baqarah ayat 232 yang bermaksud :
“Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa
idah mereka, maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka
daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki
dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang
dibenarkan oleh syarak). Demikianlah diberikan ingatan dan pengajaran dengan
itu kepada sesiapa antara kamu yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang
demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah
mengetahui (akan apa jua yang baik untuk kamu) sedang kamu tidak
mengetahuinya.”
Berdasarkan ayat tersebut, mereka berpandangan bahawa perempuan
mempunyai kelayakan yang sempurna untuk menguruskan hartanya seperti jual beli,
gadaian dan sebagainya, maka, dengan sendirinya dia juga berkelayakan
sepenuhnya untuk mengahwinkan dirinya sendiri. Selain itu, Imam Malik dalam
kitabnya, al-Mudawwanat al-Kubra, beliau menyatakan bahawa tidak sah
sebarang perkahwinan itu tanpa adanya wali. Ini berdasarkan kepada sebuah
hadith riwayat Tirmizi, daripada 'Aisyah Ranh, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Tidak halal (sah) nikah melainkan dengan wali, mahar dan dua orang
saksi yang adil.”
Pandangan ini turut disokong dan dipersetujui oleh anak muridnya,
Imam al-Syafi'e. Beliau menyatakan dalam kitabnya, al-Umm, sekiranya
seseorang perempuan itu menikahkan dirinya sendiri, maka pernikahan itu adalah
terbatal. Pandangan yang sama juga turut disokong oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Bahkan menurut Ibnu Hazm dalam kitabnya, al-Muhalla, menyatakan bahawa
tidak sah seseorang itu sama ada masih anak dara atau tidak, untuk mengahwinkan
dirinya sendiri kecuali dengan izin daripada walinya. Beliau menyatakan hal
tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 32 yang bermaksud
:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan)
daripada kalangan kamu, dan orang-orang yang salih daripada kalangan hamba
kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan
kepada mereka daripada limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan
limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”
Melihat kepada pandangan yang dikemukakan, majoriti para sarjana
Islam dalam ini bersepakat akan hukum wajib adanya kewalian dalam sesebuah
perkahwinan. Selain itu, antara tujuan hukum wajib adanya wali ini juga untuk
menjaga hubungan pertalian darah antara anak, bapa dan seisi keluarga.
Sekaligus bermaksud apabila kita bersetuju untuk menikahi seseorang, kita juga
secara tidak langsung telah bersetuju untuk menerima semua ahli keluarga
pasangan. Keadaan ini tentunya lebih mendatangkan kebahagiaan, kasih sayang dan
ketenangan seperti yang menjadi tujuan dalam sesebuah perkahwinan. Namun
begitu, terdapat pihak yang cuba menafikan kewalian bagi orang perempuan
dibawah nama perjuangan hak asasi manusia. Ini boleh dilihat dalam makalah yang
dikeluarkan dalam Convention on the Elimination of Discrimination Against
Women (CEDAW), pada artikel 16 disebutkan bahawa dituntut agar tidak
berlaku diskriminasi perkahwinan terhadap kaum perempuan yang tidak bebas
mengahwini sendiri tanpa wali. Hal ini harus diteliti dengan cermat agar kita
tidak membelakangkan syariat.
Dalam pada itu, persoalannya ialah siapakah wali. Menurut garis
panduan Islam, seseorang wali itu haruslah memenuhi 6 syarat dan kriteria yang
diletakkan. Antara syarat menjadi wali ialah pertama, mestilah beragama Islam,
ini bermakna orang bukan Islam tidak boleh menjadi wali kepada anak
perempuannya yang beragama Islam. Kedua, mestilah baligh, ini bermakna
kanak-kanak tidak layak. Syarat ketiga, mestilah berakal, maka orang gila tidak
layak dan tidak boleh menjadi wali. Selain itu yang keempat, seseorang wali itu
mestilah seorang lelaki. Orang perempuan tidak boleh menjadi wali. Kelima, wali
tersebut mestilah seorang yang merdeka, maka seorang hamba tidak layak baginya
menjadi wali. Terakhir, seorang wali mestilah dikalangan orang yang adil.
Demikianlah syarat yang wajib dipenuhi sebagai seorang wali.
Selain itu, kewalian dalam perkahwinan juga terbahagi kepada
beberapa kategori antaranya pertama, kategori Wali Nasab
(Mujbir/Aqrab/Ab'ad). Kategori pertama ini merujuk kepada mereka yang sangat
dekat dan rapat dengan bakal pengantin perempuan tersebut. Wali Mujbir ialah
panggilan yang khusus buat wali seperti bapa atau datuk sebelah bapa dan ke
atas. Wali Aqrab pula wali yang paling dekat hubungannya dengan bakal pengantin
perempuan mengikut susunan wali. Wali Ab'ad pula adalah wali yang jauh
hubungannya dengan bakal pengantin perempuan mengikut susunan wali contohnya
datuk saudara atau moyang saudara. Kategori kedua disebut sebagai Wali
Raja/Sultan/Hakim/Am. Kategori wali tersebut merujuk kepada
wali yang ditauliahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong atau DYMM Sultan atau Raja
untuk mengahwinkan perempuan yang tidak mempunyai wali nasab, wali ghaib atau
walinya tidak mahu mengahwinkannya tanpa apa-apa sebab yang munasabah mengikut
hukum syarak. Kategori ketiga ialah Wali Tahkim. Ini merujuk kepada
perempuan yang tiada wali Nasab dan tiada wali Raja.
Demikianlah apa yang boleh disebutkan berkenaan kewalian dalam
perkahwinan. Sesungguhnya kewalian ini merupakan suatu tanda kemuliaan Allah
kepada kaum perempuan. Setiap mereka yang bergelar perempuan, sentiasa
diberikan penjaga, pendamping atau pelindung bagi tiap-tiap urusannya. Setelah
berkahwin, pelindung kepada mereka telah beralih kuasa dan peranannya kepada si
suami pula. Begitulah tanda-tanda kekuasaan Allah yang telah menjadikan
perempuan ini sentiasa diberi hak pelindungan dan penjagaan. Meskipun ada
cubaan beberapa pihak untuk menafikan hak kewalian dalam perkahwinan melalui
perjuangan hak asasi manusia, namun hak syariat Allah lebih tinggi dan mustahak
untuk dilaksanakan. Pastinya segala aturan Allah itu ada hikmah dan pengajarannya.
Tidak ada satu pun hal yang disyariatkan untuk membebankan hamba Nya kecuali
kita sendiri yang menyempitkannya. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan