Ahad, 4 Ogos 2024

AMALAN PERBOMOHAN & PANDUAN ISLAM

 

Berusaha atau berikhtiar adalah merupakan perkara yang sangat dituntut oleh Islam. Di dalam al-Quran, Allah menegaskan bahawa nasib sesuatu kaum itu tidak akan berubah sehingga mereka sendiri yang berusaha untuk berubah. Ini bermakna pertolongan Allah akan datang kepada para hamba Nya yang benar-benar berusaha dan setelah itu berserah pada Nya. Jika sekadar duduk dan tidak berbuat apa, hanya menghitung nasib tanpa melakukan apa-apa usaha, mana mungkin bantuan dan pertolongan Allah datang menyapa. Pun begitu, jika Allah berkehendak untuk membantunya, maka tiada siapa yang dapat menghalangnya. Secara sunnatullah, menjadi ketetapan dalam hidup ini, kita akan beroleh diatas apa yang kita usahakan. Jika hidup sering bermalasan, bagaimana boleh untuk mengubah nasib hidup. Begitulah sebaliknya.

Perbomohan yang dikenali juga sebagai dukun atau pawang, sangat sinonim dalam kehidupan masyarakat khususnya di alam nusantara ini. Perkataan "Bomoh" menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, membawa maksud merujuk kepada seseorang yang mengubati pesakit dengan menggunakan ubat tradisional atau menggunakan jampi untuk mengubati penyakit tersebut. Berdasarkan definisi tersebut, maksud bomoh, dukun atau pawang ini boleh dilihat dalam dua perspektif. Pertama, perbomohan yang menggunakan ubat tradisional seperti bomoh patah yang mahir dalam mengurut, bomoh ubat herba yang pakar dalam bab khasiat herba dan seumpamanya. Manakala yang kedua, bomoh juga difahami sebagai mereka yang menggunakan kaedah jampi atau disebut sebagai ruqyah. Maka pemahaman maksud bomoh ini adalah bergantung kepada pengamalannya dan bukan sekadar nama semata-mata. Ini kerana ada bomoh yang benar-benar mahir merawat menggunakan kaedah tradisional dan ada pula bomoh yang menggunakan khidmat dan bantuan jin dan syaitan.




Secara umum, golongan bomoh yang mempunyai kepakaran menggunakan kaedah rawatan tradisional seperti melakukan teknik mengurut, mengguna pakai ramuan herba dan seumpamanya adalah harus hukumnya. Perkara itu tidak berdosa selagimana tidak mendatangkan kezaliman atau kemudaratan kepada mereka yang dirawat. Begitu juga bagi mereka yang melakukan rawatan yang disebut sebagai perawat Islam, yang menggunakan jampi berlandaskan ayat-ayat al-Quran dan sunnah Nabi. Merawat atau mengubati pesakit dengan cara ruqyah atau jampi yang syar'ie (ayat-ayat al-Quran dan sunnah), adalah harus hukumnya. Bahkan perbuatan menjampi dengan tujuan merawat pernah diajarkan oleh baginda Nabi SAW. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Uthman bin Abi al-Ash yang pernah mengadu kepada Rasulullah SAW perihal sakit yang ada pada jasadnya semenjak dia memeluk Islam. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: "letakkan tanganmu di tempat sakit kemudian baca: “Dengan nama Allah”. (3x). Dan baca: “Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan/keburukan yang aku dapati dan aku takuti”. (7x)"

Dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, diceritakan bahawa sekumpulan para sahabat bermusafir. Lalu mereka singgah di satu kawasan kabilah Arab. Mereka memohon untuk diterima sebagai tetamu. Malangnya, mereka ditolak. Tiba-tiba ketua kabilah tersebut disengat binatang berbisa. Kabilah tersebut cuba mengubatinya, tetapi gagal. Lalu mereka mencadang supaya pergi mendapatkan bantuan para sahabat yang mereka tolak sebagai tetamu tadi. Salah seorang dari kalangan sahabat Nabi SAW tersebut telah sudi menjampi dengan mensyaratkan upah. Mereka bersetuju. Beliau membaca surah al-Fatihah. Lalu ketua kabilah itu sembuh. Para sahabat ragu-ragu dengan upah yang mereka dapat. Lantas mereka menemui Rasulullah dan bertanya baginda. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tahukah kamu bahawa ia (surah al-Fatihah) merupakan jampi”. Kemudian baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya (perbuatan jampi) kamu betul. Bahagikanlah (upah tersebut). Jadikan satu bahagian untukku”. Lalu, Rasulullah SAW ketawa".

Berdasarkan daripada kisah ini, jelas perbuatan menjampi yang dilakukan oleh para sahabat tidak dibantah oleh Nabi bahkan dibenarkan. Malah melalui hadith ini juga, ianya menjadi bukti bahawa tidaklah salah untuk meminta upah hasil menjampi tersebut. Demikianlah sebahagian bukti keharusan merawat dengan kaedah jampi yang dibenarkan oleh syarak. Namun sebaliknya, Islam sangat melarang umatnya daripada bertemu dan mendapatkan khidmat bomoh yang menggunakan khidmat jin dan syaitan bagi menyelesaikan masalah. Hukumnya adalah haram. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Safiah isteri baginda Nabi, sabda baginda SAW yang bermaksud :

”Sesiapa yang pergi berjumpa tukang tilik lalu dia meminta kepadanya sesuatu, maka solatnya tidak diterima selama 40 malam"

Melihat kepada hadith tersebut, jelas kepada kita bahawa sekiranya berjumpa dengan tukang tilik, bomoh, pawang atau seangkatan dengannya, Allah SWT membenci dan murka akan perkara tersebut. Disebabkan kemurkaan Allah tersebut, Allah tidak akan menerima amalan solatnya selama 40 malam. Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarh al-Nawawi 'ala Muslim, beliu menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan Allah tidak menerima solatnya selama 40 malam adalah solat yang dilakukannya tidak mendapat ganjaran pahala. Demikian menunjukkan betapa Allah sangat benci akan perbuatan bertemu bomoh tersebut. Selain itu, dalam hadith lain, menyatakan bahawa sekiranya bertemu dengan bomoh atau seangkatannya, lalu mempercayainya pula dengan apa yang dikatakan oleh bomoh tersebut, maka sesungguhnya orang tersebut telah mengingkari dengan apa yang dibawakan oleh baginda Rasul.




Ini sepertimana dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

”Sesiapa yang datang berjumpa dengan dukun atau tukang tilik lalu dia membenarkan apa yang dikatakan olehnya. Sesungguhnya dia telah mengingkari dengan apa yang telah diturunkan kepada Muhammad SAW.”

Ketika mensyarahkan hadith tersebut, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari, menyatakan bahawa lafaz-lafaz ini jelas menunjukkan ancaman bagi yang datang berjumpa dengan dukun dan sebagainya. Demikian komentarnya menunjukkan ketegasan ancaman bertemu dan percaya kepada bomoh, dukun, pawang dan seangkatan dengannya. Lebih berbahaya lagi, apabila realiti hari ini memperlihatkan kelicikan para bomoh ini yang mengaburi mata masyarakat dengan perwatakan agama seperti memakain cincin, memakai serban, kopiah, berjubah dan selainnya. Walhal, perwatakan luaran bukanlah penentu kepada benar atau salah. Tetapi yang menentukan benar atau salah tersebut ialah kaedah yang digunakan. Sekalipun berjubah atau berserban, namun menjampi dengan ayat-ayat mantera, memuja, menyeru jin dan syaitan, menggunakan khidmat syaitan, ianya tetap haram hukumnya.

Oleh yang demikian, kita seharusnya menjadi lebih bijak dalam menggunakan perkhidmatan perubatan yang disebut sebagai perbomohan ini. Masyarakat perlu sentiasa diingatkan agar berwaspada selalu bagi mengelak daripada ditipu, dibohongi dan diperdaya oleh mereka yang menjalankan aktiviti perbomohan dengan menunggang nama agama. Betapa banyaknya hari ini seperti tumbuhnya cendawan, para bomoh yang karut ini sudah tidak lagi secara bersembunyi mempromosikan khidmat mereka malah semakin berani menampilkan diri di khalayak awam. Mempromosikan rawatan dengan mengaburi mata orang awam melalui perwatakan beragama. Keharusan mengubati dengan jampian adalah dengan syarat jampian tersebut bersumberkan wahyu Allah dan tidak menggunakan khidmat syaitan dan jin. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan