Rabu, 14 Ogos 2024

MERDEKA : HAMKA DAN PERJUANGAN KEBEBASAN

 

Laungan keramat perkataan merdeka yang membawa makna kepada sebuah kebebasan, pernah menggegarkan bumi bertuah Malaysia yang tercinta ini. Laungan tersebut menandakan bahawa tanah air yang dicintai ini telah diberikan maruah dan harga diri bagi memastikan warganya sendiri yang mencorakkan hala tujunya. Suatu ketika dahulu, manusia bermati-matian berhempas pulas berjuang untuk mendapatkan sebuah nilai kebebasan. Dari perjuangan yang telah dimulai oleh mereka yang terdahulu, berkumandang lah pula nama-nama tokoh perwira yang dilabel pengkhianat oleh penjajah seperti Mat Kilau, Dato Maharajalela, Tok Bahaman, Rosli Dobi, Datu Mat Salleh dan lain-lain. Semua nama yang disebutkan ini mempunyai tujuan yang satu iaitulah untuk menuntut sebuah kebebasan.

Dalam pada kita memaknai sebuah maksud kemerdekaan, apa yang kita fahami merdeka pada konteks lampau adalah nilai kebebasan fizikal dari dijajah dibumi sendiri. Pergerakan kita sudah tidak lagi dikongkong oleh kehendak penjajah. Kita tidak lagi perlu mengerah tenaga dan keringat untuk dikenyangkan perut para penjajah. Pun begitu, maksud kemerdekaan kini tidak lagi sekadar dilihat dari sudut penjajahan kuasa dan politik. Tetapi realiti yang semenjak dahulu lagi sehingga ke hari ini, kita tidak boleh nafikan perjuangan berterusan yang perlu diberikan kesedaran kepada masyarakat, kearah kebebasan dari dijajah oleh pemikiran kolot, jumud, asabiah dan segala ragam pemikiran yang membawa kepada kemelesetan membangunkan tamadun kemanusiaan. Sesekali kita melaungkan kalimah merdeka di bibir namun jantung hati kita masih terperangkap dalam penjajahan minda dan pemikiran.




Ketokohan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau dijoloki dengan nama Hamka begitu sinonim dengan alam nusantara. Tidak keterlaluan untuk kita katakan Hamka adalah permata insan yang berupa hadiah dari Tuhan untuk membangunkan semangat dan menyuntik kesedaran diri bagi tujuan membebaskan minda dan pemikiran daripada ditakluki oleh cara fikir yang salah pada kehidupan beragama. Meskipun Hamka telah hampir 40 tahun lebih meninggalkan kita, namun sumbangan idea dan saranan pandangannya dalam pelbagai bentuk karya kreatif, ilmiah dan sebagainya sedang, telah dan masih hebat diperbincangkan dan diambil manfaat daripadanya. Hamka yang bukan sahaja dikenali sebagai tokoh ulama, beliau juga dikenang dan diingati sebagai tokoh sejarawan, sasterawan, tokoh politik, novelis dan lain-lain.

Jika kita soroti perjuangan Hamka, sesiapa pun tidak dapat menafikan identiti Hamka sebagai seorang pejuang kebebasan yang tuntas merangkumi pelbagai lapisan bidang dan sasaran. Biarpun ketika beliau masih hidup, cercaan, fitnah dan maki hamun antara yang menjadi cabarannya, namun hakikatnya tiada apa yang boleh memberhentikannya atau mematahkan semangatnya untuk terus berjuang memberikan makna kepada sebuah kebebasan dalam berfikir. Sebagai pejuang yang sentiasa mengajak kepada pembebasan berfikir, Hamka dengan keberaniannya telah mengungkapkan perkataan yang benar sekalipun berdepan dengan mereka yang berkuasa. Misalnya, melalui karyanya yang terkenal, berjudul Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor, memperlihatkan kepada kita keluhuran perjuangannya untuk membebaskan umat manusia daripada sikap kejumudan dan ketaksuban melampau.

Selain itu, perjuangan mengajak kepada kebebasan berfikir juga dapat dilihat melalui bukunya yang bertajuk Dari Hati ke Hati. Dalam karyanya yang hebat ini, beliau telah mengajak para pembaca agar tidak sekadar menerima bulat-bulat apa yang diajarkan melainkan turut berusaha berfikir dan menjadi seorang yang rasional dalam membuat pertimbangan. Dalam karya tersebut juga, beliau turut mengkagumi usaha dakwah yang dibawa oleh Syeikh Abu Bakar al-Asy'ariy dari Perlis yang telah berusaha menulis sebuah buku berjudul Ibadat Rasulullah yang bertujuan mengajak masyarakat Islam beramal seperti yang ditunjuki oleh baginda Nabi SAW. Seruan ini bermaksud Hamka ingin mengajak umat manusia untuk keluar dari daerah taklid buta (menerima apa sahaja tanpa berfikir) kepada daerah daya usaha untuk berfikir. Ini penting agar kita tidak dieksploitasikan oleh mana-mana pihak yang mahu mengambil kesempatan diatas kejahilan agama masyarakat awam.




Perjuangan kebebasan oleh Hamka tidak sekadar melalui karya-karya ilmiah agama. Malah ianya turut diterjemahkan perjuangan kebebasannya menerusi karya-karya kreatif beliau. Menurut Dr. Yus'aiman Yusoff, melalui bukunya yang bertajuk Hamka dan Misi Pembebasan, Hamka turut menyuntik semangat kesedaran nilai kebebasan dalam hidup melalui penulisan karya-karya kreatif beliau. Antara nilai perjuangan kebebasan yang dizahirkan oleh Hamka melalui karya kreatifnya adalah seperti pembebasan akidah, pembebasan daripada taklid buta, pembebasan daripada hawa nafsu, pembebasan daripada kemaruk kebendaan, pembebasan daripada kongkongan adat minangkabau dan pembebasan golongan terpinggir seperti kelompok miskin dan buruh. Dengan pelbagai karya kreatifnya seperti novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick, novel Merantau ke Deli, novel Dibawah Lindungan Kaabah, novel Keadilan Ilahi dan banyak lagi novel dan cerpen yang ditulis dengan membawa tema kebebasan kehidupan.




Sebagai contoh, perjuangan Hamka untuk membebaskan manusia daripada mempunyai sikap tamak haloba yang dipengaruhi oleh hawa nafsu dapat dilihat melalui novel Keadilan Ilahi. Dalam satu dialog yang diungkapkan oleh Syamsiah, ketika beliau mahu diceraikan oleh suaminya, Sutan Marah Husin, beliau menyatakan bahawa "Makan pasir dengan ketenteraman lebih saya sukai daripada memakan mas bercampur dedak". Ungkapan ini berupa sindiran untuk kita fahami bahawa kekayaan harta-benda tidak boleh membeli kebahagiaan dalam hidup. Kaya bukan bermaksud bahagia dan miskin pula tidak semestinya merana. Inilah yang dibawa oleh Hamka memperjuangkan kebebasan berfikir untuk tidak dibelenggu oleh kehendak nafsu yang akan membawa kita kepada kemusnahan hidup. Begitu juga dalam novel lain seperti novel Merantau ke Deli, Hamka telah mengangkat watak seorang wanita yang bernama Poniem yang bijak dalam berniaga namun diceraikan oleh suaminya, Leman yang mengikut hawa nafsu termakan hasutan isteri mudanya. Akhirnya, perniagaan Leman merudum jatuh akibat sikap kaki kikis isteri mudanya itu dan menyesal menceraikan Poniem.

Demikian beberapa contoh yang menunjukkan usaha Hamka dalam memperjuangkan nilai dan makna kepada sebuah kebebasan. Apa yang menariknya, Hamka meskipun sentiasa menyeru umat manusia kearah kebebasan dalam berfikir, namun beliau tidak pernah lekang dari mengingatkan umat manusia pada kebebasan yang mutlak. Bagi Hamka, kebebasan yang mutlak adalah hak milik Allah SWT. Kebebasan dalam kehidupan sebagai hamba Nya adalah tertakluk kepada kehendak suruhan dan larangan Nya. Ini bermakna, Hamka mengajak kita semua sebagai umat manusia sentiasa berpaut pada neraca agama dalam memaknai makna kebebasan. Kebebasan yang menjadi nadi perjuangan Hamka bukanlah kebebasan yang bersifat mutlak, tetapi kebebasan insani yang tentunya mempunyai sempadan dek keterbatan akal manusia untuk berfikir. Dalam semua penulisannya, beliau tidak pernah sunyi daripada menyebut tentang keagungan dan kekuasaan Allah. Baik karya ilmiah mahupun karya kreatif. Betapa hebatnya perjuangan Hamka dalam mengangkat makna kebebasan. Semoga kita semua benar-benar memaknai maksud kebebasan sebagai hamba ilahi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan