Sesungguhnya sesuatu gelaran itu sama ada gelaran tersebut memberi
maksud yang baik atau sebaliknya maksud yang buruk, mampu mempengaruhi kita
dalam membina tanggapan pertama terhadapnya. Misalnya, menggelarkan seseorang
sebagai mat moto, barangkali yang terlintas di jantung hati kita adalah tentang
peribadi jahat, budak liar, tiada masa depan dan sebagainya. Maka persepsi atau
tanggapan pertama yang dibina ini akan menentukan pula cara kita berkomunikasi
termasuklah cara kita melayaninya. Begitu juga seperti gelaran ustaz, berapa
ramai manusia hari ini sangat mempercayai apa yang disampaikan oleh mereka yang
dipanggil sebagai ustaz meskipun kadang apa yang disebutkan oleh ustaz itu jelas
bertentangan dengan kehendak agama. Ini kerana gelaran ustaz tersebut telah
menghilangkan kewarasan kita untuk berfikir kerana terlalu taksub dan melampau
dalam menghormatinya. Inilah kesan kepada sesebuah gelaran yang diberikan.
Perkataan al-Masih adalah merupakan suatu gelaran yang membawa
makna terpenting dalam intipati ajaran agama Islam. Hal ini kerana, gelaran ini
telah Allah rakamkan di dalam al-Quran sebagai memuliakan kedudukan Nabi Isa AS
dengan menyebutkan bahawa Nabi Isa AS itu sebagai al-Masih. Ini dapat dilihat
di dalam surah Ali Imran ayat 45, firman Allah SWT yang bermaksud :
"(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam!
Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan
seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada
Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di
dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi
kemuliaan di sisi Allah)".
Dalam pada masa yang sama, gelaran al-Masih juga disebutkan oleh
baginda Rasulullah SAW melalui hadith-haditnya bagi menggambarkan keadaan
makhluk yang dilaknat, iaitulah Dajjal. Terdapat beberapa hadith baginda Nabi
SAW yang menceritakan tentang perihal Dajjal dan baginda menyebutkannya dengan
gelaran al-Masih. Ini sebagaimana yang terakam dalam sebuah hadith riwayat
Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Apabila salah seorang daripada kamu bertasyahhud, hendaklah dia
meminta perlindungan kepada Allah daripada empat perkara dengan membaca : Ya
Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa neraka Jahannam,
daripada seksa kubur, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada
kejahatan fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Berdasarkan al-Quran dan hadith, gelaran al-Masih ini sangat
sinonim dan diketahui umum bagi merujuk kepada dua nama besar ini iaitu Nabi
Isa AS dan Dajjal. Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan al-Masih ?
Mengapa diberikan gelaran tersebut kepada Nabi Isa dan Dajjal sedangkan
kedua-dua nama ini masing-masing jauh beza kedudukan mereka di sisi Allah. Bagi
memahamai gelaran ini, kita terlebih dahulu perlu fahami latar belakang pada
perkataan al-Masih ini. Pada sudut sejarah, perkataan al-Masih ini telah wujud
dalam upacara tradisi kaum Bani Israel. Ini sepertimana yang dinukilkan oleh
al-Tahtawi dalam kitabnya, al-Nasraniyyah wa al-Islam 'Alamiah al-Islam wa
al-Duwamuh ila Qiamah, beliau menjelaskan bahawa perkataan al-Masih telah
wujud lama dan mempunyai pengertian yang tersendiri dan dikaitkan dengan
upacara tradisi yang diwarisi turun temurun oleh Bani Isarel. Tambah beliau,
perkataan asalnya dipercayai dari bahasa Hebrew iaitu Mashih yang bermaksud
terpilih dan diberkati oleh Tuhan.
Ungkapan al-Masih jika dilihat pada sudut bahasa pula, Syeikh Reda
dalam kitabnya, Mu'jam Matan al-Lughah, menjelaskan bahawa al-Masih
bermaksud benar dan jujur. Menurut Ibnu Manzur pula dalam kitabnya, Lisan
al-Arab, al-Masih bermaksud mengembara. Beliau menyatakan bahawa Nabi Isa
AS diberikan gelaran tersebut kerana baginda banyak mengembara diatas muka bumi
serta tidak menetap pada satu tempat. Begitu juga menurut Imam Ibn Kathir dalam
kitab tafsirnya, beliau menjelaskan bahawa sebahagian ulama salaf berpandangan
dinamakan sebagai al-Masih kerana Nabi Isa AS banyak melakukan perjalanan.
Begitu juga terdapat pendapat lain bahawa kerana disebabkan baginda Nabi Isa mempunyai
tapak kaki yang rata tidak berlekuk. Selain itu, Ibnu Manzur turut menukilkan
pendapat lain dengan menyebutkan bahawa baginda diberikan gelaran al-Masih
kerana baginda mengusap dengan tangannya pada orang yang sakit, orang yang buta
sejak lahir, orang yang menderita sakit kusta, kemudian mereka sembuh dengan
izin Allah. Menurut al-Azhari ketika membahaskan perkataan al-Masih, sebagaimana
yang dipetk dalam Matan al-Lughah, beliau menyatakan bahawa al-Masih
dalam kitab Taurat disebut sebagai Mashih. kemudian disesuaikan menjadi bahasa
Arab dengan sebutan Masih, sama seperti perkataan Musa yang asalnya disebut
Musha.
Berdasarkan pemaknaan al-Masih yang disebutkan ini, ianya pemaknaan
yang dikaitkan dengan kedudukan mulia Nabi Isa AS. Ini bermakna, gelaran
al-Masih yang digelar kepada Nabi Isa AS merupakan suatu gambaran kedudukan
tinggi dan mulia yang diiktiraf sendiri oleh Allah Azza Wa Jalla. Sebaliknya,
hal ini berbeza pula makna al-Masih yang digelarkan kepada Dajjal. Gelaran
al-Masih Dajjal memberi suatu makna gambaran yang buruk, jahat dan keji lagi
hina. Ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibn al-Athir RH dalam
kitabnya, Jami' al-Usul fi Ahadtih al-Rasul, beliau menyatakan bahawa
Dajjal disebut Masih, kerana salah satu matanya terhapus dan al-Masih ialah
orang yang salah satu sisi wajahnya terhapus, tidak ada matanya dan tidak ada
kening. Selain itu, menurut Abu Ubaidah sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab
Lisan al-Arab, perkataan al-Masih yang digelarkan kepada Dajjal membawa
maksud sifat buruk dan buta mata. Pada ungkapan Dajjal itu sendiri telah
membawa maksud yang buruk iaitu pendusta, pembohong, pemalsu atau seorang yang
buta mata. Apabila perkataan Dajjal digabungkan dengan gelaran al-Masih, tentu
sekali ia menambahkan keburukan dan kejahatan kepada Dajjal.
Oleh yang demikian, berdasarkan penelitian makna al-Masih ini,
dapat kita fahami bahawa gelaran al-Masih pada pemaknaannya adalah bergantung
kepada yang digelar tersebut. Sebagai analogi mudah, gelaran ustaz pada umumnya
merujuk maksud yang bagus, orang yang dipercayai dan menjadi rujukan
masyarakat. Namun ada segelintir manusia yang menggunakan gelaran ustaz tetapi
kerjanya asyik membohong, menipu dan mengajak kepada maksiat. Tidakkah gelaran
ustaz tersebut telah tercemar dengan perbuatan tidak bermoral seperti itu.
Demikian juga dengan gelaran al-Masih. Ungkapan al-Masih yang digelarkan kepada
Nabi Isa membawa kepada makna kebaikan dan keberkatan. Sebaliknya, al-Masih
yang digelarkan kepada Dajjal membawa makna kepada keburukan dan kejahatan.
Untuk itu, tidak salah untuk kita katakan bahawa al-Masih Nabi Isa adalah
berlawanan dan bertentangan dengan makna al-Masih Dajjal. Meskipun begitu,
kedua-dua mereka ini akan datang dengan mendakwa sebagai al-Masih. Dalam
kesamaran dakwaan tersebut, ketahuilah padanya ada al-Masih yang benar-benar
jujur dengan membawa kebenaran iaitulah Nabi Isa AS dan pada masa sama padanya
juga ada al-Masih yang berdusta, berbohong dengan membawa kebatilan dan
kerosakan iaitu Dajjal. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan