Selasa, 10 September 2024

TABARRUK : ANTARA YANG BENAR DAN BATIL

 

Sesungguhnya nilai sesebuah kemuliaan dan kesucian itu merupakan suatu anugerah yang dikurniakan serta diberikan pengiktirafan oleh Allah SWT terhadap sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Nya. Oleh kerana yang demikian, kita sebagai hamba Nya tidak mempunyai hak untuk mengangkat diri sendiri sebagai orang yang mulia lagi suci melainkan setelah apa yang disyariatkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Telahan satu orang manusia untuk memuliakan seseorang individu kerana pada sangkaannya beliau menganggap bahawa individu tersebut sebagai orang yang mulia, telahannya itu boleh jadi betul dan boleh jadi tidak betul. Namun begitu, pengiktirafan kemuliaan yang disyariatkan oleh Allah adalah sesuatu yang benar lagi tepat. Ini kerana hanya Allah Maha Mengetahui akan hakikat segala sesuatu.

Ungkapan "Tabarruk" ialah berasal dari bahasa Arab. Kata dasarnya ialah barakah atau disebut juga sebagai berkat. Dalam kitab al-Qaul al Mufid, Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin menjelaskan bahawa perkataan barakah membawa maksud kebaikan yang banyak dan tetap. Perkataan barakah ini pula diambil dari kata al-birkah (البركة) yang bermaksud tempat terkumpulnya air (kolam). Manakala makna bagi perkataan tabarruk pula bermaksud mencari berkat. Selain itu, Syeikh Yusuf dalam kitabnya al-Mausuaah al-Yusufiyyah, beliau menyatakan bahawa barakah dari sudut bahasa bermaksud tetapnya kebaikan daripada Allah SWT pada sesuatu. Mengambil berkat atau disebut sebagai tabarruk pula bermaksud mengharapkan berkat daripada Allah SWT dengan perantara sesuatu.




Secara mudahnya, ungkapan tabarruk boleh kita fahami sebagai sesuatu tindakan atau perbuatan bertujuan untuk mencari keberkatan Allah melalui pengaruh orang-orang yang dianggap mulia lagi suci seperti para Nabi, para wali, para ulama dan sebagainya. Melalui pengaruh golongan yang disebutkan tadi, ianya dijadikan sebagai perantaraan yang mampu membawa kebaikan. Perbuatan mencari berkat dengan jalan bertabarruk pada asasnya merupakan suatu pensyariatan Islam. Padanya itu terdapat beberapa bentuk atau jenis tabarruk yang disyariatkan oleh Allah SWT. Pensyariatan ini dapat dilihat melalui petunjuk wahyu Allah iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Antara bentuk tabarruk yang disyariatkan ialah mengambil berkat atau bertabarruk dengan ucapan dan perbuatan. Misalnya, dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Bacalah surah al-Baqarah kerana membacanya adalah suatu berkat dan meninggalkannya adalah kerugian dan dengannya tidak akan terkena sihir”

Melalui pemahaman hadith ini, baginda Rasulullah SAW telah menyatakan bahawa membaca surah al-Baqarah boleh mengundang keberkatan padanya. Namun begitu, meninggalkannya dengan maksud tidak membaca surah al-Baqarah merupakan suatu kerugian besar. Ini kerana sebagaimana yang terdapat di dalam hadith tersebut, bagi mereka yang beramal dengan membaca surah al-Baqarah, ianya dapat menghalang diri manusia dari terkena sihir. Ini juga boleh difahami bahawa surah al-Baqarah merupakan pendinding dan pelindung manusia dari ancaman halus syaitan dan iblis. Maka dengan itu, mengambil berkat melalui perbuatan amal soleh yang kita lakukan berdasarkan dalil dan hujah dari al-Quran dan al-Sunnah ialah sesuatu yang diharuskan dalam Islam.

Selain itu, mengambil berkat dengan sesuatu tempat juga adalah diharuskan. Ini berdasarkan beberapa hadith Nabi SAW yang menunjukkan adanya keberkatan pada sesuatu tempat tersebut. Misalnya, dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Solat di masjidku ini lebih baik seribu kali daripada solat di masjid yang lain kecuali masjidil haram”.

Berdasarkan hadith ini, jelas bahawa Masjid Nabawi merupakan tempat yang padanya terdapat suatu keberkatan yang memberikan kebaikan yang lebih banyak berbanding tempat-tempat yang lain. Selain tempat yang diharuskan untuk mencari berkat, Islam melalui pensyariatannya juga membolehkan umatnya mencari berkat atau bertabarruk dengan waktu dan masa tertentu. Sebagai contoh, mengambil berkat dengan bulan Ramadan, malam al-Qadr dan seumpamanya. Inilah sebahagian daripada keharusan umat Islam dalam usaha mencari keberkataan melalui perantaraan yang berbentuk perbuatan, ucapan, tempat dan masa. Dalam isu tabarruk ini juga, seringkali menjadi polimik dikalangan umat Islam berkaitan hukum bertabarruk atau mengambil berkat dengan peninggalan baginda Nabi SAW. Ini kerana ketika pada hayat baginda, terdapat banyak kisah yang menjelaskan bahawa para sahabat Nabi bertabarruk dengan peninggalan Nabi.




Dalam hal ini, Anas bin Malik RA, yang juga merupakan seorang pembantu Nabi, telah menceritakan mengenai perbuatan para sahabat yang bertabarruk dengan Nabi SAW. Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Ahmad dan Bihaqi, Anas bin Malik menyatakan pada suatu ketika, beliau telah melihat tukang cukur sedang mencukur rambut Rasulullah SAW dan pada masa yang sama para sahabat mengelilingi baginda Nabi. Tindakan tersebut kerana para sahabat tidak mahu satu helai pun dari rambut Rasulullah SAW terjatuh kecuali telah berada di tangan seseorang. Penceritaan ini menjadi sebahagian bukti dan hujah bahawa hukum harus bertabarruk atau mengambil berkat dengan peninggalan Nabi SAW dengan syarat yakin bahawasanya keberkatan itu semuanya dari Allah SWT dan bukannya daripada barang peninggalan tersebut. Namun begitu, kesemua perbuatan bertabarruk yang dilakukan oleh para sahabat hanyalah dengan baginda Nabi sahaja.

Setelah kewafatan baginda Nabi, maka tidak ada lagi para sahabat yang mengambil berkat atau bertabarruk dengan manusia yang lain selain dari baginda Nabi SAW. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Imam Asy-Syatibi dalam kitabnya, al-I’tisham, beliau menjelaskan bahawa para sahabat RA, setelah kewafatan Nabi SAW, tidak ada seorang pun di antara mereka yang melakukan perbuatan itu (bertabarruk) kepada sesiapa pun selepas Nabi SAW. Bahkan, setelah beliau wafat, tidak ada orang yang lebih mulia dari Abu Bakar as-Siddiq, kerana beliau adalah pewaris Rasulullah SAW. Namun, para sahabat tidak pernah sujud kepada Abu Bakar. Beliau tidak pernah sujud kepada Umar Bin Khattab, walaupun Umar bin Khattab adalah manusia yang paling mulia selepas Abu Bakar. Dia tidak pernah sujud kepada Uthman Bin Affan, dia tidak pernah sujud kepada Ali, dia tidak pernah sujud kepada mana-mana sahabat Nabi. Sebenarnya mereka adalah orang yang paling mulia dari seluruh umat.

Dalam pada itu, terdapat sebahagian para ulama kontemporari yang telah melakukan kajian dan berkecenderungan dengan menyatakan bahawa tiada lagi sebarang peninggalan dari jasad atau barang kegunaan Nabi SAW yang boleh disabitkan kewujudannya dengan bukti yang sahih. Oleh yang demikian, ada yang berpandangan bahawa perbuatan mengadakan logo, replika, lambang seperti logo capal, replika tapak kaki Nabi dan seumpamanya, lalu didakwa menyerupai barangan atau kesan peninggalan Nabi lantas itu mengambil pula keberkatan daripadanya adalah perkara yang diadakan dalam agama (bid'ah) yang dilarang sama sekali. Akibat daripada perbuatan seperti ini, secara tidak langsung ianya telah membuka kepada pintu ghuluw (melampau) dalam sesuatu perkara. Bersikap ghuluw atau melampau dalam beragama adalah sesuatu yang dilarang dan ditegah oleh Islam.




Selain bertabarruk dengan peninggalan Nabi, turut menjadi polimik dikalangan umat Islam ialah berkaitan keharusan mengambil berkat dengan orang-orang soleh. Dalam hal ini, terdapat dua pandangan yang berbeza. Sebahagiannya berpandangan diharuskan untuk bertabarruk dengan orang soleh. Ini berdasarkan hukum qiyas (menyamakan) orang soleh dengan baginda Nabi SAW. Misalnya perbuatan Nabi bertahnik (membelah mulut) bayi dengan memberi manisan. Menurut Imam al-Nawawi ketika menjelaskan perbuatan tahnik tersebut, beliau menyatakan bahawa adalah disunatkan orang soleh mentahnik bayi sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Begitu juga dengan hadith riwayat Bukhari, yang menunjukkan perbuatan Nabi mengubati dirinya sendiri ketika sakit dengan membaca muawwizat (surah al-ikhlas, al-Falaq dan al-Nas). Dalam hal ini, Imam Ibn Hajar al-Asqalani ketika menjelaskan hadith tersebut, beliau menyatakan bahawa maksud hadith menunjukkan keharusan bertabarruk dengan orang soleh.

Namun begitu, sebahagian yang lain berpandangan tidak harus atau tidak dibolehkan untuk bertabarruk atau mengambil berkat dengan orang soleh. Pada mereka, hukum qiyas (menyamakan) orang soleh dengan Nabi SAW adalah tidak tepat berdasarkan beberapa hujah antara lain mereka menyatakan bahwa kesepakatan para sahabat untuk tidak bertabarruk dengan selain peninggalan baginda Nabi membuktikan perbuatan tersebut hanyalah khusus kepada Nabi SAW sahaja. Demikianlah sebahagian daripada perbincangan berkenaan hukum bertabarruk atau mengambil berkat. Pada asasnya, perbuatan tabarruk merupakan sesuatu yang disyariatkan oleh Allah SWT seperti yang telah dijelaskan berkenaan beberapa bentuk tabarruk. Namun dalam hal lain, terdapat khilaf atau perbezaan pendapat berkenaan mengambil berkat dengan orang soleh. Walau apapun yang kita pegang, menutup pintu kemudaratan adalah lebih utama berbanding terlalu terbuka bertabarruk tanpa sempadan. Jika tidak dibendung, perbuatan tabarruk kepada orang soleh dan replika peninggalan Nabi akan mengundang bahaya syirik kepada Allah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan