Rabu, 4 September 2024

ISLAM MENGIKTIRAF PETUGAS KESELAMATAN NEGARA

 

Keamanan dan kedamaian adalah sesuatu yang menjadi harapan dan cita bagi semua insan. Tidak ada sesiapa pun yang waras akalnya mendambakan suasana kekacauan, huru-hara dan ketidak tenteramnya keadaan. Fitrah manusia itu berkehendakkan kepada nilai-nilai kesejahteraan yang menjanjikan kestabilan. Oleh itu, sesuatu yang tidak normal atau sangat luar biasa andai ada manusia yang suka akan keadaan yang tidak membawa ketenangan dan kebahagiaan. Sifat keamanan yang dicitakan ini bukan sahaja menawarkan nilai kebebasan bergerak dalam hidup bahkan menambahkan mutu dan kualiti kehidupan yang lebih baik. Sebaliknya, keadaan huru-hara dan ketidak tenteraman ini pastinya mengundang suasana yang menakutkan sekaligus meragut hak kebebasan hidup sebagai manusia yang punyai maruah.

Bagi tujuan menjamin keamanan dan kedamaian sesebuah negara, pasukan keselamatan dengan penglibatan pelbagai nama dan agensi yang terbabit, ditubuhkan dan diletakkkan suatu amanah besar yang diiktiraf oleh Islam iaitulah amanah menjaga keselamatan dimana sahaja mereka berada termasuklah di perbatasan negara. Tugas menjaga keselamatan negara demi memelihara keamanan dan kedamaian ini merupakan tugas yang dapat menghalang atau mencegah perkara yang boleh mengundang kepada kemungkaran dan kemaksiatan. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 104 yang bermaksud :

"Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (menyebarkan Islam) dan menyuruh melakukan segala perkara yang baik (makruf) dan mencegah daripada segala perkara yang buruk dan keji (mungkar). Dan mereka itulah orang yang berjaya".




Tugas menjaga keamanan dan kedamaian seperti yang dilaksanakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan selainnya, secara tidak langsung telah memikul amanah besar ini mencegah dan menghalang sebarang kemungkaran dengan usaha memastikan tiada pelanggaran undang-undang negara yang boleh mengundang kepada ancaman bahaya bagi keselamatan negara. Mereka yang berada di barisan hadapan, yang berperanan menjaga keselamatan negara, telah mendahulukan jiwa dan raga mereka, mengorbankan masa tidur lena di tempat yang enak meninggalkan anak dan isteri seketika namun tiada jaminan boleh pulang segera, kesemua pengorbanan ini diiktiraf dan dinilai oleh Allah sebagai amalan soleh.

Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, baginda Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud :

"Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan Muslim lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya."

Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa Islam sangat mengiktiraf sifat seorang muslim yang antaranya ialah mereka yang berusaha menyelamatkan saudaranya yang lain daripada ditimpa kejahatan melalui percakapan atau perbuatannya yang lain. Ini bermakna bagi mereka yang berkhidmat sebagai petugas keselamatan, yang mengorbankan dirinya untuk mengawal negara tanah air tercinta, mereka tergolong sebagai ciri muslim yang baik. Begitu juga dengan pengorbanan yang telah mereka lakukan, mengawal perbatasan negara, meronda dan membuat seliaan di tempat-tempat awam, memeriksa dan memerhati dimana saja, dikala waktu semua manusia sedang sedap tidur dibuai mimpi dan seumpamanya, mereka ini telah menyelamatkan nyawa orang lain dengan mempertaruhkan nyawa mereka sendiri untuk berdepan dengan musuh yang tidak diduga.

Dalam al-Quran, Allah SWT mengiktiraf jasa dan pengorbanan mereka ini yang berjaga malam demi menjaga dan menyelamatkan banyak lagi nyawa manusia yang lain. Sepertimana yang dinyatakan oleh Allah melalui surah al-Maidah ayat 32, firman Allah SWT yang bermaksud :

"...Bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya."




Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, ketka menjelaskan maksud ayat tersebut, beliau menyebutkan bahawa semua usaha menyelamatkan nyawa manusia dikira termasuk dalam maksud ayat ini. Beliau turut menukilkan kata al-Imam Mujahid yang menyebutkan yang dimaksudkan ayat ini termasuklah mereka yang menyelamatkan manusia dari tenggelam lemas atau dibakar atau apa-apa kebinasaan. Ini secara tidak langsung, pasukan keselamatan yang lain seperti anggota Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, para petugas kesihatan seperti doktor dan jururawat, kesemua pengorbanan mereka ini terangkum dalam maksud ayat tersebut. Jelas bahawa sesungguhnya setiap keringat jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan demi negara, tidak ada yang sia-sia bahkan diberikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah.

Selain itu, bagi mereka yang berjaga malam menjaga keselamatan negara, turut dipuji dan di iktiraf oleh baginda Nabi SAW. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi, baginda Nabi bersabda yang bermaksud :

“Mahukah kamu aku tunjukkan satu malam yang lebih baik dari Lailatul Qadar? Iaitu malam seorang lelaki yang berkawal pada malam yang menakutkan dan berkemungkinan dia tidak mampu pulang kepada keluarganya”

Lihatlah betapa besar makna bagi mereka yang berada di barisan hadapan menjaga keselamatan negara. Tatkala ramai umat manusia yang beragama Islam, berusaha mengimarahkan bulan Ramadan dengan mendambakan malam al-Qadr, yang pada malam itu disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai malam yang paling baik daripada seribu bulan, namun terdapat satu lagi malam yang lebih baik darinya iaitulah malam bagi mereka yang berjaga, sentiasa bersiap sedia bagi mengawal keselamatan negara. Sudah tentu hadith ini merupakan suatu pujian dan pengiktirafan besar buat mereka yang sedang berjuang menjaga keselamatan negara. Selain itu, antara ganjaran besar lain yang dikurniakan oleh Allah buat mereka ini ialah diharamkan api neraka kepada mereka yang berjaga semalam menjaga keselamatan negara.




Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Tirmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka : Mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga kerana menjaga perjuangan dijalan Allah.”

Menjaga keselamatan negara adalah sebahagian perjuangan di jalan Allah. Maka untuk itu, bagi mereka yang berjaga malam menjaga negara, pada dua mata mereka yang berjaga tersebut diharamkan dari disentuh oleh api neraka. Demikianlah betapa besar makna bagi mereka yang berkorban menjaga keamanan dan keselamatan negara. Oleh kerana keamanan itu sesuatu yang sangat bermakna pada kehidupan, Islam sangat menghargai jasa dan pengorbanan para perwira negara. Menjaga keamanan merupakan salah satu diantara maqasid syariah atau difahami sebagai tujuan syariah. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya, Ihya' Ulumuddin, beliau berkata keamanan adalah salah satu daripada lima maqasid al-syariah (tujuan syariah) yang utama, bersama dengan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Menurut beliau, tanpa keamanan, tujuan ini tidak dapat dicapai dan kehidupan manusia akan menjadi kacau-bilau.

Selain itu, Ibnu Khaldun menerusi kitabnya, Muqaddimah, menjelaskan bahawa keamanan adalah syarat asas kemajuan tamadun. Beliau menyatakan keamanan membolehkan kerajaan menjalankan tanggungjawab menyediakan perkhidmatan awam, memastikan keadilan dan mempromosikan kesejahteraan ekonomi. Menurutnya, tanpa keamanan tidak akan ada kestabilan dan pembangunan, maka masyarakat akan terjerumus ke dalam kekacauan dan kemunduran. Demikianlah bagaimana Islam sangat menghargai sekaligus mengiktiraf mereka yang berada di barisan hadapan menjaga dan memelihara keselamatan negara. Meskipun pada kacamata manusia, barangkali tidak didendang atau dijulang, namun hakikatnya Islam telah mengiktiraf segala curahan keringat tenaga dan jasa yang dimainkan oleh mereka. Oleh kerana itu, sentiasalah menghormati para perwira kita dengan menghargai mereka yang berjaga siang dan malam, demi keamanan negara. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan