Rabu, 16 Oktober 2024

SYARIAT ISLAM YANG BERSIFAT MUDAH

 

Manusia seringkali berwacana dalam kerangka yang pelbagai bagi mewujudkan suatu peraturan yang merangkumi aspek yang seimbang dan bersifat sejagat. Sejarah pembentukkan undang-undang misalnya akan sentiasa dipinda dan digubal bagi memastikan selari dengan tuntutan peredaran zaman. Malah tidak cukup dengan itu, pelbagai idealisme yang muncul dibawah pelbagai tema falsafah turut mengisi ruang membantu merungkai kebuntuan umat manusia untuk memastikan undang-undang yang dibuat ini akan lebih inklusif, bersifat universal (menyeluruh) dan diterima oleh orang ramai. Namun begitu, sepandai-pandai manusia, tiada siapa yang mampu mencipta peraturan dan undang-undang sesempurna syariat atau undang-undang dari Allah SWT.

Salah satu prinsip yang menjadi keistimewaan dalam undang-undang syariat Islam ialah terkandungnya nilai memberikan kemudahan dan mengangkat kesukaran. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, syariat Islam yang diciptakan oleh Allah mempunyai nilai kemudahan dan bukan bertujuan membebankan. Bahkan Allah SWT sebagai pencipta syariat perundangan Islam, tidak mahu membebankan para hamba Nya kerana melakukan tuntutan syariat tersebut. Hal ini sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran menerusi pelbagai surah bagi menegaskan sifat Allah yang tidak mahu membebankan hamba Nya. Misalnya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :

"(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran".

Begitu juga dalam surah al-Maidah ayat 6, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur".




Berdasarkan ayat-ayat dari al-Quran tersebut, jelas bahawa Allah SWT telah mengurniakan suatu syariat perundangan Islam yang bersifat mudah untuk dilaksanakan. Malah sepertimana yang telah disebutkan, Allah SWT tidak berkehendak untuk membebankan para hamba Nya melalui perundangan syariat Islam yang telah ditetapkan. Maka untuk itu, kita akan melihat betapa syariat perundangan Islam itu berdiri bersendikan nilai memberi kemudahan dan mengangkat kesukaran. Nilai kemudahan dalam Islam dapat dilihat berdasarkan pensyariatan atau perundangan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT untuk sekalian hamba Nya. Sebagai contoh, adalah menjadi kewajiban umat Islam membersihkan diri daripada hadas atau kekotoran sebelum melaksanakan ibadah wajib seperti solat fardhu. Bagi tujuan tersebut, maka disyariatkan untuk berwuduk atau dalam bahasa mudah mengambil air sembahyang.

Melalui pensyariatan berwuduk, Allah SWT telah memerintahkan para hamba Nya membersihkan diri sebelum melaksanakan solat. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah menerusi al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 6 , firman Allah SWT yang bermaksud :

"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.."

Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para hamba Nya membersihkan diri sebelum solat dengan berwuduk menggunakan air yang bersih lagi menyucikan. Malah Allah SWT turut menjelaskan langkah-langkah untuk berwuduk. Namun begitu, nilai kemudahan dalam syariat Islam akan dapat dilihat pada sambungan ayat dalam surah yang sama, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"...Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah - debu itu..."




Dalam konteks ini, Allah SWT yang Maha Mengetahui akan hamba Nya telah memberikan keringanan atau kemudahan bagi mereka yang sakit yang tidak boleh terkena air atau mereka yang mendapati di tempat mereka tiada air, maka diperintahkan oleh Allah untuk bertayammum sebagai gantian kepada wuduk. Ini bermaksud, terdapat kelonggaran yang diberikan oleh Allah melalui pensyariatan perundangan Islam, bagi mereka yang mempunyai kekangan berkaitan masalah air, maka diberikan jalan keluar dengan bertayammum dengan menggunakan debu tanah. Selain itu, nilai memberikan kemudahan dan mengangkat kesukaran dalam syariat perundangan Islam dapat dilihat melalui ibadah puasa di bulan Ramadan. Umum mengetahui, pada bulan Ramadan, umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan sepertimana yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu. Pun begitu, terdapat keringanan bagi mereka yang sakit sehingga tidak mampu berpuasa, sakit kerana keuzuran dan begitu juga bagi mereka yang berkelana (bermusafir), Allah SWT memberikan keringanan untuk mereka berbuka puasa.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 184, firman Allah yang bermaksud :

"(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.."

Secara asasnya, Islam datang dengan membawa syariat perundangan yang bukan sama sekali bertujuan memaksa, mendera mahupun menyeksa para penganutnya. Bahkan Allah yang Maha Mengetahui pastinya lebih tahu dan faham akan kemampuan para hamba Nya. Sebab itu kita akan melihat bagaimana dalam keadaan terpaksa atau terdesak untuk kita melakukan perkara yang haram seperti memakan makanan yang haram, maka diberikan kelonggaran untuk melakukannya pada kadarnya sahaja dan tidak melampaui batas. Ini sepertimana yang disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla dalam surah al-Baqarah ayat 173, firman Nya yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".




Demikianlah bagaimana Allah memberikan kemudahan bagi mereka yang berada dalam keadaan terpaksa atau terdesak untuk melakukan hal yang ditegah pada asalnya. Biarpun begitu, kelonggaran tersebut bukanlah bermaksud kita boleh selamanya melakukan hal yang haram tersebut. Islam juga melalui syariat solat, begitu sangat toleransinya Allah dengan hamba Nya. Ini seperti mereka yang tidak mampu untuk berdiri untuk menunikan solat, maka diharuskan untuk solat dalam keadaan duduk. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada ‘Imran bin Husin R.A yang mana beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Solatlah kamu dalam keadaan berdiri, sekiranya kamu tidak mampu (untuk berdiri) maka solatlah dalam keadaan duduk, dan sekiranya kamu tidak mampu untuk solat secara duduk, maka solatlah di atas lambung".

Demikianlah sebahagian dalil, bukti dan hujah yang menunjukkan nilai kemudahan yang terdapat dalam syariat perundangan Islam. Banyak lagi yang boleh disebut namun memadailah secara asas untuk kita faham bahawa Allah SWT telah mencipta perundangan hukum-hakam Islam yang disebut sebagai syariat Islam bukanlah bertujuan untuk menyusahkan atau membebankan para manusia. Sebaliknya terdapat nilai kemudahan yang memberikan keringanan kepada mereka yang tidak mampu melaksanakannya. Namun begitu, dalam kita memahami Islam sebagai suatu agama yang bersifat mudah, ini tidak bermakna kita boleh dengan sengaja bermudah-mudah sambil lewa dalam melaksanakan syariat Nya. Bersikaplah jujur dihadapan Tuhan yang pastinya tidak ada siapa yang boleh menipu Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan