Islam sepertimana yang disebutkan sebagai agama yang membawa nilai
kebaikan seperti bersikap ihsan dengan yang lain bukanlah propaganda atau
sekadar menjadi kempen dan slogan yang direka cipta semata-mata. Nilai kebaikan
seperti bersikap ihsan belas kasihan, saling bekerjasama, saling bantu-membantu
sememangnya menjadi intipati di dalam pengajaran Islam khususnya melalui wahyu
al-Quran dan al-Sunnah. Malah melalui utusan Allah, Nabi Muhammad SAW telah
membawa mesej besar kepada umat manusia agar bersikap baik sesama makhluk Allah
yang lain termasuklah alam semesta, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Perintah Allah
SWT sama ada melalui firman Nya di dalam al-Quran mahupun melalui lidah utusan
Nya menerusi al-Sunnah, seruan berbuat baik dituntut merentasi segala latar
perbezaan yang ada. Ini termasuklah berbuat baik terhadap haiwan.
Oleh kerana yang sedemikian rupa, umat manusia khasnya orang Islam
sentiasa diingatkan agar tidak bersikap zalim menindas dan menganiayai para
makhluk lain termasuklah berbuat jahat dan zalim kepada haiwan. Dalam ajaran
Islam, berbuat baik kepada makhluk lain yang bernyawa akan dicatatkan pahala
terhadapnya. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud :
"Dalam setiap perbuatan baik terhadap makhluk yang bernyawa
ada pahalanya".
Namun begitu, ada juga yang bertanya tentang bagaimana pula
sekiranya kita berhadapan dengan haiwan atau binatang yang berbisa dan
berbahaya. Dalam hal ini, pertama sekali seperti yang telah ditegaskan bahawa
Islam datang dengan menyeru umatnya untuk bersikap baik terhadap makhluk lain
termasuk haiwan dan binatang. Islam sangat melarang umat manusia daripada
bersikap zalim dengan menindas, menyeksa atau menganayai haiwan dan binatang.
Ini termasuk dalam persoalan menyembelih binatang untuk tujuan korban dan
sebagainya. Baginda Nabi sangat tegas dalam hal ini dengan melarang daripada
melakukan penyembelihan dengan cara yang menyakitkan dan menzalimi haiwan
tersebut. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada
Syaddad bin Aus RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesungguhnya Allah ta’ala akan mengganjar semua perbuatan baik
terhadap segala sesuatu. Maka jika kalian membunuh (dalam perang), maka
bunuhlah dengan cara yang baik. Jika kalian menyembelih hewan, maka sembelihlah
dengan cara yang baik. Diantaranya, tajamkanlah pisau kalian, dan buatlah hewan
sembelihan tersebut tenang"
Begitu pun, apabila kita berhadapan dengan binatang atau haiwan
yang berbisa dan berbahaya, maka diharuskan untuk membunuh haiwan dan binatang
yang berbahaya tersebut. Haiwan atau binatang yang berbahaya tersebut
disebutkan sebagai haiwan "Fasiq" yang bermaksud haiwan
perosak yang boleh membawa kemudaratan dan ancaman bahaya kepada manusia. Dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Aisyah Ranha, Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud :
“Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu : tikus,
kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”
Menurut Ibnu Manzur dalam kitab Lisan al-Arab, ungkapan
fasiq berasa dari bahasa Arab membawa maksud membuat kerosakan atau kejahatan.
Ini bermakna maksud yang sama turut difahami berdasarkan hadith ini sebagai
makna haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya
kepada manusia. Berdasarkan hadith tersebut, gelaran "Fasiq"
yang menyebutkan beberapa nama haiwan seperti tikus, kala jengking dan burung
helang adalah merupakan suatu bentuk perumpamaan (isti'arah) oleh Rasulullah
SAW bagi merujuk kepada konsep kerosakan dan kemudaratan yang mampu terkena
akibat dari haiwan tertentu kepada manusia. Secara asasnya, maksud haiwan fasiq
ini merujuk kepada mana-mana kumpulan haiwan yang biasanya memberikan ancaman,
gangguan atau sering mengundang bahaya kepada manusia.
Dalam kitab Fath al-Bari, Imam Ibnu Hajar al-Asqalani
menjelaskan bahawa lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana yang diriwayatkan
tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya
merupakan salah satu bentuk i'tibar (contoh) dalam menyatakan jenis haiwan
fasiq dan tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi
kelima-lima tersebut sahaja. Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam
riwayat lain. Selain itu, turut menjelaskan hal ini ialah Imam al-Nawawi dalam
kitabnya, Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim. Beliau menyatakan bahawa
haiwan-haiwan tertentu digelar fasiq disebabkan keluarnya hanya mengganggu dan
membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui oleh haiwan tunggangan. Begitu
juga dengan Imam al-Qurtubi dalam kitabnya, al-Jami' li Ahkam al-Quran,
menyatakan haiwan-haiwan fasiq yang disebut itu kesemuanya memiliki sifat zalim
yang mengancam kesejahteraan hidup.
Selain itu, dalam Islam juga terdapat larangan atau tegahan untuk
umat manusia membunuh haiwan tertentu yang disebutkan secara jelas di dalam
hadith. Ini sebagaimana yang terakam dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud,
daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa beliau berkata yang bermaksud :
“Sesungguhnya Nabi SAW melarang membunuh empat binatang melata:
semut, lebah, burung hud-hud, dan burung shurad”
Berdasarkan hadith ini, jika difahami maksud hadith ini secara
literal, tentu kita fahami bahawa Nabi melarang membunuh haiwan tertentu
seperti yang dinyatakan tersebut. Namun begitu, al-'Azim Abadi dalam kitabnya, Aunul
Ma'bud Syarah Sunan Abu Daud, beliau telah menukilkan daripada al-Darimi
dengan menyatakan pendapatnya bahawa semut yang dimaksudkan dalam hadith ini
ialah semut besar Sulaimani iaitu sejenis semut besar yang tidak berbahaya dan
tidak menyerang manusia. Begitu juga yang disebutkan oleh al-Khattabi dalam
kitabnya, Ma'alim as-Sunan, dengan menyebutkan bahawa semut yang
dilarang bunuh tersebut adalah semut besar Sulaimani yang tidak memberi mudarat
kepada manusia. Oleh itu baginda Nabi melarang daripada membunuhnya. Adapun yang
lain, sepertimana yang dinukilkan oleh Imam al-Syaukani dalam kitabnya, Nail
al-Awthar, beliau menyebutkan bahawa adapun lebah, telah diriwayatkan
bahawa dibolehkan memakannya oleh sebahagian Salaf (generasi terdahulu). Selain
itu, Hud-hud pula diriwayatkan bahawa ia boleh dimakan dan ini diambil daripada
pendapat di dalam mazhab al-Syafie bahawa perlu membayar fidyah bagi orang yang
membunuhnya. Al-Shurad pula merupakan sejenis burung dan ia boleh dimakan
mengikut mazhab Malik. Telah berkata Ibn Arabi :
"Sesungguhnya larangan Rasulullah SAW daripada membunuhnya
adalah disebabkan orang arab mempunyai kepercayaan akan berlaku sesuatu yang
buruk pada burung tersebut. Untuk itu, Nabi SAW menghalang daripada membunuhnya
bagi menghilangkan daripada hati-hati mereka kepercayaan yang salah ini."
Oleh yang demikian, beberapa haiwan yang dilarang bunuh itu
mempunyai latar sebab yang memberi makna haiwan tersebut biasanya tidak memberi
ancaman terhadap manusia. Maka ini juga bermaksud kita dilarang dan ditegah
membunuh mana-mana haiwan tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Syariat
Islam pada asasnya mengharuskan kita membunuh sebarang haiwan atau binatang
yang boleh mengundang mudarat kepada kita dan pada masa menuntut kita membunuh
dengan tidak melebih-lebih atau melampaui batas sehingga bertindak zalim
seperti mencincang, mengepak kepala dan sebagainya. Satu hal lagi menurut
kepercayaan masyarakat Melayu, tidak boleh membunuh haiwan berbisa atau
berbahaya di dalam rumah jika ada wanita yang mengandung. Kononnya tindakan
membunuh tersebut boleh memberi kesan kepada anak yang dikandung. Kepercayaan
tersebut adalah karut semata. Dalam keadaan mengancam nyawa dan keselamatan,
diharuskan membunuh tanpa perlu terikat dengan kepercayaan mitos tersebut.
Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan