Khamis, 3 Oktober 2024

HAKIKAT KENABIAN DAN KERASULAN

 

Islam adalah satu-satunya agama samawi iaitu agama yang diturunkan dari langit oleh Allah dengan membawa seruan mentauhidkan Nya, dengan kata lain menyeru umat manusia untuk menyembah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Seruan menyembah Allah ini telah menjadi ajaran utama kepada seluruh umat manusia bermula sejak zaman Nabi Adam AS lagi. Sehinggalah kini, Nabi Muhammad SAW yang diiktiraf sebagai utusan terkahir Allah, telah membawa suatu ajaran dengan pensyariatan Islam (undang-undang) yang sempurna dan lengkap serta pensyariatan ini kekal hinggalah ke hari kiamat. Demikianlah bagaimana seruan agama Islam mentauhidkan Allah yang digalas oleh para Rasul dan Nabi yang diutuskan oleh Allah.

Bagi mereka yang bukan beragama Islam barangkali terfikir atau terlintas di fikiran tentang apakah yang dikatakan sebagai Rasul dan Nabi. Dalam pada itu, tidak kurang pula ada yang menyangka bahawa para Rasul dan Nabi itu ialah jelmaan Tuhan atau dewa-dewa yang mewakili Tuhan. Bahkan ada yang beranggapan Nabi itu adalah pengasas agama atau pendiri agama Islam. Tentu sekali bermacam sangkaan dan anggapan yang dibuat untuk memahami dan mengenali hakikat berkaitan Rasul dan Nabi ini. Untuk menjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan persoalan ini, pertama sekali harus kita ketahui dahulu bahawa mempercayai dan beriman kepada Rasul dan Nabi adalah merupakan perkara tonggak dalam rukun keimanan. Ini bermakna, bagi orang Islam, tidak dikira beriman selagimana tidak menyakini dan mempercayai akan Rasul dan Nabi. Ini sebagaimana yang boleh kita fahami berdasarkan sebuah hadith riwayat Muslim, suatu kisah ketika para sahabat sedang duduk bersama baginda Nabi, muncul lah malaikat Jibril AS datang dengan menyerupai seorang lelaki, lalu bertanya tentang apa yang dikatakan sebagai iman. Lalu baginda Nabi SAW menjawab dengan bersabda :

"...Hendaklah kamu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, hari akhirat dan hendaklah engkau beriman kepada takdir Allah yang baik dan yang buruk..."




Demikian antara hujah dan bukti perintah Allah SWT kepada hamba Nya untuk beriman kepada Rasul. Maka sudah tentu diantara bukti keimanan kepada Allah adalah dengan mempercayai dan menyakini akan para Rasul dan Nabi yang menjadi utusan Allah SWT. Adapun anggapan yang mendakwa para Rasul dan Nabi itu adalah jelmaan Tuhan adalah salah sama sekali, Ini kerana semua para Rasul dan Nabi yang dipilih oleh Allah itu adalah dikalangan para manusia. Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, melalui surah al-Kahf ayat 110, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu ; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya"

Sesungguhnya para Rasul dan Nabi yang dipilih oleh Allah juga tidaklah mempunyai sebarang kekuasaan yang boleh memberikan kebaikan atau keburukan kepada sesiapa pun melainkan dengan kekuasaan Allah SWT. Malah para Rasul dan Nabi pun tidak dapat memberikan manfaat atau menolak mudarat bagi dirinya sendiri melainkan dengan kekuasaan Allah SWT. Ini kerana hakikat yang ada pada para Rasul dan Nabi itu adalah manusia biasa yang dipilih oleh Allah untuk menjadi utusan Nya dengan membawa berita gembira kepada orang yang beriman dan memberi ancaman kepada yang ingkar . Dalam hal ini, Allah SWT menjelaskannya di dalam surah al-Anfal ayat 188, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) : "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Jika aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman"

Demikianlah hakikat yang ada pada seorang Rasul dan Nabi. Berdasarkan apa yang telah disebutkan ini, jelaslah kepada kita bahwa para Rasul dan Nabi bukanlah jelmaan Tuhan, dewa, pengasas agama atau apa-apa dakwaan lain lagi. Tabiat fitrah manusia seperti makan, minum, berkahwin adalah antara sebahagian ciri yang turut menghiasi keperibadian seorang Rasul dan Nabi. Namun begitu, Allah SWT dengan segala kekuasaan dan kemuliaan Nya, telah memberikan kepada para Rasul dan Nabi Nya suatu sifat istimewa iaitu "Maksum".




Ungkapan Maksum membawa maksud terpelihara daripada melakukan dosa. Ini bermakna, para Rasul dan Nabi sentiasa terpelihara oleh Allah daripada melakukan dosa. Sifat Maksum ini hanya ada kepada para Rasul dan Nabi sahaja. Ianya tidak diwarisi oleh sesiapa pun termasuklah keturunan mereka sendiri. Satu hakikat lain yang perlu kita ketahui adalah terdapat perbezaan besar antara Rasul dan Nabi. Perbezaaan ini sebagiamana yang telah di isyaratkan oleh Allah SWT melalui firman Nya dalam surah al-Hajj ayat 52 yang bermaksud :

"Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila ia bercita-cita (supaya kaumnya beriman kepada ugama Allah yang dibawanya), maka Syaitan pun melemparkan hasutannya mengenai usaha Rasul atau Nabi itu mencapai cita-citanya.."

Berdasarkan ayat ini, Allah menegaskan dengan menyatakan seorang Rasul atau seorang Nabi. Ungkapan atau memberi isyarat bahawa terdapat perbezaan antara para Rasul dan Nabi. Perbezaan tersebut dapat difahami dengan sekurang-kurangnya tiga pandangan berkenaannya.

Pandangan pertama sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Ibn Abi al-'Izz al-Hanafi dalam kitab Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyyah, dinyatakan bahawa Nabi diturunkan wahyu kepadanya dalam bentuk syarak dan tidak disuruh untuk menyampaikannya, manakala Rasul pula disuruh untuk menyampaikan wahyu yang diturunkan kepadanya.

Pandangan kedua, seperti yang dipegang oleh Imam al-Zamakhsyari, Imam al-Baidhawi, Imam al-Nasafi, dan Syeikh Sulaiman al-Asyqar, menyatakan bahawa Rasul diturunkan kepadanya kitab atau hukum-hakam yang tiada dalam syariat yang datang sebelumnya. Adapun Nabi pula diutus untuk menyeru kepada syariat yang telah diturunkan sebelumnya, tanpa didatangkan dengan kitab atau hukum yang baru. Maka, kita katakan bahawa setiap Rasul itu adalah Nabi, namun bukan semua Nabi itu Rasul.




Pandangan ketiga, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya, al-Nubuwwat, beliau menyatakan bahawa Rasul itu diutuskan kepada kaum yang kafir dan ingkar, manakala Nabi diutuskan kepada kaum yang beriman, untuk mengajarkan mereka perkara mereka sudah ketahui dan sudah diajarkan sebelumnya. Tidak disyaratkan bagi seorang Rasul untuk membawa syariat yang baharu, seperti halnya Nabi Yusuf yang merupakan seorang Rasul, namun baginda berpegang kepada ajaran Nabi Ibrahim, sementara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman merupakan Rasul, namun mereka membawa ajaran Taurat. Kerana itulah disebut dalam hadith bahawa “ulama merupakan pewaris para Nabi”, kerana para ulama tidak datang membawa ajaran baharu, melainkan meneruskan ajaran Islam yang sudah diwarisi daripada Rasulullah SAW. Pandangan ini dilihat lebih menepati maksud Nabi dan Rasul.

Demikianlah perbezaan antara Rasul dan Nabi yang diperbincangkan dikalangan para ulama. Adapun berkenaan jumlah Nabi dan Rasul, wajib bagi orang Islam beriman dengan 25 para Rasul seperti yang disebutkan di dalam al-Quran. Adapun yang lain, memadai dengan mempercayainya secara umum. Begitulah hakikat yang ada pada kerasulan dan kenabian. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan