Rabu, 26 Ogos 2026

TALBIS IBLIS DALAM KEHIDUPAN MANUSIA

 

Kelalaian dan keterlekaan adalah merupakan sifat yang tidak akan pernah menguntungkan sesiapa. Lalai, cuai, leka dan terpesona adalah jarum halus yang sering memerangkap minda manusia sekaligus mengheret jatuh ke lembah kehinaan. Kerana sifat lemah inilah, kita seringkali diingatkan agar berpegang teguh kepada ajaran Islam sebenar dengan memahami teks wahyu yang sahih iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan pesan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada sekalian umat manusia agar sentiasa berpegang teguh kepada al-Quran dan sunnah, nescaya dijamin oleh baginda tidak akan sesat selama-lamanya. Dalam al-Quran, antara perkara terpenting yang ditekankan oleh Allah SWT kepada umat manusia ialah mengenali musuh sebenar iaitu iblis. Iblis bersama sekutunya tidak akan pernah berhenti menggoda manusia termasuk menggoda golongan yang taat melakukan perintah Allah Azza Wa Jalla.

Perkataan "Talbis Iblis" adalah merupakan perbendaharaan kata dari bahasa Arab yang terdiri daripada dua perkataan iaitu "Talbis" dan "Iblis". Perkataan talbis pada sudut bahasa difahami sebagai perbuatan yang menampakkan sesuatu yang salah, sesat atau batil dalam bentuk kebenaran, atau dengan kata lain talbis ialah perbuatan yang menghiasi perkara keburukan agar dilihat seperti kebaikan. Ringkasnya, talbis difahami sebagai tipu daya yang bersifat halus, tidak nampak dan tidak sedar akan tipu dayanya. Manakala perkataan iblis pula difahami sebagai makhluk putus asa. Gabungan kedua-dua perkataan ini menjadikan istilah Talbis Iblis ialah tipu daya serta perangkap yang dibuat oleh iblis dengan tujuan untuk menyesatkan dan memesongkan umat manusia dari jalan Allah SWT. Dalam sejarah ilmuan Islam, terdapat ramai dikalangan para ulama dan sarjana Islam yang menulis dan menghuraikan segala bentuk tipu daya iblis ini.




Antara mereka ialah Imam Ibnu Abid Dunya dengan kitabnya Makayidusy Syaitan (perangkap syaitan), Imam al-Ghazali dengan kitabnya Talbis Iblis, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dengan kitabnya Ighotsatul Lahfan Min Mashayidisy Syaitan (menyelamatkan orang yang lalai dari perangkap syaitan) dan yang paling dikenali ialah Imam Ibnu Jauzi dengan kitabnya Talbis Iblis. Keazaman dan tekad iblis untuk menggoda, menghasut dan merosakan manusia ini bermula apabila mereka sendiri bersumpah lalu menyebut di hadapan Allah SWT, ungkapan tersebut dirakamkan oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Hijr ayat 39, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"

Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa makhluk biadab yang bergelar iblis ini menyalahkan Allah Azza Wa Jalla kerana disesatkan. Lalu iblis bertekad dan berazam untuk mencantikan dunia ini sehingga membuatkan ramai umat manusia akan terpesona, leka dan lalai dengan dunia. Sesungguhnya dunia yang merupakan tempat semua makhluk diami, sememangnya telah indah dan cantik. Namun apa yang dimaksudkan oleh iblis untuk mencantikkan dunia ini ialah iblis akan menghiasi perkara buruk di dunia ini agar dilihat cantik dan indah di mata umat manusia. Inilah yang dinamakan sebagai tipu daya iblis. Akibat daripada perbuatan tipu daya itu tadi, umat manusia yang melakukan perkara buruk akan melihat cantik sahaja pada pandangan mata mereka. Misalnya, perbuatan syirik dengan meminta pertolongan bomoh. Pada mereka yang melakukan hal tersebut mengganggap ianya satu ikhtiar sahaja namun hakikatnya ikhtiar itu hanyalah sekadar alasan untuk menutupi dosa kesyirikan. Walhal mereka telah melakukan syirik dengan meminta pertolongan selain daripada Allah SWT.




Dalam pada itu, pada ayat yang lain Allah Azza Wa Jalla merakamkan dialog dengan iblis tatkala makhluk terkutuk itu meminta penangguhan azab sehingga hari kebangkitan seluruh makhluk. Dialog ini sebagaimana yang tercatat di dalam al-Quran menerusi surah al-A'raf ayat 14 hingga 17, dimana Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

"Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)". Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

Ayat ini dengan jelas lagi terang bersuluh, menzahirkan tekad dan kesungguhan puak iblis berazam untuk memastikan seberapa ramai umat manusia akan tersesat dan mengikuti mereka pulang ke akhirat sebagai ahli neraka jahanam. Apa yang dinyatakan ini adalah suatu amaran terpenting bagi umat manusia agar sentiasa berwaspada dengan serangan halus oleh iblis melalui talbis iblis. Imam Ibnu al-Jauzi dalam kitabnya Talbis Iblis, menjelaskan di dalam mukadimah kitabnya, beliau menyebut bahawa antara tujuan utama beliau menulis akan hal ini adalah untuk mengingatkan para hamba Allah dari fitnah-fitnah iblis, berwaspada dengan taktik, strategi dan serangan halus iblis yang menampakkan yang salah itu benar dan yang benar itu salah. Demikian menurut Imam Ibnu al-Jauzi. Hakikatnya, umat manusia mestilah bertanggungjawab melindungi diri sendiri, keluarga serta masyarakat daripada ancaman tipu daya halus oleh iblis.

Sesungguhnya tipu daya iblis ini tidak mengenal siapa pun kita. Tidak ada mana-mana manusia yang terselamat daripada digoda, dihasut dan dipesong oleh iblis kecuali hamba-hamba Allah SWT yang benar-benar ikhlas beribadah kepada Nya. Dalam usaha iblis melancarkan tipu dayanya terhadap manusia, keikhlasan beribadah kepada Allah mampu mematahkan tipu dayanya. Namun begitu ikhlas tidak semudah bercakap di mulut. Ianya memerlukan perjuangan yang berterusan mendidik jantung hati untuk sentiasa ikhlas dengan sebenar-benarnya. Dalam catatan kitab Talbis Iblis nukilan oleh Imam Ibnu al-Jauzi, terdapat pelbagai bentuk tipu daya iblis terhadap golongan manusia termasuk mereka yang terdiri daripada orang yang berilmu. Antara mereka ialah golongan ahli qiraat, pembaca al-Quran, golongan ahli hadith, golongan para fuqaha' dan juga para ulama. Kesemua golongan tersebut adalah golongan yang berilmu, tetapi tidak terlepas daripada digoda dan ditipu oleh iblis.




Sebagai contoh, tipu daya iblia terhadap golongan ahli qiraat. Imam Ibnu Jauzi menjelaskan bahawa iblis akan membuat tipu dayanya dengan menjadikan mereka yang digelar ahli qiraat ini terlalu sibuk memperlagukan bacaan al-Quran sehingga terlupa untuk beramal dengan isi-isi al-Quran. Berkata Imam al-Hasan al-Basri, al-Quran itu diturunkan untuk diamalkan namun manusia menjadikan bacaannya sebagai amalan. Maksudnya al-Quran itu sendiri diturunkan dengan tujuan beramal dengnnya namun malangnya sebahagian ahli qiraat yang terkena tipu daya syaitan asyik menyibukkan diri membaca tanpa beramal pun dengan isi-isi ayat al-Quran. Begitu juga tipu daya iblis terhadap golongan ahli hadith, dimana menurut Imam Ibnu Jauzi, antara bentuk tipu dayanya terhadap ahli hadith ialah menjadikan mereka yakni ahli hadith sibuk mempelajari hadith sehingga mengabaikan tanggungjawab fardhu. Iblis dengan senjata tipu dayanya juga akan menjadikan ahli hadith itu berasa sombong dengan ilmu yang dimiliki sekaligus memandang rendah terhadap golongan manusia yang lain.

Selain itu, tipu daya iblis juga akan menyerang golongan zuhud, golongan pelampau dalam beribadah, golongan ahli zikir, tarikat dan kesufian, golongan orang awam dan pelbagai golongan lain lagi yang akan digoda oleh makhluk terlaknat yang bergelar iblis. Oleh yang demikian, seluruh umat manusia baik siapa pun kita, apa pun pangkat, jawatan dan kedudukan yang kita pegang, berwaspada lah sentiasa dengan ancaman bersifat halus ini. Kita sewajarnya bangkit dan sedar akan ancaman ini. Dengan serangan tipu daya ini, tidak hairanlah jika kita dengar berita ada dikalangan ulama yang sanggup khianat dengan amanah ilmunya, ada guru yang sanggup meraba muridnya, ada ajaran sesat yang ajar zikir yang karut, semuanya akibat daripada barah talbis iblis yang menyerang dalam diam. Hanyasanya keikhlasan menjadi ubat paling ampuh dalam menepis segala macam serangan tipu daya iblis ini. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan