Penyusuan susu ibu adalah merupakan anugerah yang bersifat semula
jadi yang memiliki hikmah besar dari sudut biologi, perkembangan sosial dan
kesihatan serta membabitkan hukum hakam agama. Islam memandang penyusuan susu
ibu bukan sahaja sebagai satu bentuk kebaikan untuk kesihatan bayi bahkan ianya
adalah satu amanah yang terkait dengan hukum hakam agama yang juga merangkumi
hubungan sosial lain. Oleh kerana demikian, Islam telah memberikan garis
panduan dan hukum berkaitan ibu susuan bersesuaian dengan kehendak tujuan
syariat. Dalam hal tersebut, beberapa perkara berkaitan diberikan penekanan
seperti kedudukan hubungan pertalian darah antara ibu susuan dan anak susuan
selain kedudukan batas pergaulan anak susuan dengan anak-anak ibu susuan yang
lain. Sesungguhnya amalan ibu susuan ini telah berlaku dalam sejarah manusia.
Maka Islam datang dan memberikan panduan supaya nilai-nilai sosial terjaga dan
terpelihara.
Secara literalnya, perkataan "Ibu Susuan"
merujuk kepada seorang wanita yang menyusukan bayi yang bukan anak kandungnya
sendiri. Pada sudut sains perubatan dan biologi, perkataan ibu susuan tidak
membawa maksud klinikal yang tersendiri. Ini kerana perubatan melihat proses
ini secara fungsional sebagai laktasi (penghasilan susu) dan pemberian susu ibu
daripada wanita yang bukan ibu kandung kepada seorang bayi. Dalam Islam,
perbuatan penyusuan disebut sebagai Radha'ah (رضاعة). Islam mengharuskan seorang wanita menyusukan bayi yang
bukan anak kandungnya. Keharusan ini amat penting kepada bayi khususnya dalam
beberapa keadaan tertentu seperti apabila seorang ibu meninggal dunia, ibu yang
berpenyakit yang mengakibatkan dirinya tidak dapat menyusukan anaknya juga
dalam keadaan susu ibu tidak mencukupi dan tidak dapat menampung keperluan bayi
tersebut. Maka apabila keadaan tersebut berlaku, Islam mengharuskan adanya ibu
susuan.
Keharusan ini juga adalah bertepatan dengan firman Allah Azza Wa
Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Talaq ayat 6, Allah SWT berfirman
yang bermaksud :
"Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami
kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya."
Berdasarkan ayat ini, al-Maraghi menyebut dalam kitab tafsirnya
dengan menyatakan bahawa jika ada antara kamu yang menyusukan pihak lain,
misalnya si suami kurang dalam memberikan upah atau si isteri berlebih-lebih
dalam meminta tambahan yang tidak dapat ditunaikan, maka hendaklah si suami
membawa penyusu yang lain, yang boleh melakukan penyusuan. Tetapi, apabila si
suami tidak rela dengan upah yang diberikan kepada penyusu yang asing itu, maka
si ibu lebih berhak menyusukan anaknya. Demikian penjelasan oleh al-Maraghi.
Selain itu, amalan ibu susuan juga akan memberikan kesan yang membabitkan
perkara halal dan haram di dalam Islam. Antara kesan tersebut adalah mengenai
hukum haram disebabkan penyusuan yang terjadi. Penyusuan oleh ibu susuan akan
menyebabkan jalinan hubungan kekeluargaan antara anak susuan dan keluarga ibu
susuan. Jalinan hubungan secara tidak langsung ini akan mewujudkan golongan
yang haram dikahwini sepertimana haram berkahwin kerana hubungan keturunan.
Dalam bahasa yang lebih mudah, apabila wujud hubungan kekeluargaan
disebabkan oleh penyusuan, maka golongan yang sama daripada susur jalur ibu
susuan juga adalah haram hukumnya dikahwini. Hukum haram ini sebagaimana yang
telah disebutkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari dan Muslim, daripda Ibnu Abbas RA sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
“Mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini
dengan susuan.”
Secara jelasnya, amalan penyusuan bayi akan menjadikan hubungan
anak susuan dengan keluarga ibu susuan adalah bersifat mahram. Perkataan Mahram
seperti yang umum ketahui menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-Arab,
mahram bermaksud individu-individu yang tidak boleh (haram) dinikahi. Pada
sudut istilah pula sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Nawawi
al-Jawi dalam kitabnya Kasyifah al-Saja, mahram bermakna seseorang yang
diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah
dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah (harus) bukan
kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang.
Maka dengan itu, perlu kita fahami bahawa penyusuan bayi juga secara tidak
langsung menjadikan hubungan anak susuan dengan keluarga ibu susuan adalah
berstatus mahram.
Hal ini juga selari dan bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam
al-Quran menerusi surah al-Nisa' ayat 23, dimana Allah Jalla Wa 'Ala berfirman
yang bermaksud :
"Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah
menyusukan kamu dan saudara-saudara susuan kamu"
Begitu juga dalam hadith Nabi SAW riwayat Bukhari dan Muslim,
daripada Ibnu Abbas RA bermaksud :
“Nabi SAW bersabda kepada anak-anak perempuan Hamzah RA, dia tidak
halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan
penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”
Demikian antara dalil dan hujah yang menunjukkan hubungan mahram antara
anak susuan dengan ibu dan keluarga susuan. Oleh kerana status hubungannya
menjadi mahram, maka beberapa perkara lain menjadi halal antara anak susuan dan
keluarga ibu susuan. Antara lain seorang lelaki adalah halal apabila melihat
saudara perempuan susuannya sebagaimana saudaranya sendiri. Begitu juga boleh
tinggal secara bersendirian dengannya atau khalwat yang haram antara lelaki dan
perempuan yang tidak mempunyai hubungan keturunan. Selain seorang lelaki adalah
halal baginya untuk bermusafir dengan keluarga susuan melebihi tiga hari. Namun
begitu, hukum halal ini bukanlah bermakna seseorang itu harus melihat saudara
susuannya yang lainan jantina dengan penuh rasa berahi dan ghairah. Hal itu
adalah tetap haram dan berdosa.
Dalam pada itu, para ulama dan sarjana Islam turut membincangkan
mengenai syarat penyusuan yang menjadikan anak susuan tersebut dianggap mahram
(tidak boleh dikahwini). Para ulama meletakkan dua syarat utama yang
menyebabkan anak susuan tersebut dianggap mahram. Pertama, anak yang menyusu
itu belum mencapai usia dua tahun. Maka apabila usia anak tersebut melebihi
dua tahun, penyusuan yang berlaku itu tidak menjadikan anak tersebut berstatus
mahram dan begitu juga tidak menjadikan mahram ahli keluarga ibu yang
menyusukannya. Perkara ini adalah sepertimana menurut firman Allah SWT di dalam
al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 233, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang
bermaksud :
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua
tahun genap Iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu"
Syarat kedua pula ialah kanak-kanak itu disusu kenyang sebanyak
lima kali secara berasingan. Penentuan penyusuan itu dianggap berasingan
atau tidak berasingan adalah berdasarkan pandangan umum. Dalam keadaan ini,
sekiranya anak tersebut berhenti menyusu kerana kenyang, maka ia dianggap
sebagai sekali susu. Namun sekiranya anak itu berhenti menyusu kerana
bermain-main seketika atau kerana bertukar payudara maka ia dianggap sekali
susu sahaja. Sebenarnya dikalangan para ulama, mereka berbeza pandangan dalam
penentuan bilangan menyusu. Dalam permasalahan ini sekurang-kurangnya mempunyai
tiga pandangan berbeza. Pandangan pertama, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik
berpandangan walau sedikit sahaja disusukan anak tersebut, maka anak tersebut
dikira anak susuan. Pandangan kedua, Imam al-Syafie dan Imam Ahmad berpandangan
kadar penyusuan yang menjadikan anak tersebut sebagai anak susuan ialah
sebanyak lima kali susuan yang mengenyangkan. Pandangan ketiga pula seperti
yang disebutkan oleh Daud al-Zahiri, Abu Thaur dan sebahagian fuqaha yang lain,
mereka berpandangan kadar bilangan penyusuan hendaklah sebanyak tiga kali
susuan.
Beberapa persoalan berbangkit lain juga seperti apakah boleh ibu
susuan berlainan agama dengan anak susuan, jawapannya adalah boleh. Perbezaan
agama antara ibu susuan dan anak susuan tidak sama sekali menghalang penyusuan
itu berlaku dan tidak menghalang terjalinnya hubungan susuan antara mereka.
Dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, dijelaskan bahawa :
“Sekiranya seorang Muslim menyusu daripada wanita zimmi (bukan
Islam yang hidup di bawah perlindungan pemerintahan Islam) dengan penyusuan
yang menyebabkan pengharaman (yakni cukup syarat menjadi mahram), maka haramlah
ke atasnya anak-anak perempuan wanita itu dan semua furu’ perempuan itu (anak
dan cucu wanita tersebut), begitu juga ibu dan neneknya (dan ke atas), sama
seperti jika wanita itu seorang Muslimah. Ini kerana dalil-dalil syarak tidak
membezakan antara wanita Muslim dan wanita kafir dalam hukum ini. Perkara ini
telah dinyatakan secara jelas oleh ulama mazhab Maliki dan Hanbali, dan
kaedah-kaedah mazhab lain juga tidak menolaknya.”
Demikianlah sedikit penjelasan tentang ibu susuan dan hukum yang
berkaitan dengannya. Dalam isu ini, kta perlu di ingatkan mengenai status
hubungan mahram yang terjadi antara anak susuan dan ibu serta ahli keluarga
susuan. Perkara ini sangat penting agar kelak tidak berlaku sumbang mahram atau
perkahwinan yang batil dek kerana berlakunya status mahram. Islam dengan
syariat yang menyeluruh, membimbing umat manusia agar salasilah keturunan dapat
dipelihara dan terjaga. Sesungguhnya rahmat Allah kepada para ibu, anugerah
susu badan merupakan suatu lambang keistimewaan para ibu yang mengangkat
martabat dan kedudukan wanita. Kerja dan tugas bermaruah ini Allah amanahkan
kepada kaum wanita yang bergelar ibu sesuai dengan naluri dan fitrah bagi
seorang wanita. Masyrakat perlu diberikan kesedaran tentang kebaikan susu ibu
kerana ianya adalah anugerah Allah yang tidak ternilai. Semoga Allah Azza Wa
Jalla merahmati dan mengampuni kita semua.


Tiada ulasan:
Catat Ulasan