Orang cerdik pandai pernah menyebut bahawa kesalahan dan kesilapan
yang kita lakukan dalam hidup adalah guru yang berguna kepada kita dalam
mengajar erti kebangkitan setelah kejatuhan, tidak putus asa dan percaya pada
diri sendiri. Sudah lumrah dan kebiasaan manusia, tiada sesiapa yang tidak akan
pernah melakukan kesilapan dan kesalahan. Sebenarnya jika kita tidak melakukan
kesilapan maka kita tidak akan pernah belajar tentang sesuatu pada nilai
kehidupan. Namun jangan terkejut, tatkala kita pernah mendengar bahawa setiap
manusia pasti akan tersilap dan tersalah, terdapat segolongan manusia yang
dimuliakan oleh Allah SWT, golongan ini terhindar dan terpelihara daripada
melakukan kesilapan. Perkara yang demikian disebutkan sebagai sifat maksum.
Perkataan "Maksum" adalah kosa kata
daripada bahasa Arab. Menurut pada sudut bahasa Arab, ungkapan maksum disebut
sebagai al-'ismah (العصمة)
yang asalnya dari kata 'Asama - Ya'shim (عصم-يعصم)
yang merujuk kepada makna menghalang dan memelihara. Kata Ibnu Manzur dalam
kitabnya Lisan al-'Arab, beliau menjelaskan lagi dengan menyebut
al-'ismah menurut pertuturan orang Arab membawa maksud menghalang, apabila
dikatakan :" 'Ismah Allah terhadap hamba-hamba Nya", maka
ianya membawa maksud Allah menghalang hamba Nya daripada sesuatu yang
membinasakannya. Dalam catatan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat,
perkataan maksum merujuk kepada maksud terpelihara atau bebas daripada dosa,
tidak tercela dan tidak berdosa. Secara ringkas, perkataan maksum boleh kita
fahaminya sebagai suatu bentuk perlindungan, penghalang dan perisai daripada
mendapat sesuatu yang boleh mengundang kebinasaan.
Sesungguhnya daripada apa yang telah dijelaskan oleh wahyu, sifat
maksum ini adalah dimiliki hanya oleh golongan yang disebut sebagai para Nabi
dan Rasul. Sifat maksum ini tidak boleh diwarisi, bahkan ianya adalah satu
anugerah agung yang dikurniakan oleh Allah kepada para utusan Nya iaitu para
Nabi dan Rasul. Perkara ini sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam sebuah hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas bin Malik RA, diceritakan keadaan
ketika manusia mencari para utusan Allah Azza Wa Jalla untuk meminta syafaat
dari mereka, lalu Nabi Isa AS mengatakan yang bermaksud :
“Hendaklah kamu pergi kepada Muhammad SAW, seorang hamba yang
dosa-dosanya sama ada yang lalu mahupun yang terkemudian telah diampuni oleh
Allah SWT.”
Hadith ini jelas menyatakan kepada kita bahawa para Nabi dan Rasul
adalah golongan yang diangkat martabatnya dengan memiliki sifat maksum, sifat yang
memelihara diri mereka daripada melakukan kesilapan. Menyebut tentang sifat
maksum, perlu kita fahami dan ketahui mengenai sifat al-'ismah ini dalam dua
perkara. Pertama, al-'ismah atau terlindung dari perkara yang terkait dengan
urusan menyampaikan wahyu kepada umat manusia. Ini bermakna dengan keagungan
Allah Azza Wa Jalla, para Nabi dan Rasul yang juga sebagai risalah agama Islam
ini terlindung daripada tersilap dalam menyampaikan kebenaran kepada umat
mereka. Mereka terlindung daripada membuat tokok tambah atau pengurangan dalam
menyampaikan sesuatu kebenaran. Lihatlah bagaimana Allah SWT menyatakan di
dalam al-Quran menerusi surah al-Haqqah ayat 44 hingga 46, firman Allah SWT
yang bermaksud :
“Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu)
mengatakan atas nama Kami secara dusta - sebarang kata-kata rekaan, sudah tentu
Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami, kemudian sudah tentu Kami akan
memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta).”
Selain itu, dalam ayat yang lain, Allah SWT menegaskan di dalam
surah al-Najm ayat 3 hingga 4, dimana Allah SWT mengiktiraf akan segala yang
diperkatakan oleh Nabi SAW itu adalah benar dan bukan rekaan semata-mata.
Firman Allah Jalla Wa 'Ala yang bermaksud :
“Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama
Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya
itu (sama ada al-Quran atau hadith) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan
kepadanya.”
Dalam soal ini, telah berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam
kitabnya Majmu' al-Fatawa, beliau menyebut bahawa ayat-ayat yang
menunjuk kepada kenabian para Nabi membuktikan bahawa mereka adalah maksum
(tidak menokok tambah) pada risalah yang mereka sampaikan daripada Allah, maka
apa yang mereka sampaikan daripada Tuhan mereka tidak lain, adalah benar.
Inilah makna kenabian, dan termasuk juga Allah memberitahu Nabi perkara yang
ghaib dan mereka memberitahu kepada manusia perkara yang ghaib itu. Dan Rasul
pula diperintahkan untuk menyeru manusia dan menyampaikan risalah tuhannya
kepada mereka. Demikian penjelasan oleh Syeikhul Islam. Ini mengukuhkan lagi
dakwaan tentang sifat maksum para Nabi dan Rasul yang sama sekali tidak akan tersilap
dan tersalah dalam membawa kebenaran menerusi risalah Islam syariat agama Allah
Azza Wa Jalla.
Perkara kedua iaitulah yang disebut sebagai al-'ismah atau
perlindungan dari kesilapan yang dilakukan oleh manusia biasa. Dalam bab ini,
hakikatnya para Nabi dan Rasul terpelihara daripada melakukan kesilapan yang
biasa dilakukan oleh manusia pada sudut dosa besar. Manakala pada perkara dosa
kecil, para Nabi dan Rasul tidak menjadi maksum. Hal ini juga sebagaimana yang
telah dihuraikan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Majmu'
al-Fatawa, beliau berkata bahawa majoriti para ulama berpendapat bahawa
Nabi dan Rasul maksum daripada melakukan dosa-dosa besar, akan tetapi tidak
maksum daripada melakukan dosa-dosa kecil. Beginilah pendapat kebanyakan para
ulama tafsir dan hadith serta fuqaha’. Bahkan, tidak pandangan para salaf,
imam, sahabat, tabi‘in dan orang-orang yang mengikuti mereka kecuali yang
bertepatan dengan pendapat ini.
Oleh kerana itu, kita akan mendapati terdapat beberapa kisah di
dalam al-Quran yang menjelaskan tentang nasihat dan teguran oleh Allah SWT
kepada para Nabi dan Rasul Nya. Sebagai contoh, firman Allah Azza Wa Jalla di
dalam al-Quran menerusi surah Taha ayat 121 hingga 122, Allah SWT berfirman
yang bermaksud :
“...dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah
jalan (dari mencapai hajatnya). Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi
taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.”
Begitu juga di dalam ayat lain menerusi surah Sad ayat 24 hingga
25, Allah SWT menegur Nabi Daud AS dalam satu peristiwa, firman Allah SWT yang
bermaksud :
“Dan Nabi Dawud (setelah berfikir sejurus), mengetahui sebenarnya
Kami telah mengujinya (dengan peristiwa itu), lalu ia memohon ampun kepada
Tuhannya sambil merebahkan dirinya sujud, serta ia rujuk kembali (bertaubat).
Maka Kami ampunkan kesalahannya itu; dan sesungguhnya ia mempunyai kedudukan
yang dekat di sisi Kami serta tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari
akhirat kelak).”
Lihatlah pula bagaimana Allah Azza Wa Jalla menegur Nabi Muhammad
SAW kerana baginda Nabi SAW telah bersumpah untuk tidak meminum lagi madu yang
dihidang oleh isterinya Zainab. Sumpah tersebut dibuat oleh baginda Nabi SAW
kerana tidak mahu timbul perasaan cemburu dikalangan para isterinya yang lain.
Maka Allah SWT menegur baginda Nabi SAW yang telah mengharamkan apa yang telah
dihalalkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Tahrim ayat 1
yang bermaksud :
“Wahai Nabi! Mengapa engkau haramkan (dengan bersumpah menyekat
dirimu daripada menikmati) apa yang dihalalkan oleh Allah bagimu, (kerana)
engkau hendak mencari keredaan isteri-isterimu? (Dalam pada itu, Allah ampunkan
kesilapanmu itu) dan Allah sememangnya Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Demikianlah antara sebahagian contoh bagaimana Allah SWT memberi
teguran serta nasihat kepada para Nabi dan Rasulnya dalam urusan kehidupan
seharian. Dalam pada itu, harus kita ketahui bahawa diatas semua kesilapan dan
kesalahan yang dilakukan oleh para Nabi dan Rasul ini, tidak sedikit pun
menggugat kedudukan martabat mereka sebagai para utusan Allah SWT yang membawa
risalah kebenaran. Namun begitu, dalam urusan kehidupan manusia biasa, ada
sedikit keistimewaan yang Allah SWT berikan perlindungan kepada baginda Nabi
Muhammad SAW iaitu Allah melindungi baginda daripada kejahatan orang yang ingin
membunuhnya. Hal ini sepertimana yang disebutkan oleh Allah di dalam surah
al-Maidah ayat 67, Allah menyatakan Allah jualah yang memelihara baginda Nabi
dari kejahatan manusia. Berdasarkan ayat ini, Imam Ibn 'Atiyyah menyebut dalam
kitab al-Muharrar al-Wajiz, ayat ini diturunkan kerana ada seseorang
yang mencabut pedang Nabi Muhammad untuk membunuh baginda dengan pedang
tersebut.
Begitulah serba sedikit penjelasan mengenai hakikat sifat maksum.
Secara kesimpulannya, pertama umat manusia wajib percaya dan tahu bahawa sifat
maksum iaitu terpelihara daripada berbuat silap dan salah adalah sifat yang
hanya dimiliki oleh para Nabi dan Rasul. Selain mereka, tidak ada manusia lain
yang layak mempunyai sifat maksum. Keduanya, sifat maksum ini adalah kurniaan
dan pemberian oleh Allah SWT kepada para hamba Nya yang terdiri daripada para
Nabi dan Rasul. Allah Azza Wa Jalla tidak sesekali mewarisinya pula sifat
tersebut kepada para ulama, tok guru, tok syeikh, tok wali dan seumpama gelaran
dengannya. Sehebat manapun manusia itu, pada dirinya tidak sesekali memiliki
sifat maksum kecuali para Nabi dan Rasul sahaja. Ketiga, maksum boleh dilihat
pada dua perkara. Perkara pertama, para Nabi dan Rasul terpelihara daripada
tersilap membawa risalah. Tidak akan tersilap sama sekali dalam membawa
kebenaran Perkara kedua, para Nabi dan Rasul maksum pada berbuat dosa besar
namun tidak maksum pada dosa kecil. Demikian rumusan yang boleh kita katakan.
Semoga Allah merahmati kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan