Selasa, 21 Julai 2026

KONSEP TAKWIL MENURUT SYARAK

 

Seperti kata orang bijak pandai terdahulu, "A picture is worth a thousand word". Ungkapan peribahasa popular ini jika kita terjemahkannya membawa maksud sekeping gambar seribu makna. Dari ungkapan ini juga boleh kita fahaminya dengan beranggapan bahawa sekeping gambar sebenarnya mampu membawa kepada pelbagai makna menurut kepada mereka yang melihatnya. Lain orang, maka lain pula pandangannya. Maka sekeping gambar sahaja mampu mencetuskan ribuan kefahaman dengan membawa naratif kefahaman masing-masing. Seperti di dalam tradisi keilmuan Islam, perbezaan pandangan pada sesuatu hukum syarak sebenarnya lahir daripada kepelbagaian sudut faham terhadap teks al-Quran dan hadith Nabi SAW. Hal ini membawa kepada kepelbagaian pendapat menurut sudut faham yang berbeza berdasarkan kepada konsep pentakwilan dalil yang dilakukan.

Perkataan "Takwil" adalah berasal dari kosa kata bahasa Arab. Takwil pada sudut etimologisnya adalah bentuk masdar (kata dasar bagi sesuatu perbuatan) dengan wazan taf'il. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya Lisan al-'Arab, beliau menyebutkan bahawa takwil bermaksud kembali. Sementara itu menurut Imam al-Zarkasyi dalam kitabnya al-Burhan fi Ulum al-Quran, beliau menyatakan terdapat tiga asal kata dari perkataan takwil itu sendiri. Pertama, dari perkataan al-Awl yang bermaksud kembali. Kedua, takwil berasal dari kata al-Ma'al yang membawa maksud tempat kembali dan ketiganya dari perkataan al-Iyalah yang bermaksud siasat dan pengaturan. Dalam sumber lain, Kamus Dewan Edisi Keempat pula menjelaskan takwil bermakna keterangan, penjelasan dan tafsir. Selain itu, telah berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam kitabnya Dar'u Ta'arudh al-Aql wan An-Naql, beliau menjelaskan :

“Sesungguhnya lafal takwil menurut pemahaman orang-orang yang suka bertentangan (yakni Ahlul Kalam), bukanlah takwil yang dimaksud dalam At-Tanzil (wahyu yang diturunkan). Bahkan bukan pula yang dikenal oleh para ulama tafsir terdahulu. Sesungguhnya para ulama tafsir al-Qur’an terdahulu memahami lafaz takwil dengan maksud tafsir. Takwil seperti ini dapat diketahui oleh ulama yang mengetahui tafsir al-Quran. Oleh sebab itulah Imam Mujahid, imamnya ahli tafsir dan murid Ibnu Abbas, pernah menanyakan seluruh tafsir al-Quran kepada Ibnu Abbas, dan Ibnu Abbas pun telah menjelaskan tafsir seluruhnya. Ketika beliau (Mujahid) mengatakan : “Sesungguhnya orang-orang yang benar-benar ahlil-ilmi (Ar-Rasikhum fi Al-‘Ilmi) jika memahami tentang takwil, maka maksud takwil itu adalah tafsir yang telah disebutkan Ibnu Abbas padanya”.




Berdasarkan definisi yang dikemukakan, boleh kita simpulkan dengan menyatakan bahawa takwil ialah mengembalikan sesuatu kepada makna asalnya selain juga membawa maksud menjelaskan makna atau menafsirkan. Dalam pada kita berbicara akan hal ini, Dr. Muhammad Husayn al-Zahabi menjelaskan dalam kitabnya berjudul al-Tafsir wal Mufassirun, beliau menyebut dikalangan para ulama terdapat perbezaan pandangan mengenai cara interaksi dengan teks wahyu melalui kaedah pentakwilan ayat. Perbezaan pandangan ini sekurang-kurangnya telah memperlihatkan kepada kita kemunculan tiga kelompok utama. Kelompok pertama, adalah mereka yang menggunakan konsep takwil pada keseluruhan ayat. Misalnya ialah seperti kumpulan Muktazilah, Syiah dan para ulama dikalangan para sufi. Kelompok pertama ini mereka berdalih dengan menjadikan konsep takwil itu sebagai suatu usaha murni untuk menyingkap makna tabir disebalik ayat-ayat suci Allah Azza Wa Jalla. Bagi kelompok ini, kaedah pentakwilan bukan sahaja bersifat harus bahkan wajib bagi mereka untuk menggunakan takwil bagi membuka rahsia dan hikmah ayat-ayat Allah ini. Kelompok kedua pula ialah mereka yang berpegang pada pendirian untuk menolak segala bentuk pentakwilan.

Bagi kelompok kedua ini, kaedah pentakwilan hanya sekadar menjejaskan dan merosakan keaslian makna ayat-ayat al-Quran selain boleh membuka kepada perbuatan menyeleweng al-Quran secara terbuka dan meluas. Kelompok ketiga pula ialah mereka yang berada dipertengahan pandangan dengan berpendirian bahawa tidak semua ayat-ayat al-Quran itu boleh ditakwilkan dan bukan semua ayat-ayat al-Quran itu ditegah atau dilarang daripada menggunakan konsep takwil. Demikianlah tiga kelompok utama yang akan kita jumpa bila kita mulai berinteraksi dengan konsep pentakwilan. Hakikatnya sejarah berlakunya konsep pentakwilan ini telah bermula sejak pada zaman Nabi Muhammad SAW lagi. Perkara ini dapat kita perlihatkan dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, bahawa baginda Nabi Muhammad SAW bersabda dalam peperangan Ahzab yang bermaksud :

"Jangan solat asar seorang pun melainkan di Bani Qurayzah"

Berdasarkan hadith ini, para sahabat Nabi Muhammad SAW terbahagi kepada dua kumpulan yang membawa dua sudut faham yang berbeza. Kumpulan pertama adalah mereka yang berpegang kepada zahir lafaz. Sebaliknya kumpulan yang kedua pula mereka mengeluarkan hukum yakni istinbat daripada nas tersebut. Apabila perkara ini telah sampai ke pengetahuan baginda Nabi Muhammad SAW, maka baginda meraikan kedua-duanya sekaligus memperlihatkan bagaimana baginda sendiri mengiktiraf akan kedua-dua cara berfikir dan hal ini juga menunjukkan Islam terbuka dengan kepelbagaian mazhab selagimana pegangan tersebut tidaklah bercanggah dengan syariat Islam. Begitu juga antara lain apabila baginda Nabi Muhammad SAW bersetuju dan menerima kedua-dua pandangan dikalangan para sahabat tersebut, ini membuktikan Islam membolehkan kita untuk memilih sama ada mahu berpegang secara zahir atau literal sesuatu nas dan dalil mahupun berpegang kepada kaedah istinbat ayat-ayat hukum.




Hakikatnya konsep takwil dapat kita bahagikan kepada kedua bahagian. Pertama ialah takwil yang hampir. Secara mudah untuk kita fahami, takwil yang hampir ini ialah mengetahui sesuatu perkara dengan berfikir secara mudah akan kemungkinan makna yang terkandung oleh sesuatu lafaz itu. Sebagai contoh, adalah sama perbuatan memberi sedekah dengan menggunakan harta anak yatim sama hukumnya dengan memakan harta anak yatim meski duit tersebut disedekahkan. Ini berdasarkan firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Nisa ayat 10, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala"

Berdasarkan ayat ini, dapat kita mentakwilkannya dengan menjelaskan bahawa berbuat baik dengan memberi sedekah hasil daripada harta anak yatim adalah termasuk perkara haram yang disyariatkan, meski niat baik mahu bersedekah, tetapi matlamat tidakkan pernah sama sekali menghalalkan cara yang ditegah oleh syarak. Adapun takwil yang kedua ialah takwil yang jauh. Maksud atau makna daripada takwil yang jauh ini ialah pemikiran secara mendalam tentang sesuatu perkara untuk mengetahui akan kemungkinan makna yang terkandung di sebalik sesuatu lafaz. Sebagai contoh, menurut Ibnu Abbas RA, tempoh hamil perlu berlaku sekurang-kurangnya enam bulan. Pandangan ini berdasarkan satu firman Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Ahqaf ayat 15, Allah SWT berfirman yang bermaksud :

"...Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan..."




Berdasarkan kefahaman ayat ini, Ibnu Abbas RA telah melakukan istinbat (mengeluarkan hukum) dengan menyatakan kehamilan boleh berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan. Pemikiran tajam dan mendalam oleh Ibnu Abbas ini telah menjadikan dirinya berijtihad berdasarkan kemampuan dan kekuatan pemikirannya. Ini juga menunjukkan syarat untuk mentakwil juga perlu kepada kekuatan akal dan ketajaman fikiran. Demikianlah sedikit penjelasan berdasarkan konsep takwil di dalam Islam. Apa yang boleh kita rumuskan ialah perkataan takwil adalah merujuk kepada suatu kaedah dalam usaha kita hendak memahami kefahaman ayat-ayat Allah SWT. Menurut Ibnu Abbas RA, takwil adalah sama dengan makna tafsir. Ini juga bermakna agama melatih kita untuk sentiasa berfikir dengan mendalam, menghayati dan menelusuri perjalanan hidup ini dengan tenang dan sentiasa mendambakan keredaan Allah SWT. Namun begitu janganlah pula kita menjadikan akal fikiran sebagai Tuhan dan rujukan utama. Berpadalah dengan apa yang dikurniakan oleh Allah Azza Wa Jalla. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan