Hidup sebagai seorang manusia tidak akan ada sesiapa yang terlepas
daripada menggalas tanggungjawab di dunia yang bersifat sementara ini.
Tanggungjwab yang digalas oleh tiap-tiap manusia adalah merupakan suatu amanah
terpenting bagi diri umat manusia yang berperanan sebagai khalifah atau
pemimpin di muka bumi Allah yang luas ini. Peranan dan tanggungjawab yang
digalas, tidak kira sama ada berat atau ringan dan kecil atau besar, selagi
nyawa di kandung badan maka selagi itulah tanggungjawab seorang manusia harus
ditunaikan. Daripada yang berpangkat besar hingga ke yang berpangkat kecil,
kita semua mempunyai tanggungjawab yang wajib koya tunaikan dimana
tanggungjawab tersebut juga merangkumi tuntutan perihal dunia dan akhirat.
Dalam Islam, tanggungjawab terpenting yang akan dipersoalkan kelak pada hari
akhirat ialah tentang ibadah solat.
Perkataan "Solat" berasal dari bahasa Arab.
Dari sudut pemahaman bahasa, solat membawa maksud doa memohon kebajikan dan
pujian. Maka apabila kita menemui ayat di dalam al-Quran yang menyatakan bahawa
solat Allah kepada nabi Nya, ianya merujuk kepada maksud Allah memuji kepada
Nabi Nya. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, ungkapan solat ditakrifkan sebagai
sembahyang (dalam agama Islam). Perkataan solat bersinonim dengan makna ibadah,
doa dan permohonan. Solat pada sudut pemahaman syarak pula, seperti yang
dinukilkan oleh Sayyid Sabiq dalam kitabnya, Fiqh Sunnah, ianya membawa
maksud suatu ibadah yang terdiri dari perkataan dan perbuatan tertentu yang
dimulai dengan takbir bagi Allah dan disudahi dengan memberi salam dengan
syarat-syarat tertentu. Pemahaman ini secara jelas memberikan maksud bahwa
solat itu sendiri merupakan ibadah yang merangkumi rukun qauli (perkataan),
rukun qalbi (niat) dan rukun fi'li (perbuatan) dan pada masa sama terikat
kepada syarat-syarat tertentu bagi menentukan kesahihan ibadah tersebut.
Ibadah solat memiliki kedudukannya yang terpenting bagi seorang
muslim. Ini kerana solat dianggap sebagai tiang bagi kedudukan agama Islam.
Dalam rukun Islam, ibadah solat terletak pada kedudukan kedua setelah
mengucapkan dua kalimah syahadah. Hal ini sepertimana yang telah disebutkan
oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada
Abdullah Ibn Umar Ranhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Islam dibina di atas lima iaitu kalimah “bahawa tiada tuhan
selain Allah dan sesungguhnya Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya”,
mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji di baitullah, dan berpuasa
pada bulan Ramadan".
Berdasarkan hadith ini, kedudukan ibadah solat dilihat sangat
terpenting yang wajib ditunaikan oleh tiap-tiap manusia yang bergelar muslim.
Dalam pada itu, ibadah solat diiktiraf oleh Allah Azza Wa Jalla sebagai suatu
perbuatan yang dapat mencegah dan menghalang diri manusia daripada melakukan
perbuatan yang keji dan mungkar. Ini bermakna, ibadah solat itu sendiri memberi
kesan secara langsung ke dalam diri manusia dengan menghalang daripada
melakukan perkara-perkara yang ditegah dan dilarang oleh Allah Azza Wa Jalla.
Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah
al-'Ankabut ayat 45, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
“Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan
mungkar.”
Menurut Imam al-Qurtubi menyebut di dalam kitabnya al-Jami' li
Ahkam al-Quran, ketika menafsirkan ayat ini beliau berkata yang bermaksud :
"Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Nabi SAW: “Tidakkah
kamu melihat sekiranya sebuah sungai yang berada berhampiran kamu, lalu kamu
mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari, adakah tersisa kekotoran
pada diri kamu, mereka berkata: tidak akan tersisa, lalu Nabi SAW menjawab:
“Begitulah perumpamaan solat lima waktu yang menghapuskan segala dosa manusia
dengannya”. Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA dan dikeluarkan oleh
Imam al-Tirmizi dan beliau menyatakan hadith ini hasan sahih".
Namun begitu, melihat kepada realiti yang ada pada hari ini, ada
segelintir manusia barangkali terfikir akan sekiranya benar ibadah solat itu
sendiri dapat mencegah manusia daripada melakukan perkara dosa dan maksiat,
mengapa masih ada ramai umat manusia yang solat tetapi masih berbuat dosa dan
maksiat ? Bagi merungkaikan persoalan ini, kita terlebih dahulu perlu fahami
tentang syarat-syarat sesuatu ibadah itu diterima oleh Allah SWT. Antara syarat
terpenting yang membolehkan Allah Azza Wa Jalla menerima ibadah kita ialah niat
yang ikhlas dan ibadah tersebut dilakukan menepati dengan ajaran sunnah dan
juga syarak. Maka perkara yang perlu dititik beratkan ketika kita mendirikan
solat ialah pertamanya meluruskan niat dengan ikhlas kerana Allah. Sesungguhnya
Allah SWT telah memerintahkan para hamba Nya untuk menyembah Allah dengan
mengikhlaskan ibadah kepada Nya. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah
Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Bayyinah ayat 5, Allah SWT
berfirman yang bermaksud :
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah
Allah SWT dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya.”
Dalam memahami maksud ayat ini, Imam al-Qurtubi menjelaskan dalam
kitab tafsirnya dengan menyebut bahawa :
"Firman Allah SWT dalam ayat yang lain “قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّـهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ”
yang bermaksud “Katakanlah (wahai Muhammad SAW): “Sesungguhnya aku
diperintahkan supaya menyembah Allah SWT dengan mengikhlaskan segala ibadah
hanya kepada-Nya”. [al-Zumar:11]. Ayat ini menjadi dalil bahawa wajibnya kita
berniat dalam melaksanakan perkara-perkara berkaitan ibadah. Hal ni kerana,
ikhlas merupakan amalan hati dan ia perlulah dilakukan semata-mata kerana Allah
SWT dan tidak pada selain daripada-Nya".
Ini menjelaskan bahawa sesuatu amalan itu diterima oleh Allah SWT
adalah dengan niat yang ikhlas kepada Nya. Begitu juga syarat yang lain ialah
ibadah yang dilakukan tersebut perlulah bertepatan dan selari dengan petunjuk
sunnah baginda Nabi Muhammad SAW dan syarak. Tidak diterima amalan yang
dilakukannya itu sekiranya amalan tetsebut tiada petunjuk dalam agama. Ini
sebagaimana yang direkodkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Aisyah
Ranha bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang mengerjakan sesuatu amalan yang tiada dalam agama
kami, maka amalan yang dikerjakan itu tertolak".
Ketika mensyarahkan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab
Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa menurut ahli
bahasa Arab, lafaz “رَدٌّ”
pada hadith tersebut bermaksud ditolak. Dalam erti kata lain, ia adalah batil
dan tidak dikira. Hadith ini termasuk dalam kaedah agung di antara
kaedah-kaedah agama dan sebahagian daripada Jawami‘ al-Kalim (ringkas dan makna
yang padat) yang dianugerahkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Hadith ini juga
jelas menunjukkan bahawa semua bidaah dan perkara baru yang diada-adakan dalam
agama adalah tertolak. Demikian menurut Imam al-Nawawi. Maka berdasarkan dua
syarat utama itu tadi, tidak salah untuk kita katakan bahawa solat bagi mereka
yang tidak menepati syarak dan solat yang didirikan itu tidak dilakukan dengan
niat ikhlas kerana Allah, maka solat itu menjadi rosak, cacat dan tidak
sempurna sekaligus tidak dapat memberikan kesan yang baik pada diri peribadi
terbabit.
Selain itu, menjawab persoalan mengenai mengapa orang yang solat tetapi
masih berbuat maksiat, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menjawab dalam kitabnya Majmu'
al-Fatawa dengan beliau menyebut bahawa :
"Solat akan mencegah dari perbuatan keji dan mungkar seperti
yang difirmankan oleh Allah dalam al-Quran. Setiap keadaan solat tidak akan
menjadikan pelakunya semakin jauh dari Allah. Bahkan orang yang solat (jauh)
lebih baik berbanding yang tidak solat dan orang solat lebih dekat kepada Allah
berbanding yang tidak solat, sekalipun orang yang solat tersebut seorang fasik.
Namun ia seperti yang dikatakan oleh Ibn Abbas RA : “Kamu hanya memperoleh
daripada solatmu menurut apa yang kamu sedar (khusus) ketika menunaikannya.”
Nabi SAW juga telah bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba mungkin apabila
selesai dari solatnya, tidak dicatit pahala untuknya melainkan hanya separuh,
atau 1/3, atau ¼ sahaja.” Sehingga bersabda: “(Ada yang tidak memperoleh dari
solatnya sesuatu) melainkan 1/10 sahaja.” Ini kerana, apabila seseorang
menunaikan solat sebagaimana yang diperintahkan, maka solat itu akan
mencegahnya dari perkara keji dan mungkar. Jika solat tidak mencegahnya, itu
menunjukkan bahawa dia telah mengabaikan hak-hak (adab-adab) solat, meskipun
dia adalah seorang yang telah mematuhi perintah menunaikan solat. Allah Ta'ala
berfirman : “Maka datanglah selepas mereka generasi yang melalaikan solat.’
(Surah Maryam: 59) Melalaikannya bermaksud mengabaikan kewajipan-kewajipannya,
walaupun dia menunaikannya. Hanya Allah yang Maha Mengetahui."
Maka dengan itu, jelaslah mengapa ada yang telah menunaikan solat
tetapi masih tidak meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat. Ini kerana kualiti
solat yang tidak dijaga dengan baik maka hasilnya juga tidak memberikan kesan
yang baik. Oleh itu, seruan kepada setiap insan yang bergelar muslim, marilah
sama-sama kita mengaudit semula tatacara solat kita supaya kita benar-benar
mendirikan solat seperti menurut ajaran al-Quran dan sunnah Nabi. Selain kita
juga haruslah sentiasa perlu memperbaharui niat dengan memperkukuhkan
keikhlasan dalam beribadah kepada Allah SWT. Kunci utama solat yang memberi
kesan baik kepada diri kita semua yang bergelar muslim ialah dengan menjaga dan
memelihara mutu kualiti ibadah solat kita. Solat yang sempurna sebagaimana yang
ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW, pastinya akan memberikan kita kesan
langsung yang baik iaitu dengan dapat menghalang diri kita daripada melakukan
perkara-perkara keji dan mungkar sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT.
Semoga kita semua dirahmati dan diampuni oleh Allah SWT.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan