Jumaat, 17 Julai 2026

HAK SUAMI ISTERI SELEPAS PERCERAIAN

 

Pembubaran rumah tangga atau lebih mudah disebut sebagai perceraian bukanlah suatu perkara yang diimpikan oleh setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga. Tidak terbayang apatah lagi menjadi cita-cita bagi setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga untuk bercerai. Namun begitu, diatas jalan takdir Nya yakni Allah SWT yang lebih Maha Mengetahui, sesuatu perceraian yang terjadi pastinya miliki ibrah pengajaran selain menjadi medan bermuhasabah kembali bagi kedua-dua pihak pasangan. Tanpa di duga, kadang-kala perceraian yang berlaku membuka suatu lebaran baharu kehidupan mereka yang lebih baik, yang juga turut mengajar manusia tentang nilai-nilai kematangan dalam menghadapi ujian kehidupan. Islam mensyariatkan penceraian sebagai solusi akhir dalam melayari bahtera. Tujuan perkahwinan adalah untuk meraih ketenangan, kebahagiaan dan kasih sayang. Jika semua hal itu hilang serinya, maka Islam memberikan jalan akhir iaitulah dengan cara penceraian.

Secara eksplisit, penceraian atau pembubaran perkahwinan menurut syariat Islam disebutkan sebagai Talak. Perkataan "Talak" diambil daripada kosa kata bahasa Arab. Pada sudut bahasa, ungkapan talak itu sendiri membawa maksud lepas dan terlepas. Manakala pada sudut syaraknya pula, sebagaimana yang tercatat dalam al-Qamus al-Fiqhi, perkataan talak merujuk kepada maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz dan seumpamanya. Selain itu, dalam kitab Dur al-Mukhtar pula, talak membawa maksud mengangkat ikatan perkahwinan pada masa tersebut atau akan datang dengan lafaz yang khusus atau yang mengambil kedudukannya. Dalam konteks negara kita, perkataan perceraiaan difahami sepertimana yang dijelaskan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai perpisahan dan perpecahan atau perihal (kejadian) bercerai (antara suami isteri). Dalam ungkapan yang lebih mudah difahami, perceraian ialah pembubaran ikatan perkahwinan antara suami dan isteri dengan melalui lafaz talak atau seumpamanya.




Dalam syariat Islam, apabila sesebuah ikatan perkahwinan itu terlerai atau dalam bahasa mudahnya bercerai, Islam telah menggariskan beberapa hak antara suami dan isteri yang boleh dituntut berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh pihak pemerintah atau dalam konteks hari ini merujuk kepada ketetapan oleh pihak mahkamah syariah. Antara lain hak yang boleh dituntut ialah hak nafkah iddah. Perkataan Nafkah Iddah merujuk kepada maksud suatu nafkah yang wajib dibayar kepada isteri yang diceraikan dalam tempoh iddah. Nafkah tersebut ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut hukum syarak. Ini bermakna, selepas perceraian berlaku, si isteri berhak menuntut nafkah iddah kepada suaminya selama tempoh iddah itu berjalan. Seseorang suami setelah melafazkan cerai, maka beliau wajib memberikan nafkah sepanjang tempoh bekas isterinya beriddah. Namun begitu, terdapat beberapa syarat untuk melayakkan bekas isteri menuntut nafkah tersebut. Golongan yang layak tersebut ialah isteri diceraikan secara talak rajie (talak yang boleh dirujuk), isteri yang hamil ditalak dengan talak bain (tidak boleh dirujuk) berhak mendapat nafkah sehingga anak lahir, isteri yang tidak hamil yang diceraikan secara talak bain, tidak berhak mendapat nafkah, pakaian dan tempat kediaman namun mereka berhak mendapat kemudahan tempat tinggal dan isteri yang tidak nusyuz (derhaka) kepada suami.

Selain itu, antara hak lainnya juga ialah hak Mut'ah. Perkataan "Mut'ah" merujuk kepada maksud pemberian saguhati yang diwajibkan ke atas suami kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak. Kadar mut’ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-kedua belah pihak atau ditentukan oleh mahkamah. Bagi menuntut hak mut'ah, terdapat beberapa syarat yang mesti dipenuhi antara lain syaratnya ialah wujud perkahwinan yang sah, berlaku perceraian bukan berpunca daripada isteri, berlaku perceraian hidup dan berlakunya persetubuhan selain perceraian tersebut bukan disebabkan oleh suami papa. Dalam pada itu, terdapat beberapa faktor yang boleh menggugurkan hak mut'ah seperti isteri yang nusyuz (derhaka) yang disabitkan oleh mahkamah, isteri yang diceraikan sebelum bersetubuh dan mas kahwin disebut dalam akad, keadaan isteri yang murtad dan perceraian secara khuluk iaitu tebus talak. Beberapa keadaan berikut boleh menghilangkan hak kelayakan si isteri untuk memohon hak mut'ah. Seperti yang dijelaskan, kadar bayaran mut'ah tidak ditetapkan. Hal ini tertakluk kepada persetujuan bersama antara suami dan isteri. Pun begitu, jika kedua-dua belah pihak tidak dapat mencapai kata sepakat maka pihak ketiga iaitu mahkamah yang akan memutuskan kadar mut'ah tersebut.




Antara hak lain lagi ialah hak harta sepencarian. Maksud pada terma "harta sepencarian" ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat ditentukan oleh hukum syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian ini merangkumi wang ringgit, harta alih seperti kenderaan dan barang kemas, harta tak alih seperti tanah dan kediaman atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Mengikut lunas undang-undang mahkamah syariah, tuntutan harta sepencarian boleh dikemukakan kepada pihak Mahkamah Tinggi Syariah. Secara asasnya, isu harta sepencarian ini tidak ada wujud pada zaman awal kedatangan Islam. Oleh itu kita tidak akan menemui perbahasan yang mendalam menyentuh soal perkara tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa penulisan ulama terdahulu yang membahaskan tentang harta suami dan isteri sebagai Mata‘ al-Bayt (perkakas rumah) atau Mal al-Zawjayn (harta suami isteri). Tetapi tidak dinamakan sebagai harta sepencarian. Antaranya tulisan oleh Imam al-Syafie dalam kitabnya al-Umm, beliau menyebut :

“Apabila berlaku pertelingkahan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan terhadap harta benda dan perkakas rumah yang mana kedua mereka mendiami rumah tersebut dan mereka berpisah (bercerai) atau sekalipun tidak berpisah, atau kedua suami dan isteri atau salah seorang itu meninggal dunia, dan berlaku pertelingkahan antara waris kepada kedua-dua belah pihak atau pertelingkahan oleh waris kepada salah satu dari kedua pihak ini; maka kedudukan cara penyelesaian semuanya adalah serupa”

Kenyataan ini juga secara tidak langsung menunjukkan sebahagian maksud amalan harta sepencarian. Telah berkata Imam Imam Syamsuddin al-Ramli, seorang tokoh besar dalam mazhab Syafie, dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj dengan menyebut kenyataan Imam Syafie bahawa jika bertelingkah suami dan isteri ketika masih dalam perkahwinan atau selepas perceraian untuk memiliki harta benda seperti perkakas rumah maka menjadi milik bagi sesiapa yang mempunyai bukti atau bersumpah sebagai pemilik barangan tersebut. Jika kedua-duanya bersumpah maka dibahagikan sama rata antara satu sama lain. Demikian menurut Imam al-Ramli. Maka boleh kita simpulkan bahawa meski tidak disebut secara literal, namun konsep dan amalan yang dibahaskan oleh Imam al-Syafie menyamai dengan maksud harta sepencarian tersebut.




Selain itu, turut menjadi hak oleh suami dan isteri juga ialah hak Hadhanah (hak jagaan anak). Perkataan "Hadhanah" membawa maksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum mumaiyiz. Dalam kitab Fiqh al-Manhaji, dinyatakan hadhanah bermaksud penjagaan anak. Dari segi bahasa, hadhanah bermaksud tepi atau sisi. Hal ini demikian kerana penjaga anak mengambil anak yang dijaga ke sisinya. Tuntutan hak ini boleh dikemukakan oleh suami atau isteri bagi memperolehi hak menjaga anak-anak. Secara asasnya, Islam telah menetapkan bahawa yang paling layak mendapat hak jagaan anak setelah terlerainya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru. Namun begitu, bekas suami mempunyai hak untuk menuntut hal tersebut dengan membukitkan kepada mahkamah bahawa si ibu tidak layak untuk menjaga anak tersebut. Hak jagaan anak ini adalah sangat penting dan mustahak bagi menjamin masa depan anak-anak yang tidak berdosa ini.

Akhir sekali, hak yang boleh dituntut oleh isteri ialah hak nafkah anak. Ini bermakna seorang suami yang juga bergelar seorang bapa wajib baginya memberikan nafkah kepada anaknya meski telah berpisah yang merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan mengikut kemampuan yang ada. Demikianlah hak-hak yang digariskan oleh syarak kepada suami dan isteri setelah berlaku perceraian. Kesedaran tinggi mengenai hal ini amat penting bagi meluruskan semula salah faham orang terhadap Islam yang dilihat seperti menzalimi hak antara bekas suami dan isteri. Realiti yang ada pada hari ini, kaum lelaki dilihat begitu cuai dalam usaha memberi nafkah kepada yang berhak selepas berlaku perceraian. Hal ini sekaligus memberikan anggapan salah terhadap Islam. Walhal Islam telah meletakkan panduan yang jelas dalam meleraikan persoalan hak selepas berlaku perceraian. Ingatlah bahawa Allah Azza Wa Jalla tidak pernah lalai daripada melihat setiap perbuatan para hamba Nya. Maka oleh itu, marilah sama-sama kita memberikan kesedaran tinggi kepada masyarakat agar tahu dan faham hak dan tanggungjawab masing-masing apabila berlaku perceraian. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan