Salah satu bukti akan kekuasaan Allah SWT ialah apabila adanya bumi
yang luas, dihiasi dengan gunung-ganang yang tinggi, lautan biru yang
mengagumkan selain kecantikan panorama alam lain yang menakjubkan. Sesungguhnya
segala keindahan yang terzahir di alam ini memadai untuk kita berfikir tentang
kehebatan dan keagungan sang penciptanya iaitu Allah Azza Wa Jalla. Khazanah alam
yang begitu indah ini sangat memberi inspirasi kepada umat manusia yang
menikmatinya dan menghargai anugerah alam yang tidak ternilai ini. Pelancongan
adalah merupakan salah satu instrumen yang mendorong manusia berjalan di muka
bumi ini sambil melihat keajaiban ciptaan Nya selain berfikir akan Maha
Hebatnya kerajaan Allah SWT yang menciptakan alam ini. Selain menjadi tempat
manusia bersosial, pelancongan juga menjadikan kita berfikiran luas dengan
melihat akan keunikan alam ini yang datangnya daripada kebijaksanaan Allah
dalam menciptakan sesuatu.
Pelancongan secara umumnya boleh kita fahami sebagai aktiviti
pengembaraan atau perjalanan oleh seseorang menuju ke suatu destinasi yang
berada di luar persekitaran asalnya. Menurut Pertubuhan Pelancongan Sedunia (UN
Tourism), pelancongan ditakrifkan sebagai pergerakan sementara manusia ke
destinasi di luar tempat tinggal dan tempat kerja biasa, di mana mereka
melakukan aktiviti di kawasan yang dituju dan menggunakan kemudahan yang
disediakan untuk memenuhi keperluan mereka. Dari perspektif Islam, ungkapan
pelancongan boleh kita fahami melalui beberapa istilah khusus lain seperti Musafir
(مسافر) yang berasal dari kata Safara
bermaksud pergi, berjalan dan mengembara. Juga istilah Rehlah (رحلة) yang berasal dari kata Rahala
yang merujuk kepada maksud mengembara dan berniaga. Selain itu terdapat istilah
Ziyarah (زيارة) yang berasal
dari kata Zara bermaksud melawat dan menziarahi. Satu lagi istilahnya
ialah Siyahah (سياحة) yang berakar
dari kata Saha yang membawa makna mengembara di bumi. Demikianlah secara
ringkas definisi pelancongan.
Islam sesungguhnya agama yang memberi galakan kepada umatnya untuk
melancong. Pelancongan boleh dianggap sebagai satu ibadah yang murni, kerana
berjalan-jalan sambil melihat akan kecantikan dan keindahan alam yang dijadikan
oleh Allah Azza Wa Jalla. Di dalam al-Quran menerusi surah al-Mulk ayat 15,
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka
berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang
dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu
sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmatNya dan takutilah
kemurkaanNya)."
Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menegaskan bahawa Dia lah yang
menciptakan bumi yang luas ini adalah sebagai kemudahan bagi para hamba Nya
untuk berjalan di merata-rata sambil menikmati apa sahaja keindahan dan
kecantikan alam yang menjadi milik Nya ini. Dalam catatan sejarah panjang
Islam, terdapat seorang sarjana Islam yang bernama Abu Abdullah Muhammad Ibn
Battuta atau lebih dikenali sebagai Ibn Battuta, dirinya telah diiktiraf
sebagai pengembara paling hebat dalam sejarah manusia. Beliau mengembara sejauh
lebih kurang 117,000 kilometer selama hampir 30 tahun. Penjelajahannya meliputi
daerah yang sekarang merupakan Afrika Barat hingga ke Pakistan, India,
Maldives, Sri Lanka, Asia Tenggara dan China, jarak yang jauh lebih hebat dari
Marco Polo yang hidup hampir seera dengan beliau. Ibn Battutta yang berasal dari
Maghribi memulakan langkah pertama dalam pengembaraannya ketika hendak
menunaikan Haji di Mekah semasa berusia 24 tahun. Perjalanannya mengambil masa
selama 16 bulan dan sejak daripada itu, beliau tidak menoleh ke belakang lagi
dan meneruskan perjalanan menakluk dunia selepas mendapat gelaran haji.
Pada asasnya, pelancongan bukanlah sesuatu yang ditegah, dibenci
dan apatah lagi dilarang di dalam Islam. Malah terdapat banyak ayat-ayat
al-Quran yang lainnya secara jelas menyebut tentang kepentingan melancong,
berjalan sambil mengambil faedah daripada perjalanan tersebut. Secara
konsepnya, pelancongan pada menurut galakan di dalam agama Islam tidaklah jauh
bezanya dengan realiti pelancongan yang ada pada masa kini. Namun begitu
pelancongan menurut syariat Islam amat menekankan tentang kepatuhan manusia
kepada sistem dan nilai yang telah ditetapkan oleh syarak. Selain itu, Islam
turut menekankan tentang melakukan aktiviti pelancongan yang mengundang kepada
keredaan Allah dan bukannya sekadar memuaskan hati dan perasaan. Antara
nilai-nilai pelancongan yang ditekankan oleh Islam ialah etika dalam
berpakaian. Istilah melancong sama sekali bukan bermakna kita boleh memakai
pakaian menurut apa yang kita suka. Umat Islam sentiasa akan terikat dengan
syariat meski dalam keadaan melancong. Oleh kerana itu, sebagai seorang
pelancong, wajib bagi dirinya kekal berterusan menjaga dan memelihara aurat
dengan baik meksi sedang melancong.
Selain itu, Islam juga menekankan mengenai niat dan tujuan sesuatu
aktiviti pelancongan tersebut dilakukan. Persoalan ini juga terkait rapat
dengan hukum-hakam solat jamak dan qasar. Dalam Islam, sesuatu pelancongan yang
dibuat mestilah memiliki niat dan tujuan yang betul. Niat dan tujuan yang betul
pula bukanlah diukur pada fikir dan pertimbangan rasa kita tetapi diukur dengan
petunjuk wahyu al-Quran dan hadith. Ini juga bermakna untuk menilai dan
menentukan tentang baik buruknya sesuatu niat dan tujuan tersebut mestilah
dilihat menurut neraca syariat Islam dan bukannya menurut hawa nafsu semata.
Niat dan tujuan yang baik membolehkan seseorang itu melaksanakan solat jamak
dan qasar sesuai dengan keadaannya yang melancong. Pun begitu, jika niat dan
tujuannya tidak baik atau bertujuan untuk melakukan maksiat, maka hukumnya
adalah haram bagi golongan seperti ini. Islam melarang umatnya untuk melancong
dengan tujuan yang dilarang oleh syarak. Misalnya, melancong untuk tujuan
merompak, mencuri dan sebagainya. Pelancongan dengan niat dan tujuan yang salah
seperti ini tentunya dilarang oleh Allah Azza Wa Jalla.
Begitu juga Islam turut menekankan tentang kegiatan atau aktiviti
yang hendak dilakukan mestilah tidak bercanggahan dengan ajaran agama Islam.
Sebagai contoh, kegiatan pelancongan melawat ke tempat-tempat bersejarah
seperti makam dan perkuburan, hendaklah tidak melakukan perbuatan berlebihan
seperti datang untuk menyembah kubur dan meminta kepada orang yang telah mati,
perbuatan seperti ini adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain
itu, aktiviti yang hendak dilakukan juga mestilah mempunyai batas pergaulan
yang terjaga. Ini kerana Islam amat menitikberatkan tentang menjaga pergaulan
daripada melakukan perkara yang boleh mengundang fitnah apatah lagi boleh
mendorong pula manusia tersebut kepada perbuatan khalwat dan berzina. Aktiviti
melancong bukanlah lesen untuk kita berbuat sesuka hati kita dengan melanggar
hukum syariat agama Allah Azza Wa Jalla. Beberapa nilai lain yang ditekankan
juga oleh Islam melalui ibadah melancong seperti nilai tafakkur dan tadabbur.
Nilai tafakkur dan tadabbur ini yang sebenarnya mengajak umat
manusia untuk merenung, berfikir dan menghayati tentang keajaiban disebalik
kekaguman kita terhadap keindahan alam ini. Oleh kerana itu, kita diajar untuk
mengembalikan segala kekaguman kita terhadap alam ini dengan memuji dan memuja
Allah Azza Wa Jalla. Antara lafaz doa yang diajarkan kepada kita apabila kita
melihat sesuatu yang menakjubkan ialah dengan menyebut : رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ
النَّارِ yang bermaksud "Wahai
Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan alam ini dengan sia-sia. Maha Suci
Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka". Doa ini berdasarkan
surah Ali ‘Imran ayat 191. Kita dituntut dan disuruh untuk mengembalikan
kekaguman tersebut dengan memuji dan memuja Allah SWT. Dalam pada itu, nilai
tafakkur dan tadabbur juga memberikan kita suatu rasa keinsafan dan betapa
kerdilnya kita ini berbanding dengan kekuasaan dan keagungan Allah Azza Wa
Jalla. Perasaan ini lebih dirasai lagi apabila kita dapat melawat dan
menziarahi tempat-tempat yang telah diazab oleh Allah seperti di Madain Saleh
di Al-Ula Arab Saudi, suatu tempat kota purba bekas penempatan kaum Tsamud
(kaum Nabi Saleh) yang ditimpa gempa bumi dan petir.
Selain di Laut Mati, sempadan Jordan dan Tebing Barat, suatu tempat
umat Nabi Luth yang dihukum oleh Allah kerana melakukan hubungan sejenis. Juga
di Laut Merah yang terletak di antara benua Asia dan Afrika. Laut ini telah
memisahkan wilayah semenanjung Arab dengan Afrika Timur. Laut Merah menyaksikan
sejarah dimana Allah SWT menenggelamkan Firaun dan tenteranya ketika mengejar
Nabi Musa AS dan pengikutnya. Demikianlah antara tempat-tempat pelancongan yang
boleh mengundang perasaan insaf dan betapa kerdilnya diri kita ini dihadapan
Allah SWT. Islam juga menekankan nilai silaturrahim dan ukhuwwah sesama umat
manusia. Oleh itu pelancongan bukan sahaja menjadi medan untuk kita menikmati
keindahan alam malah boleh menjadi medan menyemaikan kemanisan dalam
berhubungan sesama manusia. Sesungguhnya pelancongan merupakan suatu ibadah
kepada Allah SWT yang besar nilainya jika kita benar-benar menghayatinya dengan
mematuhi tuntutan syarak. Secara prinsipnya, Islam amat mengalakan umatnya
untuk melancong, berjalan merata di muka bumi ini dengan mengambil pengajaran
bermakna. Janganlah kita jadikan pelancongan hanya sekadar hiburan memenuhi
perasaan tetapi isilah ia dengan makna ibadah kepada Allah. Semoga Allah
merahmati dan memberkati kita semua.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan