Sesebuah latar masyarakat yang harmoni sebenarnya datang dari
institusi keluarga yang utuh. Keluarga yang kukuh, dipupuk dengan nilai
kebahagiaan yang tulus selain dieratkan lagi dengan elemen moral dan agama,
akan melahirkan latar masyarakat yang sejahtera, harmoni dan bahagia. Hakikat
akan semua itu, ianya bermula dengan satu tempat yang digelar sebagai rumah.
Rumah adalah merupakan tempat kediaman seisi keluarga yang sepatutnya menjadi
wadah perlindungan warganya, tempat memberi asuhan dan didikan awal kepada
anak-anak dan menjadi medan membina suasana dan keadaan yang selamat. Bak kata
pepatah "Rumahku Syurgaku" sewajarnya di hayati dan diterjemahkan
bersama dalam rumah kita agar rumah yang menjadi tempat tinggal keluarga itu
benar-benar berfungsi sebagai tempat yang selamat dan selesa, bukannya tempat
duka dan lara.
Menurut statistik rasmi yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia
(PDRM), terdapat peningkatan kes jenayah yang melibatkan institusi kekeluargaan
berlaku di rumah seperti keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak,
penderaan seksual dan sumbang mahram. Setakat bulan Jun 2025, sebanyak 3,768
kes keganasan rumah tangga direkodkan, melibatkan mangsa berusia 36 tahun
hingga 45 tahun di seluruh negara. Bagi kes keganasan dan gangguan seksual
kanak-kanak, sejak tahun 2021 hingga 2025, PDRM merekodkan sejumlah 4,079 kes
keganasan dan 3,042 kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dilaporkan.
Selain itu, kes penderaan kanak-kanak juga menyaksikan trend yang makin
membimbangkan. Berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan
Masyarakat, pada suku tahun keempat 2025, sebanyak 1,575 kes penderaan
kanak-kanak direkodkan.
Sebahagian statistik angka dan rekod yang dinyatakan ini jelas
membuktikan bahawa rumah tidak semestinya lagi menjadi tempat yang paling
selamat untuk di diami. Peningkatan pelbagai kes jenayah di rumah yang
dilaporkan sebenarnya bukanlah angka yang tepat untuk kita lihat kerana kita
harus yakin dan percaya di luar sana barangkali wujud pelbagai lagi kes seperti
ini berlaku namun tidak dilaporkan kerana mungkin akan berdepan pelbagai risiko
seperti ugutan, diancam atau lain-lain jika mangsa tampil membuat laporan ke
pihak berkuasa. Sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, sikap peduli dan peka
akan keadaan sekeliling terutamanya jiran tetangga akan secara tidak langsung
membantu negara berdepan dengan isu-isu salah laku seperti ini. Sikap peduli
akan kejiranan kadang disalah ertikan dan dilabel dengan bermacam labelan.
Malah masyarakat kita yang telah sebati dengan pepatah "jangan jaga di
tepi kain orang", beranggapan pedulikan masyarakat dilihat seperti
menyibuk akan hal rumah tangga orang.
Pada sudut lain pula, para ibubapa yang kurang peka dengan keadaan
rumah dan anak-anaknya, akan mendorong lagi pemangsa semakin berani mencengkam
mangsanya melakukan kezaliman. Oleh kerana itu, komunikasi yang berkesan di
dalam sesebuah institusi keluarga akan dapat menghalang unsur-unsur pelakuan
jenayah dilakukan. Sebagai contoh, apabila ada anak-anak yang datang bercerita
akan sesuatu yang pelik, kita sebagai penjaga mereka, janganlah memandang remeh
akan tiap-tiap perkara yang diadukan. Adakalanya anak-anak terkeliru dan tidak
tahu bahawa sesuatu perbuatan tersebut benar atau salah. Maka kita sebagai
pendengar haruslah memandang berat dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
Mengambil pengajaran daripada sebuah kes yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan,
seorang abang sulung dijatuhi hukuman penjara selama 18 tahun dan 20 sebatan
selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya semasa
gadis itu berusia 13 tahun.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol adik kandungnya
yang ketika itu berusia 13 tahun pada bulan Disember tahun lalu di sebuah
rumah. Pertuduhan kedua, di tempat yang sama tertuduh didakwa merogol mangsa
kali kedua pada bulan Mei yang lalu. Melihat akan fakta kes tersebut, kedua-dua
kejadian ini berlaku di rumah dan dilakukan oleh mereka yang miliki pertalian
darah. Ini adalah sesuatu yang menjijikkan. Apabila abang kandung sendiri
tergamak melakukan perbuatan terkutuk itu, apa lagi bahasa yang lebih sopan
untuk diperkatakan. Dalam kes lain, kes penderaan kanak-kanak sehingga
meninggal dunia di Taiping, Perak, memperlihatkan kepada kita betapa manusia
kini semakin hilang kewarasan. Berdasarkan laporan Astro Awani bertarikh 29 Mac
2026, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun sembilan bulan disahkan
meninggal dunia akibat kesan penderaan yang dilakukan.
Menurut Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abdul Malek
Ismail, beliau berkata kanak-kanak perempuan itu dibawa ke hospital dalam
keadaan tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Zon Merah pada 12.43 tengah hari
dan doktor bertugas telah memberikan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR)
selama 30 minit, namun mangsa tidak menunjukkan pemulihan peredaran spontan
(ROSC). Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada 1.12 tengah hari.
Dalam pada itu, menurut hasil laporan bedah siasat yang dilakukan, punca
kematian adalah akibat kecederaan pada bahagian kepala dan leher disebabkan
hentakan objek tumpul. Bagi membantu siasatan, empat individu ditahan yang
terdiri daripada ibu kandung, bapa tiri serta datuk dan nenek mangsa. Beberapa
keterangan jiran juga menjelaskan bahawa mereka kerap kali mendengar tangisan
kanak-kanak di rumah berkenaan seperti dipukul.
Selain kes melibatkan kanak-kanak, golongan wanita juga sering
menjadi sasaran keganasan rumah tangga. Pada buan Mei tahun 2021, negara
digemparkan dengan sebuah kejadian tragis yang memperlihatkan seorang isteri
diperlakukan seperti binatang. Mangsa yang dikenali sebagai Jahidah Nordin,
yang ketika itu sedang hamil 10 minggu, telah ditendang, dipukul selain
dihentak dengan kejam oleh suaminya di sebuah pangsapuri di Larkin, Johor.
Hasil siasatan PDRM, di dapati mangsa yang juga merupakan isteri pemangsa,
mengalami keadaan vegetatif iaitu gangguan kesedaran akibat kerosakan otak yang
teruk sehingga menyebabkan mangsa hanya mampu terlantar dan kini bergantung
sepenuhnya kepada penjagaan keluarga kesan serangan tidak berperikemanusiaan
tersebut. Akibat daripada perbuatan kebinatangan itu, tertuduh telah dijatuhi
hukuman penjara 14 tahun.
Melihat kepada apa yang telah berlaku, sesungguhnya agama Islam
mengajar kita untuk menentang sebarang bentuk keganasan. Bahkan Islam sebagai
sebuah agama yang membawa kebenaran menegah dan melarang umat manusia daripada
mendera, memukul dan menyakiti orang lain. Misalnya sebagaimana yang ditegaskan
oleh Allah Azza Wa Jalla di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 231,
Allah SWT berfirman yang bermaksud :
"Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu) kemudian
mereka (hampir) habis tempoh idahnya maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk)
dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah
kamu pegang mereka (rujuk semula dengan maksud memberi mudarat, kerana kamu
hendak melakukan kezaliman (terhadap mereka); dan sesiapa yang melakukan
demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. dan janganlah kamu
menjadikan ayat-ayat hukum Allah itu sebagai ejek-ejekan (dan
permainan)...."
Ingatlah akan sebuah pesanan baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah
hadith riwayat Bukhari, daripada Abdullah bin Amru RAnhuma, beliau berkata
bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang
lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya".
Dalam menangani penderaan dan gangguan seksual, pemisahan tempat
tidur anak-anak seawal usia anak 10 tahun adalah suatu anjuran oleh Islam yang
selari dengan perkembangan emosi dan fizikal anak-anak. Pemisahan tempat tidur
bukan sahaja dapat mengelak daripada perbuatan yang tidak senonoh bahkan secara
tidak langsung menanam sifat malu dikalangan anak-anak. Selain anak-anak juga
bermula dari fasa pendidikan awal kanak-kanak lagi, perlu diberi pendedahan
awal mengenai sentuhan selamat dan sentuhan tidak selamat agar mereka kenal dan
tahu untuk menjaga maruah dan kehormatan mereka. Demikianlah antara coretan
yang mengingatkan kita semula tentang tanggungjawab ambil peduli masyarakat.
Sesungguhnya rumah adalah tempat yang paling selamat jika semua pihak
menjalankan peranan dan tanggungjawabnya. Malang sekali jika kita masih
bersikap menonton sahaja episod keganasan demi keganasan lalu membiarkan mereka
yang tidak berdosa menjadi mangsa. Disinilah nilai kemanusiaan dicabar. Semoga
Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan