Rabu, 10 Jun 2026

ISU KHUNSA DAN HUKUM BERKAITAN

 

Manusia merupakan makhluk Allah SWT yang mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaannya. Antara lain Allah SWT telah mengiktiraf kejadian manusia sebagai sebaik-baik ciptaan Nya. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran melalui surah at-Tiin ayat 4, dimana Allah menyatakan bahawa penciptaan manusia dijadikan dalam sebaik-baik bentuk ciptaan, Ini juga membawa maksud manusia dijadikan dengan begitu lengkap kejadiannya, dapat berdiri tegak tidak seperti binatang yang melata atau berjalan berkaki empat selain diberikan kemampuan akal berfikir untuk mengurus dan mentadbir dunia yang bersifat sementara ini. Dalam pada itu, Allah SWT menjelaskan dijadikan manusia itu sebagai berpasangan antara lelaki dan perempuan. Keadaan ini menjelaskan kepada kita bahawa manusia hanya akan wujud dua gender sahaja iaitu lelaki dan perempuan. Namun begitu, dengan keajaiban ciptaan Allah, terdapat satu golongan khas yang disebutkan sebagai khunsa.

Perkataan "Khunsa" berasal daripada bahasa Arab. Pada sudut bahasa, ungkapan khunsa membawa maksud lembut. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan khunsa membawa makna orang yang mempunyai dua alat kelamin. Dalam bahasa Inggeris, perkataan khunsa disebut sebagai "Disorder of Sex Development". Selain itu, istilah khunsa menurut para fuqaha sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab Nihayah al-Muhtaj, khunsa ialah seseorang yang mempunyai dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan juga kemaluan perempuan. Ataupun seseorang yang tidak memiliki kedua-duanya dan dia mempunyai lubang yang keluar daripadanya air kencing. Secara mudah untuk kita fahami bersama, khunsa adalah dimana seseorang individu itu memiliki dua alat kemaluan dalam masa yang sama. Maka dalam isu yang seperti ini, Islam telah meletakkan beberapa garis panduan yang jelas untuk menjawab segala persoalan-persoalan yang berbangkit termasuk hukum-hakam yang terkait pada mereka yang disebut sebagai golongan khunsa.




Dikalangan para fuqaha, mereka telah membahagikan isu khunsa ini kepada dua jenis. Jenis pertama dikenali sebagai Khunsa Musykil. Khunsa Musykil merujuk kepada maksud dimana seseorang itu tidak jelas tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan pada dirinya. Tidak dapat diketahui atau dipastikan sama ada dirinya merupakan seorang lelaki atau perempuan. Dalam laras bahasa yang mudah, khunsa musykil ini memiliki dua kemaluan iaitu kemaluan lelaki dan kemaluan perempuan dan tidak dapat dipastikan keadaannya dari kedua jenis tersebut iaitu sama ada dia lelaki ataupun perempuan. Jenis yang kedua pula ialah disebut sebagai Khunsa Ghayru Musykil atau khunsa yang tidak musykil. Jenis yang kedua ini merujuk kepada makna seseorang individu tersebut jelas padanya tanda-tanda kelelakian atau keperempuanan. Dia dapat dipastikan sama ada dia merupakan seorang lelaki ataupun perempuan. Individu seperti ini tidak dikategorikan sebagai khunsa musykil. Ini kerana dia merupakan seorang lelaki atau perempuan, tetapi dalam masa yang sama mempunyai anggota lebihan. Hukum untuknya dalam mirath (pembahagian harta pusaka) dan selainnya dari hukum-hakam adalah hukum terhadap apa-apa yang jelas dari tanda jantinanya. Sekiranya jelas tanda-tanda kelelakian, maka ke atasnya hukum-hakam seorang lelaki dan begitulah sebaliknya.

Berbalik kepada jenis khunsa yang pertama tadi iaitulah khunsa musykil. Dalam masalah ini, beberapa panduan telah digariskan oleh para ulama bagi menentu sahkan atau bagi mengenal pasti akan jenis jantinanya sama ada lelaki atau perempuan. Secara asas, para fuqaha mengambil kira beberapa faktor selain perbezaan fizikal alat kelamin dalam menentukan identiti gendernya. Antara faktor lain yang diambil kira ialah faktor pertumbuhan bulu yang lebat pada badan, misai, janggut, nada suara yang keras atau lembut dan selainnya. Jika dilihat padanya memiliki bulu badan yang lebat, adanya misai dan janggut, suaranya lebih keras maka identitinya ditentukan sebagai gender lelaki. Sebaliknya jika padanya tidak kelihatan bulu badan, suara dan gayanya lembut, maka identitinya ditentukan sebagai gender perempuan. Begitu juga para fuqaha melihat pada sudut kecenderungan perasaannya kepada jantina berlainan. Sekiranya seorang khunsa itu memiliki kecenderungan perasaannya kepada seorang lelaki maka dia dikira dan dianggap sebagai perempuan dan sebaliknya jika kecenderungannya kepada perempuan maka dia dikira dan dianggap sebagai lelaki.




Selain itu, telah berkata Imam al-Nawawi dalam permasalahan khunsa ini, beliau menyatakan bahawa khunsa itu ada dua jenis iaitu jenis yang pertama, seseorang itu padanya ada yang mempunyai faraj orang perempuan dan juga zakar orang lelaki. Manakala jenis yang kedua ialah padanya yang tidak memiliki satupun daripada keduanya (sama ada faraj atau zakar). Akan tetapi dia memiliki lubang yang keluar daripadanya sesuatu. Bagi jenis yang pertama iaitu yang memiliki kedua-dua jenis kemaluan zakar dan juga faraj, terdapat beberapa tanda-tandanya seperti air kencing. Sekiranya dia kencing melalui saluran zakar lelaki sahaja, maka dia adalah lelaki. Manakala sebaliknya jika dia kencing melalui faraj, maka dia adalah perempuan. Namun jika dia kencing melalui kedua-duanya, maka diambil kira saluran manakah yang dahulu ia keluar. Tanda kedua, iaitulah keluar mani dan darah haid. Sekiranya keluar air mani dan darah haid pada waktunya, maka jika air mani tersebut keluar melalui zakar maka dia adalah lelaki. Sekiranya air mani keluar melalui faraj ataupun keluar darah haid, maka dia adalah perempuan. Dengan syarat ia keluar secara berulangkali bagi menguatkan lagi sangkaan akan perkara tersebut. Tanda ketiga ialah kelahiran anak. Proses melahirkan anak membawa bukti yang pasti akan sifat keperempuanannya. Bahkan ia mendahului kesemua tanda-tanda lain yang bercanggah dengannya.

Selain itu, tanda keempat pula ialah tidak datang haid pada waktunya. Ini petanda kelelakian bagi khunsa tersebut. Tanda kelima ialah kecenderungan. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan tadi, sekiranya seorang khunsa itu cenderung perasaannya kepada orang perempuan maka dia dikira sebagai lelaki. Begitu juga jika sebaliknya dia cenderung kepada lelaki maka dia dikira sebagai perempuan. Namun, tanda ini digunakan apabila sudah tidak mampu mencari tanda-tanda yang lain. Begitu juga tanda-tanda lain lagi seperti tanda munculnya sifat keberanian, bersabar dalam melawan musuh, serta sifat-sifat yang melambangkan kekuatan, maka ini petanda khunsa tersebut adalah lelaki. Demikian antara tanda-tanda yang boleh dinilai kepada jenis khunsa yang memiliki dia jenis alat kemaluan iaitu zakar dan faraj. Adapun jenis khunsa musykil yang kedua iaitu yang tidak memiliki zakar atau faraj, maka untuk menentukan jantinanya adalah dengan melihat kepada kecenderungannya. Maka inilah antara garis panduan yang diletakkan oleh para fuqaha bagi melihat permasalahan ini. Pun begitu, timbul juga beberapa persoalan lain yang terkait mengenai hukum-hakam khunsa ini antaranya soal hukum kedudukan khunsa sebagai imam solat, boleh atau tidak mereka ini menjadi imam, soal kedudukan aurat mereka dan lain-lainnya. Segala persoalan ini telah dijawab dan diberi panduan oleh para fuqaha.




Dalam permasalahan solat, mereka khunsa tidak boleh menjadi imam kepada orang lelaki. Pun begitu, golongan khunsa tidak menjadi masalah sekiranya mereka menjadi imam kepada orang perempuan sahaja. Ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu' Syarah al-Muhazzab, beliau menyebut :

"Tidak sah apabila seorang perempuan dan khunsa menjadi imam kepada orang lelaki. Tidak sah pada solat fardhu dan tidak juga pada solat sunat. Adapun sekiranya yang mengikut solat tersebut merupakan orang perempuan (menjadi makmum), maka tidak disyaratkan kelelakian untuk menjadi imam mereka (orang perempuan) di sisi mazhab Al-Syafieyyah dan juga Al-Hanabilah. Maka sah bagi orang perempuan untuk menjadi imam kepada orang perempuan yang lain di sisi mereka (Al-Syafi’eyyah dan Al-Hanabilah). Berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Sayyidah A’isyah, Ummu Salamah, dan juga Atha’ bin Abi Rabah bahawa: Sesungguhnya orang perempuan boleh menjadi imam kepada orang perempuan yang lain."

Adapun persoalan mengenai kedudukan saf bagi golongan khunsa, kedudukan khunsa adalah selepas kanak-kanak dan sebelum saf orang perempuan. Ini juga berdasarkan ungkapan oleh Imam al-Nawawi, beliau menjelaskan bahawa sekiranya yang hadir mengerjakan solat itu terdiri daripada orang lelaki, kanak-kanak, golongan khunsa, serta orang perempuan, maka didahulukan orang lelaki, kemudian kanak-kanak, kemudian golongan khunsa, kemudian orang perempuan. Demikian persoalan berkaitan solat. Satu hal yang penting lagi ialah mengenai kedudukan aurat bagi golongan khunsa. Dalam kitab Raudhah Al-Thalibin dan beberapa kitab yang lain, disebut bahawa dikalangan para fuqaha seperti golongan Al-Hanafiyah dan Al-Syafi’eyyah, mereka berpandangan bahawa aurat mereka adalah sama seperti aurat orang perempuan. Bahkan seorang khunsa itu tidak boleh untuk mendedahkan anggota badannya ketika proses istinja dan juga ketika mandi. Ini kerana, sekiranya dia mendedahkan anggota badannya di sekitar orang lelaki, ada kemungkinan bahawa dirinya itu seorang perempuan. Jika dia mendedahkan anggotanya di sisi orang perempuan, terdapat kemungkinan yang dirinya itu seorang lelaki. Demikianlah penjelasan mengenai golongan khunsa menurut syariat Islam. Sesungguhnya segala yang berlaku adalah diatas kehendak dan kekuasaan Allah SWT. Semoga Allah merahmati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan