Kehilangan dalam hidup membuktikan bahawa dunia ini tidak ada yang
bersifat kekal abadi dan selamanya ada. Umur yang kian meningkat akan menghakis
tenaga dan kudrat menjadi kian lemah dan tak berdaya. Wajah yang cantik dan
tampan akan mulai pudar dan hilang serinya selari dengan peredaran masa yang
berputar. Dalam pelbagai ragam kehidupan, ada yang diuji dengan kesempitan
hidup, ada pula yang diuji dengan sikap anak-anak yang menduga kesabaran
ibubapa dan ada juga yang diuji dengan kehilangan insan yang tersayang.
Kehilangan orang yang tersayang adalah detik sukar yang akan ditempuh oleh
setiap insan. Pada saat dan ketika itu, jasad yang tidak bernyawa telah pergi
meninggalkan nama dan kenangan bersama. Dalam banyak episod kehilangan, paling
mendukacitakan adalah pemergian ibubapa yang menjadi tempat kita berlabuh kasih
dan mencipta sayang.
Perkataan "Anak Yatim" merujuk kepada
status anak-anak yang kehilangan para ibubapa. Pada sudut bahasa, istilah
"Yatim" itu sendiri sebenarnya berasal daripada bahasa Arab iaitu al-Yatim
(اليتيم). Ungkapa al-Yatim dalam bahasa Arab
dimaksudkan sebagai tunggal dan bersendiri. Ini sebagaimana yang dinukilkan
oleh Ibn Manzur dalam kitab Lisan al-'Arab, telah berkata Ibn al-Sikkit
bahawa perkataan al-Yatim pada manusia adalah mereka yang kehilangan bapa
manakala pada binatang pula adalah kehilangan ibu. Tidak dipanggil seseorang
yang kehilangan ibu dengan al-Yatim. Juga dinyatakan oleh Ibn Barriy dengan
menyebut bahawa Al-Yatim (الْيَتِيمُ)
adalah bagi yang kematian ayah. Al-‘Ajiy (العَجِيُّ)
bagi kematian ibu manakala al-Latim (اللَّطيم)
pula adalah bagi yang kematian keduanya. Selain itu, jika kita rujuk kepada
Kamus Dewan Edisi Keempat pula, perkataan yatim membawa maksud anak yang
kematian ibu atau bapanya. Sekiranya seorang anak itu kematian kedua-duanya
iaitu ibu dan ayahnya, ia dinamakan sebagai yatim piatu.
Pada sudut Islam, hakikatnya penggunaan istilah anak yatim ialah
merujuk kepada mereka yang kematian bapa dan pada masa anak tersebut belum
mencapai umur baligh. Perkara ini sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah
hadith riwayat Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani, baginda Nabi Muhammad
SAW bersabda yang bermaksud :
"Tidak ada keyatiman setelah baligh"
Berdasarkan hadith tersebut, ia menjelaskan bahawa penggunaan
maksud anak yatim ialah merujuk kepada anak yang kehilangan bapa dan ketika itu
usianya belum mencapai umur baligh. Namun begitu, telah menjadi kefahaman
masyarakat awam bahwa anak yatim itu ialah mereka yang kehilangan ibu atau
bapa. Walau bagaimana pun, ianya tidak menjadi masalah besar dan masih dalam
lingkungan yang dibenarkan oleh syariat Islam. Dalam Islam, mereka yang
bergelar anak yatim memiliki dan mempunyai kedudukan yang teristimewa. Ini
sepertimana yang dinyatakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith
riwayat Tirmizi, sabda baginda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan
dan minum, nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia
melakukan dosa yang tidak dapat diampuni”
Selain itu, agama Islam telah menggariskan beberapa hak-hak anak
yatim yang mesti dipelihara akan hak mereka tersebut. Antara hak anak yatim
yang digariskan oleh syarak tersebut ialah hak menyantuni anak yatim dengan
baik. Melayani anak yatim dengan cara yang baik adalah dituntut di dalam Islam.
Perkara ini telah dijelaskan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith
riwayat Bukhari, sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Aku dan orang yang menanggung anak yatim (kedudukannya) di syurga
seperti ini”, kemudian baginda mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengah
baginda, serta agak merenggangkan keduanya”
Selain itu, antara hak anak yatim yang perlu kita pelihara ialah
larangan mengherdik, mencaci dan berkelakuan kasar terhadap anak yatim.
Bersikap keras dan kasar, mengherdik, menghina, mencaci dan yang seumpama
dengannya adalah dilarang keras oleh Islam. Allah SWT melalui firman Nya di
dalam al-Quran, telah melarang keras daripada bersikap kasar dan menghina
anak-anak yatim. Dalam surah al-Maa'un ayat 1 hingga 3, firman Allah Azza Wa
Jalla yang bermaksud :
"Tahukah engkau akan orang yang mendustakan ugama (meliputi hari pembalasan)? (1) Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin (3)"
Demikian ketegasan Allah SWT yang melarang para hamba Nya daripada
bersikap kasar, keras dan mengherdik anak-anak yatim. Menjadi hak terhadap
anak-anak yatim juga ialah memberi kasih sayang kepada mereka. Mereka yang juga
merupakan anak kecil, sememangnya memerukan kasih sayang yang cukup sepertimana
anak-anak orang lain mendapat kasih sayang daripada ibubapa mereka. Islam telah
mengajar kita supaya tidak mengabaikan aspek emosi anak-anak yatim ini. Kantung
emosi mereka yang berkesedihan mengenang pemergian insan yang tersayang
haruslah dirawat dengan memberikan kasih sayang terhadap mereka. Antara
perbuatan yang melambangkan kasih sayang kita terhadap mereka adalah dengan
mengusap kepala anak yatim. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah
SAW dalam sebuah hadith riwayat Ahmad, daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud
:
"Bahawa seorang lelaki mengadu kepada Nabi SAW akan hatinya
yang keras, lalu Nabi berkata: ‘usaplah kepala seorang anak yatim piatu dan
berilah makan individu miskin’.”
Dalam pada itu, antara hak yang terpenting juga adalah mengenai hak
perlindungan harta anak yatim. Hak ini adalah terpundak di bahu mereka yang
bergelar wali atau penjaga kepada anak yatim. Mereka yang menjaga, mengurus dan
membela anak-anak yatim wajib memelihara harta anak yatim dengan sebaik
mungkin. Ini kerana amanah menjaga harta anak yatim termasuk salah satu
daripada cabang-cabang kebaikan yang disebutkan oleh Allah Azza Wa Jalla. Di
dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 220, Allah Jalla Wa 'Alla
berfirman yang bermaksud :
"Mengenai (urusan-urusan kamu) di dunia dan di akhirat dan
mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak
yatim. Katakanlah: "Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah
baiknya", dan jika kamu bercampur gaul dengan mereka (maka tidak ada
salahnya) kerana mereka itu ialah saudara-saudara kamu (yang seugama); dan
Allah mengetahui akan orang yang merosakkan (harta benda mereka) daripada orang
yang hendak memperbaikinya. Dan jika Allah menghendaki tentulah Ia memberatkan
kamu (dengan mengharamkan bercampur gaul dengan mereka). Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana"
Demikian suruhan oleh Allah SWT agar mereka yang bertanggungjawab
menjaga dan menguruskan anak-anak yatim wajib memelihara hak harta-harta mereka
dengan baik. Selain itu, Allah Azza Wa Jalla juga mengingatkan kita tentang
larangan memakan harta anak-anak yatim. Perbuatan memakan harta anak-anak yatim
tanpa keizinan dan kebenaran daripada mereka adalah sesuatu perbuatan yang
buruk dan terkutuk. Dalam hal ini, Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran
melalui surah al-An'aam ayat 152, Allah SWT memberi peringatan keras dengan
berfirman yang bermaksud :
“Dan janganlah kalian mendekati harta anak yatim melainkan dengan
cara yang terbaik sehinggalah anak tersebut sampai kepada tempoh balighnya”.
Dalam memahami ayat ini. Imam al-Baghawi menyebut dalam kitabnya Ma’alim
Al-Tanzil, beliau menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan cara yang
terbaik itu adalah perbuatan yang memberikan maslahah kepada anak yatim serta
mengembangkan harta tersebut. Oleh itu, adalah mereka yang memegang amanah
sebagai penjaga anak-anak yatim dilarang daripada mengambil dan memakan harta
mereka. Dalam ayat yang lain, Allah SWT mengancam perbuatan terkutuk memakan
harta anak yatim ini di dalam surah al-Nisa ayat 10, Allah Azza Wa Jalla
berfirman yang bermaksud :
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara
zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk
ke dalam api yang menyala-nyala (neraka)".
Dalam kitab Tafsir al-Waseet, telah berkata Syeikh
al-Tantawi dengan menyebut bahawa memakan harta anak yatim secara zalim itu
sama ada melalui pewarisan ataupun orang yang dipertanggungjawabkan untuk
menguruskannya lalu memakannya dengan cara yang batil. Allah SWT menggunakan
kalimah zalim untuk menggambarkan kejelekan yang teramat kepada si pemakan
harta anak yatim kerana anak yatim itu dizalimi dan mereka itu golongan yang
lemah yang mana tidak ada kudrat dan upaya untuk membela diri mereka. Demikianlah
antara sebahagian perkara yang membabitkan hak anak-anak yatim yang digariskan
oleh syariat Islam. Sesungguhnya amatlah besar sekali ganjaran pahala serta
rahmat Allah SWT kepada mereka yang menjaga anak yatim dengan penuh kebaikan
sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam. Anak yatim merupakan anak-anak yang
dimuliakan kedudukannya oleh Islam. Allah SWT berulang kali di banyak tempat di
dalam al-Quran menyebut akan pelbagai hukum, hak dan keutamaan dalam memelihara
dan menyantuni anak yatim. Oleh itu, rebutlah peluang peroleh pahala dengan
berbuat baik kepada mereka. Semoga Allah merahmati kita semua.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan