Kuasa membeli merujuk kepada jumlah barangan dan perkhidmatan yang
dapat di beli oleh seunit mata wang. Secara asasnya, kuasa membeli menjadi
petunjuk utama berkaitan taraf dan kedudukan hidup rakyat di sesebuah negara
selain menjadi penanda aras kepada kestabilan ekonomi. Ini bermakna semakin
meningkat kuasa membeli maka semakin sihat dan sejahtera lah taraf ekonomi
tersebut. Sebagaimana menurut John Maynard Keynes, seorang tokoh ekonomi yang
terkenal dengan teori Ekonomi Keynesian, beliau menjelaskan bahawa kuasa
membeli adalah merupakan pemacu utama ekonomi. Beliau turut berpendapat kuasa
membeli berkait rapat dengan permintaan agregat. Seiring dengan gaya hidup
digital, di tengah-tengah kecanggihan teknologi yang semakin padu, konsep Buy
Now Pay Later atau singkatannya BNPL telah muncul dan terus mencipta fenomena
ledakan kuasa membeli khususnya kepada generasi anak muda kini.
Perkataan "Buy Now Pay Later" atau Beli
Dahulu Bayar Kemudian merupakan suatu kemudahan kredit digital yang
membolehkan para pengguna membeli barangan dan perkhidmatan terlebih dahulu dan
membuat bayaran kemudian secara ansuran tanpa ada nilai faedah melalui pelbagai
platform seperti Grab PayLater, Atome dan SPayLater. Di
Malaysia, kaedah BNPL ini menjadi semakin popular dan mendapat perhatian ramai
orang khususnya dikalangan golongan belia. Melalui kaedah BNPL ini, pada tahun
2025 sahaja, direkodkan mencecah sejumlah 243 juta transaksi dibuat, meningkat
sebanyak 66 peratus berbanding pada tahun sebelumnya. Peningkatan transaksi ini
menjadi indikator jelas yang menunjukkan betapa pantasnya BNPL menjadi pilihan
utama para pengguna. Jika kita meneliti dengan lebih mendalam, terdapat
pelbagai faktor yang mendorong kepada peningkatan penggunaan BNPL ini antara
lainnya di pacu oleh kemudahan akses yang cepat selain dipengaruhi oleh rakan
sebaya, gaya hidup pantas dan fenomena takut terlepas peluang atau dikenali
sebagai FOMO.
Melihat akan kepantasan kuasa membeli yang kian melonjak, ada
beberapa perkara yang harus kita beri pertimbangan khususnya tentang implikasi
risiko yang perlu dihadapi apabila BNPL menjadi pilihan utama masyarakat. Pada
sudut ekonomi, kemudahan BNPL ini sekurangnya-kurangnya telah membantu
melonjakkan kuasa membeli dikalangan pengguna khususnya dikalangan generasi
muda hari ini. Tidak kurang banyak juga sebahagian daripada kita melihat kaedah
BNPL ini sebagai penyelamat kewangan. Ini kerana kita tidak merasakan tekanan
dan beban untuk membuat bayaran segera ekoran pilihan yang ditawarkan sangat
membantu dengan cara bayaran ansuran. Hakikatnya, BNPL dilihat sebagai pilihan
mesra pengguna kerana kaedah BNPL tidak memerlukan semakan kredit yang
mendalam. Keadaan ini menjadikan daya tarikan model BNPL ini terletak kepada
kesederhanaan, kebolehcapaian selain bersifat fleksibel dan menarik kepada
spektrum para pengguna yang luas khususnya golongan milenium dan generasi Z
(Gen Z). Kesederhaan BNPL ini secara tidak langsung telah membentuk semula
kebolehcapaian kredit, dinamik runcit dan perundangan kewangan yang mampu
memberi kesan kepada nilai pertumbuhan ekonomi.
Namun begitu, tanpa kita sedar kemudahan ini telah mendorong
pengguna untuk membuat pembelian secara impulsif dan hidup bergaya di luar
kemampuan sebenar. Dalam kata yang lebih mudah, BNPL sebenarnya telah mendorong
pengguna untuk membeli mengikut kecenderungan yang mengutamakan kepuasan segera
berbanding melihat kesan jangka masa panjang. Keadaan ini sebenarnya amat
membimbangkan. Kebimbangan ini wajar dilihat dengan kita meneliti Laporan
Kementerian Kewangan Malaysia yang mendedahkan bahawa jumlah pinjaman BNPL
melonjak naik daripada RM 1.06 juta bilion pada tahun 2023 kepada RM 4.9 bilion
pada tahun 2025. Berdasarkan laporan ini, berlaku peningkatan pinjaman hampir
4.6 kali ganda. Selain itu, laporan tersebut juga mendedahkan berlaku
peningkatan jumlah pengguna hampir tiga kali ganda kepada 7.5 juta orang.
Statistik ini menjelaskan kepada kita bahawa kaedah BNPL bukan lagi menjadi
suatu alternatif bayaran malah telah menjadi sebahagian daripada ekosistem
kredit yang kian berkembang maju.
BNPL yang semakin mendapat tempat di hati orang ramai boleh menjadi
jerat kewangan di hari-hari yang mendatang kerana kegagalan menguruskan
liabiliti. Dalam satu dapatan kajian yang dilakukan oleh Agensi Kaunseling dan
Pengurusan Kredit (AKPK), sebanyak 36 peratus kes hutang berlaku kerana
kelemahan perancangan kewangan manakala 37 peratus lagi berkait dengan tekanan
kos sara hidup. Dapatan ini membuktikan bahawa isu ini bukan sekadar kekangan
pendapatan semata-mata bahkan turut terkait dengan corak perbelanjaan dan
pengurusan kewangan yang lemah. Golongan belia yang ditakrifkan sebagai mereka
yang berumur 15 hingga 30 tahun antara golongan yang banyak terkesan dengan
BNPL. Ini berdasarkan sebuah laporan oleh The Edge Malaysia, dinyatakan
bahawa antara tahun 2020 hingga 2025, sejumlah lebih 5,189 individu di bawah
umur 34 tahun, telah diisytiharkan muflis. Perkara sebegini tidak boleh lagi
dipandang enteng dan dianggap biasa kerana ianya bakal menjadi barah malah
boleh menjadi pembunuh kepada masa hadapan generasi muda.
Dalam Islam, kuasa membeli difahami sebagai keupayaan kewangan
untuk berbelanja yang perlu diseimbangkan dengan nilai kesederhanaan, mengikut
keperluan dan tanggungjawab sosial. Kefahaman jelas ini dapat menolak budaya
dan sikap membazir selain menjauhi diri daripada bersifat materialistik. Secara
asasnya, hukum menggunakan BNPL adalah harus dan sah selagi mana proses dan
kaedah tersebut memenuhi kehendak syarat yang ditetapkan oleh syariat Islam.
Konsep BNPL yang menawarkan pembayaran secara ansuran ini tidaklah bercanggah
dengan syarak. Hal ini kerana kaedah BNPL lebih menepati suatu aplikasi jual
beli di dalam Islam yang disebutkan sebagai al-Bai' Bithaman Ajil.
Melalui aplikasi ini, para pengguna diberi tawaran untuk membayar balik secara
tangguh atau ansuran dengan jumlah tertentu. Oleh itu, secara prinsipnya, Islam
mengharuskan penggunaan BNPL sebagai kemudahan bayaran ansuran yang tidak
bercanggah dengan syariat Islam. Dalam sebuah hadith Nabi Muhammad SAW riwayat
Bukhari, daripada Aisyah Ranha, beliau berkata yang bermaksud :
“Nabi SAW pernah membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan
pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi baginda SAW.”
Berdasarkan hadith ini, di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji 'ala
Mazhab al-Imam al-Syafi'i dinukilkan bahawa hadith ini menunjukkan Nabi
Muhammad SAW pernah beramal dengan transaksi jual beli secara bertangguh. Maka
dengan itu, jual beli seperti ini adalah harus dan boleh diaplikasikan dalam
kehidupan seharian. Dalam pada itu, barangkali akan timbul persoalan mengenai
transaksi BNPL. Persoalan ini berbangkit apabila pengguna ditawarkan pilihan
sama ada mahu membuat bayaran secara tunai atau membayar secara ansuran.
Katakanlah situasinya jika bayaran secara tunai dibuat maka harganya ialah RM
2000. Tetapi jika sebaliknya pengguna memilih untuk membayar secara ansuran,
harganya berubah menjadi RM 2500. Maka apakah peningkatan harga daripada harga
asal tersebut termasuk dalam kategori riba ? Bagi menjawab persoalan ini,
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu,
beliau menyebut menurut pandangan empat mazhab iaitu Syafi‘i, Hanafi, Maliki
dan juga Hanbali, kesemua mereka mengharuskan jual beli barangan dengan bayaran
lebih kerana penangguhan waktu. Hal ini kerana pada hakikatnya perbezaan harga
yang berlaku merupakan ganti kepada tempoh waktu yang ditangguh tersebut dan
juga kebarangkalian terdedahnya kepada risiko sewaktu tempoh penangguhan
berjalan. Oleh kerana itu, perbezaan harga dianggap halal dengan beberapa syarat
iaitu pertama, hendaklah jual beli itu diketahui dari sudut barangan, nilai
belian dan juga tempoh waktu. Kedua, Tidak berlaku dua jual beli dalam satu
waktu. Ketiga, akad jual beli sudah disepakati di awal pembelian, bukannya di
tengah ataupun di akhir pembelian.
Demikianlah bagaimana sudut pandang mengenai BNPL yang memberi
kesan baik dan buruk terhadap sistem ekonomi selain garis panduan Islam dalam
menggunakan kemudahan ini. Sesungguhnya, baik buruk menggunakan kemudahan
digital seperti ini adalah terletak di dalam kita sendiri. Kebijaksanaan
literasi kewangan sangatlah penting untuk kita kuasai. Sememangnya kewujudan
kaedah BNPL ini telah banyak membantu memudahkan urusan umat manusia. Dalam
tidak sedar, penggunaan BNPL dapat menjimatkan masa dan tenaga. Selain itu,
BNPL juga mampu mendorong kepada peningkatan kuasa beli yang sekaligus membantu
pertumbuhan ekonomi yang baik, merancakan lagi kegiatan ekonomi mikro dan makro
dan memberi kepuasan kepada pengguna. Namun begitu, BNPL tanpa kawalan akan
menjerut pengguna dengan kadar liabiliti yang tinggi. Harus diingatkan juga
Islam amat melarang keras dan membenci sikap boros dalam berbelanja. Apatah
lagi sikap boros ini diumpamakan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai
saudara syaitan. Maka kita sebagai para pengguna seharusnya bersikap lebih
bijak dalam literasi kewangan agar kita tidak mudah tertipu dengan pelbagai
skim jualan yang memukau. Semoga Allah merahmati dan mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan