Perkahwinan merupakan suatu perkara yang disyariatkan oleh Allah
SWT di dalam agama Islam. Umum mengetahui antara tujuan dituntut kepada manusia
untuk berkahwin adalah sebagai memenuhi fitrah manusiawi yang memerlukan
peneman hidup yang bukan sahaja sekadar melengkapkan perasaan zahir dan batin
dalam berkasih sayang bahkan menyempurnakan peribadahan dengan mentaati
perintah Allah. Perkahwinan adalah sesuatu yang dimuliakan oleh Islam. Hal ini
terbukti dengan kita melihat bagaimana baginda Nabi Muhammad SAW menyebutkan
bahawa perkahwinan merupakan suatu bentuk penyempurnaan sebahagian agama. Oleh
itu, perkahwinan merupakan suatu ketaatan kepada Allah yang punyai kedudukan
yang tinggi selain meluruskan fitrah manusiawi dengan jalan yang betul dan
bermaruah.
Telah sekian lama barangkali kita terutamanya kepada mereka
rakan-rakan yang bukan beragama Islam mendengar atau pernah terbaca suatu
dakwaan yang bersifat tuduhan liar kepada Nabi Muhammad SAW dengan menyebut
bahawa baginda seorang pencabul, perogol atau istilah lebih moden sikit ialah
pedofilia, sejenis penyakit yang sukakan kanak-kanak. Dakwaan ini bukanlah
suatu yang baharu bahkan sering menjadi senjata mereka yang memusuhi Islam untuk
memberikan gambaran dan persepsi yang salah mengenai Islam. Dakwaan demikian
antara lain dapat dilihat daripada tulisan oleh W. Montgomerry Watt, seorang
Orientalis terkenal, menulis suatu buku yang bertajuk Muhammad at Medina
terbitan Oxford University Press sekitar tahun 1956. Dalam suatu kenyataan yang
dibuat oleh beliau melalui judul tersebut, beliau menyebut bahawa dalam semua
manusia hebat di dunia, tiada manusia yang difitnah tahap kejahatannya sejahat
Muhammad. Ini kerana baginda dituduh sebagai seorang pedofilia, suka melakukan
seksual bersama kanak-kanak.
Dakwaan bahawa baginda Nabi SAW seorang pedofilia, mencabul dan
merogol kanak-kanak yang dihalalkan diatas nama perkahwinan adalah merujuk
kepada perkahwinan baginda Nabi SAW dengan Aisyah Ranha. Dakwaan ini menjadi
semakin hangat apabila mengaitkan pula seolah-olah Aisyah Ranha dipaksa untuk
melakukan hubungan intim suami isteri dalam keadaan Aisyah masih bergelar
seorang kanak-kanak. Persoalannya, apakah benar baginda Nabi berkahwin dengan
Aisyah Ranha pada usia kanak-kanak ? Jawapannya ialah ya betul. Hal ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh Aisyah Ranha dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, beliau berkata yang bermaksud :
“Nabi SAW mengahwiniku saat aku berusia 6 tahun, lalu kami datang
ke Madinah dan singgah di (kampung) Bani al-Harith bin Khazraj, aku menderita
sakit hingga rambutku gugur. Setelah sembuh, rambutku tumbuh lebat hingga
melebihi paras bahu. Setelah itu, ibuku Umm Ruman datang menemuiku, dan saat
itu aku (duduk) berada di buaian bersama teman-temanku. Dia (ibuku) berteriak
memanggilku dan aku datang (berlari) kepadanya. Aku tidak tahu apa yang
diinginkannya daripadaku. Dia memegang tanganku lalu membawaku ke pintu rumah,
dan nafasku tercungap-cungap hingga akhirnya menjadi tenang, lalu dia mengambil
sedikit air dan menyapu wajah serta kepalaku, kemudian dia memasukkanku ke
dalam rumah, ternyata di dalam rumah itu ada wanita-wanita Ansar. Mereka
berkata : “Mudah-mudahan mendapat kebaikan dan keberkatan. Mudah-mudahan
mendapat nasib yang terbaik.” Lalu ibuku menyerahkanku kepada mereka, lalu
mereka merapikan penampilanku dan tidak ada yang membuatku terkejut melainkan
(ketibaan) Rasulullah SAW pada waktu dhuha. Akhirnya mereka pun menyerahkanku
kepadanya (Rasulullah) dan ketika itu aku berusia 9 tahun.”
Dalam hal ini, Ibn Mulaqqin menyebut di dalam kitabnya, al-Taudih
li Syarh al-Jami’ al-Sahih, dengan menyatakan bahawa orang lain menyebut
bahawa dia berumur tujuh tahun. Mereka menggabungkan kedua-duanya dengan
menyatakan bahawa dia telah menyempurnakan umur enam tahun dan memasuki tahun
ketujuh. Maka, sesiapa yang mengatakan enam, maksudnya adalah enam tahun yang
lengkap, dan sesiapa yang mengatakan tujuh, maksudnya adalah dia telah memasuki
tahun ketujuh. Demikian ulasan oleh Ibn Mulaqqin. Berdasarkan hadith yang
panjang ini, maka tentulah dapat difahami bahawa baginda Nabi SAW mengahwini
Aisyah Ranha pada ketika usia Aisyah masih kanak-kanak. Namun begitu, terdapat
sebahagian pandangan lain pula menyatakan bahawa Aisyah Ranha berkahwin dengan
baginda ketika berusia kanak-kanak tetapi mulai tidur bersama baginda Nabi
ketika Aisyah berusia belasan tahun. Walau apapun pandangan yang dikemukakan,
adalah lebih tepat dan sahih Aisyah Ranha berkahwin dengan baginda Nabi ketika
beliau masih di usia kanak-kanak.
Namun begitu, setelah kita mengetahui bahwa baginda Nabi mengahwini
Aisyah pada usianya 6 atau 7 tahun, dan mulai tidur bersama baginda pada usia
Aisyah 9 tahun, apakah tindakan tersebut boleh dijustifikasikan ianya sebagai
jenayah pedofilia ? Sudah tentu tidak. Baginda Nabi bukanlah seorang pencabul,
perogol, pedofilia apatah lagi seorang yang memaksa kanak-kanak melakukan
hubungan seksual. Perkahwinan baginda Nabi dengan Aisyah yang masih berusia
kanak-kanak adalah sesuatu yang diterima pada waktu dan zaman tersebut.
Perkahwinan pada usia kanak-kanak boleh difahami dalam dua kerangka utama iaitu
pertama, kita harus memahaminya dalam kerangka budaya setempat dan keduanya
kita juga perlu memahaminya dalam kerangka perbahasan ilmiah. Kerangka pertama
pada sudut budaya dan adat, tidaklah sesuatu yang janggal dan pelik apabila
bekahwin pada usia kanak-kanak. Ini kerana kematangan bagi kanak-kanak pada
zaman itu lebih terserlah. Malah tanpa dinafikan juga susuk tubuh orang Arab
pada ketika usia kanak-kanak agak besar berbanding saiz pertumbuhan kanak-kanak
pada zaman ini.
Dalam catatan sejarah ketamadunan manusia, perkahwinan di usia muda
bukan sesuatu yang aneh dan pelik. Catatan sejarah menjelaskan bahawa sekitar
tahun 1883, seorang perempuan bernama Mrinalini Devi, telah bekahwin dengan
seorang pencipta lagu kebangsaan negara India, Rabindranath Tagore pada usianya
9 tahun dan telah melahirkan anak sulung mereka ketika Mrinalini Devi berusia
12 tahun. Sebelum itu, sekitar tahun 1183, Isabella I yang berasal dari
Jerusalem, telah berkahwin dengan Humphrey ke-IV pada usianya 11 tahun. Ini
semua menunjukkan bahawa perkahwinan pada usia kanak-kanak bukanlah sesuatu
yang pelik untuk diterima. Nenek moyang kita dahulu juga seawal usia kanak-kanak
telah dikahwinkan. Maka bukanlah sesuatu yang aneh dalam hal tersebut. Adalah
suatu kebiasaan normal pada zaman itu berlaku perkahwinan pada usia demikian.
Pun begitu, realiti hari ini, sudah berbeza perimeter ukurnya. Pembinaan
jajaran sistem baharu telah menjadikan zaman ini dianggap pelik dan boleh di
dakwa sebagai mencabuli hak asasi kanak-kanak jika perkahwinan tersebut
berlaku. Sebab itu, perubahan zaman telah banyak mempengaruhi cara fikir
manusia yang sekaligus mengubah persepsi dan penerimaan orang terhadap hal ini.
Dalam kerangka yang kedua pula, kita perlu memahaminya dengan
melihat perbincangan ilmiah. Dikalangan para ahli ilmuan Islam, tidak timbul
sebarang perbincangan pun mengenai perkahwinan di usia muda Aisyah Ranha. Ini
kerana penerimaan adat budaya pada ketika itu menerima hal tersebut dengan
baik. Selain itu, jika kita lihat dikalangan para sahabat termasuk para isteri
Nabi, insan yang paling banyak kritis dan kritik sahabat lain, yang sering
mengemukakan bantahan terhadap beberapa pandangan oleh para sahabat ialah
Aisyah Ranha. Kelantangan Aisyah Ranha membuktikan bahwa beliau pernah
mengkritik Amirul Mukminin, Umar al-Khattab bahkan turut menerima tempias
kritikannya ialah Abu Hurairah RA. Sehingga Imam al-Zarkashi telah menulis
sebuah kitab bertajuk ‘Al-Ijabah li Iraadi ma istadrakathu Aisyah ala
as-Sahabah’, menghimpunkan kritikan oleh Aisyah Ranha terhadap para sahabat
Nabi SAW. Pun begitu, tidak ada satu riwayat yang menyatakan kritikan Aisyah
Ranha terhadap perkahwinannya bersama NabI Muhammad SAW. Aisyah Ranha tidak
pernah bercakap tentang soal ini.
Ini bermakna pada sudut ilmiahnya, persoalan mengenai perkahwinan
di usia kanak-kanak tidak timbul menjadi masalah dan para ulama tidak
membincangkan hal tersebut dengan sedalam-dalamnya. Walau ada sebahagian para
sarjana Islam membincangkan semula tentang usia sebenar Aisyah ketika berkahwin
namun ianya tidak dianggap kuat dan tepat. Demikianlah sedikit penjelasan yang
barangkali boleh menanamkan kefahaman semula berkaitan isu tersebut.
Hakikatnya, berdasarkan penilaian ilmiah yang ada, menunjukkan bahawa memang
baginda Nabi berkahwin dengan Aisyah ketika usia Aisyah masih kanak-kanak lagi.
Namun pada konteks adat budaya pada zaman itu, bukanlah suatu masalah berkahwin
di usia muda kerana atas beberapa faktor seperti kematangan yang ada pada usia
tersebut. Jelaslah bahawa tuduhan liar oleh para orientalis Barat tidak lebih
hanyalah sekadar taburan fitnah untuk mencemarkan imej Islam. Semoga Allah SWT
merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan