Jumaat, 18 April 2025

ISTILAH BID'AH : MELURUSKAN ASAS PEMAHAMAN

 

Kedatangan agama Islam antara lain adalah untuk memperbetulkan sistem kehidupan manusiawi, mengharmonikan antara adat dan budaya selain membersihkan jantung hati manusia dengan menyerah diri kepada Allah SWT. Melalui pensyariatan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya, perkara yang demikian mendedahkan kepada kita sebagai hamba Nya merasai kenikmatan dalam berhubung dengan pencipta iaitu Allah SWT. Pun begitu, kenikmatan dalam beribadah kepada Allah boleh sahaja menjadi ruang tipu daya iblis dan syaitan apabila sesuatu ibadah tersebut dilaksanakan dengan tidak menepati kehendak Allah dan Rasul Nya. Hal ini boleh berlaku apabila segala perkara yang dianggap baik pada sisi manusia namun tidak pada sisi syariat Islam. Umpamanya seperti mandi safar yang dianggap baik untuk menolak sial namun perbuatan tersebut adalah mungkar lagi batil kerana tidak menepati kehendak Allah dan Rasul.

Perkataan "Bid'ah" seringkali dilihat sebagai perbahasan yang sensitif dan boleh membawa kepada perpecahan umat. Namun begitu, jika kita soroti sejarah kemunculan istilah ini, ianya telah disebut sejak dahulu oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam banyak catatan hadith. Pada sudut bahasa, sebagaimana yang diungkapkan oleh Ibnu Manzur di dalam kitabnya, Lisan al-'Arab, perkataan bid'ah bermaksud mengadakan dan memulakan. Senada dengan Ibnu Manzur, al-Fayruz al-Abadi di dalam al-Qamus al-Muhit, menjelaskan bahawa bid'ah bermaksud permulaan. Maksud ini dilihat sama sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ahqaf ayat 9 yang bermaksud :

"Katakanlah lagi : "Bukanlah aku seorang Rasul pembawa agama yang berlainan dari agama yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang telah lalu), dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak melakukan sesuatu melainkan menurut apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain hanyalah seorang Rasul pemberi amaran yang jelas nyata"




Dalam ayat tersebut, Allah SWT menggunakan perkataan ( بدعا ) menjelaskan kepada kita bahawa baginda Nabi SAW bukanlah orang pertama yang membawa agama Islam. Ini secara tidak langsung mengambarkan kepada kita perkataan bid'ah juga boleh dimaksudkan sebagai permulaan. Selain itu, telah berkata Muhammad bin Abi Bakr al-Razi di dalam kitabnya, Mukhtar al-Sihah, ungkapan bid'ah membawa maksud mengadakannya tanpa ada suatu contoh. Mengadakan sesuatu juga telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Hadid ayat 27, firman Allah SWT yang bermaksud :

"....Dan (perbuatan mereka beribadat secara) "Rahbaniyyah" - merekalah sahaja yang mengadakan dan merekanya; Kami tidak mewajibkannya atas mereka; (mereka berbuat demikian) kerana mencari keredaan Allah; dalam pada itu mereka tidak menjaga dan memeliharanya menurut yang sewajibnya. Oleh itu, orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad) di antara mereka, kami berikan pahalanya, dan (sebaliknya) banyak di antara mereka yang fasik".

Pada sudut istilah pula, sebagaimana kata Imam Abu Ishaq al-Syatibi di dalam kitabnya, al-I’tishom, bid'ah merujuk kepada makna jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT. Manakala Imam Ibn Rejab al-Hanbali pula menyebut di dalam kitab Jami' al-'Ulum wa al-Hikam, bid'ah bermakna sesuatu yang direka tidak ada asal baginya dalam syariah yang menunjukkannya, manakala sesuatu yang ada asal baginya dari syarak yang menunjukkannya maka ia bukan bid'ah pada syarak walaupun ia bidaah pada bahasa. Berdasarkan maksud yang telah dikemukakan ini, dapatlah kita fahami bahawa perkataan bid'ah adalah merujuk kepada rekaan sesuatu ibadah yang berlebihan dan tidak mempunyai asas dalam suruhan agama. Maka dengan itu, bid'ah atau rekaan ibadah boleh berlaku dalam pelbagai perkara termasuk bid'ah dalam akidah, ibadah dan akhlak (jalan penyucian jiwa).




Mengenai bentuk bid'ah pula, para sarjana Islam telah berbeza pandangan dalam menyatakan pembahagian bentuk bid'ahnya. Dalam kerangka perbahasan yang panjang, sekurang-kurangnya terdapat dua pandangan utama dalam melihat perkara bid'ah. Pendapat pertama ialah mereka yang membahagikan bid'ah kepada dua bahagian iaitu bid'ah yang baik dan bid'ah yang terkeji. Pendapat kedua pula, ialah mereka yang menyatakan bahawa kesemua bentuk bid'ah adalah keji dan sesat. Bagi mereka, tiada bid'ah baik atau buruk. Bagi pendapat pertama sepertimana yang dinukilkan oleh al-Asfahani di dalam kitab Hilyah al-Awliya', Imam al-Syafie ketika menghuraikan makna bid'ah telah menyebutkan bahwa :

"Bid‘ah itu dua iaitu bid‘ah mahmumah (bid‘ah terpuji) dan bid‘ah mazmumah (bid‘ah tercela); jika seiring dengan sunnah dianggap bid‘ah mahmudah manakala jika bercanggah dengan sunnah dianggap bid‘ah mazmumah”

Ketika menjelaskan maksud kedua-dua bahagian bid'ah tersebut, Imam Ibn Rejab al-Hanbali menyebut di dalam Jami' al-'Ulum wal Hikam, maksud al-Syafie bahawa bid'ah Mazmumah ialah apa yang tiada asal dari syariat untuk dirujuk kepadanya. Inilah bid'ah pada istilah syarak. Adapun bid'ah Mahmudah ialah apa yang bertepatan dengan sunnah. Iaitulah apa yang ada baginya asal untuk dirujuk kepadanya. Demikian apa yang dijelaskan. Selain itu, menurut Imam 'Izz Abd al-Salam di dalam kitabnya, Qawa'id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, beliau membahagikan bid'ah kepada lima bahagian. Lima bahagian tersebut ialah bid'ah wajib, bid'ah haram, bid'ah sunat, bid'ah makruh dan bid'ah harus. Pembahagian lima bid'ah ini dibuat berdasarkan pemahamannya terhadap maksud bid'ah. Padanya, perkataan bid'ah bermaksud perbuatan yang tidak ada pada zaman Nabi SAW. Maksud ini bersifat sangat meluas sehingga menghasilkan pembahagian bid'ah yang lima. Berdasarkan pembahagian tersebut, baginya contoh bid'ah wajib ialah menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang dengannya dapat memahami kalam Allah SWT.

Bagi pendapat kedua, iaitu mereka yang menyebut keseluruhan bid'ah tersebut adalah sesat berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat Muslim, daripada Jabir bin Abdullah katanya yang bermaksud :

"Rasulullah SAW apabila berkhutbah, kedua-dua matanya memerah, suaranya meninggi, tampak sekali kemarahan baginda sehingga seakan-akan baginda sedang memberi peringatan kepada sebuah pasukan tentera dengan berkata ‘Musuh akan datang menyerang kalian pada waktu pagi atau pada waktu petang nanti. Baginda SAW kemudian bersabda : “Sesungguhnya sebaik-baik perkataan ialah Kitab Allah dan sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad, dan seburuk-buruk perkara ialah apa yang diada-adakan dan setiap bidaah sesat.”




Oleh itu, sebahagian para sarjana Islam seperti Imam al-Syatibi menolak dan membantah mengenai pembahagian bid'ah sebagaimana yang dilakukan oleh Imam Izz' Abd Salam. Bantahan tersebut sebagaimana yang tercatat dalam kitabnya, al-I'tishom, beliau membantah dengan menyebut :

"Sesungguhnya pembahagian ini adalah sesuatu yang hanya direka, tidak ada dalil syar‘i yang menunjukkannya. Bahkan ia sendiri saling bercanggahan. Ini kerana hakikat bid‘ah ialah sesuatu yang tidak ditunjukkan oleh dalil syar‘i, sama ada daripada nas-nas syarak atau kaedah-kaedahnya. Kalau di sana ada dalil daripada syarak yang menunjukkan wajib, sunat, atau harus, maka itu bukanlah bid‘ah. Ia termasuk dalam keumuman amalan yang disuruh atau diberi pilihan. Mencampur aduk dalam menyenaraikan perkara-perkara tersebut adalah bid‘ah, iaitu mencampurkan antara perkara yang memiliki dalil yang menunjukkan kepada wajib, sunat atau harus dengan dua lagi (makruh dan haram) yang menyanggahinya".

Demikianlah secara asas untuk memahami istilah bid'ah. Dalam kerangka keluasan ilmu yang ada, perkataan bid'ah seharusnya tidak menjadi barang dagangan untuk menutupi kesalahan dalam beramal. Jika sesuatu amalan tersebut jelas, terang dan lagi benar-benar menyimpang dari ajaran agama, adalah sangat buruk untuk menutupi hal tersebut dengan menggunakan alasan bid'ah. Perbahasan panjang mengenai bid'ah ini bukanlah bertujuan untuk memecah belahkan masyarakat. Bahkan mereka yang digelar sebagai ahli bid'ah pula yang dihukum sebagai pemeceh belah umat kerana dengan sengaja mengeluarkan diri mereka daripada mengikuti petunjuk Nabi SAW. Mudah-mudahan kita semua benar-benar beramal sepertimana yang dikehendaki oleh Allah dan Rasul Nya. Semoga Allah meredai kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan