Jumaat, 25 April 2025

GOLONGAN MUNAFIK MENURUT WAHYU

 

Seperti ramai para pujangga menyebut hidup ini ibarat sebuah pentas lakonan. Maka melaluinya akan muncul lah pelbagai watak baik dan buruk. Kita sering melabelkan watak baik sebagai warna putih dan sebaliknya watak buruk dilabel sebagai watak hitam. Selain watak yang bersifat hitam dan putih, ada pula disana watak yang mengelirukan dengan diwarnai oleh pelbagai warna. Kadang boleh berwarna hitam dan ada masanya bertukar menjadi warna putih. Demikian sebuah metafora yang ingim menggambarkan kepada kita adanya manusia yang bersifat talam dua muka. Hal yang demikian bukanlah perkara baharu bahkan golongan ini telah wujud sekian lama lagi. Hatta di zaman Nabi Muhammad SAW pun telah wujud dan golongan ini dinamakan sebagai Munafik.

Perkataan "Munafik" pada sudut bahasa berasal dari bahasa Arab. Istilah ini berasal dari kata nafaqa yang bermakna lubang yang ditebuk atau digali diatas permukaan bumi yang membolehkan seseorang keluar ke permukaan yang di arah bertentangan. Menurut catatan dalam kitab Lisan al-'Arab, sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu 'Ubaid al-Qasim bin Sallam, dinamakan munafik juga kerana ia menyorok di dalam lubang seperti tikus penggali yang menyorok di dalam lubang galiannya. Begitulah juga dengan orang munafik, mereka memasuki Islam kemudian keluar menuju ke arah kekufuran sepertimana perbuatan tikus penggali ini. Hakikatnya, sifat munafik lahir daripada penyakit yang paling bahaya yang ada dalam diri manusia. Penyakit tersebut disebut sebagai Nifaq. Sebesar-besar penyakit nifaq ialah menzahirkan keimanan dan menyembunyikan kekufuran.




Di dalam al-Quran, Allah SWT menjelaskan kepada manusia bahawa penyakit nifaq adalah sejenis penyakit dalam jantung hati manusia. Mereka yang mempunyai penyakit ini tidak akan sedar bahawa mereka sedang sakit sehingga mereka menyangka mereka sedang melakukan kebaikan dengan cara bersekongkol dengan golongan kafir yang memusuhi umat Islam. Dalam surah al-Baqarah ayat 8-12, Allah menceritakan tentang gokongan munafik dengan berfirman yang bermaksud :

"Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat"; padahal mereka sebenarnya tidak beriman (8) Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya. (9) Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran) (10) Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan" (11) Ketahuilah! Bahawa sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang sebenar-benarnya membuat bencana dan kerosakan, tetapi mereka tidak menyedarinya (12)"

Secara asasnya, golongan munafik itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk. Pertama, disebutkan sebagai Munafik I'tiqadi. Keduanya pia disebut sebagai Munafik Amali. Kedua-dua munafik ini menjelaskan tentang sifat dan bentuk kemunafikan yang ada pada diri manusia yang mempunyai penyakit nifaq tersebut. Bentuk pertama, Munafik I'tiqadi bermaksud seseorang yang pada hakikatnya kafir iaitu yang enggan beriman kepada Allah, tetapi berpura-pura memeluk Islam dengan matlamat dan tujuan untuk merosakkan agama Islam daripada dalam. Golongan munafik yang pertama inilah yang diperangi oleh Nabi SAW sehingga baginda dilarang oleh Allah SWT untuk mensolatkan jenazah mereka. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 84, yang bermaksud :

“Dan janganlah engkau sembahyangkan seorang pun yang mati dari orang-orang munafik itu selama-lamanya, dan janganlah engkau berada di (tepi) kuburnya, kerana sesungguhnya mereka telah kufur kepada Allah dan Rasul-Nya, dan mereka mati sedang mereka dalam keadaan fasik (derhaka).”




Dikalangan ulama tafsir menyebutkan bahawa antara sebab utama ayat ini diturunkan kerana Abdullah bin Ubay telah meninggal dunia. Nama beliau atau lebih dikenali sebagai Bapa Munafik merupakan musuh utama umat Islam dan beliau telah banyak melakukan fitnah dan kerosakan terutamanya dalam episod peperangan Uhud. Selain itu, beliau juga antara penyebar berita fitnah Aisyah Ranha curang dengan baginda Nabi SAW. Bagi golongan munafik seperti ini, dengan penuh ketegasan Allah SWT menghukum mereka ini dengan diletakkan di dalam tingkatan neraka yang paling bawah sekali. Bahkan Allah turut menegaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang sanggup menolong mereka ini. Ketegasan ini sebagaimana yang tercatat di dalam al-Quran melalui surah al-Nisa' ayat 145, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya golongan munafik itu ditempatkan di tingkatan neraka yang paling bawah dan kamu tidak akan menjumpai seseorang pun yang sanggup menjadi penolong mereka.”

Golongan kedua munafik iaitu Munafik Amali, merujuk kepada maksud orang-orang yang melakukan perbuatan nifaq seperti tidak ikhlas, bercakap bohong dan memungkiri janji. Golongan ini rata-ratanya adalah beragama Islam namun berdosa besar kerana meniru perangai orang munafik. Dalam banyak ayat-ayat al-Quran dan hadith, menceritakan kepada kita tentang ciri-ciri munafik. Antara ciri-ciri yang dijelaskan oleh al-Quran dan hadith Nabi ialah tidak ikhlas serta tidak khusyuk dalam beribadah. Ini dapat dilihat sebagaimana di dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Nisa' ayat 142 yang bermaksud :

“Sesungguhnya golongan munafik menipu Allah, dan Allah membalas penipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri menunaikan solat, mereka berdiri dengan malas, solat mereka hanya untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia; dan mereka pula tidak mengingati Allah melainkan sedikit sahaja.”

Selain itu, golongan munafik juga mempunyai beberapa sifat buruk dan keji seperti suka menipu, bercakap bohong, suka membuat khianat dan curang selain suka memungkiri janji. Keadaan ini dijelaskan lagi oleh baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tanda orang munafik itu ada tiga: Apabila dia berbicara, dia berdusta. Apabila dia berjanji, dia menyelisihinya. Apabila diberi amanah, dia berlaku khianat.”




Dalam hadith lain, baginda Nabi SAW menjelaskan sifat lain yang ada pada diri golongan munafik. Sifat lain yang dimaksudkan adalah sikap suka melampau ketika bergaduh dan bertelagah. Kenyataan ini dapat dilihat sebagaimana yang terdapat di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abdullah bin 'Amr bin al-'As Ranhuma, meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Empat ciri yang jika dimiliki oleh seseorang, maka dia merupakan orang munafik sejati. Manakala, sesiapa yang ada salah satu daripadanya, maka dia mempunyai salah satu ciri-ciri sifat nifaq, sehinggalah dia meninggalkannya. Iaitu: jika diberi amanah, dia khianat. Jika dia berbicara, dia berbohong. Jika dia berjanji, dia mungkiri. Jika dia bermusuhan, dia melampau berlebihan.”

Demikian bagaimana yang dimaksudkan dengan nama munafik berserta ciri-cirinya menurut wahyu al-Quran dan hadith. Banyak lagi ciri-ciri munafik yang dijelaskan oleh wahyu. Antara lain mereka juga akan lari daripada berhukum dengan hukum syariat dan benci akan hal tersebut. Namun begitu, secara asasnya golongan yang dinamakan sebagai munafik tersebut mereka hanya sekadar memzahirkan iman dan menyembunyikan kekufuran. Walau bagaimana pun, kita tidak disuruh untuk sibukkan diri dengan mencari siapa golongan munafik zaman ini dan tidak usahlah kita bersusah payah membuang masa dengan menghukum orang itu dan orang ini munafik. Setelah kita fahami dengan penjelasan ini, memadailah untuk kita ambil ianya sebagai pedoman serta pengajaran kepada kita supaya kita tidak tergolong dalam kalangan orang-orang munafik. Semoga Allah merahmati dan melindungi diri kita semua dari segala sikap kemunafikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan