Membaca, menulis dan mengira adalah merupakan antara kemahiran asas
yang dilatih dalam diri manusia. Bermula sejak alam awal kanak-kanak, ibu bapa
seringkali mengajar anak mereka untuk mengenal huruf dan nombor selain mengajar
menyebut beberapa perkataan asas seperti ibu, ayah, makan dan sebagainya. Untuk
mengukuhkan lagi kemahiran asas tersebut, institusi pendidikan awal kanak-kanak
seperti tadika dan taska, diwujudkan sebagai usaha memperkasakan lagi kemahiran
tersebut. Berkait dengan kemahiran tersebut, kita seringkali mendengar bahwa
baginda Nabi Muhammad SAW adalah merupakan seorang yang manusia yang buta huruf
yang disebut di dalam bahasa Arab sebagai "Ummiy".
Perkataan Ummiy yang berasal dari bahasa Arab menjadi perbahasan panjang
dikalangan para ilmuan Islam bagi merungkaikan makna perkataan demikian.
Pada sudut bahasa, perkataan Ummiy sebagaimama yang
disebutkan oleh Ibn Faris di dalam kitab Mu'jam Maqayis al-Lughah, ianya
bermaksud orang yang mengikut keadaan atau pembawaan golongan manusia yang
tidak menulis. Telah berkata pula al-Raghib al-Isfahani di dalam kitab al-Mufradat
fi Gharib al-Quran, perkataan Ummiy bermaksud orang yang tidak tahu menulis
atau membaca kitab. Selain itu, Ummiy juga boleh dimaksudkan dengan makna
al-Ghaflah (kealpaan) dan al-Jahalah (kejahilan) atau orang yang hanya
mempunyai sedikit pengetahuan. Dalam pada itu, Ibn Manzur telah menyebut di
dalam kitabnya Lisan al-'Arab, perkataan Ummiy bermakna orang yang tidak
tahu menulis. Selain itu, menurut al-Zajjaj, al-Ummiy merujuk kepada makna
orang yang mengikut pembawaan sesuatu umat yang tidak mempelajari sebarang
kitab dan mereka terus kekal di dalam keadaan tersebut.
Perkataan al-Ummiy pada sudut istilah pula mempunyai banyak sudut
pandang yang berbeza berdasarkan pandangan yang perselisihi oleh para sarjana
Islam. Pun begitu, secara umumnya, perkataan al-Ummiy disebutkan secara
berulangan di dalam al-Quran pada ayat yang berbeza. Antara lain kita dapat
lihat sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Jumu'ah ayat 2 yang
bermaksud :
"Dialah (Allah) yang mengutuskan di dalam golongan ummiy
seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Nya ke atas mereka
dan dia menyucikan mereka serta mengajarkan kepada mereka al-Kitab dan
al-Hikmah sekalipun mereka sebelum ini berada di dalam kesesatan yang
nyata".
Berdasarkan ayat ini, Imam al-Baghawi telah menjelaskan di dalam
kitabnya, Tafsir al-Baghawi, masyarakat Arab dahulunya merupakan umat
yang ummiyyah iaitu umat yang tidak menulis dan tidak membaca. Dalam ayat lain,
menjelaskan bahawa dahulu baginda Nabi Muhammad SAW seorang yang tidak menulis,
tidak membaca dan tidak mengira. Ini dapat dilihat di dalam surah al-A'raf ayat
157, Allah Azza Wa Jalla berfirman yang bermaksud :
"Mereka yang mengikuti Rasul iaitu seorang Nabi yang ummiy
yang mereka dapati telah tertulis di sisi mereka di dalam kitab Taurat dan
Injil yang memerintahkan mereka kepada perkara yang makruf dan melarang mereka
dari perkara yang mungkar dan dia menghalalkan bagi mereka itu perkara-perkara
yang baik dan dia haramkan ke atas mereka perkara-perkara yang kotor".
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi menukilkan ungkapan
oleh Ibn Abbas di dalam kitabnya, al-Jamik Li Ahkam al-Quran, telah
berkata Ibn Abbas bahawa Nabi kalian dahulunya seorang ummiy yang tidak
menulis, tidak membaca dan tidak juga mengira. Maka berdasarkan tafsiran ini,
menggambarkan kepada kita bahawa dahulunya baginda Nabi SAW seorang yang tidak
menulis, membaca dan mengira. Perkataan tidak bukanlah bermaksud tidak tahu
tetapi lebih kepada tidak mahu. Dalam konteks lain, Allah SWT menggunakan istilah
lain bagi menggambarkan bahawa Nabi tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab
dan tidak pernah pula tahu untuk menulis. Ini dapat dilihat sebagaimana yang
dinyatakan oleh Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 48, firman Allah SWT
yang bermaksud :
"Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca
sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran ini, dan tidak pula tahu
menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan
menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan
merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu)".
Imam Ibn Kathir di dalam kitabnya, Tafsir al-Quran al-Azhim, ketika
menafsirkan ayat tersebut menyatakan bahawa Nabi telah tinggal bersama kaumnya
sebelum didatangkan kepada baginda al-Quran dalam kehidupan yang baginda
sendiri tidak membaca dan tidak menulis dan setiap seorang dari kaum baginda
mengetahui bahawa baginda seorang lelaki ummiy yang tidak tahu membaca dan
tidak tahu menulis. Demikianlah sifatnya di dalam kitab-kitab terdahulu. Selain
al-Quran, perkataan al-Ummiy juga terdapat di dalam hadith baginda Nabi
Muhammad SAW. Ini sebagaimana dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, Rasullulah
SAW bersabda yang bermaksud :
"Sesungguhnya kita ini umat yang ummiyyah. Kita tidak menulis
dan kita tidak mengira".
Telah berkata Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, Syarah Sahih
Muslim, ketika beliau membahaskan hadith tersebut, beliau menukilkan bahawa
para ulama berkata ummiyyah itu ialah kekal keadaannya sebagaimana kita
mula-mula dilahirkan oleh ibu-ibu kita. Kita tidak menulis dan kita tidak
mengira. Di antaranya adalah Nabi yang ummiy. Dikatakan : Ia (perkataan
ummiyyah) adalah satu penisbahan. Demikian menurut Imam al-Nawawi. Selain itu,
sebahagian pendapat menyebutkan bahawa perkataan al-Ummiy juga dinisbahkan
kepada nama tempat iaitu Ummu Qura. Ibn Faris ketika menerangkan makna Ummu
Qura ialah tidak sekadar nama bagi Makkah bahkan ia merujuk kepada setiap
bandar yang menjadi pusat kepada kawasan-kawasan sekitar. Demikian seputar lalu
pemahaman makna al-Ummiy pada sudut bahasa dan istilah. Pun begitu, terdapat
juga beberapa pandangan lagi oleh para sarjana Islam bagi menggambarkan makna
al-Ummiy ini.
Antara lain, menurut al-Qadhi Iyadh di dalam kitab al-Syifa Bi
Ta’rif Huquq al-Musthafa, beliau menjelaskan bahawa demikian juga apabila
disifatkan bahawa baginda Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang ummiy
sebagaimana yang Allah sifatkan dirinya maka sifat tersebut merupakan satu
kepujian untuk baginda dan merupakan suatu kelebihan yang sabit kepada baginda
SAW. Begitu juga menurut Syeikh Mutawalli Sya’rawi, beliau menyebut bahawa
keadaan baginda sebagai seorang ummiy merupakan tanda kekuatan bagi dirinya.
Ini kerana makna ummiy itu adalah keadaan sebagaimana kita dilahirkan oleh ibu
kita. Kita tidak terkesan dengan saqafah (pengetahuan) sesiapa pun. Dari sudut
jika kita datang membawa sesuatu, tidak dikatakan bahawa kita telah datang
dengan saqafah yang telah kita tahu dan pelajari. Maka jika sesuatu yang kita
bawa itu merupakan sesuatu yang mempengaruhi akal dan teori maka jelas bahawa
ia datang dari atas langit.
Demikian seputar lalu berkenaan dakwaan baginda Nabi Muhammad SAW
seorang yang buta huruf. Perbahasan panjang dalam bab ini boleh kita rumuskan
dalam beberapa perkara. Antaranya ialah ungkapan Ummiy ada yang dimaksudkan
dengan buta huruf, ada pula yang menyebut tidak baca bukan bermakna tidak tahu
baca selain ada juga yang menggangap ianya adalah penisbahan kepada Ummu Qura.
Ada juga yang menyebut baginda Nabi bersifat buta huruf adalah pada tempoh
baginda belum diangkat menjadi Rasul. Walau bagaimana pun, pandangan utama
dikalangan para ulama Ahlis Sunnah Wal Jamaah berpendapat Nabi Muhammad seorang
yang buta huruf. Apa pun yang kita pegang, kita harus fahami bahawa antara
hikmah terbesar Allah jadikan baginda Nabi sebagai Ummiy (buta huruf) adalah
untuk menolak dan menafikan dakwaan liar yang menyatakan al-Quran itu ditulis
dan direka oleh Nabi Muhammad. Mana mungkin satu orang manusia yang tidak tahu
atau tidak pernah membaca, menulis dan mengira mampu menerbitkan al-Quran. Maka
dengan demikian, benarlah al-Quran itu datang dari Allah dan bukannya direka
oleh manusia. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan