Ibadah merupakan penghubung antara manusia dengan Tuhan. Melalui
ibadah, manusia menzahirkan rasa ketaatan dalam makna sebenar perhambaan.
Penciptaan manusia dan sekalian makhluk lain adalah bertujuan untuk mentaati
kepada Allah SWT. Seluruh makhluk termasuk alam semesta yang luasnya tidak
bertepian ini membuktikan kekuasaan Allah sekaligus menuntut para hamba Nya
untuk mentaati dan menyerah diri hanya kepada Nya. Oleh yang demikian, kita
dapat melihat bahawa agama Islam datang dengan membawa segala pensyariatan yang
dikehendaki oleh Allah untuk dilakukan oleh umat manusia selaku hamba Nya.
Antara pensyariatan tersebut termasuklah syariat solat yang menjadi tiang agama
bagi Islam.
Agama Islam seringkali ditonjolkan sebagai agama yang menganjurkan
kepada nilai bertoleransi, sentiasa terbuka dengan menghormati perbezaan dan
mesra kepada yang bukan beragma Islam. Hal ini dapat kita lihat bagaimana hari ini
orang bukan Islam dijemput untuk memasuki masjid dengan beradab, melihat
sendiri keunikan masjid sambil memahami fungsi dan peranan masjid, dipelawa
berbuka puasa bersama orang Islam di masjid, bahkan terdapat sebilangan negeri
seperti Perlis mengharuskan agihan zakat kepada mereka yang bukan Islam yang
tidak melawan, menentang dan memusuhi Islam dibawah asnaf Muallaf. Pun begitu,
apakah diatas nama toleransi juga, orang Islam dibolehkan untuk solat di tempat
ibadat agama lain seperti kuil, tokong, gereja dan sebagainya.
Bagi memahami persoalan ini, kita perlulah memahami apa yang
disebutkan sebagai rumh ibadat agama lain. Rumah ibadat selain Islam dikenali
dengan pelbagai nama berdasarkan pelbagai kepercayaan beragama. Seperti contoh,
kuil merupakan rumah ibadat bagi agama Hindu. Tokong atau Wat pula umumnya
merupakan rumah ibadat bagi agama Buddha, Konfusius dan Tao manakala Gereja
pula tempat ibadat bagi agama Kristian. Selain Gudwara ialah nama rumah ibadat
bagi agama Sikh. Ini sebahagian nama rumah ibadat berdasarkan kepercayaan
pelbagai agama yang ada di Malaysia. Soalnya, adakah boleh orang Islam
menunaikan solat di tempat seperti yang disebut. Secara asas, Islam membenarkan
umatnya menunaikan solat di mana-mana sahaja di bumi ini. Perkara Ini sebagaimana
yang telah dijelaskan oleh baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith riwayat
Bukhari, sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
“Bumi ini dijadikan untukku sebagai tempat solat dan suci untuk
tayammum. Oleh itu, sesiapa sahaja daripada kalangan umatku, apabila telah
masuknya waktu solat, hendaklah menunaikan solat walau di mana pun dia berada.”
Berdasarkan hadith ini, al-Sindi menyebut di dalam kitabnya, Hasyiah
al-Sindi ‘ala Sahih al-Bukhari, beliau menyatakan bahawa seluruh bumi pada
asasnya adalah tempat untuk melakukan solat untuk semua orang kecuali jika
adanya perkara mendatang yang menunjukkan bahawa solat di tempat itu makruh
atau tidak sah. Namun begitu, dalam keluasan makna boleh solat dimana-mana
tersebut, baginda Nabi SAW menyebut terdapat tujuh tempat yang dilarang atau
ditegah daripada menunaikan solat. Tujuh tempat tersebut sebagaimana yang telah
dinyatakan oleh baginda Nabi SAW di dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmizi,
daripada Ibnu Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Rasulullah SAW melarang untuk mendirikan solat di tujuh tempat
iaitu tempat (pembuangan) sampah, tempat penyembelihan haiwan, perkuburan, di
tengah jalan, tempat pemandian (tandas), tempat unta, dan di atas Kaabah.”
Berdasarkan hadith tersebut, dapat kita senaraikan tujuh tempat
yang dilarang ialah tempat pembuangan sampah, tempat sembelihan
haiwan, tanah perkuburan, di tengah jalan, tandas, tempat
unta dan diatas Kaabah. Selain dari yang disebutkan ini, adalah
harus untuk didirikan solat. Namun begitu, antara syarat sah solat pula ialah
tempat solat tersebut hendaklah bersih dan suci daripada najis. Sebagaimana
yang dinukilkan dalam kitab Fiqh al-Manhaji, tempat solat bermaksud
ruang yang digunakan oleh orang Islam yang menunaikan solat merangkumi tempat
berpijak hingga ke tempat sujud yang bersentuhan dengan badannya ketika
bersolat. Oleh itu, tidak mengapa sekiranya solat di tempat yang bernajis
selagi najis tersebut tidak bersentuhan dengan badan. Hal ini berdasarkan
suruhan Nabi SAW untuk menjiruskan air di tempat yang dikencing oleh seorang
arab badwi di dalam masjid. Maka secara jelas, jika di tempat solat tersebut
tidak mempunyai najis yang dapat bersentuhan dengan badan, maka tempat tersebut
dianggap bersih dan suci.
Demikian secara asas keharusan tempat untuk mendirikan solat. Dalam
pada masa yang sama, berkenaan hukum solat di rumah ibadat agama selain Islam
pula, sekurang-kurangnya terdapat dua pandangan utama dalam hal ini. Pandangan
pertama, sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam
kitab al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, mengikut pandangan majoriti ulama
seperti Ibnu Abbas, hukum solat di rumah ibadat agama selain Islam adalah
makruh. Pun begitu, jika berada di dalam keadaan darurat, maka hukumnya
tidaklah makruh. Pandangan ini juga berdasarkan perintah Nabi SAW ketika
pembukaan Kota Mekah, baginda menyuruh agar semua patung-patung yang berada di
Kaabah dan di sekitar Masjidil Haram dikeluarkan dan dihancurkan terlebih
dahulu sebelum umat Islam diharuskan untuk solat dan tawaf di dalamnya. Maka
berdasarkan perintah tersebut, adalah dilarang umat Islam untuk beribadah di
rumah ibadat agama selain Islam.
Pandangan kedua, sebagaimana yang disebut oleh para ulama
Hanabilah, tidak menjadi kesalahan untuk orang Islam menunaikan solat di dalam
gereja yang bersih. Pandangan ini juga turut dipegang oleh Imam Hasan al-Basri,
Umar bin Abd Aziz, al-Sya'bi, al-Awza'ie dan lain-lain. Perkara ini dapat
difahami lagi dengan melihat berdasarkan apa yang telah dinukilkan di dalam
kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, disebutkan bahawa :
"Ulama mazhab Hanbali berkata : Dibenarkan bagi orang Muslim
untuk memasuki gereja dan tempat ibadah orang Yahudi (biara), mendirikan solat
di dalam tempat tersebut dan hukumnya tidak makruh menurut pandangan yang sahih
di sisi mazhab".
Demikian menurut dua pandngan berkaitan hukum orang Islam bersolat
di rumah ibadat agama lain. Bagi merungkaikan isu tersebut, adalah lebih baik
umat Islam menunaikan solat di tempat yang tidak dilarang oleh Islam seperti di
masjid, surau atau di rumah dan sekiranya boleh kita hendaklah mengelak
daripada menunikan solat di tempat ibadat agama lain. Antara dua pandangan
berikut, memilih pandangan majoriti lebih selamat berdasarkan hujah dan dalil
yang dikemukakan. Antara hikmah hukum makruh umat Islam bersolat di tempat
ibadat agama lain ialah untuk menjaga akidah dengan tidak melakukan solat di
tempat yang bersarangnya segala syaitan. Ini kerana tempat tersebut umumnya
tidak akan terlepas daripada digantung lalu di sembah gambar-gambar dan
patung-patung di dalamnya. Bahkan tempat tesebut juga dapat menimbulkan fitnah
terhadap agama Islam. Maka sebaiknya kita perlu elakkan daripada bersolat di
dalamnya. Semoga Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan