Isnin, 7 April 2025

DERMA DARAH : TANGAN KANAN MEMBERI TANGAN KIRI TIDAK TAHU

 

Dalam kita menelusuri titian kehidupan di dunia ini, nilai kemanusiaan merupakan antara pengajaran terbaik untuk kita hayati bersama. Hakikat yang harus kita fahami bahawa erti kemanusiaan itu harus di isi dan dipenuhi dengan makna memberi dan tidak sekadar menerima. Apabila kita sering berbicara mengajak orang untuk melakukan kebaikan, ianya tidaklah sukar mana bahkan semudah kita bersembang di kedai kopi sambil menghirup udara bersama rakan dan taulan. Pun begitu, untuk melakukan sesuatu perkara kebaikan tidak memadai sekadar bercakap di meja kopi tanpa melakukan apa-apa yang berada dalam lingkungan kemampuan kita. Oleh itu, apabila kita selami makna kemanusiaan sebenar, kita akan mendapati betapa hebatnya nilai memberi tanpa menerima balasan dan pujian. Salah satu contoh akan hal tersebut ialah dengan usaha menderma darah.

Pendermaan darah boleh difahami sebagai suatu prosedur di mana seseorang individu mendermakan darahnya bertujuan untuk menyelamatkan sesama manusia lain. Berdasarkan kepada kenyataan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 11.7 pendermaan per 1000 penduduk diperlukan untuk menderma darah bagi negara-negara sedang membangun. Keperluan darah merupakan produk bersifat teraputik yang sangat penting dalam penjanaan sistem kesihatan awam. Ianya amat penting bagi tujuan perawatan pesakit. Sungguh ajaib, darah yang merupakan antara makhluk Allah yang tidak boleh didapati di mana-mana tempat melainkan melalui usaha pendermaan sesama mamusia sahaja. Sehingga kini, masih belum dapat menemui bahan sintetik yang boleh menggantikan produk darah secara keseluruhannya. Oleh itu, aktiviti dan kempen pendermaan darah adalah penting bagi memastikan kelangsungan bekalan untuk merawat mereka yang memerlukan.




Islam sangat memandang tinggi dan mulia terhadap apa jua bentuk pendermaan yang dihulurkan. Bahkan Islam sangat menggalakan umatnya berbuat kebaikan dan kebajikan sesama manusia merentasi perbezaan agama, kaum dan bangsa. Oleh itu di dalam Islam, terdapat suatu konsep berbentuk derma yang disebut sebagai sedekah, infak dan wakaf. Perkataan sedekah pada sudut Islam terdapat dua kategori iaitu kategori pertama, sedekah bersifat wajib seperti zakat dan kategori kedua pula ialah sedekah bersifat sunat seperti memberi makan dan minum. Penderman darah boleh dianggap sebagai sedekah kategori kedua yang bersifat sunat hukumnya. Pun begitu, pendermaan darah bukanlah suatu sedekah yang boleh dianggap remeh. Ini kerana orang yang menderma darah tidak akan tahu darahnya akan digunakan untuk siapa. Ibaratnya seperti kata pepatah “tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu”. Sebagaimana maksud pepatah tersebut, mereka yang menderma darah benar-benar menderma tanpa mengharapkan balasan dan pujian oleh mereka yang menerima darah tersebut.

Perkara baik dan mulia seperti ini akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak di mana tidak ada naungan lain selain naungan oleh Nya. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Ada tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya. Pemimpin yang adil, seorang pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah SWT, seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid, dua orang yang saling mencintai kerana Allah SWT berkumpul dan berpisah kerana Allah juga, seorang lelaki yang di ajak zina oleh wanita yang kaya dan cantik tapi ia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah, seseorang yang bersedekah dengan menyembuyikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya, serta seorang yang berzikir kepada Allah di kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.”

Berdasarkan hadith ini, menjelaskan kepada kita bahawa golongan yang paling ikhlas dalam memberi dengan tidak mengharapkan sebarang pujian dan penghargaan, akan menerima naungan Allah SWT di hari akhirat kelak. Pahala dan ganjaran terbesar ini juga menyatakan kepada kita bahawa keikhlasan dalam memberi adalah sesuatu perkara yang sukar. Ini kerana manusia akan sentiasa menentang dan berlawan dengan dirinya sendiri untuk dilihat sebagai seorang dermawan dan mahu dipuji oleh kebanyakan orang. Imam al-Nawawi di dalam kitabnya, Syarh al-Nawawi 'ala Muslim, menyatakan bahawa hadith ini menjelaskan tentang kelebihan bersedekah secara sembunyi. Para ulama berpandangan sedekah bersembunyi lebih baik untuk memelihara nilai keikhlasan dan menjauhi sifat riyak. Sesungguhnya setiap darah yang di dermakan tersebut pasti akan dapat memberi manfaat kepada orang yang memerlukan. Meski kita tidak tahu siapa yang akan menerima darah tersebut, tetapi kita pasti yakin akan dapat memberikan manfaat kepada pihak yang memerlukan.




Dalam al-Quran, Allah SWT memuji perbuatan bersedekah baik secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi. Ini kerana sedekah secara terang-terangan akan dapat memberikan contoh yang baik kepada umum. Perbuatan bersedekah secara tersembunyi pula adalah baik bagi diri manusia untuk mengelak dari bersikap riyak (menunjuk-nunjuk) dalam melakukan kebaikan. Perkara ini sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud :

“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Qurtubi al-Jami' Li Ahkam al-Quran, beliau menyebut bahawa para ulama tafsir telah bersepakat berpandangan bahawa ayat ini berkaitan sedekah sunat dengan pemberian secara tersembunyi lebih afdal (baik) daripada menghebahkan kepada umum. Begitu juga tidak menunjuk-nunjuk dalam melakukan amal ibadah sunat bertujuan untuk menjauhi diri daripada timbul perasaan riyak. Demikian ulasan oleh al-Qurtubi. Apa yang diungkapkan oleh al-Qurtubi ini secara tidak langsung menunjukkan kedudukan yang sangat mulia dan dipandang tinggi oleh Islam dengan perbuatan bersedekah secara tersembunyi ini. Oleh itu, pendermaan darah adalah sangat signifikan dengan maksud sedekah secara tersembunyi kerana si penderma tidak tahu siapa yang akan menerima darahnya tersebut. Selain itu, manfaat yang sangat besar bagi mereka yang menderma darah kerana ianya dianggap sebagai sedekah jariah iaitu sedekah yang pahalanya sentiasa mengalir meski diri telah meninggal dunia. Ini bermakna selagi mana darah yang di dermakan itu mengalir dalam tubuh penerima, memberi makna kelangsungan hidup untuk penerima, maka selagi itulah pahala berterusan untuk si penderma.




Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :

“Apabila matinya seorang insan, terputuslah amalnya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”

Sedekah jariah boleh difahami dengan makna sedekah yang bersifat kekal dan manfaatnya boleh digunakan walaupun penyumbangnya sudah meninggal dunia. Oleh itu, pendermaan darah adalah sesuatu kebaikan yang bersifat kekal dan banyak memberi manfaat terutamanya pada makna sebuah kehidupan. Ini kerana satu beg derma darah mampu menyelamatkan 3 nyawa. Lihatlah betapa besarnya amalan menderma darah ini. Maka dengan penuh semangat dan iltizam yang tinggi, marilah sama-sama kita menjadi sebahagian daripada adiwira-adiwira masyarakat dengan menderma darah tanpa mengharapkan kata pujian dan penghargaan. Setiap titisan darah yang didermakan, akan membawa banyak kebaikan juga pada penderma. Dengan menderma darah, selain dapat mendidik jiwa menjadi insan yang ikhlas dalam memberi, ianya juga dapat meraih pahala sedekah jariah. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan