Dalam kerukunan berumah tangga, tanggungjawab serta peranan yang
dimainkan oleh suami dan isteri adalah sama penting bagi menjamin keharmonian
hubungan. Baik suami mahupun isteri, keduanya ini adalah mustahak untuk
memahami peranan masing-masing selain saling bertoleransi dalam perkara yang
membawa kepada kebaikan bersama. Adalah tipu jika kita katakan kebahagiaan
rumah tangga itu ialah apabila sepi tanpa konflik pergaduhan. Kerana yang
dikahwini itu menyatukan dua jiwa, dua hati dan perasaan. Maka tentu sekali
dalam berumah tangga, bergaduh adalah asam garam kehidupan. Persoalannya bukan
tentang besar atau kecil sesuatu pergaduhan tetapi soal bagaimana kita
menguruskan sesuatu konflik pergaduhan tersebut. Oleh itu, suami isteri
masing-masing perlu bijak dalam berhadapan konflik rumah tangga supaya ianya
dapat diselesaikan dengam cara terbaik.
Bekaitan hubungan suami isteri, suatu ketika dahulu seringkali
masyarakat bercakap mengenai satu ungkapan yang berbunyi "Isteri
adalah cerminan suami". Ungkapan ini jika kita amati dengan betul,
maka kita fahami bahawa sikap isteri sama ada baik atau buruk adalah secara
tidak langsung menunjukkan sikap suaminya juga. Dalam erti kata lain, jika
isteri bersikap buruk, maka suaminya pun tentu bersikap buruk juga. Sebaliknya,
jika isteri bersikap baik, pasti suaminya pun bersikap baik. Rumusan mudahnya,
baik buruk seorang isteri itu tergantung dan terletak kepada baik atau buruk
suaminya tersebut. Isteri yang baik datangnya dari suami yang baik manakala
isteri yang jahat datangnya dari suami yang jahat. Hakikatnya, apakah benar ungkapan
ini yang sering berlegar di kalangan masyarakat kita pada hari ini ? Sejauh
mana kebenaran akan ungkapan tersebut ? Selain bagaimana Islam melihat akan hal
sebegini ?
Pada neraca Islam, ungkapan "Isteri Cerminan Suami"
adalah tidak benar sama sekali. Sangat tidak adil ungkapan seperti ini kerana
seolah-olah meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada para suami. Walhal, dalam
lipatan sejarah manusia, ada suami yang baik namun isterinya jahat. Begitu juga
sebaliknya ada suami yang jahat tetapi isterinya pula baik. Bagi memahami akan
perbezaan peribadi isteri dan suami ini, marilah kita lihat bagaimana Allah SWT
menceritakan tentang perihal Nabi Nuh dan isteri juga mengenai Nabi Lut dan
isterinya. Kisah tersebut sebagaimana yang terakam di dalam al-Quran menerusi
surah al-Tahrim ayat 10, firman Allah SWT yang bermaksud :
"Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan
tidak ada manfaatnya) bagi orang-orang kafir (berhubung rapat dengan
orang-orang mukmin selagi mereka tidak beriman dengan sebenar-benarnya), iaitu:
perihal isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut; mereka berdua berada di bawah
jagaan dua orang hamba yang soleh dari hamba-hamba Kami (yang sewajibnya mereka
berdua taati); dalam pada itu mereka berlaku khianat kepada suami
masing-masing; maka kedua-dua suami mereka (yang berpangkat Nabi itu) tidak
dapat memberikan sebarang pertolongan kepada mereka dari (azab) Allah, dan
(sebaliknya) dikatakan kepada mereka berdua (pada hari pembalasan):
"Masuklah kamu berdua ke dalam neraka bersama-sama orang-orang yang masuk
(ke situ)".
Ketika menafsirkan ayat ini, Imam al-Qurtubi menukilkan di dalam
kitab tafsirnya, Ibnu Abbas menyatakan bahawa isteri Nabi Nuh memfitnah dan
menghebahkan kepada kaumnya bahawa suaminya gila, sementara isteri Nabi Lut
membocorkan rahsia berkaitan kedatangan tetamu-tetamu Nabi Lut AS kepada
kaumnya (yang bernafsu dengan kaum jenis) dengan cara menyalakan api pada waktu
malam dan tetamu yang datang waktu siang memberi tanda dengan asap. Isteri Nabi
tersebut tidak pernah melakukan zina, namun maksud pengkhianatan menurut
kesepakatan ahli tafsir yang dilakukan oleh isteri-isteri Nabi adalah
pengkhianatan terhadap urusan agama. Melihat akan kefahaman ayat ini, membawa
kita ke suatu cara fikir bagaimana Allah SWT menunjukkan kepada kita kedua-dua
isteri para Nabi yang telah ingkar dan tidak taat kepada suami selain enggan
untuk mentaati perintah Allah SWT. Walhal, kedua isteri ini mempunyai suami
yang soleh, yang bukan sahaja beriman kepada Allah bahkan dipilih oleh Allah
untuk membawa risalah Nya. Pun begitu, kesolehan para suami yang ada pada Nabi
Nuh dan Nabi Lut tidak dapat membantu untuk membawa isteri mereka menjadi
isteri yang baik yang mentaati perintah Allah SWT.
Selain itu, dalam ayat berikut pada surah yang sama, Allah SWT
menceritakan pula mengenai perihal isteri Firaun yang soleh namun mempunyai
suami yang derhaka kepada Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 11
yang bermaksud :
“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan
tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan
orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri
Firaun, ketika ia berkata: “Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di
sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang
kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”.
Lihatlah bagaimana Allah Azza Wa Jalla menceritakan kisah seorang
isteri yang telah dikurniakan syurga dan suaminya iaitu Firaun diberikan
balasan azab neraka. Asiah iaitu isteri kepada Firaun telah dimuliakan oleh
Allah sebagai wanita yang sempurna. Pengiktirafan ini sebagaimana yang terdapat
dalam sebuah hadith riwayat Bukhari, sabda baginda Nabi SAW yang bermaksud :
“Manusia yang sempurna daripada kalangan lelaki itu banyak, namun
tidak ada manusia sempurna daripada kalangan wanita melainkan Maryam binti
‘Imran dan Asiah isterinya Fir’aun. Dan keutamaan Aisyah (isteri Rasulullah)
terhadap wanita-waita lain bagaikan keutamaan makanan tsarid (bubur) dibandingkan
seluruh makanan lain.”
Keterangan ini menjelaskan kepada kita bahawa kedudukan mulia
seorang isteri tidaklah kerana baik atau buruk suaminya. Isteri Firaun yang
bernama Asiah, dengan penuh kesabaran dan semangat juang yang tinggi
mempertahankan ketaatan Nya kepada Allah memiliki suami yang sangat kejam dan
zalim yang turut tercatat dalam kisah lipatan sejarah manusia. Maka berdasarkan
kepada apa yang telah kita jelaskan, tidaklah benar sama sekali untuk
mengatakan isteri adalah cerminan kepada suami. Pun begitu, dalam sudut lain,
suami mempunyai tanggungjawab yang sangat besar mendidik dan membimbing isteri
dan anak-anak menjadi manusia yang beriman dan bertaqwa. Didikan oleh suami
adalah sangat penting kerana suami merupakan ketua keluarga selain tunjang
kepada sebuah rumah tangga. Tanggungjawab mendidik ini adalah sebagai usaha
manusia selebihnya petunjuk hidayah serta taufik adalah milik Allah SWT.
Manusia sedaya upaya boleh berusaha dan kemudian berdoa kepada Allah agar
dikurniakan petunjuk oleh Nya.
Pada masa yang sama, masyarakat harus memahami bahawa seorang suami
tidak menanggung dosa isteri dan anak-anaknya. Setiap keburukan dan kejahatan
ditanggung dosa oleh pelakunya sendiri. Telah berkata Imam al-Baghawi di dalam
kitab tafsirnya, seorang suami yang soleh tidak akan dipersalahkan dan
dimudaratkan dengan maksiat yang masih dilakukan oleh isteri. Namun begitu,
jika seorang suami bersikap dayus dengan membiarkan anak isterinya berbuat dosa
tanpa memberi teguran dan nasihat, maka si suami berdosa kerana tidak menegur
akan kesalahan anak isterinya. Oleh itu, jelaslah bahawa seorang isteri
bukanlah cerminan kepada suami. Ungkapan berbaur feminisme ini seharusnya
ditolak oleh masyarakat kerana boleh memberikan pengaruh yang salah selain
gambaran yang tidak betul mengenai hubungan suami dan isteri. Semoga Allah
merahmati dan mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan