Manusia tidak ada yang dapat lari daripada melakukan kesalahan dan
kesilapan. Dalam kata yang lebih mudah, tiada sesiapa pun yang bergelar
manusia, yang tidak akan melakukan kesalahan. Apa jua gelaran yang dipakai
seperti tuan guru, tok syeikh, ulama dan sebagainya, gelaran tersebut tidak
dapat menafikan hakikat bahawa mereka yang digelar seperti demikian pun tidak
terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Oleh kerana manusia itu
sendiri diciptakan padanya punyai sifat lemah, maka Allah yang bersifat Maha
Pengampun itu sangat luas keampunan Nya yang tidak bertepian dan bersempadanan.
Sesungguhnya Allah jualah sebaik-baik penghukum di alam akhirat yang kekal
abadi. Dalam soal kesalahan dan kesilapan oleh para manusia, Islam datang
dengan menuntut umatnya melakukan usaha yang disebutkan sebagai amar makruf
(mengajak kepada kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah kemungkaran).
Kita dituntut untuk menyeru dan mengajak umat manusia untuk
melakukan kebaikan dan pada masa yang sama kita dituntut pula untuk mencegah
manusia daripada melakukan perkara yang ditegah dan dilarang oleh Islam. Oleh
itu secara umumnya, antara usaha yang dilakukan untuk mencegah kemungkaran
adalah dengan melaksanakan pengintipan dengan mencari-cari kesalahan. Dalam
istilah pemahaman agama disebut sebagai "Tajassus".
Perkataan Tajassus pada sudut bahasa sebagaimana yang dinukilkan oleh Ibnu
Manzur dalam kitab Lisan al-Arab, bermaksud mencari-cari berita dan
menyelidiki sesuatu yang rahsia. Adapun makna Tajassus pada sudut istilah pula,
sepertimana yang telah dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam
kitabnya, Tafsir al-Munir, bermaksud mencari-cari keaiban dan
mendedahkan apa yang telah disembunyikan oleh manusia. Maka secara mudah untuk
difahami, perkataan tajassus ialah merujuk kepada sesuatu perbuatan mengintip
mencari kesalahan dan keaiban orang lain.
Pada umumnya, perbuatan mengintip kesalahan dan keaiban manusia
lain adalah dilarang oleh Allah SWT. Perkara ini sebagaimana yang dijelaskan
oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Hujurat ayat 12, firman
Allah SWT yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan syak
wasangka, kerana sebahagian dari syak wasangka itu adalah dosa. Dan janganlah
kamu melakukan tajassus (mencari-cari keburukan orang)."
Dalam usaha kita memahami ayat ini, Imam Ibnu Jarir at-Thabari
menyebutkan di dalam kitab tafsirnya, janganlah sebahagian kamu mencari-cari
keburukan orang lain dan janganlah menyelidiki rahsia-rahsianya untuk mencari
keburukan-keburukannya. Hendaklah kamu menerima urusannya yang nampak bagi
kamu, dengan yang nampak itu hendaknya kamu memuji atau mencela, bukan dengan
rahsia-rahsianya yang tidak kamu ketahui. Selain itu, Imam al-Zahabi di dalam
kitabnya, al-Kabair, menyatakan bahawa para mufassirin (ahli tafsir)
mengatakan tajassus adalah mencari-cari keburukan dan cela kaum muslimin. Maka
makna ayat di atas adalah janganlah salah seorang diantara kamu mencari-cari
keburukan saudaranya untuk diketahuinya, padahal Allâh Azza wa Jalla
menutupinya. Imam al-Maraghi pula sepertimana yang dinukilkan di dalam
kitabnya, Tafsir al-Maraghi, beliau menyebut bahawa tajassus adalah
mencari-cari keaiban yang tersembunyi. Beliau turut menambah sebaliknya kamu
hendaklah berpuas hati dengan apa yang nyata bagimu mengenai dirinya.
Selain itu, baginda Nabi Muhammad SAW juga bersikap tegas dengan
melarang umatnya daripada bersikap mengintip kesalahan dan mencari keaiban
orang lain. Perkara ini sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadith
riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW
bersabda yang bermaksud :
“Jauhilah daripada menyangka (bercakap dengan mengagak-agak dan
prasangka), kerana sesungguhnya menyangka dan prasangka itu ialah perkataan
yang paling dusta, dan janganlah kalian tahassus (mengintip), dan janganlah
kalian tajassus (mencari-cari kesalahan orang lain), janganlah kalian saling
membenci dan saling bermusuhan, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang
bersaudara.”
Ketika menjelaskan maksud hadith tersebut, Imam Ibnu Hajar
al-Haitami menyebut di dalam kitabnya, Az-Zawajir ‘an Iqtirafil Kabair,
yang bermaksud :
“Sabda Nabi SAW janganlah kamu melakukan tajassus, janganlah kamu
melakukan tahassus’, ada yang mengatakan bahawa kedua kata itu memiliki makna
yang sama, iaitu : menyelidiki berita-berita. Ada yang mengatakan : Keduanya
berbeza, tahassus iaitu engkau berusaha mendengarnya sendiri, sedangkan
tajassus iaitu engkau menyelidiki berita-berita dari orang lain. Ada yang
mengatakan : tahassus adalah berusaha mendengar perbualan orang lain, sedangkan
tajassus adalah mencari-cari keburukan. Dari sini dan lainnya diketahui, bahawa
seseorang tidak boleh mencuri dengar perbualan dari rumah orang lain, dan tidak
boleh mencium atau menyentuh pakaian orang lain, agar dia mendengar atau
mendapatkan bau atau mendapati kemungkaran. Dan tidak boleh mencari berita dari
anak-anak suatu rumah, atau dari jirannya, untuk mengetahui apa yang terjadi di
dalam rumah jiran tersebut. Memang benar, jika ada seseorang yang jujur
memberitakan berkumpulnya orang-orang yang sedang melakukan maksiat, maka boleh
menceroboh mereka dengan tanpa izin, ini dikatakan oleh al-Ghazali”.
Perbuatan Tajassus atau mengintip ini telah dimasukkan oleh para
ulama sebagai senarai perbuatan dosa besar. Ini sepertimana yang terdapat di
dalam kitab al-Kabair karangan Imam al-Zahabi dan kitab az-Zawajir
karangan Imam Ibnu Hajar al-Haitami. Ini juga berdasarkan beberapa hadith lain
yang menunjukkan kecaman terhadap perbuatan tersebut. Antara lain di dalam
hadith riwayat Bukhari, dari Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang
bermaksud :
“Barangsiapa berusaha mendengarkan perbicaraan orang-orang lain,
sedangkan mereka tidak suka (didengarkan), atau mereka menjauh darinya
(berusaha menyembunyikan perbualan tersebut), maka pada telinganya akan
dituangkan cairan tembaga pada hari kiamat.”
Selain itu, dalam hadith lain riwayat Bukhari dan Muslim, dari Abu
Hurairah RA, beliau berkata sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud :
"Jika seseorang mengintipmu dengan tanpa izin lalu engkau
melemparnya dengan kerikil sehingga engkau mencungkil matanya, engkau tidak
berdosa”.
Namun begitu, sebahagian ulama pula menjelaskan bahwa terdapat
beberapa bentuk tajassus yang tidak haram. Ini bermakna, hukum tajassus
(mengintip kesalahan) orang lain terbahagi kepada tiga hukum iaitu haram,
wajib dan harus. Adapun pengharaman perbuatan
tajassus sepertimana yang telah disebut oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya, Syarah
Sahih Muslim, beliau menyatakan bahawa tidak boleh bagi mereka yang
melakukan amar makruf dan nahi mungkar mencari-cari serta melakukan tajassus
dan menceroboh ke rumah-rumah berdasarkan sangkaan. Bahkan sekiranya dia
melihat sesuatu hendaklah dia mengubahnya. Selain itu, Dr. Yusof al-Qaradawi
pula menyebut di dalam kitabnya, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam yang
bermaksud :
“Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya
melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu
rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara
diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu
rumahnya untuk memastikan kemungkarannya".
Bagi mereka yang menyatakan hukum tajassus adalah wajib adalah
berkaitan perbuatan dosa yang melibatkan kepentingan umum seperti mencuri,
merompak, merasuah dan seumpamanya. Maka apabila perbuatan mungkar tersebut
membabitkan keselamatan awam, wajib bagi pihak berkuasa mengintip lalu
menangkap si pelakunya. Hukum ketiga iaitu harus hukumnya. Keharusan
untuk mengintip kesalahan orang lain ini adalah apabila ketika terjadi perang
antara kaum muslimin dengan orang-orang kafir. Hukumnya harus untuk menghantar
pengintip sebaga mata-mata bagi mendapatkan maklumat berkaitan musuh. Selain
itu, sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam kitab al-Mausu’ah ‘Atur
al-Fiqhiyyah al-Muyassarah, dijelaskan bahawa pihak berkuasa pemerintah
boleh membongkar para pelaku maksiat apabila terdapat bukti yang kukuh apabila
disiasat, kerana memang kaedah kekuasaan adalah amar makuf dan nahi mungkar.
Begitu juga telah berkata Imam al-Ramli di dalam kitab Nihayah al-Muhtaj,
beliau menyebut bahawa jika berat sangkaannya bahawa berlaku maksiat sekalipun
dengan petunjuk yang jelas seperti perkhabaran dari seorang lelaki yang
terpercaya maka dibolehkan untuknya melakukan tajassus.
Bahkan wajib ke atasnya untuk melakukan tajassus sekiranya dia
khuatir perkara tersebut terlepas dari pemerhatiannya seperti berlakunya
pembunuhan dan perbuatan zina. Secara rumusan, hukum tajassus boleh dilihat
dalam dua kerangka utama. Pertama, perbuatan dosa antara dirinya dengan Allah.
Kesan dosa tersebut akan terkena kepada dirinya sendiri seperti zina, minum
arak dan berjudi yang dilakukan secara tersembunyi dan bukan dikhalayak awam.
Ianya adalah dosa dan keaiban peribadi semata-mata. Dalam hal ini, dilarang
untuk diintip. Adapun kerangka yang kedua, dosa antara dirinya dengan Allah
yang pada masa sama menyebabkan bahaya atau mudarat kepada orang lain.
Misalnya, rasuah, rogol, pecah amanah dan seumpamanya. Perbuatan sedemikian
boleh mengundang bahaya kepada orang awam. Maka dalam keadaan tersebut,
dibenarkan untuk mengintip demi menjaga kebaikan umum. Demikianlah perbuatan
mengintip kesalahan antara larangan dan tuntutan. Semoga Allah merahmati kita
semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan