Perkahwinan yang dibina merupakan amanah oleh Allah untuk para
hamba Nya bagi memeterai perjanjian hidup dalam berkasih sayang. Pada
hakikatnya, perkahwinan itu sendiri selain menyatukan dua jiwa, ianya juga
terbina diatas nilai sendi kebahagiaan, ketenangan dan kasih sayang sama
sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Maka tidak keterlaluan untuk kita
katakan bahawa sesebuah rumahtangga yang berjaya ialah yang terdapat di
dalamnya nilai-nilai rahmah, sakinah dan mawaddah. Dalam pada kita berbicara
soal perkahwinan, terdapat suatu tuntutan syarak yang bertujuan untuk
menghebahkan perkahwinan. Bagi mencapai tujuan tersebut, disyariatkan bagi
mereka yang berkahwin untuk melaksanakan majlis kenduri perkahwinan sebagai
tanda menghebahkan permeteraian hidup berumah tangga tersebut. Dalam istilah
khusus, ianya disebut sebagai majlis walimah.
Perkataan "Walimah" adalah berasal dari bahasa
Arab. Ibnu Manzur dalam kitabnya, Lisan al-Arab, menjelaskan bahawa
perkataan walimah berasal dari perkataan al-Walimu (الولم)
yang bermaksud perhimpunan dan perkumpulan. Disebutkan sedemikian kerana pada
majlis tersebut berhimpunnya pasangan suami isteri pada ketika itu. Pada sudut
istilah pula, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Muhammad al-Khatib
al-Syarbini di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, maksud perkataan
walimah menurut para ulama adalah nama bagi makanan yang disediakan ketika
majlis perkahwinan. Selain itu, ungkapan walimah juga dikatakan turut membawa
makna kepada semua jenis makanan yang disediakan bertujuan untuk meraikan
sesuatu kegembiraan. Namun begitu, ungkapan walimah ini lebih dikenali atau
lebih masyhur dikaitkan sebagai makanan ketika majlis perkahwinan. Maka
berdasarkan definisi yang dikemukakan, dapat kita simpulkan bahwa majlis
walimah bermaksud suatu majlis meraikan kegembiraan pasangan pengantin dengan
menyediakan hidangan makanan.
Dalam sebuah hadith riwayat Muslim, daripada Anas bin Malik RA yang bermaksud :
"Bahawa Abdul Rahman bin 'Auf telah berkahwin. Lalu Rasulullah
SAW bersabda kepadanya : Hendaklah kamu melakukan majlis perkahwinan sekalipun
dengan seekor kambing".
Berdasarkan hadith ini, jelas kepada kita bahawa walimah atau
majlis kenduri perkahwinan adalah suatu yang dituntut oleh syariat Islam. Namun
begitu, para ulama telah berbeza pendapat berhubung hukum mengadakan walimah
tersebut. Perbezaan yang berlaku di dalam membahaskan mengenai hukum majlis
walimah tersebut telah melahirkan sekurang-kurangnya dua pandangan berbeza.
Pandangan pertama, hukum mengadakan majlis walimah adalah sunat mu'akkadah atau
difahami dengan makna perkara sunat yang sangat dituntut oleh Islam. Pandangan
ini merupakan pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama. Ini termasuklah para
ulama di kalangan mazhab Hanafi, mazhab Hanabilah dan mazhab al-Syafi'e. Dalam
kitab al-Taudhih li Syarh al-Jami' al-Sahih, Imam Ibnu al-Mulaqqin
menyebutkan bahawa tidak wujud perselisihan dikalangan ahli ilmu dengan
menyatakan bahawa walimah ini adalah sunat yang dituntut dan bukannya wajib.
Berbeza dengan pendapat pertama, di sisi mazhab Maliki, mereka
berpendapat hukum mengadakan walimah adalah sunat sahaja. Pendapat ini
berdasarkan sebuah hadith Nabi riwayat Bukhari, daripada Sofiyyah binti Syaibah
Ranha katanya yang bermaksud :
“Nabi SAW mengadakan walimah untuk sebahagian isteri-isterinya
dengan hidangan dua cupak barli.”
Berdasarkan hadith tersebut, Imam Ibnu al-Mulaqqin ketika
membahaskan hadith berikut menyebutkan bahawa majlis walimah seharusnya
dilaksanakan mengikut keadaan dan kemampuan. Tidak ada batasan yang menjadi
penghalang dari mengadakan majlis walimah tersebut dalam jumlah yang lebih
sederhana. Ini menunjukkan bahwa majlis walimah ini bukanlah suatu kewajiban
yang harus dipatuhi. Demikian penjelasan olehnya. Maka berdasarkan kedua-dua
pendapat tersebut, dapat kita fahami bahawa para ulama tidak berselisih akan
soal wajib walimah. Ini kerana kedua-dua pihak yang berbeza ini menyatakan
hukumnya adalah sunat. Namun begitu, bagi pandangan majoriti ulama, mereka
sedikit berbeza pada peringkat sunat dengan menambah sunat mu'akkadah iaitu
sunat yang sangat dituntut. Selain itu, turut menjadi perbincangan berkaitan
walimah adalah mengenai persoalan siapakah yang bertanggungjawab mengadakan
majlis walimah. Adakah tanggungjwab tersebut jatuh kepada pihak pengantin
lelaki atau pihak pengantin perempuan ?
Dalam persoalan ini pula, telah wujud sekurang-kurangnya dua
pandangan utama. Pandangan pertama, tanggungjawab melaksanakan atau mengadakan
majlis walimah ini adalah terpundak diatas pengantin lelaki. Hal ini adalah
bertepatan dengan arahan oleh baginda Nabi SAW kepada Abdul Rahman bin 'Auf
yang dirakamkan dalam sebuah hadith riwayat Muslim. Syeikh Muhammad bin Ahmad
al-Syathiri di dalam kitabnya, Syarah Yaqut al-Nafis, beliau menukilkan
ungkapan oleh Syeikh Daud al-Zahiri yang menyebutkan bahawa walimah itu wajib
atas suami berdasarkan perintah Nabi SAW kepada Abdul Rahman bin 'Auf. Selain
itu, di sisi mazhab Syafie'iyyah pula, adalah sunat kepada pengantin lelaki
untuk melakukan majlis walimah. Pandangan pertama ini juga berhujah diatas
alasan bahawa arahan oleh Nabi untuk mengadakan walimah hanya tertumpu kepada
Abdul Rahman bin 'Auf. Namun pada masa sama, baginda tidak pula mengarahkan
kepada pihak mertua Abdul Rahman bin 'Auf. Ini menunjukkan bahawa majlis
walimah itu disyariatkan kepada pengantin lelaki sahaja.
Pandangan kedua, sebahagian para ulama menyatakan bahawa majlis
walimah hukumnya adalah sunat dengan seruan umum tanpa dikhususkan kepada
sesiapa pun. Ini kerana tujuan majlis walimah tersebut adalah untuk meraikan
pasangan pengantin selain bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan dan
keseronokan. Dalam konteks pengamalan masyarakat Islam di negara kita, majlis
walimah diadakan oleh kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan.
Pengamalan tersebut tidaklah salah dan menyalahi sunnah. Walau hakikatnya,
tuntutan sunat untuk mengadakan majlis walimah ini tidak dikhususkan kepada
sesiapa, namun tuntutan tersebut menjadi gugur apabila salah satu pihak antara
pengantin lelaki atau pengantin perempuan mengadakannya. Sebaliknya, jika
kedua-dua pihak mengadakan majlis walimah yang menjadi adat dan budaya oleh
masyarakat, maka tidaklah salah. Keadaan ini bertepatan dengan suatu kaedah
yang disebut العادة محكمة (Adat
itu menjadi penentu hukum).
Demikian sebahagian perincian serta penjelasan mengenai majlis
walimah. Dalam pada kita teruja untuk mengadakan majlis walimah, harus diingat
bahawa janganlah sehingga berlakunya pembaziran dan mengundang kemaksiatan.
Selain itu, kita juga mesti diingatkan agar sentiasalah bersederhana,
lakukanlah walimah dalam keadaan dan kemampuan yang ada. Usahlah kita pula
sebagai wali atau ibubapa membebankan dan menyusahkan anak-anak untuk berkahwin
dengan meletakan syarat wang hantaran yang tinggi bagi tujuan perbelanjaan
majlis tersebut. Kita harus sedar bahawa perbuatan tersebut akhirnya boleh
membuatkan perkara yang halal menjadi susah dan sebaliknya perkara yang haram
menjadi mudah. Oleh itu, mengadakan majlis walimah bukanlah ditentukan sah atau
tidak majlis itu berdasarkan menu makanan atau seumpamanya. Memadailah dengan
kita mengadakan majlis tersebut dalam kemampuan yang ada. Inilah juga antara
hikmah arahan baginda Nabi kepada Abdul Rahman bin 'Auf untuk mengadakan
walimah walau hanya dengan seekor kambing. Bermaksud, walau dengan seekor
kambing pun, lakukanlah kerana itulah kemampuan yang ada. Semoga Allah
mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan