Khamis, 13 Mac 2025

PERKUBURAN BUKAN TEMPAT BERIBADAH

 

Sesiapa sahaja di dunia ini tidak dapat menafikan akan hakikat kematian. Kematian bukanlah suatu pengakhiran tetapi adalah sebuah perpindahan alam dari alam dunia yang fana menuju ke alam akhirat yang kekal selamanya. Sekuat apa pun manusia itu, segah dan sehebat mana pun kekuasaan yang dimiliki, tiada satu pun kekuasaan yang boleh menunda atau menangguh kerahsiaan kematian. Sejarah mencatatkan bagaimana keangkuhan Firaun yang tidak pernah diuji dan ditimpa dengan kesakitan, akhirnya kematian datang dan menyapanya. Qarun yang punyai segala kemewahan dan kekayaan pun, akhirnya mati tertimbus di dalam bumi. Entah berapa banyak lagi kisah-kisah kehebatan manusia yang akhirnya ditutupi dengan riwayat penghabisan nyawa. Pada ketika kematian datang menyapa, bermulalah perjalanan berpindah alam dengan memasuki kubur, tempat bersemadi sementara buat para manusia.

Perkataan "Kubur" adalah berasal dari bahasa Arab yang bermaksud menanam jasad orang yang telah meninggal dunia. Menurut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat, istilah kubur merujuk kepada makna tempat menanam mayat. Juga boleh difahaminya sebagai lubang (liang) di mana tempat tersebut dijadikan tempat menanam mayat. Secara literal, boleh kita rumuskan bahawa perkuburan ialah tempat untuk dilakukan proses pengebumian jasad orang yang telah meninggal dunia. Adapun soal roh, yang ditanam dan dikebumikan itu adalah jasad dan bukannya ditanam roh. Keberadaan roh orang meninggal dunia sepertimana yang dinyatakan oleh para ulama ialah roh berada di alam barzakh. Istilah barzakh pula mempunyai banyak maksud berdasarkan pelbagai definisi yang dikemukakan oleh para ulama. Antara lain sebagaimana yang terdapat dalam kitab Tafsir Ibn Kathir, Abu Sakhr menyebut barzakh adalah kubur yang mana tidak berada di dunia dan tidak juga di akhirat. Sebahagian lain seperti Mujahid bin Jabr menyebut barzakh itu pemisah dunia dan akhirat.




Walau apapun, perkataan kubur secara umum dapat kita fahaminya sebagai tempat pengebumian jasad bagi orang yang telah meninggal dunia. Realiti yang ada pada hari ini menyaksikan kepada kita terdapat segelintir umat Islam cenderung menjadikan perkuburan seseorang yang pada mereka dianggap kubur orang mati tersebut sebagai wali atau orang soleh, sebagai tempat untuk mereka beribadah. Beribadah dalam konteks yang mudah difahami ialah seperti ibadah zikir, berdoa, solat, membaca al-Quran, beriktikaf dan seumpamanya. Selain itu, ditambah pula dengan pegangan yang bertentangan dengan syarak seperti menyeru nama si mati di dalam kubur, meminta tolong kepada si mati, apakah keadaan ini dibolehkan dalam Islam ? Padahal kita semua tahu bahwa Islam adalah agama yang suci yang sentiasa meluhurkan peribadatan kepada Allah SWT sahaja.

Bagi menekuni isu ini, marilah sama-sama kita memahami apa yang dijelaskan oleh Allah dan Rasul Nya melalui pemahaman al-Quran dan al-Sunnah. Pertama sekali, Islam mengajar kita untuk beribadah hanya kepada Allah. Oleh itu, Allah SWT sebagai Tuhan yang wajib disembah telah menetapkan bahawa masjid-masjid yang menjadi syiar Islam itu adalah tempat untuk beribadah kepada Nya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Jin ayat 18, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadah kepada) Allah semata-mata maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.”

Berdasarkan ayat ini, menjelaskan kepada kita bahawa masjid-masjid itu adalah milik Allah. Oleh kerana itu, masjid perlu diisi dengan nilai ibadah hanya kepada Allah dan tidak ada nama lain yang boleh diseru melainkan hanya kepada Allah. Imam Qatadah di dalam tafsirnya beliau menyebut orang-orang Yahudi dan Nasrani apabila mereka memasuki gereja dan tempat-tempat peribadatan, mereka mempersekutukan Allah dengan sembahan-sembahan lainnya. Lalu turunlah ayat ini dengan Allah memerintahkan kepada Nabi Nya agar mengesakan Allah dan mengabdikan diri khusyuk kepada Allah. Demikian menurut Imam Qatadah. Maka berlandaskan apa yang telah disebut, ternyata untuk melakukan ibadah kepada Allah, antara tempat yang diiktiraf oleh Allah adalah di masjid-masjid dan bukannya di perkuburan. Tempat perkuburan bukanlah tempat untuk beribadah kepada Allah. Hal ini juga telah di ingatkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada umatnya melalui sebuah hadith riwayat Ahmad. Sabda baginda SAW yang bermaksud :

“Jangan kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kubur. Solatlah di dalamnya.”




Demikianlah peringatan oleh baginda Nabi SAW yang menyeru umatnya untuk beribadah di rumah dengan mendirikan solat. Perbuatan mendirikan solat di rumah dapat membezakan antara rumah kita dan pekuburan. Secara tidak langsung, kefahaman hadith ini menjelaskan kepada kita sesungguhnya setiap ibadah kepada Allah tidak dilakukan di tanah perkuburan melainkan apa yang telah diajarkan oleh Nabi SAW. Dalam pada itu, baginda Nabi SAW juga telah memberikan peringatan keras kepada umatnya agar tidak memjadikan kubur-kubur orang soleh dijadikan tempat untuk beribadah sepertimana beribadah di masjid. Ini sepertimana yang disebutkan di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang sebelum kalian itu menjadikan kuburan para nabi dan orang-orang soleh dari mereka sebagai masjid, maka janganlah kalian menjadikan kuburan-kuburan itu sebagai masjid, kerana sungguh aku melarang kalian dari hal itu."

Larangan ini bermaksud Nabi melarang dan menegah umatnya untuk menjadikan perkuburan sebagai masjid. Dalam erti kata lain, perkuburan tidak boleh diperlakukan sama seperti tempat di masjid, dimana masjid merupakan tempat untuk manusia beribadah dan perkuburan bukan tempat untuk manusia melakukan ibadah. Perbuatan menjadikan perkuburan sebagai tempat beribadah turut ditegaskan oleh baginda Nabi SAW dengan baginda menggunakan istilah laknat terhadap orang-orang Yahudi dan Nasrani. Dalam sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi SAW yang bermaksud :

"Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid,"

Dengan maksud hadith yang sama, sekurang-kurangnya terdapat hampir 10 para sahabat yang meriwayatkan hadith yang mirip lafaznya. Ini menunjukkan betapa kuat riwayat hadith tersebut. Ketika menjelaskan makna hadith ini, Imam al-Suyuthi menyebut di dalam kitabnya, Al-Amru Bil Ittiba' Wa al-Nahyu Anil Ibtida, beliau menyatakan bahawa :

"Di antara perkara-perkara yang bidaah seperti solat di sisi kubur, menjadikannya sebagai masjid dan membangun masjid di atas kubur, maka diriwayatkan secara mutawatir dari Nabi mengenai larangan hal tersebut dan ancaman keras bagi orang yang melakukannya."




Selain itu, Imam al-Suyuthi turut menambah dengan menyebutkan bahawa Nabi mengkhabarkan, apabila orang kafir kematian orang soleh di antara mereka, maka mereka menjadikan kuburan orang soleh itu sebagai masjid dan membuat lukisan-lukisan tentang orang soleh tersebut di kuburnya. Mereka itulah seburuk buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat. Dengan demikian, Nabi menggabungkan penjelasan antara patung dan kuburan. Demikian penjelasan yang diberikan oleh Imam al-Suyuthi. Selain itu, Imam al-Syafi'e turut menzahirkan pendirian benci akan perbuatan beribadah di tanah perkuburan. Dalam kitabnya, al-Umm, Imam al-Syafi'e menyatakan bahawa dirinya membenci sekiranya dibuat masjid atas perkuburan atau solat atas kubur. Imam al-Nawawi pula di dalam kitabnya, Syarah Sahih Muslim, ketika membahas mengenai hadith larangan menjadikan kubur sebagai tempat ibadah, beliau menyatakan bahawa :

"Para ulama berkata: Nabi SAW melarang menjadikan kuburnya dan kuburan orang lain sebagai tempat ibadat, kerana takut berlebihan dalam hal penghormatan yang mungkin membawa kepada kekufuran, seperti yang berlaku kepada kaum sebelumnya."

Demikianlah sebahagian hujah, dalil dan bukti yang menjelaskan betapa Islam melarang umatnya menjadikan perkuburan sebagai tempat beribadah. Ada pun tentang solat jenazah di tanah kubur, hal tersebut adalah dibolehkan ini kerana hal demikian telah ditunjuki oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Selain itu, ibadah seperti membaca al-Quran, berzikir, solat dan beriktikaf, tidak ditunjuki oleh baginda. Oleh itu, kita sebagai orang Islam yang kasih dan sayang pada baginda, memadailah untuk kita mengikuti apa yang telah diajarkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Begitu juga dalam soal meminta tolong kepada orang yang telah meninggal dunia, sekalipun ketika hidup orang tersebut dianggap sebagai wali, ianya adalah seburuk-buruk perbuatan dan boleh membuka ruang kesyirikan kepada Allah. Pohon dan sembahlah hanya kepada Allah, tempat sebaik-baik pergantungan para makhluk. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan