Kedatangan bulan Ramadan adalah sesuatu yang menggembirakan jiwa
manusia yang beriman kepada Allah SWT. Kegembiraan menyambut bulan Ramadan
bukan hanya seputar berkenaan ibadah puasa semata-mata tetapi ianya adalah
kerana terdapat pelbagai keistimewaan yang Allah SWT kurniakan kepada hamba Nya
yang benar-benar mencari makna ketaqwaan. Selan itu, pada bulan Ramadan juga
tercatat pelbagai sejarah besar bagi umat Islam antara lain seperti peristiwa
Nuzul al-Quran, peperangan Badar dan pembukaan Kota Makkah. Perkataan Ramadan
seperti maksud namanya yang panas terik, membawa manusia ke medan tarbiah,
mendidik jantung hati untuk menjadi hamba Nya yang soleh. Oleh kerana itu, umat
Islam bagi sebahagian besarnya telah mengambil peluang tersebut untuk
memperbanyakan amalan soleh seperti berzikir, membaca a-Quran termasuklah
mendirikan solat tarawih.
Solat tarawih adalah gabungan daripada dua perkataan iaitu "Solat"
dan "Tarawih". Ungkapan solat sepertimana yang kita fahami,
ianya merujuk kepada perbuatan dan pergerakan yang dimulai dengan takbiratul
ihram dan diakhiri dengan memberi ucapan salam yang pertama. Perkataan "Tarawih"
pula menurut pemahaman bahasa membawa maksud berehat, bersenang-senang, melapangkan
nafas dan seumpamanya. Pada sudut istilah pula, tarawih bermaksud ibadah solat
yang dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadan. Bermula waktunya selepas
solat isyak dan berakhir dengan masuknya waktu solat subuh, tidak termasuk
sunat rawatib isyak (solat sunat sebelum dan selepas solat isyak) dan solat
witir. Secara umum, solat tarawih atau disebut sebagai solatul lail (solat
malam) merangkumi solat tahajjud dengan membaca surah al-Fatihah pada setiap
rakaat dan membaca ayat-ayat daripada surah yang terkandung di dalam al-Quran.
Ibadah solat tarawih merupakan syariat Allah SWT yang dilaksanakan
khusus pada bulan Ramadan. Ini bermakna, diluar dari bulan Ramadan, solat
tarawih tidak disyariatkan atau diperintahkan untuk dilakukan oleh umat Islam.
Hanyasanya solat tarawih dituntut oleh Allah pada bulan Ramadan. Pensyariatan
atau perintah oleh Allah untuk melaksanakan solat tarawih dapat dilihat
berdasarkan sebuah hadith Nabi SAW riwayat al-Bukhari, daripada Ummul Mukminin
Aisyah Ranha, katanya yang bermaksud :
"Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu malam sedang solat di
dalam masjid. Maka orang ramai pun mengikut solat bersama baginda. Kemudian
pada malam berikutnya, baginda solat sekali lagi dan jemaah yang mengikutnya
semakin banyak. Pada malam yang ketiga atau keempat, orang ramai berkumpul
menanti ketibaan Rasulullah SAW sebaliknya baginda tidak keluar kepada mereka.
Apabila masuk waktu subuh, baginda bersabda kepada para jemaah: Sesungguhnya
aku telah melihat apa yang kamu semua lakukan. Dan tidaklah yang menghalang aku
dari keluar kepada kamu melainkan aku takut solat itu akan difardhukan ke atas
kamu semua. Yang demikian itu berlaku pada bulan Ramadan"'
Hadith ini menjelaskan kepada kita bahawa pada malam pertama di bulan
Ramadan, baginda Nabi SAW telah keluar menuju ke masjid pada waktu malam untuk
mendirikan solat. Kemudian di ikuti oleh orang ramai pada hari berikutnya
sehingga memenuhi ruang masjid. Melihat akan bilangan yang bertambah ramai
tersebut, maka pada malam berikutnya baginda tidak lagi keluar menuju ke
masjid. Tatkala ketika itu ramai yang sedang menunggu ketibaan baginda ke
masjid, pada waktu subuh keesokannya baginda menyebut bahwa baginda tidak
keluar ke masjid pada hari tersebut kerana dibimbangi solat tarawih akan
menjadi kewajiban pula untuk umat Islam. Berdasarkan hal tersebut, para ulama
menyimpulkan bahawa hukum solat tarawih adalah sunat mu"akkad,
iaitu amalan sunat yang sangat dituntut. Ini kerana Rasulullah SAW telah
mengalakkan hal tersebut dengan arahan yang bersifat tidak tegas sekaligus
bermakna hukumnya adalah sunat dan tidaklah wajib.
Telah berkata Syeikh Syams al-Haq al-'Azhim Abadi di dalam kitabnya,
'Aun al-Ma'bud Syarah Sunan Abi Daud, ketika beliau membahaskan hadith ini,
beliau menyatakan bahawa baginda Nabi SAW takut solat tarawih akan difardhukan
(diwajibkan) keatas mereka. Ini kerana barangkali boleh berlaku kefardhuan atas
perbuatan mendirikan Ramadan secara berjemaah disebabkan ia dilakukan secara
konsisten dan berterusan. Demikian apa yang telah dinyatakan. Jika kita teliti
akan sejarah solat tarawih ini, kita dapati bahawa pada zaman Nabi SAW lagi
telah dilakukan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Pun begitu, solat
tarawih juga boleh dilakukan secara sendirian di rumah. Maka timbul pula
persoalan bagaimana cara pelaksanaan solat tarawih di zaman Nabi ? Berapa
jumlah rakaat yang dilakukan ? Persoalan sebegini telah menjadi perbahasan yang
panjang dikalangan para ulama. Dikalangan para ulama, ada yang menyebut 8
rakaat. Ada pula yang menyatakan 20 rakaat selain ada yang menyebut pula 36
rakaat.
Dalam persoalan ini, Imam Ibnu Qudamah di dalam kitabnya, al-Mughni
telah menyatakan bahawa pendapat yang dipilih oleh gurunya, Imam Ahmad bin
Hanbal ialah 20 rakaat. Pendapat ini juga turut dipegang oleh ulama lain seperti
as-Thauri, Abu Hanifah dan Imam al-Syafie. Manakala Imam Malik pula berpendapat
solat tarawih ialah 36 rakaat. Pendapat beliau berasaskan perbuatan yang
dilakukan oleh penduduk Madinah sejak sekian lamanya. Selain itu, bagi Ibnu
Qudamah, beliau memilih pendapat 20 rakaat. Ini berdasarkan riwayat daripada
al-Hassan, meriwayatkan bahawa Umar al-Khattab menghimpun orang ramai di bawah
Ubai bin Ka'ab dengan dilakukan solat tarawih sebanyak 20 rakaat dan membaca
qunut selepas pertengahan bulan yang kedua. Secara ringkas, perbahasan mengenai
jumlah rakaat solat tarawih dapat difahami dengan tiga pendapat utama. Pendapat
pertama, jumlah rakaat solat terawih ialah 8 rakaat di ikuti dengan tiga rakaat
solat witir. Pendapat kedua, sebanyak 20 rakaat di ikuti dengan tiga rakaat
solat witir. Pendapat ketiga, jumlahnya tidak ditentukan. Ini bermakna
seseorang itu bebas melaksanakan solat tarawih dengan jumlah rakaat yang
dipilihnya.
Persoalan ini menjadi perbahasan panjang kerana tidak ada sebarang
hujah nas dan dalil yang menunjukkan jumlah rakaat yang boleh dilakukan. Adapun
ketika para sahabat bertanya tentang cara mendirikan solat tarawih, baginda
Nabi hanya menyebut secara umum tanpa menyebut jumlah rakaat tertentu. Ini
dapat dilihat berdasarkan sebuah hadith riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar RA
beliau menceritakan yang bermaksud :
"Seorang lelaki datang bertanya Rasulullah SAW tentang solat
malam. Sabda Nabi SAW : “Solat malam ialah dua rakaat, dua rakaat. Apabila kamu
bimbang masuk waktu subuh maka solatlah satu rakaat, menjadikan bilangan witir
(ganjil) bagi rakaat yang telah engkau solat”.
Dalam kitab Taisir al-Fiqh, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi
menyatakan bahawa tidak boleh kita mengingkari mereka yang solat 20 rakaat
dengan menyebut ianya mengingkari sunnah atau solat 8 rakaat menyalahi athar
yang menjelaskan perbuatan golongan para salaf yang terdahulu. Imam al-Syafie
menyebut tidak boleh menyalahkan satu sama lain di dalam masalah ini selagi
mana solat tersebut dilaksanakan dengan tertib dan khusyuk. Demikianlah
ungkapan oleh al-Qaradawi. Maka untuk itu, berdasarkan apa yang telah kita
jelaskan ini, beberapa perkara penting harus kita fahami dengan baik. Antara
lain ialah solat tarawih merupakan syariat Islam yang diperintah untuk
dilaksanakn khusus pada bulan Ramadan. Selain itu, solat tarawih boleh
dilakukan secara berjemaah di masjid atau di rumah. Juga boleh dilakukan secara
persendirian. Berkaitan soal jumlah rakaat, terletak kepada diri kita untuk
memilih untuk melakukan 8, 20 atau 36 lebih rakaat. Apa yang penting ialah
menghormati akan perbezaan pandangan tersebut dengan berlapang dada. Semoga
Allah mengampuni kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan