Selasa, 4 Mac 2025

ADAKAH SEMUA AGAMA ADALAH SAMA ?

 

Hidup beragama merupakan suatu naluri kehidupan manusia yang telah tertanam sejak azali lagi. Kenyataan ini dapat dilihat akan kebenarannya apabila manusia sejak zaman purbakala lagi telah melakukan pelbagai ritual berbentuk penyembahan yang berorientasikan kepada nilai kepercayaan yang dipegangnya. Selari dengan kepesatan dunia hari ini, manusia dengan kemampuan akal untuk berfikir, telah melalui pelbagai zaman untuk mencari dan menentu sahkan akan kebenaran dalam beragama. Maka tidak hairanlah hari ini telah lahir dan wujud pelbagai agama dan kepercayaan yang sebahagiannya itu tercetus daripada agama asal yang kemudiannya telah digubah menjadi ajaran agama baharu yang lain. Selain tidak menolak akan realiti hari ini, ada pula sebahagian lain yang kecewa dengan ragam agama yang wujud lalu memilih untuk tidak beragama atau tidak mempercayai kebenaran beragama yang disebut sebagai agnostik.

Dalam rencam hidup beragama, sebahagian kecil manusia barangkali ada yang berfikir lalu beranggapan bahawa semua agama adalah sama sahaja. Ini kerana pada sudut pandangnya, ada yang melihat kesemua agama membawa mesej dan tujuan yang sama seperti menyeru manusia berbuat baik, tidak menyakiti orang lain, melarang daripada melakukan kejahatan selain semua agama menyuruh menyembah Tuhan masing-masing. Mustahil bagi sesuatu agama itu wujud untuk menyeru penganutnya kepada perbuatan jahat dan buruk. Umumnya kita akan terfikir, sekiranya semua agama menyeru kepada berbuat baik, tidakkah boleh kita beranggapan bahawa semua agama adalah sama sahaja. Ungkapan ini boleh kita rangkumkannya dengan istilah pluralisme agama. Sekilas pandang nampak seperti semua agama adalah sama namun hal tersebut tidaklah benar dan tepat sama sekali. Meskipun kewujudan agama ini sememangnya Tuhan yang mengizinkan, tetapi satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah adalah agama Islam sahaja.




Satu hal yang mesti kita akui, Islam tidak menafikan akan kewujudan pelbagai agama yang ada di muka bumi Allah ini. Malah Islam mengiktiraf akan kewujudan kepelbagaian dalam beragama. Konsep ini difahami sebagai "Pluraliti". Ungkapan pluraliti agama membawa maksud fakta kebenaran akan kewujudan pelbagai agama di dunia ini. Malah Allah SWT di dalam al-Quran juga telah menyebut pelbagai agama seperti Majusi, Nasrani dan Yahudi. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 17 yang bermaksud :

"Bahawasanya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani, dan orang-orang Majusi, serta orang-orang Musyrik, sesungguhnya Allah akan memutuskan hukumNya di antara mereka pada hari kiamat, kerana sesungguhnya Allah sentiasa Memerhati dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu".

Sesungguhnya Islam menerima konsep pluraliti agama dengan maksud Islam mengiktiraf akan kewujudan pelbagai agama di muka bumi Allah ini. Pun begitu, Islam sangat menolak dan menentang konsep yang dinamakan sebagai "Pluralisme Agama". Konsep pluralisme ini membawa maksud kefahaman semua agama adalah sama benarnya. Ini bermakna, melalui konsep ini, kita secara tidak langsung telah mengiktiraf kebenaran pada semua agama lalu melihat semua agama adalah sama benarnya. Tidak ada agama yang melebihi antara satu sama lain. Semua agama adalah benar belaka. Dalam satu pandangan yang dikemukakan oleh Peter Byrne, seorang professor di King's College London UK, beliau menyatakan bahawa pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis iaitu pertama, semua tradisi agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk kepada suatu realiti yang tunggal dan suci. Kedua, semuanya sama dalam menawarkan jalan keselamatan dan yang ketiga, semuanya tidak ada penamat dalam erti kata semua agama mesti sentiasa terbuka untuk dikritik dan diteliti semula.

Pemahaman yang beranggapan semua agama adalah sama merupakan suatu fahaman yang salah dan tidak benar. Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam menolak konsep penyamarataan dalam semua agama atau disebut dengan istilah pluralisme agama. Islam sama sekali tidak sama dengan mana-mana agama lain. Islam pada satu sudut mengiktiraf akan kewujudan pelbagai agama tetapi Islam tidak mengiktiraf semua agama adalah benar belaka. Kebenaran hanyalah pada agama Islam sahaja. Ini berdasarkan beberapa hujah yang boleh kita fahami bersama. Pertama, Islam adalah satu-satunya agama yang benar dan diiktiraf oleh Allah SWT. Meski Allah jualah yang mengizinkan kewujudan pelbagai agama namun Allah hanya meredhai agama Islam sahaja. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah Ali-Imran ayat 19, firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam”.




Berdasarkan ayat ini, Allah SWT menegaskan dengan menyebut hanyasanya agama yang benar dan diiktiraf akan kebenarannya hanyalah agama Islam. Ini bermakna agama Islam sahajalah agama yang akan diterima oleh Allah SWT sehingga hari kiamat. Islam agama yang benar kerana datangnya dari Allah Azza Wa Jalla. Ayat ini juga menjelaskan bahawa kesemua para Nabi dan Rasul beragama Islam namun berbeza sedikit pada syariat (perundangan) mengikut keadaan dan kesesuaian umat serta zaman mereka. Ini sekaligus menafikan bahwa agama lain adalah sama benarnya. Dalam surah yang sama pada ayat yang lain, Allah SWT telah menegaskan bahawa tidak akan diterima selain dari yang beragama Islam. Ini dapat dilihat dalam surah Ali-Imran ayat 85, firman Allah Azza Wa Jalla yang bermaksud :

"Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi".

Kedua, Islam adalah satu-satu agama yang benar adalah kerana tidak wujud pun satu titik pertemuan yang boleh menyamakan antara agama Islam dan agama lain di hari akhirat kelak. Telah berkata Imam al-Maturidi di dalam kitabnya, Tafsir al-Maturidi, beliau menyebut bahawa agama selain Islam adalah kufur. Kufur dalam erti kata lain bermaksud lawan kepada iman. Oleh kerana itu, mereka yang lawan menentang orang beriman digelar sebagai orang kafir. Maka secara umum, para manusia yang beragama selain agama Islam disebut sebagai kafir. Pada hari akhirat kelak, orang beriman tidak akan sama sekali duduk bersama orang kafir. Hakikatnya, iman tidak akan boleh bertemu pada titik yang sama dengan kafir kerana makna iman adalah berlawanan dengan makna kafir. Oleh itu, dapat difahami bahawa pada hari akhirat kelak, orang beriman tidak akan bersama orang kafir. Ini sebagaimana yang oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Bayyinah ayat 6 yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang kafir dalam kalangan ahli kitab dan musyrikin itu di dalam neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya dan mereka itu adalah seburuk-buruk kejadian. Sesungguhnya orang yang beriman dan beramal soleh itu, mereka adalah sebaik-baik kejadian. Balasan mereka di sisi Allah adalah syurga-syurga Adnan yang mengalir di bawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, Allah redha terhadap mereka dan mereka redha terhadap-Nya, demikian itu bagi sesiapa yang takut kepada Tuhannya”.




Ketiga, agama Islam tidak sama dengan agama lain kerana di dalam ajaran Islam, untuk diterima segala amal baik yang dilakukan mestilah dengan syarat dirinya adalah beragama Islam. Ini bermakna, meskipun orang bukan Islam atau orang kafir melakukan sesuatu perbuatan yang baik, tetapi disisi Allah amalan tersebut tidak diterima dan tidak mempunyai nilai. Ini sepertimana firman Allah SWT di dalam surah al-Nur ayat 39 yang bermaksud :

“Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan ia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya..."

Berdasarkan penjelasan ayat tersebut, difahami bahawa Islam menjadi syarat wajib untuk amalannya diterima oleh Allah. Sekalipun satu orang manusia itu terlalu banyak melakukan kebaikan tetapi dirinya dalam keadaan kufur kepada Allah, segala amal baik tersebut tidaklah mendatangkan apa-apa manfaat untuk dirinya. Demikianlah sebahagian hujah dan bukti bagi menyatakan bahawa Islam tidak sama dengan mana-mana agama lain. Konsep pluralisme agama iaitu semua agama adalah sama merupakan suatu konsep yang tertolak dan Islam menafikan hal tersebut. Namun begitu, Islam sebagai agama yang bersifat rahmah (kasih sayang), tidak menafikan hakikat akan kewujudan pelbagai agama yang ada di dunia ini. Semoga Allah Azza Wa Jalla mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan