Seperkara yang sangat ajaib dalam hidup manusia ini ialah nilai
kekaguman dan ketakjuban yang melampau sehingga mampu mengubah paradigma
kewarasan akal menjadi pengikut setia yang bertaklid buta serta menerima bulat
apa yang dikata oleh golongan yang dikagumi tersebut. Lebih dahsyat lagi
apabila segelintir manusia yang terjebak dalam kancah kekaguman yang melampau
ini sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadaikan harta, maruah dan juga
sehingga tahap menggadaikan nyawa. Bak kata peribahasa menyebut umpama kayu
buruk, buruk di panas dan reput di hujan. Ia bermaksud nasib malang yang tidak
dapat dielakkan lagi.
Segalanya bermula dengan penyerapan budaya kultus dalam kehidupan.
Apabila nilai ketakjuban mulai menguasai diri, malangnya nasib dikaburi oleh
kata dusta yang dibaluti dengan nama agama lalu direntas segala harta, maruah
dan nyawa diri. Sudahlah malang nasib ditipu tambahan hilang pula nilai diri
sendiri. Ungkapan "Kultus" pada umumnya boleh difahami
dengan maksud sesebuah kumpulan atau gerakan sosial dengan kepercayaan agama,
kerohanian atau falsafah yang tersendiri, sering berkait dengan seseorang atau
beberapa orang pemimpin yang dianggap mempunyai karismatik. Perkataan kultus
juga boleh difahami dengan makna suatu organisasi atau kumpulan yang mengikat
atau mendominasikan ahlinya melalui cara memanipulasikan psikologi dan strategi
menindas dan menekan.
Selain itu, istilah kultus juga dilihat pada sudut sosiologi
sebagai merujuk kepada sesebuah gerakan atau kumpulan yang datang sebagai
alternatif yang inovatif atau radikal kepada amalan agama. Amalan atau budaya
kultus ini biasanya diketuai oleh seorang pemimpin yang sangat berautokrat
iaitu berkuasa mutlak dengan ahli dibawahnya akan memberi ketaatan yang mutlak
kepadanya. Berdasarkan definisi yang dijelaskan ini, dapat kita simpulkan
bahawa kultus merujuk kepada suatu amalan, nilai budaya dan tahap mentaliti
yang menimbulkan ketaksuban yang melampau. Keadaan ini turut akan membuatkan
para pengikutnya menolak sebarang naratif, bukti atau hujah selain dari apa
yang dibawa oleh pemimpin yang didewakan oleh mereka sendiri. Sikap sebegini
pada hakikatnya boleh berlaku dalam segenap kehidupan manusia merangkumi
pelbagai bidang seperti keagamaan, politik, sosial dan budaya dan juga ekonomi.
Kultus yang mampu menjadi barah kehidupan boleh mengheret manusia ke lembah
kejumudan, ketaksuban dan taklid yang membabi buta.
Sejarah telah mencatatkan mentaliti bersifat kultus ini sebenarnya
telah sekian lama wujud sejak berzaman lagi. Kultus yang biasanya dikaitkan
dengan ajaran sesat telah menunjukkan ratusan bahkan puluhan ajaran agama
baharu muncul bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan. Kultus juga boleh
terjadi dengan memanipulasikan emosi seperti apa yang telah terjadi kepada para
peminat kumpulan K-pop. Dikalangan peminat mereka, ada yang sehingga sanggup
berhabis jutaan ringgit demi mengikuti jejak langkah artis pujaan mereka.
Kultus juga turut tercatat dalam dunia politik. Hal ini dapat dilihat dengan
memahami kerangka dasar perjuangan Syiah yang terbina diatas niat dan tujuan
berpolitik yang setelah itu dikuatkan lagi hasrat terssebut dengan membaluti
diatas nama Islam. Dunia moden pada hari ini juga menunjukkan betapa hebatnya
kultus politik di Amerika Syarikat dengan menjadikan Donald Trump sebagai ketua
yang ditaati mutlak. Kesannya, pada awal tahun 2021, para pengikut setia Donald
Trump telah menyerang Capitol Hill yang menempatkan Dewan Perwakilan dan Dewan
Senat Ameirka respon ketidakpuasan hati mereka dengan kekalahan Donald Trump
ketika pemilihan Presiden 2020.
Dalam sebuah buku edisi kedua yang disunting oleh James R. Lewis
berjudul The Encyclopedia of Cults, Sects, And New Religions,
menjelaskan bahawa kultus boleh difahami dengan lebih terperinci melalui tiga
ciri utama. Pertama, tokoh atau individu perseorangan yang dikultuskan
(didewakan) tanpa pembuktian yang kukuh. Ini menjadikan kebiasaan kultus
berpusat pada seseorang atau beberapa orang tokoh lain yang dikultuskan. Ciri
pertama ini juga dapat difahami dengan melihat para ahli dibawahnya tidak
mempunyai hak untuk menentukan sesuatu perkara dan semuanya dikawal oleh tokoh
yang dikultuskan tersebut. Tokoh yang mereka kagumi itu dianggap sebagai pemegang
kebenaran dan tiada yang lebih tinggi dan benar kecuali dari tokoh yang
disucikan tersebut. Kedua, kultus dapat difahami dengan melihat pengasingan
sosial dan kawalan. Ini menunjukkan bahawa kultus atau tokoh yang didewakan itu
seringkali mengawal ketat ahlinya termasuklah mengatur tingkah laku, pemikiran
dan hubungan mereka.
Ciri kultus yang kedua ini dapat dilaksanakan dengan melakukan
pengasingan fizikal dan memanipulasikan psikologi ahlinya. Selain kultus juga
akan memupuk mentaliti tertentu yang bertujuan untuk mengukuhkan lagi
ketaksuban, menanamkan lagi kesetiaan sekaligus hal tersebut menghalang ahlinya
bersikap kritis dalam pemikiran. Secara tidak langsung, kultus dapat mengawal
keseluruhan diri ahlinya termasuklah sikap, emosi, pemikiran dan maklumat yang
sampai kepada pengetahuan ahlinya. Selain itu, ciri ketiga kultus ialah berlaku
penyimpangan daripada norma kehidupan. Kebiasaannya, kehidupan ahli kultus
berbeza atau tidak sama dengan norma kehidupan biasa masyarakat. Ini merangkumi
soal kepercayaan dan amalan gaya hidup atau moral. Keadaan ini boleh mengundang
kepada ketegangan dengan masyarakat umum selain boleh mengundang fitnah,
manipulasi, eksploitasi dan seumpamanya.
Dalam sebuah rencana yang ditulis oleh Amy Morin, seorang pakar
psikologi, bertajuk What Is Cult ? 10
Warning Signs, beliau menyenaraikan sekurang-kurangnya empat kultus yang
telah wujud sepanjang sejarah dunia. Antara lain sekitar tahun 1960an,
munculnya yang dikenali sebagai Kultus Charles Manson. Beliau telah
mengumpulkan orang-orang muda yang dianggap sebagai keluarganya sendiri. Beliau
telah berjaya meyakinkan para pengikutnya mengenai ancaman peperangan etnik
yang akan berlaku pada bila-bila masa. Kesannya, pada tahun 1969, beberapa
pengikutnya telah membunuh lima orang termasuk yang menjadi korban mereka ialah
seorang pelakon terkenal bernama Sharon Tate. Selain itu, pernah muncul juga
sebuah kultus keagamaan iaitu Kultus David Koresh. Beliau yang bernama
David Koresh telah mendakwa dirinya sebagai seorang nabi terakhir dan mampu
berbual dengan Tuhan. Koresh telah berjaya meyakinkan pengikutnya tentang
keadaan dunia yang sudah semakin hampir dengan kiamat. Pada satu ketika, Koresh
bersama pengikutnya seramai lebih 100 orang keluar berhimpun di satu lapangan
di Waco, Texas. Dalam tempoh itu, Koresh bertempur dengan pasukan FBI yang
akhirnya memperlihatkan semua ahlinya termasuk Koresh membakar diri
masing-masing demi mengelak daripada ditangkap oleh pasukan FBI.
Terkini pada 2 Februari 2025, sepertimana yang telah dilaporkan
oleh pihak media, tular insiden di Oratorio dekat tenggara Guatemala City,
tangkapan ahli para pengikut Kultus Lev Tahor, salah satu cabang
daripada aliran ultra-Ortodoks Yahudi yang diasaskan oleh Shlomo Helbrans pada
tahun 1980 di tanah haram Israel. Demikian sedikit-sebanyak perihal mengenai
kultus yang boleh difahami secara mudah. Dalam catatan sejarah Islam juga,
tidak kurang sunyi daripada kemunculan gerakan atau kumpulan kultus yang sangat
mengagumi ketokohan seseorang atau beberapa orang lain yang dianggap padanya
suci lagi benar. Islam melalui intiipati syariat Allah sangat menegah dan
melarang penganutnya daripada bersikap kultus. Bahkan baginda Nabi SAW sendiri
ada melarang umatnya daripada memuji dirinya melebihi kadar yang disyariatkan.
Sesungguhnya kita haruslah menjalani kehidupan beragama ini dengan meniti jalan
ilmu yang benar. Selain kita juga turut sentiasa berdoa kepada Allah agar
diberikan hidayah serta taufiq dalam menjalani hidup ini. Semoga kita semua
diampuni oleh Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan