Kekusutan hidup selain tekanan yang datang dari pelbagai faktor
antara yang menjadikan manusia sudah mulai hilang pertimbangan. Malah lebih
dahsyat lagi apabila ada yang sedang berkira-kira untuk menamatkan hidupnya
dengan tangan sendiri dan berharap dirinya tidak lagi merasai keperitan hidup.
Persoalan yang sering berlegar di dalam minda kita ialah apakah nyawa yang
sedang kita nikmati ini adalah milik peribadi yang tiada sesiapa boleh
mencampurinya. Ini bermakna apabila seseorang itu berkecenderungan untuk
membunuh diri, apakah manusia lain tidak boleh bersikap campur tangan dengan
menghalang tindakan tidak bermoral tersebut dari terjadi diatas alasan nyawa
adalah milik peribadi dan hak individu ?
Perkataan "Bunuh Diri" menurut Kamus Dewan,
ia difahami sebagai perbuatan mengambil nyawa sendiri dengan sengaja. Seorang
tokoh sosiologi, Emile Durkheim, dalam karyanya berjudul Suicide - A Study
in Sociology, menyebutkan bahawa bunuh diri didefinisikan sebagai satu
perbuatan yang membawa kepada kematian sama ada secara langsung mahupun tidak
langsung daripada sesuatu tindakan positif mahupun negatif yang dilakukan oleh
mangsa di mana beliau tahu bahawa tindakannya itu boleh membawa kepada
kematian. Selain itu, dalam buku berjudul Comprehensive Textbook of
Suicidology karangan oleh Ronald W. Maris, Alan L. Berman dan Morton M.
Silverman, tingkah laku bunuh diri didefinisikan sebagai semua tingkah laku
yang dilakukan untuk mencari penyelesaian atas sesuatu masalah dalam kehidupan.
Berdasarkan beberapa definisi yang telah dikemukakan, dapat kita rumuskan
bahawa bunuh diri adalah satu perbuatan tidak bermoral yang mendatangkan
musibah kepada diri sendiri.
Sesungguhnya nyawa yang dimiliki oleh setiap manusia bukanlah milik
dan hak peribadi yang bersifat mutlak. Ianya adalah hak milik kekal oleh Allah
SWT sebagai Tuhan yang menciptakan makhluk Nya. Hal ini bertepatan dengan
firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-An'am ayat 102 yang
bermaksud :
“Tuhan yang bersifat demikian itu ialah Allah Tuhan kamu semua.
Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu.
Justeru, sembahlah Dia dan Dia ialah Pentadbir segala sesuatu.”
Berdasarkan ayat tersebut, Imam al-Tabari di dalam kitabnya, Jami'
al-Bayan, beliau menafsirkan bahawa Allah SWT yang memelihara dan memerhati
atas segala sesuatu yang Dia cipta, Dia yang akan memberikan kepada semua
ciptaannya sumber rezeki dan keperluan. Dia yang memimpin mereka, mengaturkan
dan menguruskan segala sesuatu dengan kekuasaan Nya. Demikian tafsiran oleh
Imam al-Tabari. Selain itu, Allah SWT menegaskan bahawa sesungguhnya manusia
itu adalah milik Allah yang datang dan akan kembali jua kepada Nya. Ini
sepertimana firman Nya dalam surah al-Baqarah ayat 156 yang bermaksud :
“Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan,
mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah
jualah kami kembali’.”
Syeikh Abdul Rahman al-Sa'di di dalam kitabnya, Tafsir al-Karim
al-Rahman, beliau menyebutkan bahawa sesungguhnya kita adalah kepunyaan
Allah yang diatur dibawah perintah Nya serta aturan Nya. Maka kita tidak
mempunyai hak langsung atas diri serta harta kita. Apabila kita diuji dengan
sesuatu berkenaan perkara tersebut, sesungguhnya itu semua atas ketentuan Tuhan
Yang Maha Mengasihani buat sesiapa sahaja yang bersifat kasih, dengan pemilikan
Nya atas segala harta hamba-hamba. Demikian apa yang telah disebutkan oleh
al-Sa'di. Melalui apa yang telah diperkatakan, jelas lah kepada kita bahawa
setiap sesuatu diatas muka bumi ini tidak ada yang bersifat milik kekal manusia
termasuklah soal nyawa. Oleh itu, nyawa bukanlah hak milik individu atau
peribadi. Ianya hak milik Allah Azza Wa Jalla. Dengan itu, kita sendiri sebagai
manusia yang dipinjamkan nyawa oleh Nya tidak ada hak untuk membunuh diri.
Dalam agama Islam, perbuatan membunuh diri adalah haram dan sangat
dilarang keras oleh Allah dan Rasul Nya. Hal ini sebagaimana yang ditegaskan
oleh Allah SWT di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 195, firman
Allah SWT yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam
bahaya kebinasaan".
Begitu juga di dalam ayat lain menerusi surah al-Isra' ayat 33,
firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang
diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa
yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya
berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut
balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh
pertolongan (menurut hukum Syarak)".
Selain itu, terdapat banyak hadith Nabi SAW yang melarang dan
menegah daripada melakukan perbuatan tidak bermoral ini. Sebagai contoh dalam
sebuah hadith riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Thabit bin al-Dahhak RA,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, (maka)
dia akan diseksa dengannya (dengan sesuatu itu) pada hari kiamat.”
Perbuatan membunuh diri bukanlah suatu perkara baharu tetapi telah
terjadi sejak pada umat zaman dahulu lagi. Hal ini sepertimana yang telah
diceritakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim, daripada Jundub bin Junadah RA, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud
:
“Dalam kalangan umat sebelum kamu, terdapat seorang lelaki yang
menderita kecederaan (bernanah), dia berasa takut (dan tidak sabar atas
penderitaan) lalu dia mengambil pisau dan memotong tangannya menggunakan pisau
tersebut. Darah tidak berhenti mengalir sehingga (menyebabkan) dia meninggal
dunia. Allah SWT berfirman: ‘Hamba-Ku telah bersegera kepada-Ku dengan dirinya
sendiri, maka Aku mengharamkan syurga ke atas dirinya’.”
Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari,
menyebutkan bahawa pengharaman syurga ke atas orang yang bunuh diri ini sebagai
balasan, kerana dia menyegerakan ajalnya dengan melakukan perkara yang boleh
menyebabkan kematian. Dia ibarat menjadikan perbuatan maksiat terhadap Allah
SWT itu sebagai suatu pilihan, maka dia layak dihukum. Hadith ini juga
menunjukkan tindakan orang tersebut menoreh tangannya kerana ingin mati, bukan
kerana ingin menyembuhkan seksaannya yang disangka suatu pilihan yang
bermanfaat. Demikianlah ungkapan oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani. Selain itu,
terdapat hadith lain yang menceritakan tentang ancaman dan azab seksaan untuk
mereka yang membunuh diri. Antara lain hadith riwayat Bukhari dan Muslim,
daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa yang terjun dari gunung, lalu meninggal dunia maka dia di
neraka Jahanam dan kekal di dalamnya selamanya. Siapa yang meminum racun, lalu
meninggal dunia, maka racunnya akan berada di tangannya sambil dia meminumnya
di neraka Jahanam buat selamanya. Barangsiapa yang membunuh dirinya menggunakan
besi, maka besi itu akan dia gunakan untuk menusuk perutnya di neraka Jahanam
buat selamanya.”
Demikianlah sebahagian daripada penjelasan mengenai perbuatan
membunuh diri. Berdasarkan apa yang telah dinukilkan, maka dapat kita fahami
hakikat yang sebenarnya bahawa nyawa adalah milik Allah yang telah
dipertanggungjawabkan kepada makhluk Nya. Kita yang diciptakan oleh Nya sebagai
makhluk, tiada hak langsung untuk membunuh diri bahkan nyawa yang diberikan ini
merupakan amanah besar untuk kita menjaganya. Biar apa pun kekangan masalah dan
tekanan hidup yang kita hadapi, membunuh diri bukanlah pilihan terbaik bagi
kita. Barangkali kita menyangka bahawa apabila telah membunuh diri, maka
selesailah tekanan hidup. Pun begitu, janganlah kita lupa bahawa pada hari
dimana manusia akan dihimpunkan kelak, kita akan dipersoalkan oleh Allah dengan
apa yang telah kita kerjakan. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan