Tabiat manusiawi yang tidak dapat dikawal oleh diri sendiri
kadang-kala terpaksa diajar oleh peraturan dan perundangan. Meski penciptaan
manusia disebutkan oleh Allah sebagai sebaik-baik ciptaan, selain Allah turut
mengurniakan nikmat akal yang tidak terdapat pada kehidupan makhluk lain, pun
begitu manusia kadang terjerat dan terperangkap dengan nafsu sendiri.
Akibatnya, akan ada dikalangan umat manusia yang melanggar peraturan dan
undang-undang sekalipun dirinya tahu risiko dan akibat daripada melakukan ha
tersebut. Oleh itu, antara tujuan lain peraturan dan undang-undang dibuat
adalah untuk mendidik manusia menjadi insan yang baik. Setelah usaha mendidik
manusia melalui peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan gagal memberi
nilai tambah pada diri, maka hukuman adalah pilihan yang ada bagi memberikan
pelajaran bermakna.
Jenayah di dalam Islam merupakan suatu perkara yang dipandang
serius. Ini kerana di dalam perbahasan hukum fiqh, terdapat satu bab khas yang
disebut sebagai "Fiqh Jinayah" iaitu yang merujuk
kepada suatu bidang ilmu yang membincangkan mengenai hukum-hakam kesalahan
jenayah dam hukuman yang dituntut oleh Islam. Berhubung makna jenayah, Imam
al-Mawardi menyebutkan di dalam kitabnya, al-Ahkam al-Sultaniyyah,
jenayah ialah segala bentuk kesalahan syariah yang boleh dihukum berdasarkan
hukum Allah sama ada ia adalah hukum qisas, hudud atau takzir. Apa yang cuba
diungkapkan oleh al-Mawardi ini ialah bertujuan membezakankesalahan yang boleh
dihukum oleh pemerintah dan kesalahan yang tidak boleh dihukum oleh pemerintah.
Namun begitu, skop jenayah begitu luas maknanya sehingga kita akan mendapati
tidak ada kesalahan yang tidak boleh dihukum oleh pemerintah.
Secara asas, perundangan Islam boleh dibahagikan kepada tiga
komponen utama berdasarkan tiga jenis hukuman yang disyariatkan oleh Allah SWT.
Tiga hukuman tersebut ialah hukum Qisas, hukum Hudud
dan hukum Takzir. Kesemua hukuman tersebut mempunyai makna dan
perinciannya yang tersendiri berdasarkan neraca syariat Islam. Hal ini juga
bermakna, terdapat beberapa kategori kesalahan jenayah yang disebutkan dengan
jelas oleh Allah SWT dan Rasul Nya beserta hukumannya melalui al-Quran dan
al-Hadith dan terdapat pula sebahagian kategori kesalahan jenayah lain yang
tidak diperincikan atau tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul Nya. Pun begitu,
sekalipun terdapat kesalahan jenayah yang tidak disebutkan oleh Allah dan Rasul
maka hal tersebut tertakluk kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukan
hukuman. Bagi memahami dengan baik, kita akan melihat struktur ketiga-tiga
hukum ini.
Pertama, hukum Qisas. Ungkapan Qisas secara umum
membawa makna menghukum penjenayah dengan hukuman yang setimpal. Hukuman ini
melibatkan hukum balas nyawa iaitu bunuh balas bagi kesalahan jenayah membunuh
orang yang tidak bersalah. Selain itu, ianya juga dihukumkan kepada pesalah
yang mendatangkan kecederaan anggota atau bahagian badan tertentu. Bagi
melaksanakan hukum ini, terdapat beberapa syarat wajib yang perlu dipenuhi
sebelum dilaksanakannya. Antara lain syaratnya ialah pembunuh hendaklah seorang
yang telah mukalaf. Ini bermakna, hukuman qisas tidak wajib dilakukan kepada
golongan kanak-kanak dan orang gila. Selain itu, disyaratkan pula pihak yang
terbunuh tidak lebih rendah darjatnya berbanding dengan pihak yang membunuh.
Oleh itu, orang Islam yang membunuh orang bukan Islam tidak dikenakan hukuman
qisas kerana darjat diukur dari sifat kufur. Menjadi syarat juga pembunuh bukan
bapa atau datuk keatas pihak yang dibunuh. Terdapat beberapa perkara lain lagi
yang membabitkan hukuman qisas antara lain ialah soal bayaran diyat,
jenis-jenis kecederaan dan selainnya. Tetapi memadailah untuk kita memahami
secara asas dahulu dalam ruangan ini.
Kedua, hukuman yang disebutkan sebagai Hudud.
Perkataan "Hudud" pada sudut bahasa merujuk kepada maksud tegahan.
Pada sudut istilah pula, hudud dapat difahami sebagai hukuman tertentu yang
dikenakan keatas kesalahan tertentu. Hakikatnya, hukuman hudud merupakan
hukuman yang telah ditentukan oleh syarak. Ini bemakna, hukuman hudud tidak
boleh sama sekali di tokok tambah atau dikurangkan. Hukuman hudud adalah
merupakan hak Allah SWT yang wajib dilakukan. Pun begitu, pelaksanaannya boleh
digugurkan jika terdapat perkara keraguan yang menghalangnya. Selain itu,
hukuman hudud tidak boleh dimaafkan sepertimana yang boleh dilakukan pada
hukuman qisas. Terdapat enam jenis kesalahan jenayah dibawah peruntukkan
hukuman hudud yang disepakati oleh para ulama. Enam jenis kesalahan tersebut
ialah perbuatan zina, Qazaf (menuduh seseorang berzina tanpa saksi),
perbuatan mencuri, merompak, minum arak dan murtad.
Sebahagian ulama lain menambah perkara yang ketujuh iaitu bughah
(pemberontak). Pelaksanaan hukum hudud tidak semudah sekadar menuduh malah
setiap kesalahan tersebut mempunyai syarat yang wajib dipenuhi kriterianya
sebelum benar-benar hukuman dijatuhkan. Sebagai contoh, bagi kesalahan mencuri,
hukumannya ialah memotong tangan. Untuk menjatuhi hukuman tersebut, beberapa
syarat wajib dipenuhi seperti nilai harta yang dicuri mencukupi nisab 1/4 dinar
emas atau tiga dirham perak. Selain harta yang dicuri tersebut adalah bernilai
menurut syarak.
Ketiga, hukuman Takzir. Secara mudah, hukuman takzir
adalah hukuman yang tertakluk dibawah budi bicara pemerintah, badan
perundanganatau hakim. Hal ini kerana kesalahan bagi hukuman takzir ini tidak
disebutkan oleh Allah dan Rasul Nya sama ada melalui wahyu al-Quran atau
al-Hadith. Ini juga memberikan gambaran kepada kita bahawa skop kesalahan bagi
hukuman takzir adalah luas. Dibawah hukuman takzir, bentuk hukuman tertakluk
kepada budi bicara pihak yang berautoriti seperti pihak pemerintah, badan perundangan
atau hakim. Selain itu, hukuman takzir dapat dibahagikan kepada dua iaitu yang
pertama, sebarang kesalahan yang terdapat dalam kesalahan hudud dan qisas
tetapi tidak cukup bukti untuk dijatuhi hukuman hudud dan qisas. Maka dengan
itu, kesalahan jenayah tersebut boleh dikenakan hukuman dibawah hukuman takzir.
Kedua, sebarang kesalahan yang selain dari jenis kesalahan hudud dan qisas. Hal
ini bermakna, kesemua bentuk kesalahan terangkum di dalam hukuman takzir. Sama
ada kesalahan tersebut disebut atau tidak disebut oleh Allah dan Rasul Nya,
maka kesalahan tersebut boleh dihukum dibawah hukuman takzir. Misalnya,
kesalahan melanggar lampu isyarat, membuang sampah merata, merokok di kawasan
awam dan lain-lain. Kesalahan seperti ini boleh dihukum dibawah hukuman takzir.
Dalam beberapa kesalahan dibawah hukuman takzir, terdapat ayat
al-Quran yang menyebutkan kesalahan tersebut seperti kesalahan memakan daging
babi dan daging yang tidak disembelih secara sah, kesalahan melanggar kontrak
perjanjian, pecah amanah dan sebagainya. Dalam al-Quran, Allah SWT menyebutkan
hal tersebut dengan tidak menetapkan hukuman melainkan ancaman Allah dan Rasul
Nya kelak. Demikianlah antara beberapa perkara asas dan umum berhubung hukuman
jenayah di dalam Islam. Pun begitu, setiap hukuman yang disyariatkan tersebut
memerlukan kita untuk lebih memahaminya lagi supaya kita tidak mempunyai
tanggapan salah di kemudian hari. Sesungguhnya apa jua hukuman yang dinyatakan,
tidak ada yang lebih menggerunkan kecuali ancaman dan hukuman oleh Allah SWT.
Islam diatas prinsip syariah, sentiasa menekankan mengenai kepentingan kita
menjaga dan memelihara perkara asas seperti menjaga agama, nyawa, keturunan dan
akal agar kita tidak terjerumus melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah.
Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan