Memiliki kecenderungan untuk berkasih sayang antara lainan jantina
merupakan manifestasi cinta yang menjadi fitrah setiap insan dalam kehidupan
ini. Hubungan cinta yang disulami dengan perasaan kasih sayang adalah merupakan
salah satu tanda kekuasaan Allah SWT yang menciptakan manusia. Selain
keistimewaan manusia yang dikurniakan akal untuk berfikir, perasaan cinta,
kasih dan sayang juga antara sifat yang membuktikan nilai fitrah semulajadi
manusia yang sukakan kepada sesuatu yang membahagiakan. Oleh yang demikian,
Allah SWT melalui syariat perkahwinan, telah menghalalkan hubungan cinta yang
dibina sebagai tanda meraikan fitrah hamba Nya. Memiliki rasa cinta kepada
seseorang bukanlah suatu hal yang salah pada sisi Islam bahkan ianya adalah
sifat fitrah manusia. Namun begitu, Islam datang dengan memberikan panduan
sebagaimana yang dikehendaki Allah untuk manusia melunaskan kehendak bagi
berkasih sayang.
Sebelum menuju ke gerbang perkahwinan, terdapat satu perkara
penting yang menjadi syariat Islam yang membawa manusia kepada suatu fasa yang
lebih serius sebelum benar-benar bersedia mendirikan rumahtangga. Perkara
tersebut disebut sebagai "Khitbah" atau pertunangan.
Perkataan pertunangan menurut Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud meminta anak
gadis supaya menjadi isteri. Ianya juga boleh difahami dengan maksud melamar.
Selain itu, menurut Syeikh Dr Abdul Karim Zaidan di dalam kitabnya, al-Mufassol
Fi Ahkam al-Mar'ah Wal Baiti al-Muslim Fi al-Syariah al-Islamiyyah,
perkataan khitbah atau pertunangan bermaksud permulaan seorang lelaki atau
wakil dari ahli keluarganya atau seorang lain bagi pihaknya menyampaikan hajat
kepada ahli keluarga pihak perempuan akan hasrat si lelaki untuk mengahwini si
perempuan. Tambahan lagi, kadang kala permulaan ini boeh terjadi apabila
dimulakan oleh seorang perempuan yang memilih seseorang lelaki. Selain itu,
Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya, Tafsir al-Munir,
menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan khitbah seorang lelaki meminta untuk
berkahwin dengan seorang perempuan dengan menggunakan cara boleh difahami.
Dalam Islam, pertunangan dilakukan bertujuan untuk mengenal akhlak
dan perangai pasangan sebelum diteruskan dengan akad nikah. Proses pertunangan
ini hakikatnya dapat membantu dan menguatkan lagi hubungan cinta selain
memberikan kesempatan dan peluang untuk diri masing-masing membuat persiapan
sebelum berkahwin. Syariat pertunangan disebutkan oleh Allah SWT melalui firman
Nya di dalam al-Quran, menerusi surah al-Baqarah ayat 235 yang bermaksud :
“Dan tidak salah bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara
sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam
‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan
mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut (atau mengingati)
mereka, akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit,
selain dari menyebutkan kata-kata (secara sindiran) yang sopan. Dan janganlah
kamu menetapkan dengan bersungguh-sungguh (hendak melakukan) akad nikah sebelum
habis iddah yang ditetapkan itu. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah mengetahui
apa yang ada dalam hati kamu, maka beringat-ingatlah kamu akan kemurkaanNya,
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar”.
Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT telah memerintahkan para hamba
Nya untuk meminang seorang perempuan yang ingin untuk dijadikan sebagai seorang
isteri. Meskipun ayat tersebut menyebut dalam konteks perempuan yang masih
dalam 'iddah, namun umumnya suruhan ini turut terpakai bagi anak gadis
berstatus dara. Berdasarkan ayat tersebut, para ulama seperti al-Khatib
al-Syarbini menyatakan di dalam kitabnya, Mughni al-Muhtaj, bahawa
adalah hukumnya harus untuk bertunang. Dalam riwayat hidup baginda Nabi SAW,
baginda pernah meminang Aisyah dan begitu juga pernah meminang Hafsah untuk
dijadikan sebagai isteri. Namun begitu, terdapat dua jenis perempuan yang tidak
boleh dilamar atau bertunang. Dua jenis tersebut ialah perempuan yang masih
di dalam iddah raj'iyyah walau sekadar mempunyai niat di hati dan yang
kedua ialah perempuan yang sudah menjadi tunangan orang lain. Ini
sebagaimana yang telah dinyatakan oleh baginda Nabi SAW dalam sebuah hadith
riwayat Bukhari, daripada Ibnu Umar, beliau berkata yang bermaksud :
”Nabi saw melarang berjual beli di atas jualan sebahagian dari kamu
dan (Nabi juga melarang) seorang lelaki meminang tunangan saudaranya
sehinggalah dia meninggalkan tunangannya ataupun diizinkan oleh saudaranya
(untuk meminang perempuan tersebut).”
Mengulas hal tersebut, al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya, Mughni
al-Muhtaj, menyebutkan bahawa larangan tersebut dikeluarkan adalah kerana
ianya sesuatu yang boleh menyakitkan orang lain. Demikianlah larangan untuk
meminang dua jenis perempuan tersebut. Sesungguhnya syariat pertunangan yang
dijelaskan oleh Allah SWT ini mempunyai tujuan dan matlamatnya (maqasid) yang
tersendiri. Hal ini sebagaimana yang telah dinukilkan oleh Imam al-Syatibi di
dalam kitabnya, al-Muwafaqat, beliau menyebutkan bahawa antara matlamat
syarak menetapkan sesuatu hukum adalah bertujuan untuk kemashalatan (kebaikan)
hamba-hamba Nya sekarang ini dan untuk masa yang akan datang. Selain itu,
antara matlamat pensyariatan pertunangan juga ialah untuk membuktikan bahawa
Allah SWT sebagai pencipta kepada manusia sangat mengerti kejadian diri dan
jiwa seseorang manusia yang mempunyai kecenderungan untuk hidup berpasangan.
Maka syariat pertunangan ini menjadi ruang untuk manusia menzahirkan
perasaannya yang terbuku di dalam jantung hatinya. Selain pertunangan juga
adalah suatu syariat yang memelihara maruah kaum perempuan sebagai perhiasan
untuk suaminya yang sah di sisi syarak. Bukannya boleh dipetik begitu sahaja.
Menjadi persoalan juga dikalangan masyarakat berkenaan hukum-hakam
berkait pertunangan. Antaranya ialah apakah perlu disembunyikan hal pertunangan
atau sebaliknya dihebahkan. Dalam hal ini, terdapat satu hadith Nabi riwayat
Imam al-Dailami, daripada Ummu Salamah Ranha, Rasulullah SAW bersabda yang
bermaksud :
"Zahirkan (iklankan) pernikahan dan sembunyikan
pertunangan".
Berdasarkan hadith ini, terdapat dikalangan ulama seperti yang
dinukilkan dalam kitab Syarh Mukhtasar al-Khalil, sebahagian mereka dari
mazhab Maliki, berpendapat menyembunyikan pertunangan adalah digalakkan. Namun
begitu terdapat sebahagian ulama lain berpendapat tidak menjadi masalah untuk
dihebahkan berkenaan pertunangan kerana tidak ada dalil yang sahih yang
melarang akan hal tersebut. Adapun hadith riwayat al-Dailami sebelum ini
dinilai dhaif (lemah) oleh sebahagian ahli hadith. Maka menjawab persoalan
tersebut, tidak mengapa untuk menghebahkannya agar tidak berlaku pinangan atas
pinangan sebagaimana yang telah dilarang oleh Rasulullah SAW. Selain itu, ada
juga persoalan berkenaan apakah dibenarkan lelaki untuk melihat wajah perempuan
yang mahu dipinangkan. Jawapannya ialah dibolehkan. Ini berdasarkan sebuah
hadith Nabi riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah katanya yang bermaksud :
“Ketika aku bersama-sama Nabi SAW, seorang lelaki telah menemui
Baginda, lalu memberitahu bahawa dia akan mengahwini seorang perempuan Ansar.
Maka, Rasulullah SAW bersabda: Adakah engkau melihatnya? Lelaki itu menjawab:
Tidak. Baginda bersabda: Pergilah lihat perempuan itu kerana pada mata Ansar
terdapat suatu kelainan daripada mata perempuan lain, yang mungkin tidak
menarik hatimu.”
Berdasarkan hadith ini, di dalam kitab Fiqh al-Manhaji,
disebutkan bahawa seorang perempuan berhak melihat lelaki yang ingin dikahwininya
bagi memastikan keadaan lelaki tersebut supaya tidak menyesal selepas
perkahwinan. Ini juga adalah kerana perempuan tertarik hati dengan lelaki
sebagaimana lelaki tertarik hati dengan perempuan. Ada pun tentang hukum
membuat majlis pertunangan besar-besaran, ianya tidaklah digalakkan. Bahkan
dibimbangi boleh menjerumus kepada pembaziran dan sia-sia. Namun begitu, jika
dilihat sebagai tidak membazir, maka tidaklah menjadi masalah. Selain itu, ada
yang bertanya tentang adat menyarung cincin, berpantun, menukar dulang dan
sebagainya, semua adat itu adalah harus selagimana adat tersebut tidak
bertentangan dengan syarak. Tidak menjadi masalah untuk adat-adat yang biasa
diamalkan sejak dahulu lagi. Demikian beberapa persoalan lazim yang seringkali
berbangkit dikalangan masyarakat. Sesungguhnya pertunangan bukanlah lesen untuk
duduk berdua-duaan, keluar berpegang tangan dan sebagainya. Oleh itu,
peliharalah syariat pertunangan dari dicemari oleh kemungkaran. Semoga Allah
memberkati kita semua.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan