Kepercayaan adalah suatu nilai teras dan bersifat keutamaan dalam
kehidupan manusia. Tanpa nilai teras ini, hidup manusia pastinya akan
terumbang-ambing dan sentiasa berada dalam keadaan berprasangka. Sebaliknya,
melalui nilai kepercayaan ini, manusia akan hidup dengan lebih yakin dan selesa
selain tenteram dan aman di jiwa. Pun begitu, sesebuah nilai kepercayaan tidak
boleh di jual beli dengan wang ringgit. Dalam konteks hidup beragama, kepercayaan
dibina diatas apa yang diyakininya dan difahami dengan baik. Tanpa keyakinan
sebenar dan ketidak fahaman yang jelas, hidup beragama akan menjadi kosong
tanpa memahami apa tujuan dan sebab hidup di dunia ini. Dalam Islam,
kepercayaan kepada Tuhan merupakan sifat fitrah manusia. Oleh itu, kita akan
melihat pelbagai kepercayaan beragama wujud di muka bumi ini sebagai bukti
bahawa manusia wajib hidup bertuhan.
Akidah adalah manifestasi nilai kepercayaan kepada Tuhan
berlandaskan wahyu agama. Ungkapan "Akidah" berasal dari
bahasa Arab. Menurut Ibnu Manzur dalam kitabnya, Lisanul 'Arab, perkataan
akidah pada sudut bahasa bermaksud ikatan, memintal, menetapkan, menguatkan,
meneguhkan dan yang sama erti dengannya. Akidah yang berasal dari perkataan al-'Aqd
(العقد) yang bermaksud mengikat lawannya
ialah al-Hall (الحل) yang bermaksud
terurai. Pada sudut pemahaman istilah pula, akidah merujuk kepada makna hal-hal
yang wajib dibenarkan oleh hati dan jiwa merasa tenteram kepadanya sehingga
menjadi keyakinan kukuh yang tidak tercampur dengan keraguan. Maka daripada
penjelasan mengenai makna tersebut, dapat difahami bahawa akidah ialah sesuatu
perkara yang mengikat kukuh antara hamba dan pencipta-Nya, dengan mempertalikan
ikatan kepercayaan hamba kepada Tuhannya tanpa sebarang keraguan lagi.
Kepercayaan tersebut bersifat kukuh, kuat dan utuh selain bersifat mutlak yakin
kepada Allah tanpa sangsi lagi.
Dalam Islam, akidah disebut dengan istilah Akidah Islamiyyah.
Menurut Syeikh Abdullah bin 'Abdil Hamid al-Atsari, beliau menjelaskan makna
akidah Islamiyyah dalam kitabnya, Akidah Salaf, dengan menyebut bahwa
akidah Islamiah adalah keimanan yang kukuh kepada Rububiyyah Allah, Uluhiyyah
Nya serta Asma' dan Sifat Nya. Berdasarkan penjelasan tersebut, kita boleh
merumuskan bahwa akidah Islam itu terbina dengan kukuh diatas tiga prinsip
tauhid utama iaitulah Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Asma'
dan Sifat Allah. Secara mudah untuk difahami, Tauhid Rububiyyah
ialah kepercayaan yang kukuh terhadap segala macam bentuk kekuasaan, keagungan,
kebesaran hanyalah milik Allah SWT. Selain kita dituntut untuk menyakini bahawa
alam yang tiada penghujung ini ditadbir dan dikuasai mutlak oleh Allah. Dalam
akidah Islam, Allah SWT adalah pentadbir tunggal alam ini yang tiada penghujungnya.
Dialah yang menciptakan sesuatu, Dialah yang berkuasa menghidup dan mematikan
sesiapa sahaja. Dialah yang menentukan peraturan dan perjalanan alam ini dan
seisinya. Ini sebagaimana firman Allah di dalam surah al-A'raf ayat 54 yang
bermaksud :
"Ingatlah, menciptakan dan memerintahkan hanyalah hak Allah,
Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam"
Tauhid Uluhiyyah pula ialah
kepercayaan dengan menyakini bahawa Allah lah satu-satunya Tuhan yang berhak
disembah dan diperhambakan diri hanya kepada Allah. Mengesakan Allah yang Maha
Tunggal, tidak ada anak dan keturunan. Ini bermakna, Tauhid Uluhiyyah menuntut
agar manusia mengesakan Allah dengan perbuatan beribadah kepada Allah. Oleh
kerana itu, Tauhid Uluhiyyah juga disebut sebagai Tauhid Ibadah. Segala kepatuhan,
ketaatan dan ketundukan hanya dilakukan secara mutlak kepada Nya yakni Allah.
Secara tidak langsung, umat manusia dilarang dan ditegah daripada berpaling
dengan menyembah, meminta pertolongan, sujud dan menyerah diri selain daripada
Allah. Hanyasanya kepada Allah lah kita menyembah dan kepada Nya jualah tempat
manusia memohon pertolongan. Di dalam al-Quran, Allah menegaskan hal tersebut
sepertimana yang terakam di dalam surah al-Mukminun ayat 117, firman Nya yang
bermaksud :
"Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama
Allah, dengan tidak berdasarkan sebarang keterangan mengenainya, maka
sesungguhnya hitungannya (dan balasan amalnya yang jahat itu) disediakan di
sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya".
Selain itu, Tauhid Asma dan Sifat Allah pula
bermaksud menyakini bahawa Allah Azza Wa Jalla memiliki segala nama-nama yang
indah dan sifat-sifat yang mulia. Segala nama dan sifat Nya itu terangkum
padanya segala kesempurnaan, dan disucikan dari segala sifat kekurangan dan
kelemahan. Ini bermakna nama-nama dan sifat-sifat Allah tiada persamaan dengan
mana-mana makhluk. Para makhluk Allah dicatat padanya segala kekurangan dan
kelemahan dan sebaliknya bagi Allah pada zat Nya itu terkandung segala
kesempurnaan, kemuliaan dan kesucian yang tidak dimiliki oleh mana-mana
makhluk. Bagi mengenali nama-nama dan sifat-sifat Allah, tidak ada jalan lain
melainkan mengenalinya daripada apa yang disebutkan di dalam al-Quran dan
al-Sunnah. Begitu juga untuk memahami nama dan sifat Nya, hendaklah memahaminya
sebagaimana yang dijelaskan oleh utusan Nya, Nabi Muhammad SAW. Selain itu,
kita ditegah dan dilarang daripada menyamakan Allah dengan para makhluk Nya.
Kerana Allah tidak sama sekali sama dengan makhluk. Perkara ini ditegaskan oleh
Allah SWT di dalam surah Asy-Syuura ayat 11 yang bermaksud :
"...Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Nya, dan Dia Maha
Mendengar lagi Maha Melihat".
Inilah tiga asas utama tauhid dalam kerangka akidah Islam yang
mudah difahami oleh semua umat manusia. Hakikatnya, Islam itu adalah mudah
untuk difahami dan sesuai untuk semua manusia menjangkaui bangsa, keturunan,
lapisan umur dan lain-lainnya. Akidah Islam sebenar adalah akidah yang mudah
untuk difahami. Ini sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Syatibi RH dalam
kitabnya, al-Muwafaqat, ketika beliau menjelaskan tentang Islam itu
mudah, beliau menyebutkan bahawa :
“Antara mudahnya agama Islam ialah kewajipan berkaitan akidah dan
amalan adalah sesuatu yang dapat difahami oleh orang awam, agar mereka dapat
berada di bawah hukum-hukumnya. Dari segi iktiqad akidah, ia mesti mudah
difahami dan mudah dicerna oleh akal fikiran semua orang. Sama ada mereka yang
memiliki akal yang cerdas atau yang kurang cerdas, semua mereka dapat
memahaminya. Sekiranya akidah ini hanya dapat difahami oleh golongan tertentu,
maka ia tidak akan menjadi syariat yang umum dan sesuai untuk semua, sedangkan
syariat Islam adalah umum dan untuk semua, seperti yang telah sedia dimaklumi.
Oleh itu, perkara yang dituntut untuk diketahui dan diyakini mestilah mudah
difahami".
Oleh kerana itu, beberapa ciri lain yang terdapat di dalam akidah
Islam yang bersifat mudah untuk difahami antara lain ialah sumber utama akidah
Islam adalah al-Quran dan al-Sunnah. Ini bermakna sebarang dakwaan, nukilan
atau penyampaian lain mengenai akidah, yang tidak bersumberkan wahyu Allah,
ianya pasti akan tertolak. Perkara berkaitan akidah banyak menyentuh soal ghaib
iaitu yang tidak dapat dilihat oleh manusia. Maka untuk mencapai hal tersebut,
perlulah rujuk sumber utama akidah iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Selain itu,
antara ciri lain, akidah Islam yang sebenar adalah yang jauh daripada sebarang
bentuk pengaruh asing seperti ilmu yang dicedok dari pengaruh barat. Jika
akidah Islam dipengaruhi oleh perkara asing, tentu ianya akan membuka kepada
jalan keraguan yang banyak selain menyeleweng dari ajaran sebenar Islam.
Tuntasnya, akidah Islam sangat mudah untuk difahami oleh semua manusia.
Bersesuaian dengan kehendak Allah dan Rasul Nya, janganlah dipersusahkan
pemahaman akidah yang hanya berbahas pada perkara yang tidak perlu dibahaskan.
Semoga Allah memberikan petunjuk Nya untuk kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan