Sabtu, 25 Januari 2025

HUKUM FARAID SEBAGAI SUATU KETETAPAN OLEH ALLAH

 

Lumrah dalam kehidupan ini apabila manusia berkecenderungan atau mempunyai keinginan untuk memiliki harta-benda sebagai aset di dunia ini. Rumah, kereta, tanah dan apa sahaja nama dan jenis harta yang disebutkan, setiap daripada kita pasti punyai cita-cita untuk memilikinya. Oleh kerana itu juga, Allah SWT menjadikan dunia ini dihiasi dengan pelbagai harta dan kebendaan yang menjadi keinginan oleh manusia. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT, dijadikan indah kepada manusia itu segala macam harta kebendaan yang merangkumi para wanita, anak-pinak, harta emas dan perak, kebun tanaman serta binatang ternakan. Kesemua ini menghiasi keindahan menarik minat umat manusia untuk memilikinya. Lihatlah firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 14 yang bermaksud :

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".




Demikianlah penegasan Allah yang menunjukkan betapa manusia suka akan memiliki harta-benda. Dalam soal pengurusan harta, terdapat suatu ketetapan yang dibuat oleh Allah SWT melalui syariat faraid. Ungkapan "Faraid" berasal dari bahasa Arab. Pada sudut bahasa, faraid merupakan kata banyak (plural) yang datang dari kata dasarnya iaitu fardh. Perkataan fardh membawa maksud ketentuan dan ketetapan. Selain itu, perkataan fardh juga boleh difahami dengan makna halal, wajib dan seumpamanya. Pada sudut istilah pula, sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, faraid ialah suatu ilmu pengetahuan yang mendalam berkenaan harta pusaka dan ilmu kira-kira yang membolehkan kita mengetahui bahagian pusaka yang berhak diterima oleh orang-orang yang berhak. Ilmu faraid atau disebut sebagai mawarith merupakan suatu ilmu berkaitan harta peninggalan si mati yang akan dibahagikan kepada ahli warisnya. Berdasarkan definisi tersebut, tidak salah untuk kita rumuskan dengan mengatakan bahawa faraid merupakan suatu bidang ilmu yang menjelaskan tentang kaedah pembahagian harta mengikut kepada ketetapan oleh Allah.

Ketetapan oleh Allah di dalam bab ini dapat dilihat berdasarkan ayat yang diturunkan oleh Allah SWT bagi mengelak ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat ketika itu. Dalam sebuah hadith riwayat Tirmizi, daripada Jabir bin Abdullah RA berkata yang bermaksud :

“Aku ditimpa sakit, lalu Nabi SAW datang menziarahi. Baginda mendapati aku sedang pengsan. Abu Bakar dan Umar pun datang bersama Baginda tetapi mereka berdua berjalan kaki. Lalu Rasulullah SAW berwuduk dan menjirusku dengan air wuduknya itu. Lantas aku tersedar daripada pengsan lalu bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimanakah cara yang sepatutnya aku membelanjakan hartaku? Atau apakah yang patut aku lakukan pada hartaku? Baginda tidak menjawab. Jabir mempunyai sembilan orang saudara perempuan.”

Maka setelah persoalan ini ditanya, lalu turunlah ayat al-Quran yang berkaitan dengan pusaka bagi menjelaskan hal tersebut. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 176 yang bermaksud :

"Mereka (orang-orang Islam umatmu) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad mengenai masalah Kalaalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam perkara Kalaalah itu, iaitu jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, dan ia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak. Kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati. Dan sekiranya mereka (saudara-saudaranya itu) ramai, lelaki dan perempuan, maka bahagian seorang lelaki menyamai bahagian dua orang perempuan. Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."




Selain itu, terdapat beberapa ayat lain yang turut menjelaskan mengenai ketetapan hukum faraid. Ini dapat dilihat dalam surah al-Nisa ayat 11 hingga 12. Secara ringkasnya, daripada apa yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah a-Nisa merangkumi ayat 11,12 dan 176 ini, dapat kita fahami bahawa pembahagian harta pusaka yang ditinggalkan oleh si mati ditetapkan oleh Allah akan kaedah pembahagiannya. Selain itu, dalam pada yang sama, Allah SWT meletakkan syarat agar segala hutang-piutang si mati hendaklah dilunaskan terlebih dahulu sebelum selebihnya dibahagikan mengikut ketetapan Nya. Ini bermaksud, pembahagian harta pusaka boleh dibuat setelah pihak waris menyelesaikan terlebih dahulu segala urusan hutang si mati. Lebihan daripada itu, hendaklah dibahagikan mengikut ketetapan yang dibuat oleh Allah SWT. Selain hutang-piutang, hendaklah turut diselesaikan beberapa perkara lain jika ada seperti zakat, gadaian, perbelanjaan urus jenazah termasuk urusan memberi upah mandi, menggali kubur dan perkara yang berkaitan. Setelah itu, barulah boleh dibahagikan kepada ahli waris.

Pelaksanaan hukum faraid adalah wajib. Hal ini sebagaimana yang telah dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, disebutkan bahawa pelaksanaan hukum pusaka (faraid) adalah wajib. Sistem pusaka adalah sistem yang sah berdasarkan kepada dalil dan hujah dari al-Quran dan al-Sunnah serta ijmak ulama. Ia sama seperti hukum solat, zakat, muamalat dan hudud. Sebagaimana yang telah kita fahami, hukum pusaka atau faraid adalah merupakan suatu ketentuan Allah yang diperintahkan kepada para hamba Nya. Tidak melaksanakan hukum faraid sama seperti kita melanggari hukum Allah yang lain. Ini bermaksud, tidak melaksanakan hukum faraid adalah sama seperti tidak melaksanakan solat fardhu. Oleh itu, menjadi kewajiban orang Islam untuk memastikan pembahagian harta oleh si mati diuruskan mengikut ketetapan Allah melalui hukum faraid. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa ayat 13 dan 14 yang bermaksud :

“Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya, dan melampaui batas-batas syariat-Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekallah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.”

Dalam hal ini, Syeikh al-Sa'di telah menyebutkan di dalam kitabnya, Taisir al-Karim al-Rahman, bahawa perincian yang disebut dalam pewarisan harta adalah had-had Allah yang perlu dihormati dan tidak boleh dilanggar atau ditinggalkan. Ini merupakan petunjuk bahawa wasiat kepada waris telah dihapuskan menurut takdir-Nya, sebagai langkah yang dibuat oleh Allah untuk menguji waris-waris tersebut. Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah had-had Allah'. Oleh itu, jika waris menerima lebih daripada haknya, itu adalah pelanggaran terhadap had-had tersebut, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi SAW, ‘Tidak ada wasiat bagi waris.’ Kemudian disebut ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, serta pelanggaran kepada keduanya secara umum, untuk memasukkan kepatuhan terhadap hukum waris dan meninggalkan pelanggaran tersebut. Demikian ulasan oleh al-Sa'di. Rumusan yang dapat kita buat berdasarkan apa yang telah dijelaskan ini, fahamilah sesungguhnya faraid merupakan ketetapan hukum dan peraturan yang dibuat oleh Allah yang Maha Bijaksana. Oleh itu, patuhilah ia sebagai perundangan dan tentu Allah lebih mengetahui apa yang terbaik bagi hamba Nya. Semoga Allah mengampuni kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan