Ahad, 5 Januari 2025

ADAKAH SYURGA DAN NERAKA AKAN KEKAL ?

 

Umum mengetahui bahawa alam dunia yang sedang kita diami ini bersifat fana' iaitu akan hancur binasa. Apabila tiba saat dan ketikanya, dunia ini pastinya aka hancur bersama apa yang ada di dalamnya termasuklah umat manusia. Hakikatnya, kita tidak boleh lari dari menafikan perkara tersebut kerana sememangnya itulah ketetapan yang dibuat oleh Allah, Tuhan buat sekalian alam. Maka dapat kita rumuskan bahawa setiap perkara yang melata di muka bumi Allah SWT ini akan ada tempohnya yang disebut sebagai permulaan dan pengakhiran. Begitu juga para manusia, kematian akan datang menyapa memisahkan kita dengan dunia yang tidak kekal ini. Setelah itu, semua para makhluk Allah akan dibangkitkan di alam akhirat dan pada saat itulah kita akan dihitung oleh Allah, sama ada memasuki syurga atau sebaliknya memasuki neraka.

Bercakap mengenai syurga dan neraka, pasti ada yang berfikir apakah syurga dan neraka juga akan bersifat sementara sama seperti alam dunia yang akan hancur binasa ? Secara asasnya, kita mengetahui dan menyakini bahawa tiada yang kekal wujud melainkan hanya Allah SWT. Pada zat Tuhan itu, tidak wujud istilah permulaan dan pengakhiran kerana Allah bersifat dengan Maha Kekal. Ini berbeza dengan segala ciptaan makhluk Nya yang bersifat fana' (hancur) iaitu tidak kekal selamanya. Oleh kerana syurga dan neraka juga merupakan makhluk ciptaan Allah SWT, apakah kedua-duanya akan hancur binasan seperti dunia. Untuk memahami perkara ini, tentulah wajib bagi kita untuk kembali melihat wahyu Allah SWT, al-Quran dan al-Sunnah. Ini kerana persoalan mengenai syurga dan neraka termasuk di dalam bab ghaib yang terbatas akal manusia untuk mengetahuinya kecuali daripada apa yang telah dijelaskan oleh Allah dan Rasul Nya.




Pertama sekali, terdapat beberapa ayat-ayat al-Quran yang mengkhabarkan kepada kita mengenai syurga dan neraka yang bersifat kekal. Antaranya sepertimana yang terkandung dalam surah Hud ayat 106 - 108, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Adapun orang-orang yang celaka (disebabkan keingkaran dan maksiatnya), maka di dalam nerakalah tempatnya. Bagi mereka di situ, hanyalah suara memekik-mekik dan mendayu-dayu (seperti suara keldai). Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu. Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. Adapun orang-orang yang berbahagia (disebabkan imannya dan taatnya), maka di dalam Syurgalah tempatnya. Mereka kekal di dalamnya selagi ada langit dan bumi kecuali apa yang dikehendaki oleh Tuhanmu sebagai pemberian nikmat yang tidak putus-putus".

Selain itu, di dalam kebanyakkan ayat lain, Allah SWT menegaskan bahawa orang-orang kafir iaitu mereka yang ingkar dan tidak beriman kepada Allah akan kekal selamanya di dalam neraka manakala orang yang beriman akan kekal berada di dalam syurga. Ini sebagaimana yang terdapat dalam surah al-Bayyinah ayat 6-8, firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang kafir dari Ahli Kitab dan orang-orang musyrik itu akan ditempatkan di dalam neraka Jahannam, kekalah mereka di dalamnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk. Seungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya".

Begitu juga diceritakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW mengenai penghuni syurga dan neraka akan kekal selamanya. Ini sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith sahih riwayat Tirmizi, daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya baginda Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“ Apabila Allah memasukkan ahli syurga ke dalam syuraga , dan ahli neraka ke dalam neraka , maka dibawalah kematian itu di sempadan di antara syurga dan neraka . Lalu dilaungkan seruan “Wahai kesemua ahli syurga ! “, maka mereka pun keluar menjenguk di dalam keadaan yang takut (kerana bimbang mereka akan dikeluarkan daripada syurga yang telah menjadi kediaman mereka) . Kemudia diseru pula : “ Wahai kesemua ahli neraka ! “ , maka kesemua ahli neraka pun menjenguk di dalam keadaan gembira (kerana berharap mereka akan dikeluarkan drp neraka itu) . Lalu ditanya mereka itu semua – “Tahukah kamu semua apakah ini ? “ , mereka pun menjawab : “ Ya ! kami memang sudah mengenali apakah itu , itulah dia kematian yang pernah datang kepada kami semua “ . Kemudian , kematian itu pun dibaringkan lalu disembelih di sempadan di antara syurga dan neraka . Kemudian dilaungkan pula : “ Wahai kesemua ahli syurga , tinggallah kamu selama-lamanya di dalam syurga kerana kematian itu sudah tiada lagi ! Dan wahai kesemua ahli neraka , tinggallah kamu semua selama-lamanya di dalam neraka kerana kematian itu pun sudah tiada lagi“




Maka berdasarkan penjelasan dalil dari al-Quran dan al-Sunnah, kita akan mendapati bahawa syurga dan neraka itu bersifat kekal selamanya. Hal ini juga bertepatan dengan pendapat Imam Abu Hanifah yang dinukilkan di dalam kitabnya, al-Fiqh al-Akhbar, beliau menyebutkan bahawa syurga dan neraka ialah makhluk keduanya tidak akan hilang keduanya selama-lamanya dan tidak akan berhenti azab Allah Taala dan pahalanya selamanya. Begitu juga ungkapan yang disebutkan oleh Imam al-Thohawi di dalam kitabnya, al-'Aqidah at-Tohawiyyah, beliau menyatakan bahawa syurga dan neraka itu keduanya adalah makhluk tidak akan hilang keduanya selama-lamanya dan tidak akan binasa keduanya. Maka sesungguhnya Allah Taala mencipta syurga dan neraka sebelum mencipta manusia. Dan Allah menjadikan bagi syurga dan neraka itu penghuni maka siapa yang Allah berkehendak dari mereka itu kepada syurga ialah semata-mata kurnia daripada-Nya dan siapa yang Allah berkehendak dari mereka itu kepada neraka ialah semata-mata keadilan daripada-Nya.

Namun begitu, pandangan Imam Ibnu al-Qayyim agak sedikit berbeza dengan pandangan jumhur para ulama lain. Di dalam kitabnya, Hadi al-Arwah ila Bilad al-Afrah, beliau menyebutkan bahawa neraka akan binasa iaitu akan ada pengakhirannya. Pandangan ini dibangkitkan oleh Imam Ibnu al-Qayyim melalui pertanyaan olehnya kepada gurunya, Syeikhul Islam Imam Ibnu Taimiyyah. Dalam respon balas oleh gurunya itu, Imam Ibnu Taimiyyah menjawab isu ini adalah sesuatu isu yang besar. Namun begitu, Imam Ibnu Taimiyyah tidak memberikan suatu jawapan yang jelas dalam persoalan tersebut. Imam Ibnu al-Qayyim menjelaskan lagi pandangan yang dinukilkan olehnya ini dengan menyebut bahwa rahmat Allah mengatasi murka Allah. Sekalipun Allah memasukkan manusia ke dalam neraka berjuta-juta tahun, untuk apa Allah mengazabkan mereka yang sememangnya tidak boleh berubah lagi keadaan. Oleh itu, boleh jadi wujud kemungkinan jika Allah kehendaki, mereka akan tamat azab dan neraka akan hilang. Pandangan ini juga disebutkan oleh al-Qaradhawi meski beliau tidaklah menyokong sepenuhnya pandangan tersebut.

Demikianlah sedikit penjelasan dan huraian berkenaan persoalan mengenai kekalnya syurga dan neraka Allah SWT. Perbincangan kekal atau tidak syurga dan neraka tidaklah sedikit pun menghina atau memperlekehkan keagungan dan kekuasaan Allah Azza Wa Jalla. Rumusannya, apa yang boleh kita fahami ialah memadailah dengan kita mengetahui bahawa syurga dan neraka itu wujud dan penghuni kedua-duanya akan kekal selamanya. Adapun terdapat pandangan minoriti ianya perlu diiktiraf sebagai suatu pandangan yang berdiri diatas neraca ilmu. Berbeza dalam hal tersebut tidaklah sehingga mengeluarkan sesiapa dari daerah Islam. Hal itu sekadar perbincangan ilmu yang masih dalam rangkuman al-Quran dan al-Sunnah. Selain itu, kita juga tidaklah wajib untuk mengetahui kekal atau tidak syurga dan neraka. Tugas dan peranan kita ialah untuk memastikan diri dan keluarga kita memasuki syurga Allah dan bukannya sibuk memikirkan pada perkara yang tidak jelas. Semoga Allah merahmati dan memberkati kita semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan