Adalah sesuatu yang luar biasa sekali sekiranya kita dapat bermimpi
bertemu dengan seseorang yang langsung kita tidak pernah bertemu dengannya
sebelum ini. Bahkan anugerah mimpi yang seumpama itu ironinya manusia akan
bermimpi dengan apa yang pernah dilihat dan pernah dirasainya sebelum itu.
Namun demikian, dengan kekuasaan Allah yang tidak terbatas ini, segala-galanya
boleh berlaku dengan kehendak dan keizinan Nya jua. Oleh yang demikian,
tidaklah pelik dan bukanlah sesuatu yang baharu jika ada dikalangan manusia
yang mengaku bermimpi bertemu dengan baginda Nabi SAW. Meskipun pada adat dan
logikal akal manusia, mana mungkin kita dapat bermimpi dengan perkara yang
tidak pernah kita temui. Tetapi hakikatnya tidaklah mustahil jika hal tersebut
benar-benar berlaku dan ianya adalah suatu anugerah terhebat bagi sesiapa yang
dapat bermimpi bertemu dengan baginda Nabi.
Sesungguhnya mimpi bertemu dengan Nabi bukanlah sesuatu perkara
baharu. Malah dalam beberapa catatan hadith, baginda Nabi SAW menyebutkan hal
itu dengan memperakui bahawa umat manusia boleh bermimpi bertemu dengan
baginda. Hal ini kita dapat lihat sebagaimana yang terdapat dalam sebuah hadith
Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah RA, Nabi Muhammad SAW bersabda yang
bermaksud :
“Sesiapa yang melihatku dalam mimpi, maka sesungguhnya dia telah
melihatku. Sesungguhnya syaitan tidak mampu menyerupai rupaku.”
Dalam lafaz lain yang sedikit berbeza, juga melalui riwayat yang
sama iaitu oleh Bukhari, hadith yang diriwayatkan daripada pembantu peribadi
Nabi SAW, Anas bin Malik, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
:
“Sesiapa mimpi melihatku, maka dia telah melihatku kerana
sesungguhnya syaitan tidak dapat menyerupaiku.”
Begitu juga terdapat riwayat oleh Bukhari, daripada Abu Sa'id al
-Khudri, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“Sesiapa (bermimpi) melihatku, maka dia telah melihat kebenaran
kerana sesungguhnya syaitan tidak boleh menjadi seperti rupa bentukku.”
Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath
al-Bari, beliau menyatakan bahawa hadith berikut terkandung padanya suatu
isyarat bahwa meskipun Allah Azza Wa Jalla membenarkan syaitan untuk menyerupai
bentuk sesiapa sahaja tetapi bagi syaitan tetap akan dihalang dari menyerupai
baginda Nabi Muhammad SAW. Dalam beberapa pandangan lain, sebahagian para ulama
berpandangan bahawa yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah seseorang
yang dapat melihat baginda Nabi dalam wajah yang sama seperti wajah asal baginda.
Sebahagian lain pula ada yang bertindak menyempitkan syarat bermimpi bertemu
Nabi dengan menetapkan syarat orang yang bermimpi bertemu Nabi mestilah
dikalangan mereka yang pernah melihat Nabi SAW secara fizikal.
Selain itu, ketika membahaskan hadith berkenaan, Ibnu al-Tin turut
menyatakan bahawa maksud kepada hadith tersebut adalah merujuk kepada individu
yang telah beriman kepada Nabi SAW semasa masih baginda Nabi hidup tetapi tidak
berpeluang untuk bertemu dengan Nabi. Apabila datang hadith berkenaan, ianya
merupakan suatu berita yang baik untuk setiap individu yang beriman kepada
baginda Nabi tetapi tidak berpeluang bertemu dengan baginda Nabi SAW. Dalam
pada itu, Ibnu Battal seperti yang tercatat dalam kitab Syarh Sahih
al-Bukhari, beliau menyebutkan bahawa hadith berkenaan menceritakan tentang
perkara ghaib dan sebagai khabar bahawa Allah Azza Wa Jalla melarang dan
menegah syaitan dari menyerupai wajah baginda Nabi SAW. Pandangan lain lagi
seperti ungkapan Syeikh Zakariyya al-Ansari di dalam kitab Minhah al-Bari,
beliau menjelaskan bahawa maksud dia telah melihat kebenaran ialah dia telah
melihat Nabi dengan penglihatan yang benar dan bukan sekadar mimpi yang
samar-samar.
Maka berdasarkan beberapa pandangan yang dikemukakan ini, dapat
kita fahami bahawa setiap manusia boleh bermimpi bertemu dengan baginda Nabi
SAW. Namun demikian, untuk memastikan mimpi tersebut adalah benar dan bukan
sekadar dakwaan, ianya adalah sesuatu yang sukar kerana tiada siapa lagi yang
hidup di zaman ini dan pernah bertemu Nabi SAW. Oleh yang demikian, andai kita
terpilih untuk bermimpi bertemu dengan Nabi SAW, adalah yang terbaik sekali
untuk kita simpan sahaja hal itu pada diri sendiri. Tidak perlu untuk berkongsi
dikhalayak umum kerana ianya dapat membuka ruang pintu-pintu fitnah kelak.
Dalam erti kata mudah, memadailah sahaja kita menyimpan cerita mimpi bertemu
Nabi itu dalam diri sendiri bagi tujuan untuk mengelak daripada terbukanya
pintu fitnah. Mimpi bertemu Nabi adalah sesuatu yang boleh terjadi kepada
sesiapa sahaja yang terpilih oleh Allah.
Satu hal lagi, dalam kita berbicara mengenai soal mimpi bertemu
Nabi, apakah mimpi tersebut boleh dijadikan hujah dan dalil dalam beragama.
Persoalan ini jika tidak difahami dengan benar, maka tentu sekali akan membuka
banyak kerosakan dengan bermacam-macam lagi dakwaan baru diatas nama mimpi
bertemu Nabi. Umum mengetahui bahawa hujah dan dalil dalam hidup beragama yang
menjadi asas dan sumber hukum adalah terbatas kepada al-Quran dan al-Sunnah.
Selain itu, beberapa sumber lain lagi seperti ijmak ulama (kesepakatan) dan
qiyas. Seterusnya melalui kaedah hukum lain seperti hukum uruf (adat), istihab
(keka hukum asal), istihsan, maslahah mursalah (kebaikan umum yang tidak
disebut secara khusus), syariat umat terdahulu dan beberapa kaedah lain lagi.
Daripada kesemua ini, tidak ada seorang pun para ulama yang menjadikan mimpi
sebagai hujah dan dalil dalam beragama. Maka jelaslah bahawa mimpi bertemu Nabi
SAW tidaklah dapat dijadikan hujah dan dalil.
Hal ini sepertimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Syaukani
dalam kitab Irsyad al-Fuhul, beliau dengan jelas menyatakan bahawa tidak
ada dalil yang menunjukkan bahawa bertemu Nabi dalam mimpi setelah
kewafatannya, lalu dalam mimpi tersebut dia melihat Nabi berkata sesuatu atau
melakukan sesuatu, ia boleh dianggap sebagai hujah dan dalil dalam beragama.
Ini kerana syariat Allah SWT telah lengkap dan sempurna untuk umat ini melalui
lisan baginda Nabi, lalu kerana demikian Allah telah mewafatkan Nabi SAW Oleh
kerana itu, umat ini tidak lagi memerlukan sebarang penambahan dalam urusan
agama. Wahyu yang berfungsi untuk menyampaikan syariat telah terputus dengan
kewafatan baginda Nabi Muhammad SAW. Oleh itu Imam al-Syaukani menyebut lagi
andai ada seseorang yang bermimpi bertemu Nabi, lalu menyampaikan perkara
baharu menurut mimpinya itu, maka ianya sama sekali tidak boleh dijadikan hujah
dan dalil baik untuk dirinya atau untuk orang lain.
Selain itu, Imam al-Nawawi dalam kitabnya, al-Minhaj Syarh Sahih
Muslim, beliau menukilkan kalam daripada al-Qadhi Iyadh dengan menyebut
bahawa bermimpi melihat Rasulullah SAW ini tidak menjadi hujah yang membatalkan
mana-mana sunnah sedia ada dan ia juga tidak menetapkan satu sunnah yang tidak
tetap. Begitu juga menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam kitabnya, Madarij
al-Salikin, beliau menyatakan mimpi itu umpama kasyaf. Ada yang bersumber
rahmat Allah dan sebaliknya ada yang bersumberkan dari syaitan. Mimpi para Nabi
itu adalah wahyu. Adapun mimpi selain para Nabi dan Rasul perlu dirujuk kepada
wahyu yang jelas. Jika ia selari dengan wahyu, maka boleh diikuti. Sekiranya
bersalahan dengan wahyu, maka tidak boleh diamalkan. Demikian secara umum
berkenaan hakikat mimpi bertemu Nabi SAW. Walau bagaimana pun, mimpi bertemu
Nabi merupakan anugerah yang terindah dan terhebat. Semoga kita semua
direzekikan dapat bermimpi bertemu Nabi SAW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan