Kekeluargaan boleh difahami sebagai suatu bentuk komuniti kecil
melibatkan pertalian darah yang padanya terdiri daripada suami, isteri dan
anak-anak. Keluarga yang bahagia pastinya menjadi tunjang kepada pembangunan
masyarakat yang harmoni. Kepincangan institusi kekeluargaan bukan sahaja memberikan
implikasi terhadap sosial keluarga malah turut menyumbang kepada
sosio-masyarakat. Hal ini dapat difahami lagi apabila kita melihat kebejatan
gejala sosial banyak berfaktorkan kepada masalah keluarga sehingga
sebahagiannya terpaksa keluar mencari kebahagiaan dan ketenangan di luar rumah.
Ada pula yang sanggup mengambil bahan terlarang sebagai alternatif untuk
menenangkan diri. Semua keadaan ini sedikit sebanyak disumbang oleh faktor
kepincangan institusi kekeluargaan.
Perkembangan dunia hari ini menyaksikan ramai pasangan suami isteri
mengambil keputusan untuk merancang keluarga dengan teliti. Dalam erti kata
yang lebih mudah, kebanyakan suami isteri pada zaman ini sangat peduli akan
jumlah anak dengan merancang kehamilan berdasarkan sebab-sebab yang tertentu.
Ini termasuklah faktor ekonomi, kesihatan dan kecantikan. Perkara ini telah
diberikan panduan oleh Islam dalam usaha memastikan perancangan yang dilakukan
adalah selari mengikut syariat Allah SWT. Dalam Islam, perancangan keluarga
dapat dibahagikan kepada dua kaedah. Pertama, disebut sebagai Tahdid
al-Nasal (تحديد النسل). Tahdid al-Nasal
boleh difahami sebagai suatu usaha untuk menamatkan atau mengehadkan pasangan
untuk mendapat anak. Kaedah seperti ini dijelaskan hukumnya adalah haram oleh
majoriti para sarjana Islam dan badan berautoriti fatwa. Kaedah ini berfungsi
untuk dengan sengaja memandulkan pasangan suami isteri dan hal tersebut
bertentangan dengan syarak.
Dalam bidang veterinar, kaedah pemandulan yang dilakukan keatas
haiwan seperti kaedah pertama ini disebut sebagai proses pengkasian. Namun
begitu, bagi kehidupan manusia, proses pemandulan ini dilihat bertentangan
dengan syariat Islam. Meskipun hakikatnya tidak ada satu pun nas dalil dan
hujah dari al-Quran dan al-hadith yang mengharamkan hal tersebut namun beberapa
hujah dan dalil dari wahyu Allah memperlihatkan makna tegahan dan larangan
memandulkan pasangan suami isteri. Sebagai contoh, firman Allah SWT di dalam
al-Quran menerusi surah Hud ayat 6 yang bermaksud :
"Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di
bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat
kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh
mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)".
Begitu juga Allah SWT melarang manusia daripada membunuh anak
kerana bimbang dan takut hidup menjadi susah dan miskin. Ini sebagaimana firman
Allah SWT di dalam surah al-An'am ayat 151 yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan,
(sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka".
Berdasarkan ayat tersebut, para sarjana Islam memahami bahawa
proses pemandulan seperti kaedah Tahdid al-Nasal adalah menyerupai perbuatan
arab jahiliyyah yang suka membunuh anak-anak mereka kerana takut hidup susah
dan miskin. Meskipun kaedah tersebut hanyalah menghalang daripada kelahiran
anak dan bukannya membunuh namun tujuannya sama kerana takut hidup susah dan
miskin , maka tujuan yang sama menjadi hukum wasilah. Oleh kerana yang
demikian, majoriti para ulama mengharamkan kaedah tersebut berdasarkan
pemahaman ayat al-Quran diatas. Sewajarnya sebagai seorang hamba, kita perlulah
bersangka baik dengan Tuhan melalui pemberian anak. Kurniaan anak juga
merupakan salah satu bentuk rezeki oleh Allah SWT. Maka tidak boleh seseorang
hamba tersebut bersangka buruk terhadap Allah dan menganggap anak sebagai
tambahan bebanan kepadanya.
Kaedah merancang keluarga yang kedua disebut sebagai Tanzim
al-Nasal (تنظيم النسل). Kaedah kedua ini
pula difahami sebagai suatu kaedah menjarakkan anak bertujuan untuk kestabilan
keluarga selain mengelakkan daripada kepincangan pengurusan rumahtangga. Dalam
kaedah kedua ini, sebahagian para sarjana Islam membenarkan untuk melakukan
penjarakan anak dengan syarat jika dikehendaki oleh Allah untuk mendapat anak
setelah berusaha menjarakkan, maka dia menganggap hal tersebut sebagai rezeki
dan amanah dari Allah SWT. Hal ini selari dengan firman Allah Azza Wa Jalla di
dalam al-Quran menerusi surah al-Syura ayat 49, firman Nya yang bermaksud :
"Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang
dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang
dikehendakiNya".
Selain itu, para sarjana Islam juga meletakan syarat jika mahu
merancang keluarga berdasarkan kaedah kedua ini, ianya mestilah tidak
mendatangkan kemudaratan kepada pasangan khususnya para isteri. Ini kerana
sebahagian kecil pasangan ada yang menolak untuk melakukan hubungan seksual
semata-mata kerana untuk mengelak daripada mendapat anak. Walhal, melakukan
persetubuhan suami isteri yang halal adalah antara tuntutan nafkah batin yang
perlu dipenuhi dan dituntut oleh syarak. Maka jika mahu melakukan perancangan
penjarakan anak, mestilah tidak memberi kemudaratan kepada pasangan. Tambahan
lagi, para sarjana Islam menyatakan bahawa keputusan penjarakan anak mengikut
kaedah kedua ini perlulah dilakukan dengan memperolehi kebenaran dan
persetujuan bersama suami isteri. Keadaan ini lebih harmoni dan saling memahami
dalam merancang keluarga.
Dalam dunia perubatan moden kini, terdapat beberapa kaedah untuk
merancang kehamilan. Antaranya seperti kaedah mengambil ubatan pil perancang,
memakai kondom, melakukan persetubuhan pada waktu tidak subur dan memasang
peranti intrauterine (IUD) bagi tujuan pemandulan sementara. Sementara
itu, di dalam Islam, terdapat satu kaedah yang disebutkan sebagai Azal
(ejakulasi luar rahim). Kaedah azal dapat difahami sebagai perbuatan
mengeluarkan air mani suami di luar rahim atau kemaluan isteri. Dalam ungkapan
lain disebut sebagai pancut di luar rahim. Kaedah azal ini sememangnya telah
dilakukan oleh para sahabat baginda Nabi SAW. Ini sebagaimana yang terdapat di
dalam sebuah hadith Nabi SAW riwayat Bukhari, athar daripada Jabir RA yang
bermaksud :
“Kami dahulu melakukan `azal pada zaman Rasulullah SAW sedangkan
al-Quran sedang turun.”
Berdasarkan hadith tersebut, para sahabat telah melakukan perbuatan
azal dan pada masa yang sama tidak ada satu pun ayat al-Quran yang turun bagi
melarang akan perbuatan tersebut. Maka difahami bahawa perbuatan tersebut
dibenarkan oleh syarak. Meskipun terdapat pandangan lain seperti Ibnu Hazm yang
berpandangan haram melalukan perbuatan azal, sebahagian lagi seperti
al-Syirazi, Ibn Qudamah dan Ibn al-Jauzi menyebutkan hukumnya makruh, namun
pandangan lebih kuat menyebutkan bahawa diharuskan untuk melakukan perbuatan azal.
Perbuatan seperti azal bukanlah bermakna untuk menafikan rezeki Allah SWT
tetapi ianya tidak lebih daripada sekadar usaha manusia untuk menjarakan
kehamilan. Pun begitu, sekiranya ditentukan oleh Allah SWT memperolehi anak,
maka kandungan tersebut hendaklah dijaga dan dipelihara selain menganggap ianya
rezeki dan amanah daripada Allah SWT.
Demikianlah bagaimana panduan Islam di dalam membimbing umat
manusia melakukan perancangan kekeluargaan. Sesungguhnya anak-anak adalah
anugerah terindah dan menjadi idaman setiap pasangan yang mendirikan
rumahtangga. Oleh itu, apabila kita direzekikan memperolehi anak, maka
bersyukurlah dan peliharalah amanah ini. Selain kita tidak menafikan keadaan
semasa yang dilihat semakin menekan, kos sara hidup yang meninggi, Islam
memberikan jalan untuk kita merancang dengan syarat tidak menafikan rezeki
Allah untuk berikan kita anak. Anak-anak merupakan aset harta yang bernilai,
bukan sahaja menjadi penyeri rumahtangga bahkan mampu menjadi saham ibubapa di
akhirat sana. Kelahiran anak bermakna lahirlah pula tanggungjawab para ibubapa
mencorakkan kemenjadian peribadi anak-anak. Jadi, terimalah anugerah Allah ini
dengan penuh tanggungjawab. Semoga Allah merahmati kita semua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan